BAB 87
Merancang Masa Depan dengan Bijaksana
PERUMPAMAAN TENTANG HAMBA YANG TIDAK JUJUR
GUNAKAN KEKAYAAN UNTUK “MENDAPAT SAHABAT”
Sebelum ini, Yesus menceritakan perumpamaan tentang anak yang sesat kepada para pemungut cukai, jurutulis hukum, dan orang Farisi, untuk menekankan bahawa Tuhan sudi mengampuni pendosa yang bertaubat. (Lukas 15:1-7, 11) Kini dia berpaling ke arah murid-muridnya dan menceritakan satu perumpamaan. Perumpamaan ini mengisahkan seorang lelaki kaya yang mendapati bahawa hambanya tidak jujur.
Hamba itu akan dipecat kerana dia telah membazirkan harta tuannya. Dia berkata, “Tuanku tidak mahu aku menjadi pengurus rumah tangganya lagi. Apakah yang harus aku lakukan? Aku tidak cukup kuat untuk mencangkul, dan aku malu untuk meminta sedekah.” Apakah tindakannya yang seterusnya? Dia berkata, “Aku tahu apa yang dapat aku lakukan supaya apabila aku diberhentikan kerja, orang lain akan menyambut aku ke dalam rumah mereka.” Maka dia segera memanggil orang yang berhutang kepada tuannya dan bertanya, “Berapakah hutangmu kepada tuanku?”—Lukas 16:3-5.
Yang pertama menjawab, “Aku berhutang 2,200 liter minyak zaitun.” Orang itu mungkin pedagang minyak zaitun atau pemilik ladang zaitun. Hamba itu pun berkata kepadanya, “Ambillah surat perjanjian pinjamanmu. Cepatlah duduk dan tulis 1,100 liter.”—Lukas 16:6.
Kemudian, dia berkata kepada seorang lagi, “Berapakah hutang kamu pula?” Orang itu berkata, “Aku berhutang 100 guni gandum.” Hamba itu pun berkata, “Ambillah surat perjanjian pinjamanmu dan tulis 80 guni.” Dia mengurangkan bayaran hutang itu sebanyak 20 peratus.—Lukas 16:7.
Hamba itu masih bertanggungjawab atas urusan kewangan tuannya, maka dia berhak untuk mengurangkan bayaran hutang itu. Dengan berbuat demikian, dia mendapat sahabat yang akan membantunya selepas dia dipecat.
Kemudian tuan itu mendapat tahu tentang apa yang berlaku. Meskipun dia mengalami kerugian, dia kagum dengan hamba itu dan memujinya kerana “walaupun hamba itu tidak jujur,” dia “bertindak dengan bijaksana.” Kemudian Yesus berkata, “Orang dalam sistem dunia ini lebih bijaksana daripada orang yang hidup dalam terang semasa berurusan dengan orang dalam generasi mereka.”—Lukas 16:8.
Adakah Yesus bersetuju dengan tindakan hamba itu? Adakah dia menggalakkan amalan yang licik? Tidak. Dia berkata kepada murid-muridnya, “Gunakanlah kekayaan daripada dunia jahat ini untuk mendapat sahabat. Dengan demikian, apabila kekayaan kamu lenyap, sahabat-sahabat itu akan menyambut kamu ke dalam tempat kediaman yang abadi.” (Lukas 16:9) Ya, dia mengajar mereka untuk merancang masa depan dengan bijaksana. Meskipun hamba-hamba Tuhan “hidup dalam terang,” mereka perlu menggunakan “kekayaan daripada dunia jahat ini,” iaitu harta milik mereka, dengan bijak dan membuat perancangan untuk masa depan yang kekal.
Hanya Yehuwa dan Anak-Nya yang dapat mengundang seseorang untuk memasuki Kerajaan Tuhan di syurga atau hidup di bumi Firdaus. Maka kita patut menggunakan harta kita untuk memupuk persahabatan dengan mereka. Bagaimana? Dengan menyokong kepentingan Kerajaan Tuhan. Dengan demikian, masa depan kita yang kekal akan terjamin apabila emas, perak, dan kekayaan kita hilang.
Yesus juga berkata bahawa orang yang setia dalam perkara yang kecil, seperti dalam cara mereka menggunakan kekayaan, juga akan setia dalam perkara yang besar. Dia berkata, “Oleh itu, jika kamu tidak setia semasa menggunakan kekayaan dalam dunia jahat ini, siapakah yang akan mengamanahkan kekayaan sejati [seperti Kerajaan Tuhan] kepada kamu?”—Lukas 16:11.
Yesus mengajar murid-muridnya bahawa jika mereka ingin disambut “ke dalam tempat kediaman yang abadi,” mereka haruslah membuat pilihan yang bijak. Dia berkata, “Seorang hamba tidak dapat melayani dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang seorang lagi, atau dia akan setia kepada yang seorang dan menghina yang seorang lagi. Kamu tidak dapat menjadi hamba Tuhan dan hamba Kekayaan pada masa yang sama.”—Lukas 16:9, 13.