Yesaya
32 Lihatlah! Seorang raja+ akan memerintah dengan adil,+
Dan para pemimpin akan memerintah dengan saksama.
2 Setiap pemimpin itu bagaikan tempat perlindungan daripada angin kencang,
Dan bagaikan tempat persembunyian daripada hujan ribut;
Mereka seperti sungai-sungai yang mengalir di tanah yang gersang,+
Dan seperti naungan batu besar di negeri yang tandus.
3 Mata orang yang dapat melihat tidak akan tertutup lagi,
Dan telinga orang yang dapat mendengar akan sentiasa terbuka.
4 Orang yang dahulunya bertindak dengan terburu-buru akan memberikan perhatian kepada* pengetahuan,
Dan orang yang gagap akan bercakap dengan lancar dan jelas.+
5 Orang yang bodoh tidak lagi akan dianggap sebagai orang yang murah hati,
Dan orang yang tidak tulus hati* tidak akan dikenali sebagai orang yang terhormat.
6 Orang yang bodoh akan mengatakan hal yang bukan-bukan
Dan merancang kejahatan dalam hatinya,+
Kerana dia ingin mengikut haluan orang murtad* dan mengucapkan dusta tentang Yehuwa.
Dia tidak memberikan makanan kepada orang yang lapar
Dan tidak memberikan minuman kepada orang yang dahaga.
7 Orang yang tidak tulus hati* menggunakan pelbagai muslihat untuk mencapai tujuannya;+
Dia menggalakkan orang lain untuk melakukan perbuatan yang memalukan.
Biarpun orang yang miskin bercakap benar,
Dia tetap berdusta untuk mencelakakan orang yang ditindas itu.+
8 Tetapi orang yang murah hati menggalakkan orang lain untuk memberi dengan senang hati,
Dan dia sendiri juga sentiasa bermurah hati.
9 Hai wanita-wanita yang bersikap acuh tak acuh, bangunlah dan dengarlah kata-kataku!
Hai gadis-gadis yang hidup bersenang-lenang,+ perhatikanlah kata-kataku!
10 Kira-kira setahun lagi, kamu yang hidup bersenang-lenang akan gentar,
Kerana kamu tidak akan mendapat apa-apa hasil walaupun musim menuai anggur sudah berakhir.+
11 Hendaklah kamu takut, hai wanita-wanita yang bersikap acuh tak acuh!
Hendaklah kamu gementar, hai kamu yang hidup bersenang-lenang!
Tanggalkanlah pakaian kamu
Dan kenakanlah kain guni pada pinggang kamu.+
12 Pukullah dada dengan sedih
Atas apa yang berlaku kepada ladang dan kebun anggur kamu yang subur.
13 Tanah bangsaku akan dipenuhi onak dan semak berduri;
Rumah-rumah tempat orang bersuka ria dan kota tempat orang bergembira+
Akan diliputi belukar berduri.
14 Menara yang berkubu akan terbiar;
Kota yang riuh akan ditinggalkan.+
Ofel*+ dan menara pengawal akan menjadi tanah tandus buat selama-lamanya.
Keldai liar akan berkeliaran di situ,
Dan ternakan akan meragut rumput di tempat itu.+
15 Semua itu akan berlaku sehingga Tuhan mencurahkan kuasa suci-Nya ke atas kita.+
Pada masa itu, padang belantara akan menjadi kebun buah-buahan,
Dan kebun buah-buahan akan dianggap sebagai hutan.+
16 Pada waktu itu, keadilan dan kebaikan akan terdapat di merata tempat,+
Baik di padang belantara mahupun di kebun buah-buahan.
17 Keadilan yang sejati akan membawa kedamaian+
Dan mendatangkan ketenteraman dan keamanan yang berkekalan.+
18 Bangsaku akan tinggal di tempat yang selamat;
Tempat kediaman mereka akan aman sentosa.+
19 Hutan-hutan akan dirosakkan oleh hujan batu,
Dan kota-kota akan dimusnahkan sama sekali.
20 Berbahagialah orang yang menabur benih berhampiran sumber air
Dan orang yang melepaskan lembu jantan dan keldai ke ladang.+