11 MUSA
“Pergilah Menghadap Firaun”
MUSA telah banyak berubah. Bertahun-tahun telah berlalu sejak dia meninggalkan Mesir. Nampaknya, dia tidak lagi berfikir bahawa dialah yang akan digunakan oleh Yehuwa untuk membebaskan orang Israel daripada perhambaan di Mesir. Pada masa itu, Musa berumur kira-kira 80 tahun. Dia telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak lelaki. Sepanjang 40 tahun, dia telah belajar memupuk kerendahan hati semasa dia menggembala ternakan bapa mentuanya dalam cuaca yang panas di tanah yang kering, iaitu tempat orang Midian tinggal.
Yehuwa nampak bahawa Musa telah berubah. Pada suatu hari, Yehuwa menyebabkan nyala api keluar dari pokok kecil di kaki Gunung Horeb (Sinai), tetapi pokok itu tidak terbakar. Apabila Musa menghampiri pokok itu, Yehuwa bercakap kepadanya dari api itu melalui satu malaikat yang perkasa. Tuhan menyuruh Musa untuk kembali ke Mesir dan memimpin umat-Nya keluar dari sana! Untuk menggalakkan Musa, Tuhan menyingkapkan suatu aspek daripada maksud nama-Nya yang suci, iaitu Yehuwa, dengan berkata, “Aku Akan Menjadi Apa Pun Yang Aku Inginkan.” Maka Yehuwa dapat menjadi Penyelamat bagi umat-Nya yang ditindas dan dapat melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk membebaskan mereka dan menjadikan mereka satu bangsa yang kuat.
Namun, Musa masih ragu-ragu. Dia rasa belum bersedia untuk memimpin umat Tuhan dan bercakap kepada Firaun di Mesir. Yehuwa membetulkannya dan meneguhkan imannya dengan melakukan sesuatu yang menakjubkan. Yehuwa memberi Musa kuasa untuk melakukan mukjizat. Ini merupakan catatan pertama dalam Bible bahawa Yehuwa memberi seorang manusia kuasa ini. Selain itu, Dia memberi Musa seorang penolong dan jurucakap, iaitu abangnya Harun. Akhirnya, Musa menerima tugas untuk menjadi orang yang dipilih dan diurapi oleh Yehuwa untuk menyelamatkan orang Israel.—Ibr. 11:26.
Musa pun kembali ke Mesir bersama Harun dan menghadap Firaun. Namun, Firaun berasa sangat marah apabila dia mendengar mesej mereka. Daripada membebaskan orang Israel, Firaun memerintahkan hamba-hamba itu untuk bekerja lebih keras! Kemudian, Yehuwa mengutus Musa untuk kembali kepada Firaun dan mengumumkan tulah pertama yang akan menimpa Mesir. Itulah yang berlaku! Air Sungai Nil berubah menjadi darah. Namun Firaun masih tidak berganjak. Maka Yehuwa berulang kali mengutus Musa untuk menghadap Firaun. Setiap kali Musa berbuat demikian, dia dengan berani memberitahu Firaun tentang bagaimana Yehuwa akan menghukum Mesir. Namun pemerintah yang angkuh itu enggan mendengar.
Setiap tulah menunjukkan dengan jelas bahawa dewa-dewa orang Mesir, para tukang sihir, dan bahkan Firaun tidak berkuasa. Bermula dengan tulah keempat, Yehuwa melindungi umat-Nya dan hanya orang Mesir yang menderita. Tetapi, Firaun masih berkeras hati dan enggan membebaskan hamba-hambanya. Semasa tulah yang kesembilan, kegelapan yang sangat pekat menyelubungi seluruh Mesir, namun tempat tinggal orang Israel tetap terang. Firaun bersetuju untuk membebaskan hamba-hamba itu. Kemudian, dia ubah lagi fikirannya. Dia memberikan amaran bahawa jika Musa kembali lagi untuk menghadapnya, Musa akan mati.
Walaupun hal itu membuat Firaun marah, Musa berulang kali menghadapnya untuk menyampaikan mesej Yehuwa
Kemudian, tulah terakhir menimpa Mesir. Yehuwa membunuh setiap anak sulung di seluruh Mesir dan semua anak sulung binatang pun dibunuh. Putera Firaun juga mati dibunuh. Firaun berasa malu dan memanggil Musa. Maka Yehuwa mengutus Musa untuk menghadap Firaun buat kali terakhir dan Musa pun berbuat demikian. Firaun membebaskan orang Israel dan meminta Musa untuk memohon berkat baginya. Akhirnya, orang Israel meninggalkan Mesir, iaitu genap 430 tahun selepas Abraham mula masuk ke Tanah yang Dijanjikan. Mereka tidak lagi menjadi hamba dan meninggalkan Mesir bersama “sekumpulan besar orang daripada bangsa-bangsa lain,” yang kebanyakannya mungkin merupakan orang Mesir. Selepas itu, Firaun mengubah lagi fikirannya. Dia mengumpulkan tenteranya yang besar dan mengejar orang Israel!
Musa dan orang Israel tiba di persisiran pantai Laut Merah. Mereka rasa sangat takut kerana nampaknya tiada jalan keluar untuk mereka. Maka, Musa berseru kepada Yehuwa untuk memohon bantuan. Yehuwa menjawab seruannya dengan melakukan salah satu mukjizat yang paling menakjubkan dalam sejarah. Dia membelah Laut Merah sehingga orang Israel dapat menyeberangi laut itu di atas tanah yang kering. Apabila Firaun melihat bahawa orang Israel melarikan diri, dia dan seluruh tenteranya mengejar mereka. Namun, apabila orang Israel selamat menyeberangi laut itu, Yehuwa menyebabkan air laut jatuh menimpa orang Mesir sehingga mereka lemas. Ya, tentera yang paling kuat di dunia pada masa itu telah lenyap!
Musa tidak akan melupakan peristiwa yang menakjubkan itu. Imannya menjadi semakin teguh. Selama 40 tahun yang seterusnya, dia telah memimpin dan menjaga umat Tuhan. Dia meninggal semasa berumur 120 tahun. Musa telah menunjukkan iman, kasih, dan keberanian yang dapat kita tiru.
Baca kisah Bible:
Untuk perbincangan:
Bagaimanakah Musa menunjukkan keberanian dalam kisah ini?
Kajilah
1. Kita tidak tahu nama Firaun yang memerintah pada masa itu, dan catatan Mesir tentang orang Israel meninggalkan Mesir belum ditemui. Namun, mengapakah kita dapat percaya kisah Bible ini? (g04 8/4 7 ¶4–9 ¶1-wcgr)
2. Mengapakah orang takut akan Firaun? (w14 15/4 8 ¶1) A
PRISMA ARCHIVO/Alamy Stock Photo
Gambar A: Ukiran kuno seorang Firaun pada dinding
3. Bagaimanakah Sepuluh Tulah menunjukkan bahawa dewa-dewa orang Mesir tidak berguna? (it “Dewa dan Dewi” ¶24-26-wcgr)
4. Apakah yang menunjukkan bahawa Yehuwa membuka jalan yang luas di Laut Merah, dan berapa banyak orang Israel yang mungkin menyeberangi laut itu? (it “Keluaran” ¶46-51-wcgr) B
Gambar B :Pemandangan Laut Merah dari persisiran Semenanjung Sinai, kemungkinan besar merupakan tempat orang Israel menyeberangi laut
Fikirkan Pengajarannya
Bagaimanakah teladan Musa dapat menggalakkan kita semasa kita rasa tidak layak untuk melaksanakan tugas daripada Yehuwa? (Kel. 4:10; 7:6, 7)
Sepertimana Harun membantu Musa melaksanakan tugasnya dengan berani, bagaimanakah kita dapat membantu saudara saudari kita hari ini? (Kel. 4:14-16) C
Gambar C
Bagaimanakah anda dapat meniru keberanian Musa dalam kisah ini?
Renungkan Secara Menyeluruh
Apakah yang saya belajar tentang Yehuwa daripada kisah ini?
Bagaimanakah kisah ini berkaitan dengan tujuan Yehuwa?
Selepas Yehuwa membangkitkan Musa, apakah yang saya ingin tanya kepadanya tentang kisah ini?
Belajar Lebih Banyak
Perhatikan bagaimana maksud nama Yehuwa dapat membantu anak-anak untuk menjadi berani.
Apakah yang Musa belajar tentang sifat-sifat Yehuwa daripada pengalamannya?