Kejadian
11 Pada masa itu, penduduk di seluruh bumi hanya mempunyai satu bahasa dan mereka menggunakan kosa kata yang sama. 2 Semasa mereka mengadakan perjalanan ke arah timur, mereka menemui dataran di Shinar+ dan mula menetap di situ. 3 Kemudian mereka berkata kepada satu sama lain, “Marilah kita buat batu bata lalu membakarnya di dalam api.” Maka mereka menggunakan batu bata sebagai ganti batu, dan tar sebagai ganti simen. 4 Mereka berkata, “Marilah kita membina sebuah kota dan menara yang puncaknya mencapai langit supaya kita menjadi terkenal, dan supaya kita tidak tercerai-berai ke seluruh bumi.”+
5 Yehuwa memperhatikan* kota dan menara yang telah dibina oleh manusia. 6 Kemudian Yehuwa berfirman, “Bangsa ini bersatu kerana mereka mempunyai satu bahasa.+ Jika sekarang pun mereka sudah melakukan hal sebegini, pada kemudian hari mereka dapat melakukan apa sahaja yang difikirkan mereka. 7 Marilah kita+ turun dan mengelirukan bahasa mereka supaya mereka tidak memahami satu sama lain.” 8 Maka Yehuwa mencerai-beraikan mereka ke seluruh bumi,+ dan mereka berhenti membina kota itu. 9 Itulah sebabnya kota itu dinamakan Babel,*+ kerana di situlah Yehuwa mengelirukan bahasa yang digunakan di seluruh bumi, dan dari situlah Yehuwa mencerai-beraikan mereka ke seluruh bumi.
10 Inilah senarai keturunan Sem.+
Arpakhsad,+ iaitu anak Sem, dilahirkan dua tahun selepas Banjir. Ketika itu Sem berumur 100 tahun. 11 Selepas kelahiran Arpakhsad, Sem juga mendapat anak-anak lain,+ dan dia hidup selama 500 tahun lagi.
12 Ketika Arpakhsad berumur 35 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Selah.+ 13 Selepas kelahiran Selah, Arpakhsad juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 403 tahun lagi.
14 Ketika Selah berumur 30 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Eber.+ 15 Selepas kelahiran Eber, Selah juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 403 tahun lagi.
16 Ketika Eber berumur 34 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Peleg.+ 17 Selepas kelahiran Peleg, Eber juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 430 tahun lagi.
18 Ketika Peleg berumur 30 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Rehu.+ 19 Selepas kelahiran Rehu, Peleg juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 209 tahun lagi.
20 Ketika Rehu berumur 32 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Serug. 21 Selepas kelahiran Serug, Rehu juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 207 tahun lagi.
22 Ketika Serug berumur 30 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Nahor. 23 Selepas kelahiran Nahor, Serug juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 200 tahun lagi.
24 Ketika Nahor berumur 29 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Terah.+ 25 Selepas kelahiran Terah, Nahor juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 119 tahun lagi.
26 Setelah Terah hidup selama 70 tahun, dia mendapat tiga orang anak lelaki, iaitu Abram,+ Nahor,+ dan Haran.
27 Inilah senarai keturunan Terah.
Terah ialah bapa kepada Abram, Nahor, dan Haran. Haran mempunyai seorang anak lelaki bernama Lot.+ 28 Ketika bapanya Terah masih hidup, Haran meninggal di tempat kelahirannya, di Ur,+ iaitu kota orang Kasdim.+ 29 Abram berkahwin dengan Sarai,+ dan Nahor berkahwin dengan Milkah,+ anak perempuan Haran. Haran ialah bapa kepada Milkah dan Iskah. 30 Sarai tidak mempunyai anak kerana dia mandul.+
31 Terah membawa anaknya Abram, cucunya Lot,+ dan menantunya Sarai, iaitu isteri Abram, lalu meninggalkan Ur, kota orang Kasdim, untuk pergi ke negeri Kanaan.+ Apabila mereka tiba di Haran,+ mereka menetap di sana. 32 Terah hidup selama 205 tahun, kemudian dia meninggal di Haran.