Keluaran
11 (Yehuwa telah pun berfirman kepada Musa, “Aku akan mendatangkan satu lagi tulah kepada Firaun dan orang Mesir. Setelah itu, dia akan membenarkan kamu pergi.+ Malah, dia pasti akan mengusir kamu dari sini.+ 2 Maka suruhlah setiap lelaki dan wanita Israel untuk meminta barang emas dan perak daripada jiran mereka.”+ 3 Yehuwa menyebabkan orang Mesir menghormati orang Israel. Para pegawai Firaun dan rakyat Mesir juga sangat menghormati Musa.)
4 Musa menyambung, “Inilah firman Yehuwa: ‘Pada waktu tengah malam, Aku akan pergi ke negeri Mesir,+ 5 dan setiap anak sulung di Mesir akan mati,+ daripada putera sulung Firaun yang duduk di atas takhta, sehingga anak sulung hamba perempuan yang mengisar biji-bijian. Anak sulung semua ternakan juga akan mati.+ 6 Tangisan yang kuat akan terdengar di seluruh Mesir. Hal ini belum pernah terjadi dan tidak akan terjadi lagi.+ 7 Tetapi tiada perkara buruk yang akan menimpa orang Israel* ataupun ternakan mereka. Dengan demikian, kamu akan tahu bahawa Yehuwa dapat membuat perbezaan antara orang Mesir dengan orang Israel.’+ 8 Semua pegawai tuanku akan datang dan bersujud di hadapan hamba lalu berkata, ‘Pergilah, kamu dan seluruh bangsamu.’+ Selepas itu, hamba akan pergi.” Lalu dengan sangat marah, Musa meninggalkan Firaun.
9 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Firaun tidak akan mendengarkan engkau+ supaya Aku dapat melakukan lebih banyak mukjizat di Mesir.”+ 10 Musa dan Harun melakukan segala mukjizat itu di hadapan Firaun.+ Namun Yehuwa membiarkan Firaun berkeras hati, sehingga dia enggan membenarkan orang Israel pergi dari negerinya.+