LAMPIRAN
Apakah Itu Sheol dan Hades?
DALAM bahasa-bahasa asal, Bible menggunakan perkataan Ibrani sheʼohlʹ dan perkataan Yunani haiʹdes lebih daripada 70 kali. Kedua-dua perkataan ini mempunyai kaitan dengan kematian. Sesetengah Bible menterjemahkan kedua-dua perkataan ini sebagai “kubur,” “dunia orang mati,” “alam maut,” “neraka,” atau “lubang.” Walau bagaimanapun, kebanyakan bahasa tidak mempunyai perbendaharaan kata yang dapat mengungkapkan erti perkataan-perkataan Ibrani dan Yunani ini dengan tepat. Bible bahasa Malaysia menterjemahkan kata-kata ini sebagai “dunia orang mati” atau “alam maut.” Apakah erti sebenar perkataan Ibrani dan Yunani ini? Mari kita perhatikan bagaimana perkataan-perkataan ini digunakan dalam Bible.
Pengkhutbah 9:10 menyatakan, “Di dunia orang mati [sheʼohlʹ] tiada pekerjaan, fikiran, pengetahuan, ataupun hikmat lagi; ke sanalah kamu akan pergi.” Adakah hal ini bererti bahawa Sheol merujuk kepada kubur tertentu, atau tempat di mana kita telah mengebumikan orang yang dikasihi? Tidak. Semasa Bible merujuk kepada tempat perkuburan atau kubur seseorang, perkataan sheʼohlʹ dan haiʹdes tidak digunakan. Sebaliknya, perkataan Ibrani dan Yunani yang lain digunakan. (Matius 28:1) Tambahan juga, Bible tidak menggunakan perkataan “Sheol” untuk merujuk kepada tempat di mana beberapa individu dikebumikan bersama-sama, contohnya, tempat perkuburan sesebuah keluarga atau perkuburan beramai-ramai.—Kejadian 49:29-31.
Maka “Sheol” merujuk kepada tempat yang macam mana? Firman Tuhan menunjukkan bahawa “Sheol” atau “Hades” merujuk kepada sesuatu yang lebih besar daripada tanah perkuburan awam yang luas. Sebagai contoh, ayat di Yesaya 5:14 menyatakan bahawa mulut Sheol (diterjemahkan sebagai “alam maut” dalam Bible bahasa Malaysia) “terbuka lebar-lebar untuk menelan orang.” Walaupun Sheol sudah pun “menelan” banyak orang, Sheol masih tidak mengerti rasa puas dan asyik dalam keadaan yang “lapar.” (Amsal 30:15, 16) Tidak seperti tempat perkuburan harfiah yang mempunyai batas bagi bilangan orang yang boleh dikebumikan, Sheol (diterjemahkan sebagai “dunia orang mati” dalam Bible bahasa Malaysia) “selalu ada tempat.” (Amsal 27:20) Hal ini bermaksud Sheol tidak menjadi puas dan tidak menjadi penuh. Maka, jelaslah bahawa Sheol atau Hades bukanlah suatu tempat harfiah di lokasi tertentu, tetapi merupakan perkuburan umum umat manusia, iaitu tempat kiasan di mana kebanyakan manusia sedang tidur dalam kematian.
Ajaran Bible mengenai pembangkitan membantu kita untuk memahami perkataan “Sheol” dan “Hades” dengan lebih mendalam. Firman Tuhan menggunakan perkataan “Sheol” dan “Hades” semasa membincangkan tentang orang mati yang mempunyai harapan pembangkitan.a (Ayub 14:13; Kisah 2:31; Penyingkapan 20:13) Firman Tuhan juga menunjukkan bahawa mereka yang berada di Sheol atau Hades merangkumi mereka yang menyembah Yehuwa dan mereka yang tidak menyembah Yehuwa. Maka, Bible mengajarkan bahawa “semua orang akan dibangkitkan daripada kematian—orang baik [“adil benar,” NW], mahupun orang jahat [“tidak adil benar,” NW]!”—Kisah 24:15.
a Sebaliknya, orang mati yang tidak akan dibangkitkan tidak berada di Sheol atau Hades, tetapi berada di Gehena (diterjemahkan di dalam Alkitab Berita Baik bahasa Malaysia sebagai “neraka” di Matius 5:30; 10:28; 23:33). Seperti Sheol dan Hades, Gehena bukanlah suatu tempat harfiah.