Yesaya
63 Siapakah Dia yang datang dari Edom,+
Yang datang dari Bozra+ dengan memakai pakaian yang mewah
Dan yang berwarna cerah?*
Siapakah Dia yang melangkah dengan gagah perkasa?
“Akulah Dia! Akulah yang mengatakan apa yang benar,
Dan Akulah yang membawa penyelamatan dengan kuasa-Ku yang besar.”
2 Mengapakah pakaian-Mu semerah itu,
Seperti pakaian orang yang memeras anggur?+
3 “Aku telah memijak-mijak anggur,
Dan tiada seorang pun yang menyertai Aku.
Aku terus menginjak musuh dalam kemurkaan-Ku;
Aku tidak henti-henti memijak mereka dalam kemarahan-Ku.+
Darah mereka terpercik pada pakaian-Ku,
Dan seluruh pakaian-Ku menjadi kotor.
4 Aku telah memilih hari untuk mendatangkan pembalasan,+
Dan tahun untuk menebus umat-Ku sudah tiba.
5 Aku melihat bahawa tiada orang yang tampil untuk membantu Aku,
Dan Aku berasa hairan kerana tiada sesiapa pun yang menyokong Aku.
Maka dengan kuasa-Ku sendiri, Aku mendatangkan penyelamatan,*+
Dan kemurkaan-Ku mendorong Aku untuk bertindak.
6 Aku menginjak-injak semua bangsa dalam kemurkaan-Ku,
Aku membuat mereka mabuk dengan kemarahan-Ku,+
Dan Aku mencurahkan darah mereka ke tanah.”
7 Aku akan menceritakan perbuatan Yehuwa yang mencerminkan kasih setia-Nya,
Dan mengisahkan perbuatan Yehuwa yang patut dipuji,
Kerana Yehuwa telah melakukan banyak perkara bagi kita.+
Dia telah melakukan banyak perkara yang baik bagi orang Israel,
Kerana Dia berbelas kasihan dan mempunyai kasih setia yang besar.
8 Tuhan berfirman, “Mereka ialah umat-Ku dan anak-anak-Ku yang tidak akan mengkhianati-Ku.”+
Maka Tuhan menjadi Penyelamat mereka.+
9 Semasa mereka menderita, Tuhan juga berasa sedih.+
Dia menghantar utusan-Nya* untuk menyelamatkan mereka.+
Kerana kasih dan belas kasihan-Nya, Dia menebus mereka+
Dan mengangkat mereka serta menyokong mereka sepanjang masa itu.+
10 Namun, mereka memberontak terhadap-Nya+ dan menyedihkan kuasa suci-Nya.+
11 Kemudian mereka teringat akan masa lampau,
Iaitu zaman Musa, hamba Tuhan. Mereka bertanya,
“Di manakah Tuhan yang membawa umat-Nya keluar dari laut+ bersama para gembala kawanan-Nya?+
Di manakah Tuhan yang memberikan kuasa suci-Nya kepada Musa?+
12 Di manakah Tuhan yang menyokong tangan kanan Musa dengan tangan-Nya yang perkasa,+
Dan yang membelah air laut di hadapan umat-Nya+
Agar nama-Nya kekal selama-lamanya?+
13 Di manakah Tuhan yang memimpin umat-Nya menyeberangi laut yang bergelora,
Supaya mereka dapat berjalan tanpa tersandung,
Seperti kuda yang berjalan di padang yang luas?*
14 Sebagaimana ternakan dipimpin ke dataran untuk beristirahat,
Demikian juga kuasa suci Yehuwa memberikan ketenteraman kepada umat-Nya.”+
Ya Tuhan, demikianlah caranya Engkau memimpin umat-Mu
15 Pandanglah ke bawah dari syurga,
Dari tempat kediaman-Mu yang suci dan mulia.*
Mengapakah Engkau tidak lagi memperhatikan kami dan menunjukkan kuasa-Mu?
Di manakah belas kasihan dan rahmat-Mu yang melimpah?+
Engkau telah menahan semua itu daripada kami.
16 Engkau ialah Bapa kami.+
Walaupun Abraham mungkin tidak tahu tentang kami,
Dan Israel mungkin tidak mengenal kami,
Engkau, ya Yehuwa, ialah Bapa kami.
Engkau ialah Penebus kami sejak dahulukala.+
17 Ya Yehuwa, mengapakah Engkau membiarkan kami menyimpang daripada haluan-Mu?
Mengapakah Engkau membiarkan hati kami menjadi keras sehingga kami tidak takut kepada-Mu?+
Demi hamba-hamba-Mu, iaitu bangsa yang merupakan milik-Mu,+
Kembalilah kepada kami, ya Tuhan.
18 Umat-Mu yang suci memiliki tanah itu untuk masa yang singkat.
Musuh-musuh kami telah menginjak-injak tempat suci-Mu.+
19 Untuk masa yang lama, kami menjadi seperti orang yang tidak pernah diperintah oleh-Mu,
Dan seperti orang yang tidak pernah menyandang nama-Mu.