BAB 129
Pilatus Berkata, “Lihatlah Lelaki Ini!”
MATIUS 27:15-17, 20-30 MARKUS 15:6-19 LUKAS 23:18-25 YOHANES 18:39–19:5
PILATUS BERUSAHA MEMBEBASKAN YESUS
ORANG YAHUDI MEMINTA BARABAS DIBEBASKAN
YESUS DIHINA DAN DIDERA
Pilatus berkata kepada orang ramai, “Aku mendapati semua tuduhan yang kamu lontarkan itu tidak berasas. Sebenarnya, Herodes juga mendapati bahawa dia tidak bersalah.” (Lukas 23:14, 15) Tetapi mereka masih mahu membunuh Yesus, jadi dia berkata lagi, “Menurut kebiasaan kamu, aku patut membebaskan seorang lelaki semasa Perayaan Paska. Jadi, adakah kamu mahu aku membebaskan Raja orang Yahudi?”—Yohanes 18:39.
Pilatus tahu bahawa dalam penjara, ada seorang tahanan yang bernama Barabas. Dia seorang perompak, pemberontak, dan pembunuh. Jadi Pilatus bertanya, “Siapakah yang kamu mahu aku bebaskan, Barabas atau Yesus yang digelar Kristus?” Atas hasutan para ketua imam, orang ramai meminta agar Barabas dibebaskan. Pilatus bertanya lagi, “Siapakah antara dua orang ini yang kamu mahu aku bebaskan?” Mereka menjawab, “Barabas”!—Matius 27:17, 21.
Dengan kecewa, Pilatus berkata, “Jika begitu, apakah yang harus aku lakukan terhadap Yesus yang digelar Kristus?” Mereka semua berkata, “Bunuhlah dia pada tiang!” (Matius 27:22) Mereka ingin membunuh Yesus yang tidak bersalah. Pilatus berkata kepada mereka, “Mengapa? Apakah kesalahannya? Aku mendapati bahawa dia tidak melakukan apa-apa kesalahan sehingga patut dihukum mati. Oleh itu, aku akan mencambuk dia lalu membebaskannya.”—Lukas 23:22.
Meskipun Pilatus mencuba berulang kali untuk membebaskan Yesus, orang ramai masih berteriak, “Bunuhlah dia pada tiang!” (Matius 27:23) Para pemimpin agama berjaya menghasut orang ramai sehingga mereka mahu menumpahkan darah orang yang tidak bersalah, dan membebaskan seorang pembunuh. Mereka sudah lupa bahawa lima hari sebelum ini, mereka mengalu-alukan Yesus sebagai raja. Barangkali pengikut Yesus berada di situ pada masa itu, tetapi mereka berdiam diri dan tidak ingin menarik perhatian orang lain.
Pilatus sedar bahawa usahanya bukan sahaja tidak berhasil, malah menimbulkan kekecohan. Maka dia mengambil air lalu membasuh tangannya di hadapan orang ramai sambil berkata, “Aku tidak bertanggungjawab atas kematian lelaki ini. Kamulah yang mesti bertanggungjawab.” Meskipun demikian, mereka masih berdegil dan berkata, “Biarlah kami dan anak-anak kami yang bertanggungjawab atas kematiannya.”—Matius 27:24, 25.
Pilatus lebih ingin menyenangkan hati mereka daripada melakukan apa yang betul. Maka dia menuruti permintaan mereka dan membebaskan Barabas. Kemudian dia menyuruh orang menanggalkan pakaian Yesus dan mencambuknya.
Selepas dicambuk, askar-askar membawa Yesus ke istana Pilatus. Mereka berkumpul di situ dan terus menghina Yesus. Mereka membuat sebuah mahkota daripada duri dan meletakkannya di atas kepala Yesus. Mereka juga meletakkan sebatang kayu di tangan kanannya dan mengenakan jubah yang berwarna ungu padanya, seperti yang dipakai oleh kerabat diraja. Mereka mengejeknya dengan berkata, “Salam sejahtera, hai Raja orang Yahudi!” (Matius 27:28, 29) Kemudian, mereka meludahinya dan menamparnya. Mereka mengambil kayu di tangannya dan mula memukul kepalanya dengan kayu itu, supaya duri pada mahkotanya akan mencucuk kulit kepalanya.
Yesus tetap berdiam diri dan tidak membalas mereka. Sikapnya membuat Pilatus kagum, maka dia menegaskan sekali lagi bahawa dia tidak bertanggungjawab atas apa yang sedang berlaku kepada Yesus. Dia berkata, “Lihatlah! Aku membawa dia keluar, supaya kamu tahu bahawa aku tidak dapat mencari kesalahannya.” Pilatus mungkin berfikir bahawa orang ramai akan berasa kasihan semasa melihat keadaan Yesus yang luka dan berdarah. Jadi apabila Yesus keluar, dia berkata kepada mereka, “Lihatlah lelaki ini!”—Yohanes 19:4, 5.
Meskipun Yesus luka parah, dia tetap berani dan tenang. Kata-kata Pilatus menunjukkan bahawa dia menghormati dan mengasihani Yesus.