Berita Baik yang Disampaikan oleh Lukas
20 Pada suatu hari, semasa Yesus mengajar orang di Rumah Tuhan dan mengisytiharkan berita baik, para ketua imam, jurutulis hukum, dan pemimpin orang Yahudi, datang kepadanya 2 lalu berkata, “Beritahulah kami, dari manakah datangnya kuasamu? Siapakah yang memberi kamu kuasa untuk melakukan semua ini?”+ 3 Dia menjawab, “Aku juga akan tanya kamu satu soalan. Beritahulah aku: 4 Siapakah yang memberi Yohanes kuasa untuk membaptis orang? Tuhan* atau manusia?” 5 Mereka pun berbincang sesama sendiri, “Jika kita kata, ‘Tuhan,’ dia akan bertanya, ‘Jadi, mengapakah kamu tidak percaya kepadanya?’ 6 Tetapi jika kita kata, ‘Manusia,’ orang ramai akan merejam kita, kerana mereka percaya bahawa Yohanes ialah seorang nabi.”+ 7 Maka, mereka mengatakan bahawa mereka tidak tahu dari mana Yohanes mendapat kuasanya. 8 Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Kalau begitu, aku pun tidak akan memberitahu kamu siapa yang memberi aku kuasa untuk melakukan semua ini.”
9 Kemudian dia memberitahu orang ramai perumpamaan ini: “Seorang lelaki menanam anggur di ladangnya+ dan menyewakan ladang itu kepada beberapa orang peladang. Setelah itu, dia berangkat ke luar negeri untuk masa yang agak lama.+ 10 Apabila musim anggur tiba, dia mengutus seorang hambanya kepada peladang-peladang itu untuk menerima sebahagian daripada hasil ladang anggur. Tetapi para peladang itu memukul hamba tersebut dan menyuruhnya pulang dengan tangan kosong.+ 11 Selepas itu dia mengutus seorang lagi hamba, tetapi mereka juga memukul dan memalukannya, lalu menyuruhnya pulang dengan tangan kosong. 12 Kemudian dia mengutus hamba yang ketiga, tetapi mereka mencederakannya dan membuangnya keluar dari ladang anggur. 13 Maka pemilik ladang anggur itu berkata, ‘Apakah yang harus aku lakukan? Aku akan mengutus anak kesayanganku.+ Tentu mereka akan menghormatinya.’ 14 Apabila para peladang melihatnya, mereka berkata kepada satu sama lain, ‘Ini dia pewaris ladang anggur. Mari kita bunuh dia supaya kita mendapat harta yang bakal diwarisinya!’ 15 Maka mereka membuangnya ke luar ladang anggur dan membunuhnya.+ Memandangkan mereka berbuat demikian, apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang anggur itu? 16 Dia akan datang dan membunuh para peladang itu lalu menyewakan ladang anggurnya kepada orang lain.”
Sebaik sahaja orang ramai mendengarnya, mereka berkata, “Semoga hal itu tidak akan berlaku!” 17 Tetapi Yesus memandang mereka dan berkata, “Jika begitu, apakah maksud ayat ini: ‘Batu yang dibuang oleh para pembina bangunan telah menjadi batu penjuru yang utama’?+ 18 Sesiapa yang jatuh ke atas batu itu akan hancur,+ dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan remuk.”
19 Para jurutulis hukum dan ketua imam sedar bahawa perumpamaan Yesus ditujukan kepada mereka. Oleh itu, mereka mencuba menangkapnya pada masa itu juga tetapi mereka takut kepada orang ramai.+ 20 Jadi, mereka memperhatikannya dengan cermat. Kemudian, secara diam-diam, mereka mengupah orang untuk berpura-pura ikhlas supaya mereka dapat memerangkap Yesus berdasarkan kata-kata yang diucapkannya.+ Dengan demikian mereka dapat menyerahkannya kepada pemerintah dan gabenor.* 21 Orang yang diupah itu bertanya kepada Yesus, “Guru, kami tahu bahawa Guru sentiasa mengatakan dan mengajarkan apa yang betul. Guru tidak pilih kasih dan Guru mengajarkan jalan Tuhan berdasarkan kebenaran. 22 Jadi, patutkah kita membayar cukai kepada Kaisar?” 23 Yesus mengetahui muslihat di sebalik kata-kata mereka. Maka dia berkata, 24 “Tunjukkanlah satu denari* kepadaku. Muka dan gelaran siapakah ini?” Mereka menjawab, “Kaisar.” 25 Dia berkata kepada mereka, “Maka, berikanlah milik Kaisar+ kepada Kaisar, tetapi berikanlah milik Tuhan kepada Tuhan.”+ 26 Mereka tidak dapat memerangkap Yesus di depan khalayak ramai. Mereka sangat kagum dengan jawapannya, maka mereka diam sahaja.
27 Orang Saduki tidak percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan.+ Beberapa orang daripada mereka datang untuk bertanya kepadanya,+ 28 “Guru, Musa menuliskan perintah ini: ‘Jika seorang lelaki mati sebelum mempunyai anak, saudara kandungnya mesti berkahwin dengan balunya supaya dia mempunyai keturunan.’+ 29 Dahulu ada tujuh orang adik-beradik. Yang sulung berkahwin lalu mati tanpa mempunyai anak. 30 Maka yang kedua 31 dan kemudiannya yang ketiga mengahwini balunya. Dalam cara yang sama, ketujuh-tujuh adik-beradik itu telah mengahwininya tetapi mati tanpa mempunyai anak. 32 Akhirnya, wanita itu juga mati. 33 Memandangkan tujuh orang adik-beradik itu pernah berkahwin dengannya, siapakah antara mereka yang akan menjadi suaminya semasa pembangkitan nanti?”
34 Yesus berkata kepada mereka, “Orang dalam sistem dunia ini* berkahwin, 35 tetapi mereka yang dianggap layak untuk dibangkitkan daripada kematian dan memperoleh kehidupan dalam sistem dunia yang bakal datang tidak akan berkahwin.+ 36 Mereka menjadi seperti malaikat dan tidak dapat mati lagi. Oleh sebab mereka akan dibangkitkan, mereka akan menjadi anak-anak Tuhan. 37 Sebenarnya dalam kisah tentang pokok kecil yang bernyala, Musa pernah menyebut tentang pembangkitan orang mati. Dia menggelar Yehuwa* sebagai ‘Tuhan Abraham, Tuhan Ishak, dan Tuhan Yakub.’+ 38 Dia ialah Tuhan orang hidup, bukan Tuhan orang mati, kerana mereka semua masih hidup dalam pandangan-Nya.”+ 39 Sesetengah jurutulis hukum berkata, “Sungguh baik jawapan Guru.” 40 Mereka tidak lagi berani untuk menanyakan apa-apa kepadanya.
41 Tetapi Yesus bertanya kepada mereka pula, “Mengapakah orang lain mengatakan bahawa Kristus ialah anak Daud?+ 42 Dalam buku Mazmur, Daud sendiri berkata, ‘Yehuwa* berfirman kepada Tuanku, “Duduklah di sebelah kanan-Ku 43 sehingga Aku menjadikan musuh-musuhmu sebagai alas kakimu.”’+ 44 Memandangkan Daud memanggil dia Tuan, bagaimana mungkin Kristus itu anak Daud?”
45 Sementara semua orang masih mendengar, dia berkata kepada murid-muridnya, 46 “Berhati-hatilah terhadap jurutulis hukum yang suka berjalan-jalan dengan memakai jubah panjang dan suka menerima salam hormat di tempat awam.* Mereka suka duduk di kerusi yang terdepan di dalam rumah ibadat dan suka tempat yang terbaik semasa menghadiri jamuan makan.+ 47 Mereka merampas harta* milik balu, dan mereka berdoa panjang untuk dilihat orang. Mereka akan diadili dengan lebih tegas.”