Yesaya
60 “Hai wanita, bangkitlah+ dan bersinarlah, kerana cahayamu sudah datang!
Kemuliaan Aku, Yehuwa, menyinarimu.+
2 Lihatlah! Kegelapan akan meliputi bumi,
Dan kekelaman yang pekat akan menyelubungi bangsa-bangsa.
Tetapi Aku, Yehuwa, akan menerangimu,
Dan kemuliaan-Ku akan kelihatan pada dirimu.
3 Bangsa-bangsa akan datang kepada cahayamu,+
Dan raja-raja+ akan tertarik kepada sinaranmu yang gemilang.*+
4 Pandanglah dan lihatlah di sekelilingmu!
Mereka semua telah berkumpul dan datang kepadamu;
Anak-anak lelakimu datang dari tempat yang jauh,+
Dan anak-anak perempuanmu didukung dan dibawa kepadamu.+
5 Semasa engkau melihat hal itu, wajahmu akan berseri-seri;+
Engkau akan berasa teruja, dan hatimu akan dipenuhi sukacita,
Kerana kekayaan dari laut akan dihantar kepadamu,
Dan harta bangsa-bangsa akan dibawa kepadamu.+
Semua orang dari Syeba akan datang
Dengan membawa emas dan kemenyan putih.
Mereka akan memuji Aku, Yehuwa, di hadapan umum.+
7 Semua ternakan dari Kedar+ akan dibawa kepadamu.
Bebiri jantan dari Nebayot+ akan digunakan dalam ibadatmu.
Semua itu akan dipersembahkan di atas mazbah-Ku sebagai korban yang menyenangkan hati-Ku.+
Sesungguhnya, Aku akan membuat Rumah-Ku yang mulia menjadi lebih indah lagi.+
8 Siapakah mereka yang melayang seperti awan,
Seperti burung merpati yang sedang terbang ke rumahnya?
9 Penduduk di pulau-pulau akan berharap kepada-Ku.+
Kapal-kapal dari Tarsis akan belayar di hadapan
Untuk membawa pulang anak-anakmu dari tempat yang jauh.+
Mereka akan membawa emas dan perak
Untuk memuji nama Aku, Yehuwa, Tuhanmu, Tuhan Israel Yang Suci,
Kerana Aku menyebabkan engkau dimuliakan.+
10 Bangsa asing akan membina tembok-tembokmu,
Dan raja-raja mereka akan melayanimu.+
Kerana kemurkaan-Ku, Aku telah menghukum engkau,
Tetapi sekarang, Aku berkenan untuk mengasihani engkau.+
11 Pintu-pintu gerbangmu akan sentiasa terbuka+
Dan tidak ditutup, baik siang mahupun malam,
Supaya harta daripada bangsa-bangsa dibawa kepadamu.
Raja-raja mereka akan berjalan di hadapan sambil membawa semua harta itu.+
12 Mana-mana bangsa atau kerajaan yang tidak mengabdi kepadamu akan lenyap.
Bangsa-bangsa itu akan dimusnahkan sama sekali.+
13 Segala kemuliaan dari Lebanon,+
Iaitu pokok juniper, pokok ash, dan pokok sipres, akan dibawa kepadamu,+
Supaya tempat suci-Ku menjadi lebih indah.
Sesungguhnya, Aku akan memuliakan tempat Aku meletakkan kaki-Ku.+
14 Anak-anak penindasmu akan datang untuk bersujud di hadapanmu;
Semua orang yang menghinamu akan bersujud di kakimu.
Mereka akan memanggil engkau kota Yehuwa,
Sion milik Tuhan Israel Yang Suci.+
15 Meskipun dahulu engkau ditinggalkan, dibenci, dan tiada orang yang melaluimu,+
Aku akan menjadikan engkau sumber kebanggaan yang kekal
Dan sumber sukacita untuk selama-lamanya.+
16 Bangsa-bangsa dan raja-raja akan memelihara engkau,+
Seperti seorang ibu yang menyusui anaknya.+
Pada masa itu, engkau pasti akan tahu bahawa Aku, Yehuwa, ialah Penyelamatmu,
Dan bahawa Aku, Tuhan Yang Maha Kuat, Tuhan Yakub, ialah Penebusmu.+
17 Aku akan membawakan engkau emas sebagai ganti tembaga,
Perak sebagai ganti besi,
Tembaga sebagai ganti kayu,
Dan besi sebagai ganti batu.
Aku akan melantik kedamaian sebagai penyeliamu
Dan keadilan sebagai pengawasmu.+
18 Berita tentang keganasan tidak akan kedengaran lagi di negerimu;
Kemusnahan dan kehancuran tidak akan berlaku lagi di dalam sempadan wilayahmu.+
Engkau akan memanggil tembok-tembokmu Penyelamatan+ dan pintu-pintu gerbangmu Pujian.
19 Matahari tidak lagi menjadi penerangmu pada siang hari,
Dan bulan tidak lagi menjadi penerangmu pada malam hari,
Kerana Aku, Yehuwa, akan menjadi cahaya abadi bagimu.+
Aku, Tuhanmu, akan menjadi sumber keindahanmu.+
20 Mataharimu tidak akan terbenam lagi,
Dan bulanmu tidak akan pudar,
Kerana Aku, Yehuwa, akan menjadi cahaya abadi bagimu.+
Masa engkau berdukacita akan berakhir.+
21 Semua pendudukmu akan melakukan hal yang benar
Dan memiliki negeri ini selama-lamanya.
22 Bangsa yang sedikit bilangannya akan bertambah banyak sehingga menjadi seribu,
Dan bangsa yang kecil akan menjadi bangsa yang kuat.
Aku, Yehuwa, akan melakukan hal ini dengan segera,* tepat pada waktunya.”