-
Markus 2:3-12Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
-
-
3 Kemudian, empat orang lelaki mengusung seorang lelaki yang lumpuh untuk membawanya kepada Yesus.+ 4 Tetapi mereka tidak dapat membawanya terus kepada Yesus kerana di situ terdapat ramai orang. Jadi mereka membuka bumbung dan membuat lubang di atas tempat Yesus berada, lalu menurunkan orang lumpuh itu yang berbaring di atas usungannya. 5 Semasa Yesus melihat iman mereka,+ dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Hai anakku, dosamu sudah diampunkan.”+ 6 Beberapa orang jurutulis hukum yang duduk di situ berfikir,+ 7 “Mengapakah dia berkata demikian? Dia sedang menghina Tuhan. Tiada seorang pun yang boleh mengampunkan dosa kecuali Tuhan.”+ 8 Tetapi dengan serta-merta, Yesus mengetahui apa yang sedang difikirkan oleh mereka. Maka dia berkata, “Mengapakah kamu memikirkan hal-hal sebegini?+ 9 Manakah yang lebih mudah untuk dikatakan kepada orang lumpuh itu: ‘Dosamu sudah diampunkan,’ atau, ‘Bangunlah, angkat usunganmu, dan berjalanlah’? 10 Namun, untuk membuktikan kepada kamu bahawa Anak Manusia+ mempunyai kuasa untuk mengampunkan dosa di bumi—”+ dia berkata kepada orang lumpuh itu, 11 “Aku berkata kepadamu: Bangunlah! Angkatlah usunganmu dan pulanglah.” 12 Lelaki itu pun bangun. Dengan serta-merta dia mengangkat usungannya dan berjalan keluar di hadapan mereka semua. Orang ramai berasa sangat kagum lalu memuliakan Tuhan. Mereka berkata, “Kami belum pernah melihat hal sebegini.”+
-
-
Lukas 5:18-26Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
-
-
18 Ketika itu, beberapa orang datang sambil mengusung seorang lelaki yang lumpuh. Mereka mencari jalan untuk membawanya ke dalam rumah dan meletakkannya di hadapan Yesus.+ 19 Namun, mereka tidak dapat membawa lelaki itu kepada Yesus kerana terdapat ramai orang di situ. Jadi mereka naik ke atas bumbung lalu menurunkan lelaki itu dengan usungannya di hadapan Yesus. 20 Apabila Yesus melihat iman mereka, dia berkata kepada lelaki itu, “Dosamu sudah diampunkan.”+ 21 Kemudian para jurutulis hukum dan orang Farisi mula berbincang sesama sendiri, “Siapakah orang ini yang menghina Tuhan? Tiada seorang pun yang boleh mengampunkan dosa kecuali Tuhan.”+ 22 Yesus tahu apa yang sedang difikirkan mereka. Maka dia berkata, “Mengapakah kamu memikirkan hal-hal sedemikian? 23 Manakah yang lebih mudah untuk dikatakan: ‘Dosamu sudah diampunkan,’ atau, ‘Bangunlah dan berjalanlah’? 24 Namun, untuk membuktikan kepada kamu bahawa Anak Manusia mempunyai kuasa untuk mengampunkan dosa di bumi—” dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Aku berkata kepadamu: Bangunlah! Angkatlah usunganmu dan pulanglah.”+ 25 Dengan segera lelaki itu bangun di hadapan mereka, mengangkat usungannya, dan pulang ke rumahnya sambil memuliakan Tuhan. 26 Semua orang di situ berasa sangat kagum dan mula memuliakan Tuhan. Mereka berasa takjub lalu berkata, “Sungguh mengagumkan perkara yang kita saksikan hari ini!”
-