Bagaimanakah Sebenarnya Rupa Yesus?
Tiada orang pernah mengambil foto Yesus, melukis potretnya, atau membuat patung berdasarkan rupanya yang sebenar. Namun, Yesus muncul dalam hasil kerja banyak ahli seni yang hidup selepas zamannya.
Memandangkan mereka tidak pernah melihat Yesus, gambaran mereka biasanya dipengaruhi oleh budaya, agama, dan pelanggan mereka. Namun hasil seni mereka dapat mempengaruhi atau bahkan mengelabui pandangan orang terhadap Yesus dan ajarannya.
Sesetengah ahli seni menggambarkan Yesus sebagai lelaki yang lemah, berambut panjang, sedikit berjanggut, atau berwajah sedih. Ada juga yang menggambarkan Yesus dengan lingkaran cahaya, kelihatan luar biasa, atau tidak mempedulikan orang lain. Adakah gambaran itu tepat? Bagaimanakah kita dapat tahu jawapannya? Mari kita kaji pernyataan Bible yang memberikan serba sedikit gambaran tentang Yesus. Dengan itu, kita dapat memiliki pandangan yang wajar terhadapnya.
“ENGKAU SUDAH MENYEDIAKAN TUBUH BAGIKU”
Nampaknya Yesus mengucapkan kata-kata itu semasa dia dibaptis. (Ibrani 10:5; Matius 3:13-17) Apakah rupa tubuh itu? Sekitar 30 tahun sebelum itu, malaikat Gabriel memberitahu Maria, “Kamu akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki, . . . Anak Tuhan.” (Lukas 1:31, 35) Yesus seorang lelaki yang sempurna, sama seperti Adam ketika dia diciptakan. (Lukas 3:38; 1 Korintus 15:45) Sudah pasti dia mempunyai badan yang segak, dan barangkali mempunyai ciri-ciri rupa ibunya Maria.
Yesus menyimpan janggut sama seperti lelaki Yahudi yang bermartabat dan dihormati. Yesus tentu memastikan janggut dan rambutnya tidak panjang atau kusut-masai. Hanya mereka yang dikhaskan sebagai orang Nazir, seperti Simson, yang tidak menggunting rambut.—Bilangan 6:5; Hakim-Hakim 13:5.
Yesus telah menjadi tukang kayu selama bertahun-tahun tanpa peralatan moden. (Markus 6:3) Maka, dia tentu berbadan tegap. Yesus pernah “mengusir semua orang yang menjual biri-biri dan lembu keluar dari Rumah Tuhan. Dia juga menghamburkan duit syiling para penukar wang dan menterbalikkan meja-meja mereka.” (Yohanes 2:14-17) Untuk berbuat demikian, dia mesti cukup kuat. Yesus menggunakan tubuh yang disediakan oleh Tuhan untuk menjalankan tugasnya. Dia berkata, “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan harus aku khabarkan juga di kota-kota lain, kerana untuk tugas itulah aku diutus.” (Lukas 4:43) Dia pasti ada stamina yang kuat untuk berjalan ke seluruh Palestin dan mengkhabarkan berita itu.
“MARILAH KEPADAKU, . . . DAN AKU AKAN MENYEGARKAN KAMU”
Raut wajah Yesus yang mesra dan penyayang pasti menyentuh hati orang yang “lelah kerana memikul beban yang berat.” (Matius 11:28-30) Kasih dan kebaikan hatinya meyakinkan orang bahawa mereka yang belajar daripadanya akan disegarkan. Anak-anak muda pun suka mendampingi Yesus. Bible menyatakan, “Yesus memeluk semua kanak-kanak di situ.”—Markus 10:13-16.
Walaupun Yesus sangat susah hati sebelum kematiannya, dia bukan seorang yang selalu muram. Contohnya, dia pernah mengubah air menjadi wain yang bermutu tinggi untuk memeriahkan sebuah majlis perkahwinan di Kana. (Yohanes 2:1-11) Yesus juga menghadiri jamuan lain dan mengajarkan hal-hal yang penting di sana.—Matius 9:9-13; Yohanes 12:1-8.
Penting sekali, kerja penyebaran Yesus membawa kegembiraan kerana menawarkan harapan kehidupan kekal kepada pendengarnya. (Yohanes 11:25, 26; 17:3) Apabila 70 orang muridnya melaporkan hasil kerja penyebaran mereka, Yesus “sangat bersukacita” dan berkata, “Bersukacitalah kerana nama kamu sudah pun tercatat di syurga.”—Lukas 10:20, 21.
“JANGANLAH KAMU MENJADI SEPERTI MEREKA”
Para pemimpin agama pada zaman Yesus suka berlagak dan menunjukkan kuasa sendiri. (Bilangan 15:38-40; Matius 23:5-7) Namun Yesus mengajar para rasulnya agar tidak menjadi seperti raja yang mengawal orang lain. (Lukas 22:25, 26) Dia berkata, “Berhati-hatilah terhadap jurutulis hukum yang suka berjalan-jalan dengan memakai jubah panjang dan suka menerima salam hormat di tempat awam.”—Markus 12:38.
Yesus pula sering bersama orang ramai, dan ada kalanya dia tidak dapat dibezakan daripada mereka, bahkan ketika bersama 11 orang rasulnya. (Yohanes 7:10, 11) Untuk mengkhianati Yesus, Yudas perlu menciumnya supaya kumpulan perusuh dapat mengenali Yesus.—Markus 14:44, 45.
Meskipun kita tidak mempunyai banyak butiran, kita tahu bahawa rupa Yesus berbeza daripada apa yang sering digambarkan orang. Walau bagaimanapun, hal yang terpenting bukanlah rupa Yesus yang sebenar, tetapi pandangan kita terhadapnya sekarang.
“TIDAK LAMA LAGI, DUNIA TIDAK AKAN MELIHAT AKU LAGI”
Beberapa jam selepas Yesus mengucapkan kata-kata itu, dia telah dibunuh dan dikuburkan. (Yohanes 14:19) Dia telah menyerahkan nyawanya sebagai “tebusan bagi banyak orang.” (Matius 20:28) Pada hari ketiga, Tuhan membangkitkannya “dalam tubuh rohani” dan membolehkan murid-muridnya melihatnya. (1 Petrus 3:18; Kisah 10:40) Bagaimanakah rupa Yesus ketika itu? Nampaknya penampilannya sudah agak berbeza, kerana rakan karibnya pun tidak dapat terus mengenalinya. Maria Magdalena menyangka dia ialah tukang kebun, dan dua orang muridnya yang dalam perjalanan ke Emaus juga tidak mengenalinya.—Lukas 24:13-18; Yohanes 20:1, 14, 15.
Bagaimanakah kita patut memandang Yesus sekarang? Lebih daripada 60 tahun selepas kematian Yesus, Rasul Yohanes diberi penglihatan tentang Yesus. Yohanes tidak nampak seorang yang tengah nazak di salib. Sebaliknya dia nampak “Raja atas segala raja dan Tuan atas segala tuan,” Raja Kerajaan Tuhan yang akan menewaskan semua musuh Tuhan dan membawa berkat yang kekal kepada manusia.—Wahyu 19:16; 21:3, 4.