CERITA 67
Tembok Yerusalem
Sekarang, mari kita kembali ke masa sebelum tembok Yerusalem selesai dibina semula. Di kota Susan di Persia, ada seorang lelaki Yahudi yang bernama Nehemia. Dia bekerja untuk Raja Artahsasta. Pada suatu hari, saudaranya dari Yehuda memberitahunya, “Orang di Yerusalem berada dalam keadaan bahaya. Pintu dan tembok kota yang dimusnahkan orang Babilon belum dibina semula.” Nehemia sangat sedih. Jadi, dia berdoa agar raja membenarkannya untuk membantu orang di Yerusalem.
Apabila raja melihat Nehemia, dia berkata, “Beta tidak pernah nampak kamu begini. Apa yang berlaku?” Nehemia berkata, “Tuanku, saya sedih kerana kota saya dalam keadaan yang teruk.” Raja bertanya, “Apa yang boleh beta lakukan?” Nehemia segera berdoa dalam hati lalu menjawab, “Izinkan saya pergi untuk membina semula tembok Yerusalem.” Raja bersetuju dan melantik Nehemia sebagai pemimpin Yehuda. Dia juga memastikan agar Nehemia dilindungi sepanjang perjalanannya dan memberinya kayu untuk membina pintu kota itu.
Setibanya di Yerusalem, Nehemia memeriksa tembok kota. Kemudian, dia berkata kepada para imam dan pemimpin kota, “Keadaan kita sangat teruk. Kita harus mulakan pembinaan sekarang.” Mereka setuju dan mula bekerja dengan segera.
Tetapi, musuh-musuh mengejek mereka dan berkata, “Seekor rubah pun dapat robohkan tembok ini!” Para pekerja tidak peduli akan mereka dan terus bekerja. Tembok kota menjadi semakin tinggi dan teguh.
Kemudian, para musuh merancang untuk menyerang secara tiba-tiba dari arah yang berlainan. Apabila orang Yahudi mengetahui rancangan ini, mereka ketakutan. Tetapi Nehemia berkata, “Jangan takut! Yehuwa ada bersama kita.” Selepas itu, dia menyuruh para pengawal untuk melindungi pekerja yang membina tembok. Akhirnya, musuh tidak dapat menyerang mereka.
Dalam masa 52 hari, pintu dan tembok kota selesai dibina. Nehemia membawa semua orang Lewi ke Yerusalem untuk meraikan peristiwa yang menggembirakan itu. Dia membahagikan mereka kepada dua kumpulan. Satu kumpulan diketuai oleh Ezra, manakala yang satu lagi diketuai oleh Nehemia. Kemudian, dua kumpulan itu menaiki tangga di Pintu Gerbang Mata Air. Satu kumpulan pergi ke arah kiri dan yang satu lagi ke arah kanan. Mereka bernyanyi kepada Yehuwa sambil diiringi trompet, simbal, dan kecapi. Akhirnya, mereka bertemu di Rumah Tuhan. Semua lelaki, wanita, dan kanak-kanak, memberikan korban kepada Yehuwa. Perayaan itu begitu meriah sehingga kedengaran di tempat yang jauh.
“Semua senjata yang dihasilkan untuk melawanmu akan menjadi tidak berguna.”—Yesaya 54:17