Ahad, 8 September
Pilihlah kehidupan supaya kamu dan keturunan kamu dapat tetap hidup.—Ul. 30:19.
Sekadar memberitahu anak-anak anda apa yang benar dan salah tidak memadai. Bantulah mereka memikirkan soalan seperti: “Mengapakah Bible melarang sesetengah hal yang nampaknya seronok? Mengapakah saya yakin bahawa prinsip Bible sentiasa membawa manfaat kepada saya?” (Yes. 48:17, 18) Jika anak anda ingin dibaptis, bantulah dia memikirkan perasaannya terhadap tanggungjawab sebagai orang Kristian. Apakah manfaatnya? Apakah cabaran yang mungkin dihadapi? Mengapakah manfaat yang diraih berbaloi walaupun ada cabaran? (Mrk. 10:29, 30) Memandangkan dia akan menghadapi cabaran selepas dibaptis, dia perlu merenungkan soalan-soalan itu terlebih dahulu. Bantulah anak-anak memikirkan perkara-perkara ini dengan mendalam. Dengan itu, kita sedang membantu mereka memupuk keyakinan dalam hati mereka bahawa prinsip Bible selalu bermanfaat untuk mereka. w17.12 21 ¶14-15
Isnin, 9 September
Dia memanggil nama setiap bintang.—Yes. 40:26.
Ramai antara anda perlu bergelut dengan penyakit yang serius. Ada yang sudah berumur, tetapi perlu menjaga ahli keluarga yang lanjut usia. Ada pula yang perlu memerah keringat, bukan untuk hidup mewah, tetapi untuk mencari sesuap nasi bagi keluarga sendiri. Lebih teruk lagi, ada yang perlu menangani beberapa masalah sebegini pada waktu yang sama. Jika Yehuwa mengambil berat tentang setiap ciptaan-Nya yang tidak bernyawa, bayangkan perasaan-Nya terhadap anda, yang menyembah-Nya bukan secara terpaksa tetapi kerana mengasihi-Nya! (Mzm. 19:1, 3, 14) Bapa kita yang pengasih mengetahui segala sesuatu tentang anda. ‘Bahkan rambut di kepala kita sudah dihitung’ oleh-Nya. (Mat. 10:30) Pemazmur menulis, “Yehuwa sedar akan apa yang dialami oleh orang yang tidak bercela.” (Mzm. 37:18) Ya, Yehuwa memperhatikan cubaan yang anda alami, dan Dia dapat memberi anda kekuatan untuk bertabah. w18.01 7 ¶1; 8 ¶4
Selasa, 10 September
Tabita, bangunlah!—Kis. 9:40.
Pembangkitan Tabita yang dilakukan Petrus membuat “ramai orang mula percaya kepada Tuan Yesus.” Kini, mereka dapat memberikan kesaksian tentang Yesus dan kemampuan Yehuwa untuk membangkitkan orang mati. (Kis. 9:36-42) Terdapat satu lagi kisah pembangkitan yang berlaku di Troas. Pernah sekali, Paulus mengadakan perjumpaan di dalam sebuah bilik di tingkat atas dan dia berucap sehingga tengah malam. Ketika itu, seorang pemuda yang bernama Eutikhus duduk di jendela sambil mendengar. Tetapi dia terlelap lalu jatuh dari tingkat tiga. Lukas, yang merupakan seorang doktor, mungkin ialah orang pertama yang pergi melihat keadaan Eutikhus. Dia mendapati Eutikhus sudah mati! Kemudian, Paulus turun, memeluk mayat itu, dan berkata, “Dia masih hidup.” Apabila orang melihat pemuda itu dibangkitkan, “mereka sangat terhibur.”—Kis. 20:7-12. w17.12 5 ¶10-11