-
Markus 6:35-44Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
-
-
35 Pada waktu petang, murid-muridnya datang dan berkata kepadanya, “Tempat ini terpencil dan masa sudah lewat.+ 36 Suruhlah orang ramai pergi ke desa dan pekan yang berhampiran agar mereka dapat membeli makanan.”+ 37 Tetapi Yesus berkata, “Kamu berilah mereka makanan.” Mereka pun bertanya, “Adakah Guru mahu kami membelanjakan 200 denari* untuk membeli roti bagi semua orang di sini?”+ 38 Dia berkata kepada mereka, “Pergilah dan lihat berapa banyak roti yang ada pada kamu.” Mereka pun pergi. Setelah itu, mereka berkata, “Lima ketul roti dan dua ekor ikan.”+ 39 Kemudian dia menyuruh semua orang duduk dalam kumpulan di atas rumput hijau,+ 40 lalu mereka pun duduk. Ada kumpulan yang mempunyai 100 orang, dan ada kumpulan yang mempunyai 50 orang. 41 Dia mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu lalu menengadah ke langit dan mengucapkan syukur.*+ Selepas itu, dia membahagikan roti itu dan memberikannya kepada murid-muridnya untuk diedarkan kepada orang ramai. Dia juga membahagi-bahagikan dua ekor ikan itu dan memberikannya kepada semua orang. 42 Semua orang makan sampai kenyang 43 dan baki roti yang dikumpulkan oleh mereka telah mengisi 12 buah bakul. Selain itu masih ada baki ikan.+ 44 Lelaki yang makan roti berjumlah 5,000 orang.
-
-
Lukas 9:12-17Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
-
-
12 Apabila hari mula senja, 12 orang rasul itu datang kepada Yesus dan berkata, “Tempat ini terpencil. Jadi suruhlah orang ramai pergi agar mereka dapat mencari penginapan dan membeli makanan di desa dan pekan yang berhampiran.”+ 13 Tetapi dia berkata, “Kamu berilah mereka makanan.”+ Mereka berkata, “Kami hanya mempunyai lima ketul roti dan dua ekor ikan. Perlukah kami pergi dan membeli makanan untuk semua orang itu?” 14 Ada kira-kira 5,000 orang lelaki di situ, jadi Yesus berkata kepada murid-muridnya, “Suruhlah mereka duduk secara berkumpulan, kira-kira 50 orang dalam setiap kumpulan.” 15 Mereka mengikut arahannya dan menyuruh semua orang duduk. 16 Selepas itu, Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu lalu menengadah ke langit dan mengucapkan syukur.* Kemudian, dia membahagikan roti itu dan memberikan roti dan ikan kepada murid-muridnya untuk diedarkan kepada orang ramai. 17 Semua orang makan sampai kenyang dan baki roti yang dikumpulkan oleh mereka telah mengisi 12 buah bakul.+
-
-
Yohanes 6:5-13Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
-
-
5 Semasa Yesus melihat ramai orang sedang datang kepadanya, dia berkata kepada Filipus, “Di manakah kita dapat membeli roti untuk mereka?”+ 6 Sebenarnya Yesus berkata demikian untuk mengujinya, kerana Yesus tahu apa yang dia sendiri akan lakukan. 7 Filipus menjawab, “Biarpun kami membelanjakan 200 denari* untuk membeli roti, belum tentu setiap orang akan menerima secebis roti.” 8 Salah seorang murid Yesus, iaitu Andreas, saudara kandung Simon Petrus, berkata kepadanya, 9 “Ada seorang budak lelaki di sini yang mempunyai lima ketul roti barli dan dua ekor ikan kecil, tetapi mana mungkin cukup untuk begitu banyak orang?”+
10 Yesus berkata, “Suruhlah mereka duduk.” Tempat itu ada banyak rumput, maka orang ramai pun duduk. Ada kira-kira 5,000 orang lelaki di situ.+ 11 Kemudian Yesus mengambil roti itu, mengucapkan syukur, lalu membahagikannya kepada mereka yang duduk di situ. Dia juga membahagikan ikan kecil itu, lalu mereka makan dengan sepuas-puasnya. 12 Apabila orang ramai sudah kenyang, dia berkata kepada murid-muridnya, “Kumpulkanlah baki roti supaya tiada apa-apa yang dibazirkan.” 13 Jadi, mereka mengumpulkan lebihan makanan daripada lima ketul roti barli yang dimakan oleh orang ramai. Baki makanan itu telah mengisi 12 buah bakul.
-