Berita Baik yang Disampaikan oleh Yohanes
5 Selepas itu, tibalah masanya perayaan+ orang Yahudi. Maka Yesus pergi ke Yerusalem. 2 Dekat Pintu Bebiri+ di Yerusalem, terdapat sebuah kolam yang dipanggil Betzata dalam bahasa Ibrani. Kolam itu dikelilingi lima serambi.* 3 Ramai orang yang sakit, buta, tempang, dan lumpuh, berbaring di serambi-serambi itu. 4* —— 5 Di situ ada seorang lelaki yang sudah sakit selama 38 tahun. 6 Yesus nampak dia berbaring di situ dan tahu bahawa dia sudah lama sakit. Maka Yesus berkata kepadanya, “Adakah kamu ingin sembuh?”+ 7 Lelaki yang sakit itu menjawab, “Tuan, tiada sesiapa pun yang membantu aku masuk ke dalam kolam semasa air berkocak. Apabila aku hendak masuk, orang lain mendahului aku.” 8 Yesus berkata kepadanya, “Bangunlah! Angkat tikarmu,* dan berjalanlah.”+ 9 Pada saat itu juga, lelaki tersebut sembuh dan mengangkat tikarnya* lalu mula berjalan.
Hari itu ialah hari Sabat. 10 Oleh itu, orang Yahudi berkata kepada lelaki yang disembuhkan itu, “Hari ini ialah hari Sabat. Kamu melanggar hukum kerana mengangkat tikar* kamu.”+ 11 Tetapi lelaki itu menjawab, “Orang yang menyembuhkan akulah yang berkata kepada aku, ‘Angkat tikarmu* dan berjalanlah.’” 12 Mereka bertanya kepadanya, “Siapakah lelaki yang berkata kepada kamu, ‘Angkat tikarmu* dan berjalanlah’?” 13 Tetapi orang yang disembuhkan itu tidak tahu siapa yang menyembuhkannya, kerana ada banyak orang di situ dan Yesus sudah menghilang antara orang ramai di situ.
14 Semasa Yesus berjumpa dengan lelaki itu di dalam Rumah Tuhan, Yesus berkata kepadanya, “Sekarang kamu sudah sembuh. Janganlah berdosa lagi agar sesuatu yang lebih buruk tidak menimpa kamu.” 15 Selepas itu, lelaki tersebut pergi dan memberitahu orang Yahudi bahawa Yesuslah yang menyembuhkannya. 16 Oleh itu, orang Yahudi mula menentang Yesus kerana dia melakukan hal-hal tersebut pada hari Sabat. 17 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Bapaku terus bekerja sehingga sekarang, dan aku pun terus bekerja.”+ 18 Apabila orang Yahudi mendengar hal ini, mereka semakin bertekad untuk membunuh dia, kerana dia bukan sahaja melanggar hukum hari Sabat malah memanggil Tuhan sebagai Bapanya sendiri+ dan menyamakan dirinya dengan Tuhan.+
19 Maka Yesus berkata kepada mereka, “Ketahuilah: Anak tidak dapat melakukan satu perkara pun menurut kehendaknya sendiri. Anak hanya melakukan apa yang dilihatnya dilakukan oleh Bapa.+ Apa yang dilakukan oleh Bapa, itulah yang dilakukan oleh Anak. 20 Bapa menyayangi Anak+ dan menunjukkan segala-gala yang dilakukan oleh-Nya kepada Anak. Dia akan menunjukkan perkara-perkara yang lebih besar daripada ini kepada Anak agar kamu semua berasa takjub.+ 21 Sepertimana Bapa membangkitkan orang mati dan membolehkan mereka hidup semula,+ begitu juga Anak membolehkan sesiapa sahaja yang dikehendakinya hidup semula.+ 22 Bapa tidak menghakimi sesiapa pun. Dia memberi Anak-Nya semua kuasa untuk menghakimi,+ 23 agar semua orang menghormati Anak sepertimana mereka menghormati Bapa. Orang yang tidak menghormati Anak tidak menghormati Bapa yang telah mengutusnya.+ 24 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Orang yang mendengar kata-kataku dan percaya kepada Dia yang mengutus aku akan memperoleh kehidupan kekal+ dan tidak akan dihukum. Dia sudah beralih daripada kematian kepada kehidupan.+
25 “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Masanya akan tiba, malah sudah tiba, apabila orang mati akan mendengar suara Anak Tuhan. Mereka yang memberikan perhatian akan hidup. 26 Bapa memiliki kuasa untuk memberikan hidup+ dan Dia juga mengurniakan kuasa ini kepada Anak.+ 27 Bapa sudah memberikan kuasa kepada dia untuk menghakimi orang+ kerana dia ialah Anak Manusia.+ 28 Janganlah kamu hairan akan hal ini kerana masanya akan tiba apabila semua orang di dalam makam peringatan akan mendengar suaranya+ 29 lalu keluar. Orang yang berbuat baik akan bangkit dan meraih kehidupan, tetapi orang yang berbuat jahat akan bangkit dan dihakimi.+ 30 Aku tidak dapat melakukan satu perkara pun menurut kehendakku sendiri. Aku menghakimi orang menurut apa yang difirmankan oleh Bapa kepadaku. Aku menghakimi orang dengan adil,+ kerana aku tidak mengikut kehendakku sendiri tetapi mengikut kehendak Dia yang telah mengutus aku.+
31 “Jika aku sahaja yang memberikan kesaksian tentang diriku, kesaksianku tidak benar.+ 32 Tetapi Dia juga memberikan kesaksian tentang aku, dan aku tahu bahawa kesaksian-Nya mengenai diriku adalah benar.+ 33 Kamu mengutus orang kepada Yohanes, dan Yohanes telah memberikan kesaksian tentang kebenaran.+ 34 Sebenarnya aku tidak memerlukan kesaksian daripada manusia. Tetapi aku memberitahu kamu perkara-perkara ini agar kamu dapat diselamatkan. 35 Yohanes bagaikan pelita yang menyala dan bersinar. Untuk jangka masa yang pendek, kamu ingin bergembira dalam terangnya.+ 36 Tetapi aku mempunyai kesaksian yang lebih besar daripada kesaksian Yohanes. Aku melaksanakan kerja yang ditugaskan oleh Bapaku dan kerja-kerja itu memberikan kesaksian bahawa Bapa mengutus aku.+ 37 Bapa yang mengutus aku pun memberikan kesaksian tentang diriku.+ Kamu semua belum pernah mendengar suara-Nya atau melihat muka-Nya.+ 38 Firman-Nya tidak ada dalam diri kamu kerana kamu tidak mempercayai orang yang telah diutus-Nya.
39 “Kamu menyelidiki Ayat-Ayat Suci+ kerana menyangka bahawa dengan berbuat demikian kamu akan memperoleh kehidupan kekal. Sebenarnya, Ayat-Ayat Suci memberikan kesaksian tentang aku.+ 40 Namun, kamu semua tidak mahu datang kepadaku+ untuk memperoleh kehidupan. 41 Aku tidak menerima kemuliaan daripada manusia, 42 tetapi aku tahu bahawa kamu tidak mempunyai kasih untuk Tuhan dalam hati kamu. 43 Aku datang atas nama Bapaku, namun kamu tidak menerima aku. Tetapi andai kata orang lain datang atas namanya sendiri, kamu akan menerima orang itu. 44 Bagaimanakah kamu boleh percaya kepada aku jika kamu suka menerima kemuliaan daripada satu sama lain dan tidak berusaha untuk mencari kemuliaan yang datang daripada Tuhan yang esa?+ 45 Janganlah menyangka bahawa aku akan menuduh kamu di hadapan Bapa. Musa+ yang kamu harapkan itulah yang akan menuduh kamu. 46 Sebenarnya, jika kamu percaya kepada Musa, kamu akan percaya kepadaku, kerana dia menulis mengenai aku.+ 47 Tetapi jika kamu tidak mempercayai apa yang ditulis olehnya, bagaimanakah kamu dapat mempercayai apa yang aku katakan?”