BAB 17
Dia Mengajar Nikodemus pada Waktu Malam
YESUS BERCAKAP DENGAN NIKODEMUS
ERTI “DILAHIRKAN SEMULA”
Semasa Yesus berada di Yerusalem untuk Perayaan Paska tahun 30 M, dia melakukan mukjizat-mukjizat, dan banyak orang beriman kepadanya. Nikodemus, seorang Farisi dan pemimpin orang Yahudi, ingin tahu lebih banyak tentang Yesus. Tetapi dia takut nama baiknya terjejas jika para pemimpin Yahudi yang lain tahu bahawa dia berjumpa dengan Yesus. Maka dia datang kepada Yesus pada waktu malam.
“Rabbi,” kata Nikodemus, “kami tahu bahawa Rabbi diutus oleh Tuhan sebagai guru, kerana tiada sesiapa pun yang dapat melakukan mukjizat seperti yang Rabbi lakukan kecuali Tuhan menyertainya.” Yesus memberitahu dia bahawa sesiapa yang ingin memasuki Kerajaan Tuhan haruslah “dilahirkan semula.”—Yohanes 3:2, 3.
“Bagaimanakah orang dewasa dapat dilahirkan semula? Dapatkah dia memasuki rahim ibunya buat kali kedua lalu dilahirkan?” tanya Nikodemus.—Yohanes 3:4.
Itu bukan maksud Yesus. Maka dia menjawab, “Tiada sesiapa pun yang dapat memasuki Kerajaan Tuhan kecuali dia dilahirkan daripada air dan kuasa suci Tuhan.” (Yohanes 3:5) Yesus telah “dilahirkan daripada air dan kuasa suci Tuhan” sewaktu dia dibaptis dan kuasa suci Tuhan turun ke atasnya. Bible juga menyatakan bahawa selepas dia dibaptis, ada suara dari langit yang berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya.” (Matius 3:16, 17) Dengan demikian, Tuhan mengumumkan bahawa Yesus ialah anak rohani-Nya yang dapat memasuki Kerajaan-Nya di syurga. Pada Pentakosta 33 M, kuasa suci Tuhan dicurahkan ke atas orang yang telah dibaptis. Maka mereka dilahirkan semula sebagai anak-anak Tuhan yang diurapi kuasa suci-Nya.—Kisah 2:1-4.
Tetapi Nikodemus masih tidak memahami apa yang dikatakan oleh Yesus. Maka Yesus memberikan penjelasan yang lebih lanjut. Dia berkata, “Sepertimana Musa menggantungkan ular pada sebatang tiang di padang belantara, begitu juga Anak Manusia mesti digantungkan, supaya semua orang yang percaya kepadanya boleh mendapat kehidupan kekal.”—Yohanes 3:14, 15.
Pada zaman Musa, orang Israel yang dipatuk ular harus memandang ular tembaga supaya tidak mati. (Bilangan 21:9) Begitu juga, semua manusia perlu beriman terhadap Anak Tuhan supaya mereka bebas daripada cengkaman maut dan memperoleh hidup abadi. Untuk menekankan kasih Tuhan dalam aturan ini, Yesus memberitahu Nikodemus, “Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya, supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.” (Yohanes 3:16) Dengan cara ini, Yesus menunjukkan bahawa dialah penyelamat umat manusia. Hal ini berlaku kira-kira enam bulan selepas dia memulakan kerja penyebarannya.
Kemudian Yesus berkata, “Tuhan tidak mengutus Anak-Nya ke dunia untuk menghakimi dunia.” Hal ini bererti Tuhan tidak mengutus dia untuk menghukum dan memusnahkan umat manusia. Sebaliknya dia diutus “untuk menyelamatkan dunia.”—Yohanes 3:17.
Nikodemus datang kepada Yesus pada waktu malam kerana dia takut. Perhatikan bahawa Yesus mengakhiri perbualan mereka dengan kata-kata yang menarik ini: “Walaupun cahaya [iaitu Yesus, menerusi cara hidup dan ajarannya] telah masuk ke dalam dunia, orang mencintai kegelapan dan bukannya cahaya kerana perbuatan mereka jahat. Itulah sebabnya mereka dihakimi. Sesiapa yang mengamalkan perbuatan keji membenci cahaya dan tidak datang kepada cahaya, supaya perbuatannya tidak didedahkan. Tetapi sesiapa yang melakukan apa yang benar datang kepada cahaya, supaya perbuatannya menunjukkan bahawa dia bertindak selaras dengan kehendak Tuhan.”—Yohanes 3:19-21.
Yesus telah menjelaskan peranannya dalam tujuan Tuhan. Maka sekarang terserah kepada Nikodemus untuk merenungkan apa yang telah didengarinya.