Berita Baik yang Disampaikan oleh Yohanes
7 Setelah itu, Yesus berjalan dari satu tempat ke tempat yang lain di Galilea. Dia tidak mahu pergi ke Yudea kerana orang Yahudi sedang mencari kesempatan untuk membunuhnya.+ 2 Walau bagaimanapun, Perayaan Pondok Daun+ orang Yahudi sudah menjelang tiba. 3 Maka adik-adik lelaki Yesus+ berkata kepadanya, “Tinggalkanlah tempat ini dan pergilah ke Yudea supaya murid-muridmu juga dapat melihat perbuatanmu, 4 kerana tiada seorang pun yang akan melakukan sesuatu secara rahsia jika dia mahu menjadi terkenal. Oleh sebab kamu melakukan perkara-perkara ini, tunjukkanlah dirimu kepada dunia.” 5 Sebenarnya, adik-adik lelakinya tidak beriman kepadanya.+ 6 Maka Yesus berkata kepada mereka, “Saatku belum tiba,+ tetapi kamu boleh pergi ke perayaan itu bila-bila sahaja. 7 Dunia ini tidak mempunyai alasan untuk membenci kamu, tetapi dunia ini membenci aku kerana aku memberikan kesaksian bahawa perbuatan dunia ini jahat.+ 8 Kamu pergilah ke perayaan itu. Aku tidak akan pergi sekarang kerana saatku belum tiba.”+ 9 Selepas dia memberitahu mereka perkara-perkara ini, dia terus tinggal di Galilea.
10 Namun setelah adik-adik Yesus pergi ke perayaan itu, dia juga pergi tetapi secara diam-diam. 11 Semasa perayaan itu, orang Yahudi mula mencari dia. Mereka berkata, “Di manakah lelaki itu?” 12 Orang ramai berbisik-bisik tentang dia. Ada yang berkata, “Dia lelaki yang baik.” Yang lain berkata, “Tidak! Dia menyesatkan orang ramai.”+ 13 Tetapi tiada sesiapa pun yang berani bercakap tentangnya secara terang-terangan kerana mereka takut akan orang Yahudi.+
14 Sekitar hari keempat perayaan itu, Yesus masuk ke dalam Rumah Tuhan dan mula mengajar orang. 15 Orang Yahudi berasa hairan dan berkata, “Bagaimanakah lelaki ini mempunyai begitu banyak pengetahuan tentang Ayat-Ayat Suci+ sedangkan dia tidak pernah belajar di sekolah agama?”+ 16 Lalu Yesus menjawab, “Apa yang aku ajarkan bukanlah ajaranku, tetapi ajaran Dia yang mengutus aku.+ 17 Sesiapa yang berhasrat untuk melakukan kehendak-Nya akan tahu sama ada ajaranku datang daripada Tuhan+ atau daripada diriku sendiri. 18 Sesiapa yang bercakap mengikut pandangan sendiri mahu memuliakan diri sendiri. Tetapi sesiapa yang mahu memuliakan dia yang mengutusnya,+ dia jujur dan bebas daripada kepalsuan. 19 Musa telah memberikan Hukum+ kepada kamu, bukan? Namun, tiada seorang pun antara kamu yang mematuhi Hukum itu. Mengapakah kamu mahu membunuh aku?”+ 20 Orang ramai menjawab, “Kamu dirasuk roh jahat. Siapakah yang mahu membunuh kamu?” 21 Yesus berkata kepada mereka, “Aku hanya melakukan satu perkara dan kamu semua menjadi hairan. 22 Maka, fikirlah tentang hal ini: Musa telah memberi kamu perintah tentang sunat.+ Oleh itu, pada hari Sabat pun kamu menyunat seorang lelaki. Sebenarnya perintah ini tidak datang daripada Musa tetapi daripada nenek moyangnya.+ 23 Jika seorang lelaki boleh disunat pada hari Sabat supaya dia tidak melanggar Hukum Musa, mengapakah kamu naik berang terhadap aku kerana aku menjadikan seorang lelaki sihat sepenuhnya pada hari Sabat?+ 24 Jangan lagi menghakimi orang berdasarkan penampilan luar, tetapi hakimilah orang dengan adil.”+
25 Kemudian, beberapa orang penduduk Yerusalem mula berkata, “Bukankah dia lelaki yang sedang dicari-cari oleh penguasa kita untuk dibunuh?+ 26 Lihatlah! Dia sedang bercakap di hadapan umum, tetapi mereka tidak berkata apa-apa kepadanya. Mungkinkah para penguasa sudah yakin bahawa dia ialah Kristus? 27 Kita tahu asal usul lelaki ini,+ tetapi apabila Kristus datang, tiada orang yang akan tahu asal usulnya.” 28 Pada masa itu, Yesus sedang mengajar di Rumah Tuhan. Dia berseru, “Kamu mengenal aku dan mengetahui asal usulku. Aku tidak datang menurut kehendakku.+ Dia yang mengutus aku benar-benar wujud, tetapi kamu tidak mengenal Dia.+ 29 Aku mengenal Dia+ kerana aku ialah wakil-Nya, dan Dialah yang mengutus aku.” 30 Maka mereka mula mencari peluang untuk menangkap Yesus.+ Namun, tiada orang yang dapat berbuat demikian kerana saatnya belum tiba.+ 31 Meskipun begitu, ramai orang masih beriman kepadanya.+ Mereka berkata, “Apabila Kristus datang, dapatkah dia melakukan lebih banyak mukjizat daripada lelaki ini?”
32 Orang Farisi mendengar orang ramai berbisik-bisik tentang Yesus, jadi ketua-ketua imam dan orang Farisi menghantar para pengawal untuk menangkapnya. 33 Tetapi Yesus berkata, “Aku akan bersama kamu untuk sebentar sahaja sebelum aku pergi kepada Dia yang mengutus aku.+ 34 Kamu akan mencari aku, tetapi kamu tidak akan menjumpai aku, dan kamu tidak boleh datang ke tempat yang akan aku pergi.”+ 35 Maka, orang Yahudi berkata sesama sendiri, “Ke manakah orang ini mahu pergi sehingga kita tidak dapat mencarinya? Adakah dia hendak pergi kepada orang Yahudi yang tercerai-berai dalam kalangan orang Yunani dan mengajar orang Yunani? 36 Apakah yang dimaksudkannya semasa dia berkata, ‘Kamu akan mencari aku, tetapi kamu tidak akan menjumpai aku, dan kamu tidak boleh datang ke tempat yang akan aku pergi’?”
37 Pada hari terakhir perayaan, iaitu hari yang paling penting,+ Yesus berdiri lalu berseru, “Jika sesiapa dahaga, biarlah dia datang kepadaku untuk minum.+ 38 Bagi sesiapa yang beriman kepadaku, ‘air yang memberikan kehidupan akan mengalir dari lubuk hatinya,’+ seperti yang dinyatakan dalam ayat suci.” 39 Yesus sedang bercakap tentang kuasa suci Tuhan yang akan diterima oleh mereka yang beriman kepadanya. Pada masa itu, mereka belum menerima kuasa suci Tuhan,+ kerana Yesus belum dimuliakan.+ 40 Maka, beberapa orang dalam kalangan orang ramai yang mendengar kata-kata Yesus mula berkata, “Sememangnya dia ialah Nabi itu.”+ 41 Yang lain pula berkata, “Inilah Kristus.”+ Tetapi ada juga yang berkata, “Adakah Kristus akan datang dari Galilea?+ 42 Bukankah ayat suci menyatakan bahawa Kristus akan datang daripada keturunan Daud+ dan berasal dari Betlehem,+ iaitu tempat asal Daud?”+ 43 Maka timbullah perpecahan dalam kalangan orang ramai kerana Yesus. 44 Ada beberapa orang antara mereka mahu menangkapnya, tetapi tiada seorang pun yang dapat berbuat demikian.
45 Apabila para pengawal kembali, ketua-ketua imam dan orang Farisi bertanya, “Mengapakah kamu tidak menangkap dan membawanya ke sini?” 46 Para pengawal menjawab, “Belum pernah seseorang bercakap seperti dia.”+ 47 Lalu orang Farisi berkata, “Adakah kamu semua turut disesatkan olehnya? 48 Tidak ada seorang pun dalam kalangan penguasa atau orang Farisi yang beriman kepadanya, bukan?+ 49 Tetapi orang ramai di sini yang langsung tidak memahami Hukum semuanya terkutuk.” 50 Nikodemus, iaitu salah seorang Farisi yang pernah datang kepada Yesus, berkata kepada mereka, 51 “Menurut Hukum kita, bukankah kita mesti mendengar kata-kata seseorang dan mengetahui apa yang dilakukannya terlebih dahulu sebelum dia disabitkan bersalah?”+ 52 Maka mereka berkata kepadanya, “Adakah kamu juga berasal dari Galilea? Selidikilah Ayat-Ayat Suci dan kamu akan mendapati bahawa tiada nabi yang akan berasal dari Galilea.”*