Ayub
10 “Aku membenci hidupku.+
Aku akan meluahkan keresahanku.
Aku akan menyatakan kepahitan jiwaku.
2 Aku akan berkata kepada Tuhan, ‘Janganlah menyatakan aku bersalah.
Beritahulah aku mengapa Engkau melawan aku.
3 Apakah manfaatnya Engkau menindas aku?
Mengapakah Engkau menghina ciptaan-Mu+
Dan berkenan kepada rancangan orang jahat?
4 Adakah Engkau mempunyai mata manusia?
Adakah pandangan-Mu seperti pandangan manusia fana?
5 Adakah hari-hari kehidupan-Mu seperti hari-hari kehidupan manusia?
Adakah tahun-tahun kehidupan-Mu seperti tahun-tahun kehidupan manusia?+
6 Jadi mengapakah Engkau mencari kesalahanku
Dan terus memperhatikan dosaku?+
7 Engkau tahu bahawa aku tidak bersalah;+
Dan tiada sesiapa pun yang dapat menyelamatkan aku daripada tangan-Mu.+
8 Tangan-Mu sendiri yang telah mencipta dan membentuk aku.+
Namun sekarang, Engkau ingin membinasakan aku.
9 Ingatlah bahawa Engkau telah mencipta aku daripada tanah liat.+
Tetapi sekarang, Engkau ingin aku kembali menjadi debu.+
10 Bukankah Engkau telah menempatkan aku di dalam rahim ibuku,
Dan membentuk aku di situ?*
11 Engkau menutupi aku dengan daging dan kulit.
Engkau melengkapi aku dengan tulang dan otot.+
12 Engkau telah mengurniai aku nafas kehidupan dan mengasihi aku dengan setia;
Engkau telah menjaga dan memelihara nyawaku.+
13 Tetapi dengan diam-diam, Engkau merancang untuk menimpakan semua ini kepadaku.
Aku tahu bahawa semua ini datang daripada-Mu.
14 Jika aku berdosa, Engkau akan mengawasi aku,+
Dan Engkau tidak akan mengampunkan kesalahanku.
15 Malanglah aku jika aku bersalah!
Meskipun aku tidak bersalah, aku tidak dapat mengangkat kepala,+
Kerana aku diselubungi kehinaan dan penderitaan.+
16 Jika aku mengangkat kepalaku, Engkau akan memburu aku seperti singa,+
Dan Engkau akan menentang aku dengan kuasa-Mu.
17 Kemurkaan-Mu terhadapku semakin berkobar;
Engkau membawa saksi-saksi baharu untuk menentang aku.
Engkau menimpakan penderitaan demi penderitaan kepadaku.
18 Mengapakah Engkau membiarkan aku keluar dari rahim ibuku?+
Aku sepatutnya mati sebelum dilihat sesiapa pun.
19 Dengan demikian aku seolah-olah tidak pernah dilahirkan,
Kerana dari rahim ibuku, aku akan terus dibawa ke kuburan.’
20 Bukankah hari-hariku hampir berakhir?+ Biarlah Tuhan meninggalkan aku keseorangan;
Biarlah Dia memalingkan pandangan-Nya daripadaku, agar aku mendapat secebis kelegaan,+
21 Kerana tidak lama lagi aku akan pergi dan aku tidak akan kembali.+
Aku akan pergi ke tempat yang gelap-gelita,*+
22 Tempat yang dipenuhi kekacauan dan kesuraman,
Tempat yang diselubungi kegelapan yang pekat.
Di situ, yang terang pun menjadi gelap.”