Selasa, 14 Oktober
Mereka mengabaikan Rumah Yehuwa.—2 Taw. 24:18.
Daripada keputusan buruk Yehoas, kita belajar bahawa kita harus memilih sahabat yang membawa pengaruh baik, iaitu sahabat yang mengasihi Yehuwa dan ingin menggembirakan-Nya. Sahabat sebegini tidak semestinya sebaya dengan kita. Ingatlah, Yehoas jauh lebih muda daripada Yehoyada. Semasa memilih kawan, tanyalah diri, “Adakah mereka menguatkan iman saya? Adakah mereka mendorong saya untuk mengikut standard Yehuwa? Adakah mereka suka bercakap tentang Yehuwa dan kebenaran Bible? Adakah mereka menghormati standard Tuhan? Adakah mereka hanya mengatakan apa yang saya suka dengar, atau adakah mereka berani menegur saya jika saya berbuat silap?” (Ams. 27:5, 6, 17) Ingatlah, orang yang tidak mengasihi Yehuwa tidak layak menjadi sahabat anda. Tetapi jika anda ada kawan yang mengasihi Yehuwa, jangan meninggalkan mereka, kerana inilah persahabatan yang akan membawa berkat seumur hidup.—Ams. 13:20. w23.09 9 ¶6-7
Rabu, 15 Oktober
Aku ialah Alfa dan Omega.—Why. 1:8.
Alfa ialah huruf, atau abjad pertama dalam bahasa Yunani, manakala omega pula abjad terakhir. Dengan menggambarkan diri-Nya sebagai “Alfa dan Omega,” Yehuwa menunjukkan bahawa apabila Dia mula melakukan sesuatu, Dia pasti berjaya. Selepas menciptakan Adam dan Hawa, Yehuwa memberitahu mereka, “Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak. Penuhilah bumi, dan hendaklah kamu menguasainya.” (Kej. 1:28) Pada masa itu, Yehuwa seolah-olah mengucapkan abjad “Alfa.” Dia memberitahu manusia tujuan-Nya dengan jelas, iaitu Dia mahu bumi dipenuhi dengan keturunan Adam dan Hawa yang sempurna dan taat, dan mereka akan mengubah seluruh bumi menjadi Firdaus. Apabila hal itu berlaku, Yehuwa seolah-olah akan mengucapkan abjad “Omega.” Setelah menciptakan “segala sesuatu di langit dan di bumi,” Yehuwa memberikan jaminan bahawa tidak kira apa yang berlaku, tujuan-Nya bagi manusia dan bumi pasti tercapai pada akhir tempoh hari ketujuh itu.—Kej. 2:1-3. w23.11 5 ¶13-14
Khamis, 16 Oktober
Hendaklah kamu menyediakan jalan bagi Yehuwa! Siapkanlah jalan besar yang lurus di padang gurun bagi Tuhan kita.—Yes. 40:3.
Perjalanan dari Babilon ke Israel sangat mencabar dan akan mengambil masa sekitar empat bulan. Namun, Yehuwa berjanji untuk menyingkirkan apa sahaja halangan di sepanjang perjalanan umat-Nya. Walaupun orang Yahudi yang setia perlu membuat pengorbanan untuk kembali ke Israel, mereka tahu mereka akan meraih banyak berkat. Berkat yang terbesar berkaitan dengan ibadat mereka. Tiada Rumah Yehuwa di Babilon. Di situ juga tidak ada mazbah ataupun aturan imam untuk mempersembahkan korban menurut cara yang dinyatakan dalam Hukum Musa. Tambahan lagi, bilangan orang kafir di situ jauh lebih banyak daripada umat Yehuwa, dan mereka tidak menghormati Yehuwa ataupun standard-Nya. Maka tidak hairanlah beribu-ribu orang Yahudi yang mengasihi Yehuwa tidak sabar-sabar untuk kembali ke tanah air mereka untuk memulihkan ibadat sejati. w23.05 14-15 ¶3-4