Berita Baik yang Disampaikan oleh Lukas
9 Kemudian Yesus memanggil 12 orang rasulnya dan memberi mereka kuasa untuk mengusir semua roh jahat+ dan menyembuhkan penyakit.+ 2 Selepas itu, dia mengutus mereka untuk menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan dan menyembuhkan orang. 3 Dia berkata kepada mereka, “Janganlah membawa apa-apa untuk perjalanan kamu. Janganlah membawa tongkat, beg makanan, roti, wang perak, ataupun dua helai baju.*+ 4 Setiap kali kamu memasuki sebuah rumah, tinggallah di sana sehingga kamu meninggalkan tempat itu.+ 5 Jika orang di sesebuah kota tidak menerima kamu, kebaskanlah debu daripada kaki kamu semasa kamu beredar sebagai amaran kepada mereka.”+ 6 Mereka pun bertolak dan pergi dari pekan ke pekan di seluruh kawasan itu. Mereka menghebahkan berita baik dan menyembuhkan orang di mana-mana sahaja.+
7 Ketika itu, Herodes,* pemerintah daerah itu, mendengar tentang segala peristiwa yang sedang berlaku. Dia sangat bingung kerana ada orang yang mengatakan bahawa Yohanes telah dibangkitkan daripada kematian.+ 8 Tambahan lagi, ada yang mengatakan bahawa Elia telah muncul, dan yang lain pula mengatakan bahawa seorang nabi dahulukala telah dibangkitkan.+ 9 Herodes berkata, “Beta telah mengarahkan agar kepala Yohanes dipancung.+ Jadi siapakah orang ini? Beta sudah mendengar banyak perkara tentang dia.” Maka dia ingin berjumpa dengan Yesus.+
10 Apabila rasul-rasul kembali, mereka melaporkan kepada Yesus segala yang sudah dilakukan oleh mereka.+ Dia pun membawa mereka ke sebuah kota yang bernama Betsaida supaya mereka dapat bersendirian.+ 11 Tetapi orang ramai mendapat tahu tentang hal ini dan mengikutnya. Yesus menyambut mereka dengan ramah dan mula bercakap kepada mereka tentang Kerajaan Tuhan. Dia juga menyembuhkan orang yang sakit.+ 12 Apabila hari mula senja, 12 orang rasul itu datang kepada Yesus dan berkata, “Tempat ini terpencil. Jadi suruhlah orang ramai pergi agar mereka dapat mencari penginapan dan membeli makanan di desa dan pekan yang berhampiran.”+ 13 Tetapi dia berkata, “Kamu berilah mereka makanan.”+ Mereka berkata, “Kami hanya mempunyai lima ketul roti dan dua ekor ikan. Perlukah kami pergi dan membeli makanan untuk semua orang itu?” 14 Ada kira-kira 5,000 orang lelaki di situ, jadi Yesus berkata kepada murid-muridnya, “Suruhlah mereka duduk secara berkumpulan, kira-kira 50 orang dalam setiap kumpulan.” 15 Mereka mengikut arahannya dan menyuruh semua orang duduk. 16 Selepas itu, Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu lalu menengadah ke langit dan mengucapkan syukur.* Kemudian, dia membahagikan roti itu dan memberikan roti dan ikan kepada murid-muridnya untuk diedarkan kepada orang ramai. 17 Semua orang makan sampai kenyang dan baki roti yang dikumpulkan oleh mereka telah mengisi 12 buah bakul.+
18 Semasa Yesus sedang berdoa sendirian, murid-muridnya datang kepadanya. Dia bertanya kepada mereka, “Menurut orang ramai, siapakah aku?”+ 19 Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis, yang lain berkata Elia, dan ada juga yang berkata Guru ialah salah seorang nabi dahulukala yang sudah dibangkitkan.”+ 20 Seterusnya dia berkata kepada mereka, “Bagaimana pula dengan kamu? Menurut kamu, siapakah aku?” Petrus menjawab, “Guru ialah Kristus yang diutus oleh Tuhan.”+ 21 Kemudian dia dengan tegas melarang mereka memberitahu sesiapa pun tentang hal itu.+ 22 Dia juga berkata, “Anak Manusia mesti dianiaya dengan teruk. Para pemimpin orang Yahudi, ketua imam, dan jurutulis hukum, tidak akan menerimanya. Dia akan dibunuh,+ tetapi pada hari yang ketiga, dia akan dibangkitkan.”+
23 Kemudian dia berkata kepada semua orang, “Jika sesiapa ingin mengikutku, hendaklah dia menolak kepentingan sendiri,+ memikul tiang seksaannya* setiap hari, dan terus mengikut aku.+ 24 Sesiapa yang ingin menyelamatkan nyawanya akan kehilangan nyawanya, tetapi sesiapa yang kehilangan nyawanya demi aku akan menyelamatkan nyawanya.+ 25 Sesungguhnya, apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia tetapi ditimpa malapetaka atau kehilangan nyawanya?+ 26 Sesiapa yang berasa malu untuk menjadi muridku dan mematuhi kata-kataku, Anak Manusia juga akan berasa malu untuk menerimanya semasa dia datang dengan kemuliaannya, kemuliaan Bapanya, dan kemuliaan para malaikat yang suci.+ 27 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Beberapa orang yang berdiri di sini tidak akan mati selagi mereka tidak melihat Kerajaan Tuhan.”+
28 Kira-kira lapan hari selepas berkata demikian, dia membawa Petrus, Yohanes, dan Yakobus, ke atas sebuah gunung untuk berdoa.+ 29 Ketika dia berdoa, wajahnya berubah dan pakaiannya menjadi putih bersinar-sinar. 30 Tiba-tiba, dua orang lelaki muncul dan berbual-bual dengan Yesus. Mereka ialah Musa dan Elia. 31 Mereka muncul dengan cahaya kemuliaan dan mula berbincang tentang pemergian Yesus yang akan berlaku di Yerusalem.+ 32 Pada masa itu Petrus, Yohanes, dan Yakobus, sudah terlelap. Tetapi apabila mereka terjaga, mereka nampak kemuliaan Yesus+ dan dua orang lelaki yang berdiri bersamanya. 33 Apabila dua orang lelaki itu hendak meninggalkan Yesus, Petrus berkata kepadanya, “Guru, kami berasa sangat gembira kerana dapat berada di sini. Biarlah kami mendirikan tiga buah khemah: Satu untuk Guru, satu untuk Musa, dan satu untuk Elia.” Sebenarnya Petrus tidak tahu apa yang sedang dikatakannya. 34 Semasa dia berkata demikian, sekepul awan terbentuk dan mula meliputi mereka, lalu mereka menjadi takut. 35 Kedengaran suara+ dari awan itu yang berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku pilih.+ Dengarkanlah dia.”+ 36 Ketika mereka mendengar suara itu, mereka nampak Yesus sahaja. Namun, mereka tidak mengatakan apa-apa dan tidak memberitahu sesiapa pun pada masa itu tentang apa yang dilihat oleh mereka.+
37 Keesokan harinya, apabila mereka turun dari gunung, ramai orang datang kepada Yesus.+ 38 Seorang lelaki dalam kalangan mereka berseru, “Guru, tolonglah lihat anakku kerana dia satu-satunya anakku.+ 39 Ada roh jahat yang menguasainya dan membuatnya tiba-tiba berteriak, menggigil, dan terkejang-kejang sehingga mulutnya berbuih. Roh jahat itu menyakiti dia dan tidak mahu melepaskannya. 40 Aku merayu murid-muridmu supaya mengusir roh itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.” 41 Yesus menjawab, “Hai generasi yang tidak beriman dan yang berdosa,+ berapa lamakah aku mesti terus bersama kamu dan bersabar dengan kamu? Bawalah anakmu ke sini.”+ 42 Apabila anak tersebut menghampiri Yesus, roh jahat itu menghempaskan anak itu ke tanah dan membuatnya menggigil sambil terkejang-kejang dengan kuat. Yesus menegur roh jahat itu dan menyembuhkan anak itu, lalu menyerahkannya kepada bapanya. 43 Mereka semua terpegun setelah menyaksikan keagungan kuasa Tuhan.
Sementara mereka masih terhairan-hairan dengan semua perbuatan Yesus, dia berkata kepada murid-muridnya, 44 “Dengarlah baik-baik dan ingatlah kata-kata ini, kerana Anak Manusia akan diserahkan ke dalam tangan musuhnya.”+ 45 Namun, mereka masih tidak memahami kata-katanya, kerana maksudnya sudah dirahsiakan daripada mereka. Mereka juga tidak berani bertanya kepada Yesus tentang maksud kata-kata itu.
46 Kemudian, mereka bertengkar tentang siapa antara mereka yang terbesar.+ 47 Yesus mengetahui isi hati mereka. Maka dia memanggil seorang anak kecil dan menyuruhnya berdiri di sisinya. 48 Kemudian dia berkata kepada mereka, “Sesiapa yang menerima anak kecil ini demi namaku menerima aku, dan sesiapa yang menerima aku juga menerima Dia yang mengutus aku.+ Sesiapa dalam kalangan kamu yang berkelakuan seperti orang yang berkedudukan rendah, dialah yang besar.”+
49 Yohanes pun berkata, “Guru, kami nampak seseorang menggunakan nama Guru untuk mengusir roh jahat. Kami mencuba menghalangnya kerana dia bukan salah seorang daripada kita.”+ 50 Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Janganlah menghalangnya, kerana sesiapa yang tidak melawan kamu sedang berpihak kepada kamu.”
51 Apabila masa untuk Yesus diangkat ke syurga menjelang tiba,+ dia bertekad untuk pergi ke Yerusalem. 52 Maka, dia mengutus beberapa orang muridnya untuk pergi terlebih dahulu. Mereka bertolak dan tiba di sebuah pekan di Samaria untuk membuat persiapan bagi kedatangannya. 53 Namun, orang di situ enggan menyambut Yesus+ kerana dia bertekad untuk pergi ke Yerusalem. 54 Apabila murid-muridnya, iaitu Yakobus dan Yohanes,+ melihat hal ini, mereka berkata, “Adakah Tuan ingin kami menyuruh api turun dari langit dan melenyapkan mereka?”+ 55 Tetapi Yesus berpaling dan menegur mereka berdua. 56 Oleh itu, Yesus dan murid-muridnya pergi ke pekan yang lain.
57 Dalam perjalanan mereka, ada seseorang yang berkata kepada Yesus, “Aku akan mengikut Guru ke mana sahaja Guru pergi.” 58 Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Rubah* mempunyai lubang dan burung di langit mempunyai sarang, tetapi Anak Manusia tidak mempunyai tempat tidur sendiri.”+ 59 Kemudian dia berkata kepada seorang lagi, “Jadilah pengikutku.” Orang itu berkata, “Tuan, izinkanlah aku pergi mengebumikan bapaku terlebih dahulu.”+ 60 Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Biarlah orang mati+ mengebumikan orang mati. Tetapi hendaklah kamu pergi dan mengisytiharkan berita tentang Kerajaan Tuhan di merata tempat.”+ 61 Ada seorang lagi yang berkata, “Aku akan mengikut Tuan, tetapi izinkanlah aku mengucapkan selamat tinggal kepada anggota rumah tanggaku terlebih dahulu.” 62 Yesus berkata kepadanya, “Orang yang memegang bajak tetapi memandang ke belakang+ tidak sesuai untuk memasuki Kerajaan Tuhan.”+