PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • kr bab 17 ms. 205-215
  • Melatih Penyebar Kerajaan Tuhan

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Melatih Penyebar Kerajaan Tuhan
  • Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • “Apa yang Aku Katakan Semuanya Diajar oleh Bapa”
  • Melatih Umat Tuhan untuk Menginjil
  • Melatih Saudara-saudara untuk Tanggungjawab Istimewa
  • Sekolah Teokratik—Bukti akan Kasih Yehuwa
    Menara Pengawal—2012
  • Adakah Anda Merebut Peluang untuk Belajar daripada Yehuwa?
    Kerja Teokratik Kita—2011
  • Apakah Sekolah-Sekolah yang Disediakan bagi Perintis?
    Siapakah yang Sedang Melakukan Kehendak Yehuwa?
Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!
kr bab 17 ms. 205-215

BAB 17

Melatih Penyebar Kerajaan Tuhan

FOKUS BAB INI

Bagaimana pelbagai sekolah teokratik melatih para penyebar Kerajaan Tuhan untuk melaksanakan tugasan mereka

1-3. Apakah yang dilakukan oleh Yesus agar kerja penyebaran dijalankan secara lebih meluas? Apakah soalan-soalan yang timbul?

SELAMA dua tahun, Yesus menginjil di banyak kota dan pekan di seluruh Galilea. (Baca Matius 9:35-38.) Dia mengajar orang di rumah ibadat dan menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Ke mana sahaja dia pergi, ramai orang akan datang kepadanya. “Tuaian memang banyak,” kata Yesus, dan lebih ramai pekerja diperlukan.

2 Apakah yang dilakukan oleh Yesus agar kerja penyebaran dijalankan secara lebih meluas? Dia mengutus 12 orang rasulnya “untuk menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan.” (Luk. 9:1, 2) Para rasulnya mungkin tidak tahu cara melakukan kerja itu, maka Yesus telah memberi mereka latihan sebelum mengutus mereka, sebagaimana Bapanya telah memberinya latihan yang diperlukan.

3 Bagaimanakah Yesus dilatih oleh Bapanya? Bagaimanakah Yesus melatih para rasulnya? Dewasa ini, adakah Raja Mesias melatih para pengikutnya untuk melaksanakan aktiviti penyebaran? Jika ada, apakah caranya?

“Apa yang Aku Katakan Semuanya Diajar oleh Bapa”

4. Bilakah dan di manakah Yesus diajar oleh Bapanya?

4 Yesus mengakui dengan terus terang bahawa dia diajar oleh Bapanya. Semasa menjalankan aktiviti penyebaran, Yesus berkata, “Apa yang aku katakan semuanya diajar oleh Bapa.” (Yoh. 8:28) Bilakah dan di manakah Yesus diajar? Nampaknya Anak sulung Tuhan telah dilatih tidak lama selepas dia diciptakan. (Kol. 1:15) Di syurga, Anak telah meluangkan masa yang tidak terhitung lamanya di sisi Bapanya, dan dia telah mendengar dan memperhatikan cara Bapanya mengajar. (Yes. 30:20) Hasilnya, Anak telah menerima pendidikan yang paling tinggi mengenai sifat, perbuatan, dan tujuan Bapanya.

5. Bagaimanakah Bapa telah mengajar Anak-Nya tentang tugas yang harus dilakukannya di bumi?

5 Apabila masanya tiba, Yehuwa telah mengajar Anak-Nya tentang tugas yang harus dilakukannya di bumi. Bagaimanakah nubuat Bible menggambarkan hubungan antara Pendidik Agung, iaitu Yehuwa, dengan Anak sulung-Nya? (Baca Yesaya 50:4, 5.) Nubuat itu menyatakan bahawa Yehuwa membangunkan Anak-Nya “tiap-tiap pagi.” Tuhan digambarkan seperti seorang guru yang membangunkan anak muridnya pada awal pagi untuk mengajarnya. Menurut sebuah karya rujukan Bible, “Yehuwa . . . seolah-olah membawanya ke sekolah, dan mengajarnya seperti seorang pelajar.” Di syurga, Yehuwa telah mengajar Anak-Nya “apa yang harus dikatakan dan apa yang harus disampaikan.” (Yoh. 12:49) Bapa juga telah mengajar Anak-Nya cara untuk mengajar.* Latihan itu bukan sahaja membantu Yesus melaksanakan kerja penyebarannya di bumi, malah membantu Yesus untuk melatih para pengikutnya agar mereka juga dapat melaksanakan kerja penyebaran dengan baik.

6, 7. (a) Apakah latihan yang diberikan oleh Yesus kepada para rasulnya? Bagaimanakah latihan itu membantu mereka? (b) Mengapakah Yesus menyediakan latihan bagi murid-muridnya dewasa ini?

6 Bagaimanakah Yesus melatih para rasulnya untuk menginjil? Menurut Matius bab 10, dia memberi mereka arahan spesifik mengenai soalan-soalan berikut: Di manakah mereka harus menginjil? (Ayat 5, 6) Apakah berita yang harus dikhabarkan? (Ayat 7) Perlukah mereka risau tentang keperluan mereka? (Ayat 9, 10) Apakah pendekatan yang harus digunakan? (Ayat 11-13) Apakah yang harus dilakukan jika penghuni rumah enggan mendengar? (Ayat 14, 15) Apakah tindakan yang harus diambil jika mereka dianiaya? (Ayat 16-23)* Arahan Yesus yang jelas telah melatih rasul-rasulnya untuk menerajui kerja penyebaran pada abad pertama Masihi.

7 Bagaimana pula dengan zaman kita? Sebagai Raja Kerajaan Tuhan, Yesus telah memberi para pengikutnya tugas yang paling penting, iaitu kerja menyebarkan “berita baik tentang Kerajaan Tuhan . . . ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa.” (Mat. 24:14) Adakah Raja Mesias melatih kita untuk melaksanakan tanggungjawab ini? Sudah pasti! Raja kita yang bertakhta di syurga telah memastikan bahawa para pengikutnya dilatih untuk menjalankan kerja penyebaran dan pelbagai tugas yang penting dalam sidang.

Melatih Umat Tuhan untuk Menginjil

8, 9. (a) Apakah tujuan utama Sekolah Penyebaran Teokratik? (b) Bagaimanakah perjumpaan pertengahan minggu telah membantu anda untuk menjadi penginjil yang lebih mahir?

8 Sejak dahulu lagi, organisasi Yehuwa telah melatih umat Tuhan untuk menginjil. Banyak latihan telah disediakan menerusi perhimpunan, konvensyen, dan perjumpaan seperti Perjumpaan Aktiviti Penyebaran. Namun, mulai tahun 1940-an, saudara-saudara yang mengambil pimpinan di ibu pejabat mula mengaturkan pelbagai sekolah untuk melatih umat Tuhan.

9 Sekolah Penyebaran Teokratik. Seperti yang dinyatakan dalam Bab 16, sekolah ini diasaskan pada tahun 1943. Adakah tujuan utama sekolah ini untuk melatih para pelajar memberikan ceramah yang baik semasa perjumpaan? Tidak. Dari mula lagi, tujuan utama sekolah ini adalah untuk melatih umat Tuhan supaya mereka dapat memuji Tuhan dalam aktiviti penyebaran. (Mzm. 150:6) Semua saudara dan saudari yang menyertai sekolah ini dilatih untuk menjadi penginjil yang lebih mahir. Kini, perjumpaan pertengahan minggu memberi kita latihan sedemikian.

10, 11. Kini, siapakah yang dapat menyertai Sekolah Latihan Gilead? Apakah tujuan kurikulum sekolah ini?

10 Sekolah Latihan Gilead. Kelas pertama Sekolah Latihan Gilead telah bermula pada hari Isnin, 1 Februari 1943. Pada mulanya tujuan sekolah ini adalah untuk melatih perintis dan pekhidmat sepenuh masa yang lain sebelum mereka diutus ke tempat lain sebagai mubaligh. Namun, mulai Oktober 2011, sekolah ini hanya terbuka kepada saudara saudari yang sedang menjalankan khidmat khas sepenuh masa, seperti perintis khas, penyelia lawatan dan isteri mereka, ahli Bethel, dan mubaligh yang belum menyertai sekolah itu.

11 Apakah objektif kurikulum Sekolah Gilead? Seorang pengajar Gilead yang berpengalaman berkata, “Untuk meneguhkan iman para pelajar menerusi kursus pembelajaran Bible yang teliti, dan untuk membantu mereka memupuk sifat-sifat rohani yang diperlukan agar mereka berjaya menangani pelbagai cabaran dalam tugasan mereka. Selain itu, tujuan kurikulum ini adalah untuk memarakkan semangat para pelajar terhadap kerja penyebaran.”​—Ef. 4:11.

12, 13. Apakah sumbangan Sekolah Gilead kepada kerja penyebaran sedunia? Berikan sebuah contoh.

12 Apakah sumbangan Sekolah Gilead kepada kerja penyebaran sedunia? Sejak tahun 1943, lebih daripada 8,500 pelajar telah dilatih,* dan para lulusan Gilead telah diutus ke lebih daripada 170 negara. Para mubaligh telah memanfaatkan latihan yang diterima dengan sebaik-baiknya. Mereka menyediakan teladan yang baik dalam kerja penyebaran dan melatih orang lain agar menginjil dengan bersemangat. Sering kali, para mubaligh telah menerajui kerja penyebaran di tempat yang hanya mempunyai sedikit penyiar atau yang langsung tidak ada penyiar.

13 Perhatikan apa yang berlaku di Jepun. Semasa Perang Dunia Kedua, aturan untuk memberikan kesaksian hampir berhenti. Pada bulan Ogos 1949, jumlah penyiar tempatan di Jepun tidak sampai 10 orang. Namun pada hujung tahun itu, 13 lulusan Gilead telah dihantar ke Jepun sebagai mubaligh, dan lebih ramai mubaligh datang kemudian. Mula-mulanya, kerja mereka tertumpu di kawasan bandar raya. Selepas itu, mereka berpindah ke bandar lain. Para mubaligh berusaha menggalakkan pelajar mereka dan penyiar lain untuk menjadi perintis. Semangat dan kerja keras mereka membawa hasil yang lumayan. Kini, terdapat lebih daripada 216,000 penyiar Kerajaan Tuhan di Jepun, dan hampir 40 peratus dalam kalangan mereka ialah perintis!*

14. Sekolah-sekolah teokratik merupakan bukti akan apa? (Lihat kotak “Sekolah untuk Melatih Para Penyebar Kerajaan Tuhan,” muka surat 212.)

14 Sekolah teokratik yang lain. Para pelajar yang menyertai Sekolah Latihan Perintis, Sekolah Bible untuk Pasangan Kristian, atau Sekolah Bible untuk Saudara Bujang telah dibantu untuk membuat kemajuan rohani dan mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran dengan bersemangat.* Sekolah-sekolah teokratik ini merupakan bukti yang kukuh bahawa Raja kita telah memberi para pengikutnya latihan yang secukupnya agar mereka dapat melaksanakan aktiviti penyebaran.​—2 Tim. 4:5.

Melatih Saudara-saudara untuk Tanggungjawab Istimewa

15. Bagaimanakah saudara yang diamanahkan dengan tanggungjawab dapat meniru teladan Yesus?

15 Adakah anda masih ingat akan nubuat Yesaya yang menggambarkan cara Tuhan mengajar Yesus semasa dia di syurga? Dalam “sekolah” itu, Anak telah mempelajari cara untuk “menguatkan orang yang letih lesu.” (Yes. 50:4) Semasa Yesus di bumi, dia menggunakan apa yang dipelajarinya untuk menyegarkan orang yang “lelah kerana memikul beban yang berat.” (Mat. 11:28-30) Seperti Yesus, saudara-saudara yang terlantik harus menjadi sumber kelegaan bagi saudara saudari mereka. Untuk meningkatkan mutu khidmat mereka dalam aspek ini, pelbagai sekolah telah diasaskan.

16, 17. Apakah tujuan Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik? (Lihat juga nota kaki.)

16 Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik. Kelas pertama sekolah ini bermula pada 9 Mac 1959 di Lansing Selatan, New York. Panjang kursus itu adalah selama satu bulan, dan para penyelia lawatan dan penyelia sidang (kini dipanggil koordinator badan penatua) telah dijemput untuk menghadirinya. Kursus itu kemudiannya diterjemahkan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa-bahasa lain, supaya saudara-saudara lain di serata dunia juga dapat memanfaatkannya.*

Saudara Lloyd Barry mengajar di Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik di Jepun, 1970

Saudara Lloyd Barry mengajar di Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik di Jepun, 1970

17 Mengenai tujuan Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik, Buku Tahunan Saksi-Saksi Yehuwa 1962 menyatakan, “Dalam dunia yang cukup sibuk ini, seorang penyelia dalam sidang Saksi-Saksi Yehuwa haruslah mampu mengaturkan hal ehwal sendiri supaya dia dapat memberikan perhatian yang secukupnya kepada semua ahli sidang serta menggalakkan dan membantu mereka. Pada masa yang sama, dia tidak boleh mengabaikan keluarganya. Sebaliknya dia mesti dapat membuat pertimbangan yang baik. Para penyelia sidang di serata dunia mempunyai peluang yang sangat baik untuk dilatih di Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik. Latihan sebegini akan membantu mereka melaksanakan segala tanggungjawab yang dinyatakan dalam Bible!”​—1 Tim. 3:1-7; Tit. 1:5-9.

18. Bagaimanakah saudara saudari lain juga meraih manfaat daripada Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik?

18 Mengapakah kita dapat mengatakan bahawa saudara saudari lain juga meraih manfaat daripada Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik? Apabila para penatua dan pembantu sidang menerapkan apa yang telah dipelajari, mereka dapat menyegarkan rakan seiman mereka, seperti yang dilakukan oleh Yesus. Semasa penatua atau pembantu sidang yang pengasih mengunjungi anda dan menggalakkan anda, atau semasa mereka mendengar luahan hati anda, tidakkah hati anda tersentuh? (1 Tes. 5:11) Saudara-saudara yang terlantik ini sesungguhnya kurniaan Tuhan kepada sidang!

19. Mengapakah Jawatankuasa Mengajar mengadakan sekolah-sekolah teokratik yang lain?

19 Sekolah teokratik yang lain. Di bawah arahan Badan Pimpinan, Jawatankuasa Mengajar juga menyelia sekolah-sekolah lain yang diadakan untuk melatih para saudara yang memikul tanggungjawab dalam organisasi kita. Para penatua, penyelia lawatan, dan ahli Jawatankuasa Cawangan memikul banyak tanggungjawab, maka latihan itu akan membantu mereka untuk menjalankan tugas dengan lebih baik. Kursus Bible yang disediakan menggalakkan mereka untuk menjaga kerohanian sendiri dan menerapkan prinsip-prinsip Bible semasa menggembala biri-biri yang diamanahkan oleh Yehuwa kepada mereka.​—1 Ptr. 5:1-3.

Kelas pertama Sekolah Latihan Pengorganisasian di Malawi

Kelas pertama Sekolah Latihan Pengorganisasian di Malawi, 2007

20. Mengapakah Yesus boleh mengatakan bahawa kita semua diajar oleh Yehuwa? Apakah tekad anda?

20 Jelaslah bahawa Raja Mesias telah melatih para pengikutnya dengan sebaik-baiknya. Yesus boleh mengatakan bahawa kita semua “diajar oleh Yehuwa,” kerana latihan yang diberikan oleh Yesus kepada para pengikutnya merupakan latihan yang diberikan oleh Yehuwa kepada Yesus. (Yoh. 6:45; Yes. 54:13) Marilah kita bertekad untuk memanfaatkan latihan yang disediakan oleh Raja kita. Ingatlah bahawa tujuan utama semua latihan ini adalah untuk memastikan kita tetap kuat secara rohani. Dengan demikian, kita dapat melaksanakan aktiviti penyebaran dengan sebaik-baiknya.

Bagaimanakah kita tahu bahawa Bapa telah mengajar Anak-Nya cara untuk mengajar? Yesus sering menggunakan perumpamaan, atau kata-kata hikmat, semasa mengajar. Perbuatannya ini telah dinubuatkan beratus-ratus tahun sebelum kelahirannya. (Mzm. 78:2; Mat. 13:34, 35) Nubuat itu dinyatakan oleh Yehuwa, maka jelaslah bahawa Dia telah menentukan terlebih dahulu bahawa Anak-Nya akan menggunakan cerita ibarat, atau perumpamaan, semasa mengajar.​—2 Tim. 3:16, 17.

Beberapa bulan kemudian, Yesus memilih “70 orang murid yang lain lalu mengutus mereka secara berpasangan” untuk menginjil. Dia juga melatih mereka untuk menjalankan kerja penyebaran.​—Luk. 10:1-16.

Sesetengah pelajar pernah menghadiri Sekolah Gilead lebih daripada sekali.

Untuk maklumat lanjut tentang sumbangan lulusan Gilead kepada kerja penyebaran di serata dunia, lihat bab 23 dalam buku Jehovah’s Witnesses​—Proclaimers of God’s Kingdom.

Sekolah Bible untuk Pasangan Kristian dan Sekolah Bible untuk Saudara Bujang telah digantikan dengan Sekolah Latihan Penginjil.

Kini semua penatua dapat memanfaatkan Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik. Sekolah ini diadakan sekali dalam beberapa tahun, dan panjang sesinya berbeza-beza. Sejak tahun 1984, pembantu sidang juga dilatih di sekolah ini.

Seberapa Nyatakah Kerajaan Tuhan bagi Anda?

  • Bagaimanakah Yesus dilatih oleh Bapanya?

  • Bagaimanakah Raja Mesias melatih para pengikutnya untuk menyebarkan berita baik?

  • Bagaimanakah saudara-saudara yang terlantik dilatih untuk memikul tanggungjawab mereka?

  • Bagaimanakah anda dapat menunjukkan bahawa anda menghargai latihan yang disediakan oleh Raja kita?

SEKOLAH UNTUK MELATIH PARA PENYEBAR KERAJAAN TUHAN

KEHIDUPAN DAN KEGIATAN KRISTIAN KITA

Tujuan: Melatih penyiar menjadi penyebar dan pengajar berita baik yang mahir.

Tempoh: Berterusan.

Lokasi: Dewan Perjumpaan tempatan.

Cara menyertai: Semua orang yang menghadiri perjumpaan secara tetap, menerima ajaran Bible, dan hidup selaras dengan prinsip Bible boleh menyertai sekolah ini. Untuk berbuat demikian, sila berjumpa dengan penyelia Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian.

Manfaat: Perjumpaan pertengahan minggu mengajar kita untuk membuat penyelidikan dan membentangkan maklumat dengan logik. Kita juga belajar untuk mendengar semasa orang lain bercakap dan berfokus pada keperluan rohani orang lain, dan bukan hanya pada keperluan sendiri.

Arnie, yang sudah lama berkhidmat sebagai penyelia lawatan, berkata, “Saya mempunyai masalah gagap sejak kecil lagi, dan berasa susah untuk memandang orang semasa bercakap. Perjumpaan ini membantu saya membina keyakinan diri. Dengan bantuan Yehuwa, saya belajar teknik bernafas dan menumpukan perhatian. Saya bersyukur kerana mampu memuji Tuhan dalam sidang dan aktiviti penyebaran.”

Seorang penyiar muda melakukan tugasan pembacaan Bible di Sekolah Penyebaran Teokratik

SEKOLAH UNTUK PENATUA SIDANG*

Tujuan: Membantu para penatua memantapkan kerohanian sendiri dan melaksanakan tanggungjawab mereka dalam sidang.

Tempoh: Lima hari.

Lokasi: Ditentukan oleh pejabat cawangan; biasanya diadakan di Dewan Perjumpaan atau Dewan Perhimpunan yang berdekatan.

Cara menyertai: Penatua akan dijemput oleh pejabat cawangan.

Manfaat: Perhatikan komen beberapa saudara yang menyertai kelas ke-92 di Patterson, New York, A.S.:

“Sekolah ini sangat bermanfaat. Saya dapat memeriksa diri saya dan belajar cara untuk menjaga biri-biri Yehuwa.”

“Saya akan menggunakan latihan ini sepanjang hidup saya.”

SEKOLAH LATIHAN PERINTIS

Tujuan: Membantu perintis melaksanakan kerja penyebaran “dengan sepenuhnya.”​—2 Tim. 4:5.

Tempoh: Enam hari.

Lokasi: Ditentukan oleh pejabat cawangan; biasanya di Dewan Perjumpaan.

Cara menyertai: Perintis yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya setahun diterima secara automatik. Penyelia litar akan memaklumkan mereka tentang sekolah ini. Beberapa perintis yang telah lama berkhidmat dan yang belum menyertai sekolah ini sejak lima tahun yang lalu juga boleh dijemput untuk menyertainya sekali lagi.

Manfaat: “Sekolah itu membantu saya menangani cabaran dalam aktiviti penyebaran dan kehidupan,” kata Lily. “Cara saya belajar, mengajar, dan menggunakan Bible bertambah baik. Kini, saya lebih bersedia untuk membantu orang lain, menyokong para penatua, dan menyumbang kepada pertumbuhan sidang.”

Brenda, yang sudah dua kali menghadiri sekolah ini, berkata, “Sekolah ini membantu saya menyelami hal-hal rohani dengan lebih mendalam, meneguhkan hati nurani saya, dan berfokus pada usaha membantu orang lain. Jelaslah bahawa Yehuwa sangat murah hati!”

SEKOLAH UNTUK ANGGOTA BETHEL BARU

Tujuan: Membantu ahli Bethel yang baru menjalankan khidmat mereka dengan baik.

Tempoh: Empat hari, empat jam setiap hari.

Lokasi: Bethel.

Cara menyertai: Ahli Bethel yang tetap atau pekerja sukarela jangka masa panjang (sekurang-kurangnya untuk satu tahun) layak secara automatik.

Manfaat: Demetrius, yang menghadiri sekolah ini pada tahun 1980-an, berkata, “Kursus ini membantu saya memupuk tabiat pembelajaran yang baik, dan melengkapi saya untuk terus berkhidmat di Bethel. Pengajar, kurikulum, dan nasihat yang praktikal meyakinkan saya bahawa Yehuwa menyayangi saya dan ingin saya berjaya dalam khidmat Bethel.”

SEKOLAH LATIHAN PENGINJIL*

Tujuan: Memberikan latihan khas kepada pekhidmat sepenuh masa (pasangan suami isteri, saudara bujang, dan saudari bujang) agar mereka dapat meluaskan khidmat dalam organisasi Yehuwa. Ramai lepasan akan ditugaskan ke kawasan yang lebih memerlukan bantuan di negara asal. Lepasan yang berumur 50 tahun dan ke bawah mungkin berkhidmat sebagai perintis khas sementara untuk memulakan dan mengembangkan kerja penyebaran di tempat terpencil.

Tempoh: Dua bulan.

Lokasi: Ditentukan oleh pejabat cawangan; biasanya di Dewan Perjumpaan atau Dewan Perhimpunan.

Seorang saudari sedang menjalankan kerja penyebaran

Saudara saudari meraih manfaat daripada latihan teokratik

Cara menyertai: Pekhidmat sepenuh masa yang berusia antara 23 hingga 65 tahun, yang sihat, dan yang mampu berkhidmat di kawasan yang mempunyai keperluan besar boleh menyertai sekolah ini. Mereka juga harus bersikap seperti Yesaya yang berkata, “Inilah aku. Utuslah aku!” (Yes. 6:8) Semua pasangan suami isteri, saudara bujang, atau saudari bujang yang menyertai sekolah ini haruslah sudah menceburi khidmat sepenuh masa sekurang-kurangnya untuk dua tahun berturut-turut. Pasangan suami isteri juga mesti sudah berkahwin sekurang-kurangnya untuk dua tahun. Saudara-saudara mesti berkhidmat sebagai penatua atau pembantu sidang sekurang-kurangnya untuk dua tahun berturut-turut. Jika sekolah ini diadakan di kawasan pejabat cawangan anda, satu perjumpaan akan diadakan semasa konvensyen serantau untuk memberikan maklumat lanjut kepada mereka yang berminat.

Manfaat: Banyak komen yang positif telah diterima daripada mereka yang telah menghadiri Sekolah Bible untuk Saudara Bujang dan Sekolah Bible untuk Pasangan Kristian. Pada tahun 2013, Badan Pimpinan telah menggabungkan dua sekolah itu menjadi satu sekolah, iaitu Sekolah Latihan Penginjil. Kini, lebih banyak perintis, termasuk saudari-saudari bujang, akan meraih manfaat daripada kursus sekolah tersebut.

SEKOLAH LATIHAN GILEAD

Tujuan: Lulusan Gilead akan ditugaskan sebagai penyelia lawatan, mubaligh, atau ahli Bethel. Latihan yang diterima membolehkan para lulusan Gilead menguatkan dan memantapkan kerja dalam aktiviti penyebaran dan aturan pejabat cawangan.

Tempoh: Lima bulan.

Lokasi: Pusat Pendidikan Watchtower di Patterson, New York.

Pelajar Gilead memberikan perhatian kepada pengajar Gilead

Kelas Gilead—Patterson, New York

Cara menyertai: Pasangan suami isteri, saudara bujang, dan saudari bujang yang sedang menceburi khidmat khas sepenuh masa boleh menyertai sekolah ini. Mubaligh yang belum menghadiri sekolah ini, perintis khas, ahli Bethel, atau penyelia lawatan dan isteri mereka boleh dijemput oleh Jawatankuasa Cawangan untuk memohon bagi sekolah ini. Pemohon harus dapat menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris.

Manfaat: Berikut merupakan komen Lade dan Monique, sepasang suami isteri dari Amerika Syarikat yang sudah berkhidmat sebagai mubaligh selama beberapa tahun:

“Sekolah Gilead melengkapi kami untuk berkhidmat di mana-mana sahaja. Kami bersedia turun padang bersama rakan seiman kami,” kata Saudara Lade.

Saudari Monique berkata, “Semasa saya menerapkan apa yang dipelajari daripada Firman Tuhan, saya dapat menjalankan tugas saya dengan sukacita. Sukacita ini merupakan bukti bahawa Yehuwa mengasihi saya.”

SEKOLAH BIBLE UNTUK SAUDARA TERLANTIK

Tujuan: Melatih penyelia lawatan, penatua, dan pembantu sidang untuk melaksanakan tanggungjawab dalam sidang dan organisasi. (Kis. 20:28) Situasi terkini dan keperluan sidang dibincangkan. Sekolah ini diadakan sekali dalam beberapa tahun mengikut aturan Badan Pimpinan.

Tempoh: Kebelakangan ini, tempoh sekolah ini berubah-ubah.

Lokasi: Biasanya di Dewan Perjumpaan atau Dewan Perhimpunan yang berdekatan.

Cara menyertai: Penyelia litar akan memaklumkan penatua dan pembantu sidang. Penyelia lawatan akan dijemput oleh pejabat cawangan ke sekolah ini.

Manfaat: “Sekolah ini ringkas dan padat. Para penatua digalakkan dan dibantu untuk tetap bersukacita dan bersikap berani dalam khidmat Yehuwa. Penatua yang baru mahupun yang berpengalaman diajar untuk menjadi gembala yang mahir. Mereka juga digalakkan agar bersatu, sehati, dan sejiwa.”​—Quinn.

“Latihan yang diberikan adalah seimbang. Kami dibantu menghargai hal-hal rohani, diingatkan tentang bahaya rohani, dan diberi cadangan praktikal tentang cara untuk menjaga kawanan Tuhan.”​—Michael.

SEKOLAH UNTUK PENYELIA LITAR DAN ISTERI MEREKA*

Tujuan: Membantu penyelia litar berkhidmat dengan lebih baik, membantu mereka “bekerja keras untuk mengajar dan menyampaikan firman Tuhan,” dan membantu mereka menggembala kawanan yang diamanahkan kepada mereka.​—1 Tim. 5:17; 1 Ptr. 5:2, 3.

Tempoh: Satu bulan.

Lokasi: Ditentukan oleh pejabat cawangan.

Cara menyertai: Penyelia litar dan isteri mereka akan dijemput oleh pejabat cawangan ke sekolah ini.

Manfaat: “Kami lebih menghargai bagaimana Yesus mengetuai organisasi Tuhan. Kami diingatkan untuk menggalakkan saudara saudari dan mengukuhkan perpaduan sidang. Walaupun penyelia lawatan perlu memberikan nasihat dan menegur orang dari semasa ke semasa, tujuan utamanya adalah untuk mengingatkan saudara saudari bahawa Yehuwa mengasihi mereka.”​—Joel dan Connie, kelas pertama, 1999.

SEKOLAH UNTUK AHLI JAWATANKUASA CAWANGAN DAN ISTERI MEREKA

Tujuan: Membantu ahli Jawatankuasa Cawangan mengurus aturan di Bethel, hal-hal yang berkaitan dengan sidang, dan menyelia litar dalam kawasan mereka.​—Luk. 12:48b.

Tempoh: Dua bulan.

Lokasi: Pusat Pendidikan Watchtower di Patterson, New York.

Cara menyertai: Jawatankuasa Penyebaran bagi Badan Pimpinan menjemput ahli-ahli Jawatankuasa Cawangan atau Jawatankuasa Tempatan serta isteri mereka untuk menyertai sekolah ini.

Manfaat: Lowell dan Cara telah menghadiri kelas yang ke-25. Mereka sekarang berkhidmat di Nigeria.

“Saya diingatkan bahawa tidak kira apa tugas saya atau sesibuk mana saya, kunci untuk menyenangkan hati Yehuwa adalah untuk melakukan segala-galanya mengikut cara-Nya,” kata Saudara Lowell.

Semasa menceritakan pengajaran yang diperolehnya daripada sekolah itu, Saudari Cara berkata, “Satu perkara penting yang saya selalu ingat ialah jika saya tidak dapat menjelaskan sesuatu dengan mudah, maksudnya saya perlu mempelajari perkara itu dengan lebih dalam lagi sebelum saya mengajarkannya kepada orang lain.”

Sekolah ini masih belum terdapat di semua negara.

Sekolah ini masih belum terdapat di semua negara.

Sekolah ini masih belum terdapat di semua negara.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2021)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2021 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi