Yesaya
25 Ya Yehuwa, Engkaulah Tuhanku.
Aku akan mengagungkan Engkau dan memuji nama-Mu,
Kerana Engkau telah melakukan hal-hal yang mengagumkan.+
Engkau setia+ dan dapat dipercayai;
Engkau pasti melaksanakan tujuan yang telah Engkau tetapkan sejak purbakala.+
2 Engkau merobohkan menara orang asing
Dan membuat kubu-kubu mereka menjadi reruntuhan.
Engkau menyebabkan kota mereka menjadi timbunan batu,
Yang tidak akan dibina semula.
3 Itulah sebabnya Engkau akan dipuji oleh bangsa yang perkasa
Dan ditakuti di kota bangsa-bangsa yang kejam.+
4 Engkau menjadi kubu bagi orang yang lemah
Dan kubu bagi orang miskin yang menghadapi kesusahan.+
Engkau ialah tempat perlindungan daripada ribut
Dan tempat bernaung daripada panas terik.+
Biarpun kemarahan orang yang zalim seperti ribut yang menghentam dinding,
5 Dan seperti panas terik di tanah yang tandus,
Engkau membungkam orang asing yang riuh-rendah.
Sebagaimana bayang-bayang awan menghilangkan panas terik,
Engkau membungkam orang yang kejam supaya mereka tidak bernyanyi lagi.
6 Di gunung-Nya,+ Yehuwa, ketua angkatan syurga, akan menyediakan jamuan bagi semua bangsa.+
Dia akan menghidangkan makanan yang terbaik
Dan makanan yang paling bermutu.*
Dia juga akan menyediakan wain pilihan,
Iaitu wain terbaik yang ditapis.
7 Di gunung itu, Dia akan menghapuskan kain yang menyelubungi semua orang
Dan menyingkirkan selubung yang menutupi segala bangsa.
8 Dia akan melenyapkan* kematian buat selama-lamanya.+
Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, akan menghapuskan air mata daripada setiap wajah+
Dan menghilangkan kehinaan yang ditanggung oleh umat-Nya di serata bumi.
Hal itu pasti akan berlaku kerana Yehuwa sendiri telah berfirman tentangnya.
9 Pada masa itu, mereka akan berkata,
“Lihatlah! Dialah Tuhan kita!+
Dialah Yehuwa!
Kita bergantung pada-Nya.
Marilah kita bergembira dan bersukacita kerana Dia menyelamatkan kita.”+
10 Yehuwa akan melindungi gunung itu+ dengan tangan-Nya,*
Tetapi orang Moab akan dipijak-pijak di negeri mereka sendiri,+
Seperti jerami yang dipijak-pijak di atas timbunan baja.
11 Dia akan merentangkan tangan-Nya untuk memukul Moab,
Seperti seorang perenang yang merentangkan tangannya untuk memukul air semasa berenang.
Dengan gerakan tangan-Nya yang tangkas,
Dia akan merendahkan Moab yang angkuh.+
12 Dia akan merobohkan kota Moab yang berkubu
Dan meruntuhkan tembok pertahanannya yang tinggi.
Semua itu akan dibinasakan dan menjadi seperti debu di tanah.