BAB 10
“Firman Yehuwa Terus Tersebar”
Petrus diselamatkan, dan penganiayaan gagal menghentikan berita baik daripada disebarkan
Berdasarkan Kisah 12:1-25
1-4. Apakah situasi mencabar yang dihadapi oleh Petrus? Apakah perasaan anda jika anda ialah Petrus?
KEDENGARAN bunyi dentang yang kuat di belakang Petrus. Pintu besi penjara yang besar baru ditutup. Dia terbelenggu dengan dua rantai di antara dua orang askar Roma, dan sedang dibawa menuju ke bilik penjaranya. Di sana, dia harus menunggu selama berjam-jam bahkan mungkin berhari-hari, sebelum mengetahui apa yang akan berlaku kepadanya. Dia hanya dapat melihat dinding penjara, palang pintu, rantai yang membelenggunya, dan pengawal-pengawal.
2 Kemudian, Petrus menerima berita buruk bahawa Raja Herodes Agripa I bertekad untuk melihat dia mati.a Selepas perayaan Paska, Petrus akan dihadapkan kepada orang ramai dan dijatuhkan hukuman mati. Kematiannya akan menjadi seperti hadiah untuk menyenangkan hati mereka. Ini bukanlah ugutan kosong semata-mata. Hal ini kerana tidak lama sebelumnya, Rasul Yakobus pernah dihukum bunuh oleh raja yang sama.
3 Bayangkan apa yang difikirkan Petrus pada malam sebelum dia dihukum mati. Adakah dia teringat semula kata-kata Yesus beberapa tahun lalu bahawa dia akan ditahan dan dibawa ke tempat yang tidak ingin dia pergi lalu dihukum mati? (Yoh. 21:18, 19) Mungkin Petrus tertanya-tanya jika masa itu sudah tiba.
4 Jika anda ialah Petrus, apakah perasaan anda? Banyak orang mungkin tawar hati dan putus harapan. Namun, adakah pengikut Yesus Kristus yang sejati akan hilang harapan? Apakah yang dapat kita pelajari daripada cara Petrus dan rakan Kristiannya yang lain berdepan dengan penganiayaan? Mari kita lihat.
‘Sidang Terus Berdoa dengan Bersungguh-Sungguh’ (Kis. 12:1-5)
5, 6. (a) Mengapakah dan bagaimanakah Raja Herodes Agripa I menyerang sidang Kristian? (b) Mengapakah kematian Yakobus menjadi ujian bagi sidang Kristian?
5 Seperti yang telah kita pelajari dalam bab sebelumnya, Kornelius dan keluarganya yang bukan Yahudi menjadi pemeluk agama Kristian. Hal ini memang suatu perkembangan yang menggembirakan. Namun, orang Yahudi yang tidak menjadi Kristian pasti sangat terkejut selepas mengetahui bahawa banyak orang Kristian Yahudi kini beribadat dengan bebas bersama orang bukan Yahudi.
6 Herodes, seorang ahli politik yang licik, mengambil kesempatan atas situasi ini untuk mengambil hati orang Yahudi. Jadi, dia mula menganiaya orang Kristian. Kemungkinan besar, dia pernah mendengar bahawa Rasul Yakobus sangat rapat dengan Yesus Kristus. Oleh itu, Herodes ‘membunuh Yakobus, iaitu saudara kandung Yohanes, dengan pedang.’ (Kis. 12:2) Hal ini sememangnya ujian yang berat bagi sidang Kristian! Yakobus merupakan salah seorang daripada tiga orang yang menyaksikan rupa Yesus berubah dan juga mukjizat-mukjizat lain yang tidak dilihat oleh para rasul lain. (Mat. 17:1, 2; Mrk. 5:37-42) Yesus memanggil Yakobus dan Yohanes, sebagai “Anak Guruh” kerana semangat mereka yang berkobar-kobar. (Mrk. 3:17) Jadi semasa Yakobus dibunuh, sidang pasti telah kehilangan rasul yang berani, setia, dan yang dikasihi.
7, 8. Apakah reaksi sidang Kristian apabila Petrus dipenjarakan?
7 Seperti yang diharapkan oleh Herodes, orang Yahudi berasa senang hati apabila Yakobus dihukum mati. Maka, ini menguatkan lagi tekadnya dan dia menjadikan Petrus sasarannya yang seterusnya. Seperti yang diceritakan di awal bab ini, Petrus telah ditangkap. Namun, Herodes mungkin ingat bahawa pada masa lalu beberapa orang rasul pernah dibebaskan secara mukjizat dari penjara, seperti yang kita lihat dalam Bab 5 buku ini. Jadi untuk memastikan Petrus tidak terlepas dari penjara, Herodes telah mengarahkan agar Petrus dibelenggu dengan rantai di antara 2 orang askar, dan 16 orang askar ditugaskan untuk bergilir-gilir mengawalnya siang dan malam. Jika Petrus melepaskan diri, askar-askar itu sendiri akan menerima hukuman Petrus. Jadi, dalam situasi yang mencabar ini, apakah yang akan dilakukan oleh rakan seiman Petrus?
8 Sidang tahu apa yang patut mereka lakukan. Kisah 12:5 mengatakan, “Petrus ditahan di penjara. Tetapi sidang terus berdoa kepada Tuhan dengan bersungguh-sungguh untuknya.” Ya, mereka berdoa dengan bersungguh-sungguh dan dengan sepenuh hati untuk saudara yang mereka kasihi ini. Walaupun Yakobus telah dihukum mati, mereka tidak tawar hati atau memandang doa sebagai sesuatu yang sia-sia. Mereka tahu doa sangat penting bagi Yehuwa. Jika doa mereka selaras dengan kehendak-Nya, Dia pasti mengabulkan doa mereka. (Ibr. 13:18, 19; Yak. 5:16) Sememangnya, inilah pengajaran yang patut diingat oleh semua orang Kristian hari ini.
9. Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladan rakan seiman Petrus berkenaan doa?
9 Adakah anda tahu rakan seiman yang sedang menghadapi cabaran? Mereka mungkin menghadapi penganiayaan, larangan daripada kerajaan, atau bencana alam. Ada juga yang mungkin menghadapi cabaran yang tidak begitu ketara, seperti masalah keluarga, perasaan tawar hati, atau cabaran lain yang menguji iman mereka. Jika anda membuat perenungan sebelum berdoa, sudah pasti anda dapat fikirkan sesetengah nama orang yang anda boleh sertakan semasa bercakap kepada “Pendengar doa.” (Mzm. 65:2) Ingatlah, anda sendiri pun perlukan doa daripada saudara saudari semasa anda menghadapi masa yang mencabar. Maka, berdoalah bagi rakan seiman anda.
“Ikutlah Aku” (Kis. 12:6-11)
10, 11. Ceritakan bagaimana malaikat Yehuwa membebaskan Petrus dari penjara.
10 Adakah Petrus berasa risau tentang bahaya yang bakal dihadapinya? Kita tidak pasti. Namun, pada malam terakhirnya di penjara, dia sedang tidur di antara dua orang askar. Lelaki yang setia ini sememangnya yakin bahawa tidak kira apa pun yang berlaku, Yehuwa akan menyertainya. (Rm. 14:7, 8) Tetapi, Petrus pasti tidak menjangkakan peristiwa mengagumkan yang akan berlaku. Tiba-tiba, cahaya bersinar di dalam bilik penjaranya. Malaikat Yehuwa berdiri di situ, tetapi para askar tidak dapat melihat kehadirannya. Kemudian, malaikat itu segera mengejutkan Petrus daripada tidur, dan rantai yang nampaknya mustahil ditanggalkan itu tiba-tiba jatuh dari tangan Petrus!
11 Malaikat itu memberi Petrus beberapa arahan yang jelas: “Cepatlah bangun! . . . Ikatlah pinggangmu dan pakailah kasutmu. . . . Pakailah jubah luarmu.” Petrus pun mentaati arahan itu. Akhirnya, malaikat itu berkata, “Ikutlah aku,” dan Petrus pun berbuat demikian. Mereka meninggalkan bilik penjara itu, berjalan melalui tempat yang dijaga oleh kumpulan askar, dan dengan senyap menuju ke pintu besi yang besar. Namun, bagaimanakah mereka dapat melalui pintu itu? Jika soalan itu terlintas dalam fikiran Petrus, dia bakal mendapat jawapannya. Apabila mereka menghampiri pintu itu, “pintu itu terbuka dengan sendiri.” Dalam masa yang singkat, mereka keluar dari sana dan berjalan melalui satu lorong. Kemudian, malaikat itu meninggalkannya. Pada masa itu, barulah Petrus menyedari apa yang sedang berlaku. Ini bukan penglihatan. Sebaliknya, dia sudah dibebaskan!—Kis. 12:7-11.
12. Mengapakah kita boleh mendapat kelegaan dengan merenungkan cara Yehuwa membebaskan Petrus?
12 Tidakkah kita dilegakan apabila merenungkan kuasa Yehuwa yang tidak terbatas untuk menyelamatkan umat-Nya? Bayangkan, Petrus ditahan oleh seorang raja yang mendapat sokongan daripada kerajaan yang paling berkuasa pada zaman itu. Namun, Petrus dengan mudah dapat keluar dari penjara! Memang, Yehuwa tidak melakukan mukjizat yang serupa untuk semua hamba-Nya. Contohnya, Dia tidak menyelamatkan Yakobus secara mukjizat, begitu juga semasa Petrus ditangkap pada kemudian hari, iaitu apabila nubuat Yesus mengenai rasul ini akhirnya menjadi kenyataan. Hari ini, orang Kristian tidak mengharapkan mereka akan diselamatkan secara mukjizat. Namun, ingatlah bahawa Yehuwa tidak berubah. (Mal. 3:6) Tidak lama lagi, Dia juga akan menggunakan Anak-Nya untuk membebaskan jutaan orang dari penjara yang paling ketat, iaitu kematian. (Yoh. 5:28, 29) Sesungguhnya, janji-janji sebegini memberi kita keberanian semasa kita menghadapi cabaran.
‘Mereka Melihatnya dan Berasa Hairan’ (Kis. 12:12-17)
13-15. (a) Apakah reaksi ahli sidang yang berkumpul di rumah Maria apabila Petrus tiba di sana? (b) Buku Kisah kemudiannya bertumpu kepada apa? Apakah yang terus dilakukan oleh Petrus untuk rakan seimannya?
13 Petrus berdiri di jalan yang gelap itu, dan berfikir ke mana dia harus pergi. Kemudian, dia teringat berdekatan kawasan itu ada seorang wanita Kristian yang bernama Maria. Nampaknya, Maria ialah seorang balu yang agak kaya kerana dia mempunyai sebuah rumah yang cukup besar untuk menampung sebuah sidang. Dia ialah ibu kepada Yohanes yang dipanggil Markus. Inilah kali pertama Markus disebut dalam buku Kisah, dan dialah yang belakangan menjadi seperti seorang anak kepada Petrus. (1 Ptr. 5:13) Pada malam itu, banyak ahli sidang berkumpul di rumah Maria untuk berdoa walaupun hari sudah sangat lewat. Sudah pasti mereka berdoa agar Petrus dibebaskan. Namun, mereka tidak menjangkakan bagaimana Yehuwa akan menjawab doa mereka!
14 Petrus mengetuk pintu pagar yang menuju ke halaman luar rumah. Kemudian, seorang hamba perempuan yang bernama Rode, nama yang biasa dalam bahasa Yunani yang bererti “Ros,” datang ke pintu. Dia tidak percaya apa yang didengarinya. Itu ialah suara Petrus! Namun kerana terlalu teruja, gadis itu tidak membuka pintu dan membiarkan Petrus berdiri di luar. Dia lari masuk ke dalam rumah dan cuba meyakinkan ahli sidang bahawa Petrus ada di luar, tetapi mereka berkata dia sudah gila. Dia bukanlah seorang yang mudah mengalah, maka dia terus berkeras bahawa apa yang didengarinya itu betul. Sesetengah orang di situ berkata bahawa mungkin itu ialah malaikat yang mewakili Petrus. (Kis. 12:12-15) Sementara itu, Petrus terus mengetuk pintu, dan akhirnya mereka keluar dan membuka pintu.
15 Di pintu pagar, ‘mereka melihat Petrus dan berasa hairan’! (Kis. 12:16) Mereka terlalu gembira sehingga Petrus harus menyuruh mereka bertenang supaya dia dapat menceritakan apa yang berlaku. Dia juga meminta mereka melaporkan hal-hal ini kepada murid yang bernama Yakobus dan saudara-saudara yang lain. Kemudian, sebelum askar Herodes dapat menjumpainya, dia meninggalkan rumah itu. Petrus kemudiannya pergi ke tempat yang lebih selamat untuk meneruskan khidmatnya. Selain daripada peristiwa di Kisah bab 15 tentang isu sunat, Petrus tidak lagi disebut dalam buku Kisah. Buku Kisah kemudiannya bertumpu kepada tugas dan perjalanan Rasul Paulus. Namun, kita dapat yakin bahawa Petrus menguatkan iman saudara saudarinya tidak kira di mana pun dia pergi. Apabila dia meninggalkan rumah Maria, semua orang yang berada di situ pasti sudah digalakkan dan penuh dengan sukacita.
16. Mengapakah kita akan menikmati banyak sukacita pada masa depan?
16 Ada kalanya, Yehuwa memberi hamba-Nya lebih daripada apa yang mereka harapkan, dan hal itu membuat mereka merasai sukacita yang tidak terhingga. Itulah perasaan rakan seiman Petrus pada malam itu. Hari ini, ada kalanya kita juga merasai sukacita yang sama apabila kita menikmati berkat Yehuwa yang melimpah. (Ams. 10:22) Pada masa depan, kita akan melihat semua janji Yehuwa ditunaikan dalam skala yang besar di seluas dunia. Apa yang akan kita nikmati pada masa itu pasti di luar jangkaan kita. Maka, selagi kita tetap setia kepada Yehuwa, kita dapat menantikan banyak hal yang membawa sukacita.
“Malaikat Yehuwa Menyebabkan Herodes Diserang Penyakit” (Kis. 12:18-25)
17, 18. Apakah peristiwa yang membuat Herodes disanjung?
17 Herodes pasti terkejut dan tidak gembira apabila mendengar berita bahawa Petrus telah melepaskan diri. Dengan segera, dia mengarahkan agar Petrus dicari dengan teliti, dan dia juga menyoal para pengawal Petrus. Kemudian, dia memerintahkan agar mereka “dibawa untuk dihukum,” kemungkinan besar untuk dibunuh. (Kis. 12:19) Sememangnya, Herodes Agripa bukanlah seorang lelaki yang berbelas kasihan. Sampai bilakah lelaki yang kejam ini dapat mengelak daripada dihukum?
18 Herodes mungkin rasa malu kerana dia gagal membunuh Petrus. Tetapi tidak lama kemudian, dia menunjukkan semula sikapnya yang sombong. Dalam satu perhimpunan bersama musuh-musuh yang ingin berdamai dengannya, Herodes pasti tidak sabar-sabar untuk memberikan ucapan di hadapan orang ramai. Lukas melaporkan bahawa “Herodes mengenakan pakaian kebesarannya.” Menurut sejarawan Yahudi bernama Josephus, pakaian kebesaran Herodes diperbuat daripada perak, dan apabila cahaya memancar pada raja itu, dia kelihatan berkilau-kilauan seperti penuh dengan kemuliaan. Kemudian, pemimpin yang bongkak itu memberikan ucapan, lalu orang ramai berseru, “Ini suara tuhan, bukan suara manusia!”—Kis. 12:20-22.
19, 20. (a) Mengapakah Yehuwa menghukum Herodes? (b) Mengapakah kita dilegakan apabila mengkaji kisah Herodes Agripa yang dihukum mati?
19 Kemuliaan itu milik Tuhan, dan Tuhan sedang melihat perbuatannya! Herodes ada peluang untuk mengelakkan musibah. Dia boleh menegur orang ramai atau sekurang-kurangnya tidak menyetujui mereka. Sebaliknya, kisah ini menunjukkan betapa benarnya kata-kata Amsal berikut: “Kesombongan mengakibatkan kemusnahan.” (Ams. 16:18) “Dengan serta-merta, malaikat Yehuwa menyebabkan Herodes diserang penyakit,” dan lelaki yang sombong ini mati dalam cara yang menjijikkan. Herodes “dimakan ulat lalu meninggal.” (Kis. 12:23) Josephus juga menyatakan bahawa Herodes tiba-tiba jatuh sakit, dan bahawa raja itu menyimpulkan dia sedang nazak kerana menerima pujian daripada orang ramai. Menurut catatan Josephus, Herodes sakit selama lima hari sebelum dia mati.b
20 Kadangkala orang jahat nampaknya terlepas daripada hukuman. Hal ini tidak menghairankan kerana “seluruh dunia berada di bawah kuasa Si Jahat.” (1 Yoh. 5:19) Namun, hamba Tuhan yang setia mungkin berasa kecewa apabila orang jahat tidak dihukum. Itulah sebabnya kisah Bible sebegini membawa kelegaan. Kita dapat lihat bahawa Yehuwa mengambil tindakan, dan mengingatkan semua hamba-Nya bahawa Dia mencintai keadilan. (Mzm. 33:5) Cepat atau lambat, keadilan-Nya pasti ditegakkan.
21. Apakah fokus utama Kisah bab 12? Mengapakah hal itu melegakan kita?
21 Kisah ini diakhiri dengan pengajaran yang lebih menggalakkan kita, iaitu “firman Yehuwa terus tersebar dan semakin ramai orang yang menjadi murid Yesus.” (Kis. 12:24) Laporan tentang kemajuan kerja penyebaran dapat mengingatkan kita cara Yehuwa memberkati kerja yang sama pada zaman moden. Jelaslah, catatan di Kisah bab 12 tidak hanya berfokus tentang seorang rasul yang mati dan seorang lagi yang terselamat. Sebaliknya, catatan ini berfokus tentang Yehuwa dan bagaimana Dia menggagalkan usaha Syaitan untuk menghancurkan sidang Kristian dan menghentikan kerja penyebaran. Semua serangan Syaitan itu gagal, dan pasti semua rancangan jahat yang serupa tidak akan berjaya. (Yes. 54:17) Sebaliknya, orang yang berpihak kepada Yehuwa dan Yesus Kristus sedang mengambil bahagian dalam kerja yang tidak akan gagal. Tidakkah kita digalakkan? Sememangnya, kita mempunyai penghormatan besar untuk menyebarkan “firman Yehuwa” hari ini!
a Lihat kotak “Raja Herodes Agripa I.”
b Seorang penulis, yang juga merupakan seorang doktor, menyatakan bahawa gejala-gejala yang disebut oleh Josephus dan Lukas mungkin disebabkan oleh cacing gelang. Cacing ini boleh membawa maut kerana menyebabkan saluran usus tersumbat. Ada kalanya cacing gelang dimuntahkan, atau keluar dari tubuh pesakit selepas orang itu mati. Menurut sumber rujukan, “Sebagai seorang doktor, catatan Lukas yang tepat menggambarkan betapa mengerikan kematian [Herodes].”