“Hakim bagi Seluruh Bumi” Sentiasa Adil
‘Yehuwa pembela kamu yang perkasa, Dia sempurna dan adil dalam segala perkara.’—UL. 32:4.
1. Bagaimanakah Abraham menunjukkan keyakinannya bahawa Yehuwa sentiasa adil? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
“HAKIM bagi seluruh bumi tentu bertindak dengan adil.” (Kej. 18:25) Kata-kata itu mencerminkan keyakinan Abraham bahawa Yehuwa akan menghakimi kota Sodom dan Gomora dengan adil. Bagi Abraham, Yehuwa tidak mungkin “membunuh orang yang tidak bersalah bersama dengan orang yang bersalah.” Kira-kira 400 tahun kemudian, Yehuwa menyuruh Musa untuk menulis bahawa Dia “sempurna dan adil dalam segala perkara” dan “Dia melakukan yang baik dan yang benar.” Sesungguhnya, “tidak ada kecurangan pada-Nya.”—Ul. 31:19; 32:4.
2. Mengapakah mustahil bagi Yehuwa untuk bertindak dengan tidak adil?
2 Mengapakah Abraham begitu yakin bahawa penghakiman Yehuwa sentiasa adil? Kerana Yehuwa memberikan teladan yang terunggul dari segi keadilan dan kebenaran. Dalam Kitab Ibrani, perkataan “adil” dan “benar” sering muncul bersama-sama kerana maksud dua perkataan itu sangat dekat. Memandangkan Yehuwa menetapkan piawaian yang tertinggi dalam soal keadilan, keputusan dan penghakiman-Nya pasti sentiasa adil. Tambahan pula, firman-Nya menyatakan bahawa ‘Yehuwa mengasihi keadilan.’—Mzm. 33:5.
3. Berikan contoh ketidakadilan dalam dunia ini.
3 Yehuwa sentiasa berlaku adil. Hal ini amat melegakan terutamanya kerana dunia ini penuh dengan ketidakadilan. Contohnya, ramai orang yang tidak bersalah telah dipenjarakan dan dibebaskan puluhan tahun kemudian apabila bukti DNA dikemukakan. Kejadian yang tidak adil itu pasti membuat orang sedih, marah, dan kecewa. Namun bagi orang Kristian, terdapat satu lagi bentuk ketidakadilan yang mungkin lebih mencabar lagi.
DALAM SIDANG
4. Apakah situasi yang mungkin menguji iman orang Kristian?
4 Orang Kristian memang menjangkakan bahawa mereka akan mengalami ketidakadilan di luar sidang. Namun, ketidakadilan yang terjadi dalam sidang boleh menguji iman kita. Jika anda nampak atau mengalami peristiwa yang tidak adil dalam sidang, apakah reaksi anda? Adakah anda akan tersandung kerana masalah yang terjadi antara anda dengan rakan seiman?
5. Mengapakah orang Kristian tidak patut hairan semasa nampak atau mengalami ketidakadilan dalam sidang?
5 Kita tidak sempurna dan cenderung berdosa. Maka janganlah hairan jika ada kalanya kita menjadi mangsa atau punca ketidakadilan dalam sidang. (1 Yoh 1:8) Orang Kristian yang setia tidak membiarkan peristiwa sedemikian membuat mereka tersandung. Biarpun kita dilukai oleh saudara saudari kita, nasihat Yehuwa yang tercatat dalam Bible akan membantu kita agar tetap setia.—Mzm. 55:13-15.
6, 7. Apakah ketidakadilan yang dihadapi oleh seorang saudara? Bagaimanakah dia berjaya menghadapi situasi itu?
6 Fikirkan contoh Saudara Willi Diehl. Dia berkhidmat di Bethel di Bern, Switzerland, sejak tahun 1931, dan telah menghadiri Sekolah Latihan Gilead di New York, A.S., pada tahun 1946. Kemudian dia ditugaskan sebagai penyelia litar di Switzerland. Pada Mei 1949, Saudara Diehl memberitahu pejabat cawangan di Bern bahawa dia merancang untuk berkahwin. Apakah yang berlaku kemudian? Pejabat cawangan memberitahunya bahawa dia tidak lagi diberi apa-apa tugas istimewa kecuali khidmat perintis biasa. Saudara Diehl berkata, “Saya tidak dibenarkan menyampaikan ceramah . . . Banyak orang tidak lagi bertegur sapa dengan kami, seolah-olah kami telah disingkirkan.”
7 Apakah reaksi Saudara Diehl? Dia berkata, “Kami tahu bahawa berkahwin bukanlah perbuatan yang salah, maka kami berdoa kepada Yehuwa dan tetap yakin akan perlindungan-Nya.” Akhirnya, pandangan sesetengah saudara tentang perkahwinan telah dibetulkan, dan Saudara Diehl telah menerima semula tugas-tugas istimewanya yang dahulu. Dia diberkati kerana tetap setia kepada Yehuwa.a Kita patut bertanya, “Jika saya diperlakukan dengan cara sedemikian, adakah saya akan menantikan Yehuwa dengan sabar, atau adakah saya akan menggunakan cara sendiri untuk menegakkan keadilan?”—Ams. 11:2; baca Mikha 7:7.
8. Sebelum menyimpulkan bahawa kita sendiri atau orang lain ialah mangsa ketidakadilan, kita harus ingat akan apa?
8 Sebelum menyimpulkan bahawa kita sendiri atau ahli sidang yang lain ialah mangsa ketidakadilan, ingatlah bahawa pandangan kita tidak sempurna, dan maklumat yang kita ketahui juga mungkin tidak lengkap. Tidak kira peristiwa itu benar-benar berlaku atau hanyalah salah faham, teruslah berdoa kepada Yehuwa, bergantung pada-Nya, dan tetap setia kepada-Nya. Dengan itu, kita tidak akan menjadi marah lalu ‘menyalahkan Yehuwa.’—Baca Amsal 19:3.
9. Contoh-contoh siapakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini dan rencana seterusnya?
9 Mari kita fikirkan tiga peristiwa yang berlaku pada zaman Bible. Rencana ini akan membincangkan contoh Yusuf, iaitu cicit Abraham, dan bagaimana abang-abangnya melayannya dengan tidak adil. Rencana seterusnya akan membincangkan bagaimana Yehuwa melayan Raja Ahab, dan mengupas pengalaman Rasul Petrus semasa di Antiokhia, Siria. Semasa membincangkan contoh-contoh itu, carilah iktibar yang akan membantu kita bertumpu kepada Yehuwa dan memelihara hubungan yang baik dengan-Nya, terutamanya semasa kita berasa bahawa kita dilayan dengan tidak adil.
YUSUF—MANGSA KETIDAKADILAN
10, 11. (a) Apakah ketidakadilan yang dihadapi Yusuf? (b) Semasa Yusuf dipenjarakan, dia berpeluang berbuat apa?
10 Yusuf ialah hamba Yehuwa yang setia, tetapi dia dilayan dengan buruk, bukan sahaja oleh orang asing, tetapi juga oleh abang-abang kandungnya. Semasa dia remaja, abang-abangnya menculiknya lalu menjualnya sebagai hamba abdi. Hal itu pasti membuatnya hancur hati. (Kej. 37:23-28; 42:21) Kemudian, semasa di Mesir, dia dituduh mencuba merogol dan dilemparkan ke dalam penjara tanpa perbicaraan. (Kej. 39:17-20) Dia menderita sebagai hamba dan banduan untuk kira-kira 13 tahun. Apakah pengajaran daripada pengalaman Yusuf yang dapat membantu kita jika rakan seiman memperlakukan kita dengan tidak adil?
11 Beberapa lama kemudian, Yusuf berpeluang menceritakan kisahnya kepada seorang banduan. Orang itu merupakan bekas pengurus minuman Firaun. Semasa mereka dipenjarakan bersama-sama, Tuhan telah memberi Yusuf kebolehan untuk mentafsirkan mimpi pengurus minuman itu. Setelah memberitahu pengurus minuman itu bahawa jawatannya di istana raja akan dikembalikan, Yusuf juga memberitahunya tentang ketidakadilan yang menimpa dirinya. Cara Yusuf bercakap—apa yang disebutnya dan apa yang tidak disebutnya—mengandungi pengajaran yang berharga bagi kita.—Kej. 40:5-13.
12, 13. (a) Bagaimanakah kata-kata Yusuf menunjukkan bahawa dia masih ingin membaiki situasi yang dihadapinya? (b) Apakah yang tidak diberitahukan oleh Yusuf kepada pengurus minuman itu?
12 Baca Kejadian 40:14, 15. Kata-kata Yusuf menunjukkan bahawa dia ialah mangsa ketidakadilan. Dia berkata bahawa dia “diculik,” dan dalam bahasa asal, perkataan itu juga bermaksud “dicuri.” Dia juga menyatakan bahawa dia tidak pernah melakukan apa-apa kejahatan sehingga patut dipenjarakan. Itulah sebabnya dia meminta pengurus minuman itu untuk menyampaikan masalahnya kepada Firaun. Apakah tujuannya? “Supaya [dia] dibebaskan dari penjara ini.”
13 Adakah Yusuf berserah sahaja dan tidak melakukan apa-apa untuk membaiki situasi yang dihadapinya? Sudah pasti tidak. Dia sedar bahawa dia mengalami banyak ketidakadilan. Maka dia menjelaskan keadaannya kepada pengurus minuman itu dan berharap agar orang itu dapat membantunya. Namun, perhatikan bahawa Yusuf tidak pernah memberitahu sesiapa pun, bahkan Firaun, bahawa abang-abangnya telah menculiknya. Semasa saudara-saudara Yusuf datang ke Mesir dan berdamai semula dengannya, Firaun menyambut mereka dengan ramah dan menawarkan kawasan “yang terbaik di seluruh Mesir” sebagai tempat kediaman mereka.—Kej. 45:16-20.
14. Apakah yang akan membantu kita menghindari percakapan yang buruk?
14 Jika kita berasa bahawa kita ialah mangsa ketidakadilan, berwaspadalah agar tidak menjadikan masalah kita sebagai bahan gosip. Sudah tentu, jika salah seorang anggota sidang terbabit dalam salah laku yang serius, kita patut memberitahu para penatua dan mendapatkan bantuan mereka. (Im. 5:1) Namun, jika apa yang terjadi bukanlah salah laku yang serius, hendaklah kita bertindak selaras dengan prinsip-prinsip Bible dan menyelesaikan masalah itu tanpa melibatkan pihak lain, termasuk para penatua. (Baca Matius 5:23, 24; 18:15.) Usaha sedemikian menunjukkan bahawa kita ingin setia kepada Tuhan. Kadangkala, kita mungkin sedar pada akhirnya bahawa “masalah” itu hanyalah salah faham. Pada masa itu, kita pasti bersyukur kerana tidak memburuk-burukkan rakan seiman kita. Ingatlah, tidak kira kita berada di pihak yang betul atau salah, percakapan yang buruk hanya akan mengeruhkan keadaan. Pemazmur menulis bahawa “orang yang hidup tanpa cela . . . tidak memfitnah orang lain, tidak berbuat salah terhadap sahabat, dan tidak memburuk-burukkan nama jiran.” (Mzm. 15:2, 3; Yak. 3:5) Jika kita tetap setia kepada Yehuwa dan kepada saudara saudari, kita akan terhindar daripada mengucapkan kata-kata yang negatif.
HUBUNGAN ANDA DENGAN TUHAN JAUH LEBIH PENTING
15. Bagaimanakah kesetiaan Yusuf diberkati oleh Yehuwa?
15 Kita juga dapat mempelajari sesuatu daripada hubungan Yusuf dengan Yehuwa. Sepanjang 13 tahun penderitaannya, Yusuf memandang situasinya dari sudut pandangan Yehuwa. (Kej. 45:5-8) Dia tidak pernah menyalahkan Yehuwa atas musibah yang menimpanya. Walaupun pengalaman pahit itu mustahil dilupakannya, dia tidak membiarkan peristiwa tersebut merosakkan sifat-sifatnya yang baik. Penting sekali, dia tidak membiarkan ketidaksempurnaan dan kesalahan orang lain menjauhkan dirinya daripada Yehuwa. Oleh sebab Yusuf setia, dia telah melihat bagaimana Yehuwa campur tangan untuk menegakkan keadilan baginya dan memberkati dia dan seisi keluarganya.
16. Semasa menghadapi ketidakadilan, mengapakah kita patut mengeratkan lagi hubungan kita dengan Yehuwa?
16 Seperti Yusuf, kita perlu menghargai dan memelihara hubungan kita dengan Yehuwa. Jangan sekali-kali membiarkan ketidaksempurnaan saudara saudari untuk memisahkan kita daripada Tuhan. (Rm. 8:38, 39) Jika rakan seiman kita melayan kita dengan tidak adil, ikutlah teladan Yusuf. Eratkan lagi hubungan kita dengan Yehuwa dan pupuklah pandangan-Nya. Setelah menerapkan semua prinsip Bible yang berkaitan, serahkanlah perkara itu ke dalam tangan Yehuwa dan percayalah bahawa Dia pasti menyelesaikannya pada masa dan dengan cara yang terbaik.
YAKINLAH KEPADA “HAKIM BAGI SELURUH BUMI”
17. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita yakin kepada “Hakim bagi seluruh bumi”?
17 Selagi kita hidup dalam dunia lama ini, peristiwa yang tidak adil akan menjadi lumrah hidup. Ada kalanya, hal-hal yang nampaknya tidak adil juga terjadi dalam sidang. Jika kita atau orang yang kita kenali nampak atau mengalami keadaan sebegini, janganlah tersandung. (Mzm. 119:165) Sebaliknya, biarlah kita tetap setia kepada Tuhan dan bergantung pada-Nya. Ingatlah juga bahawa maklumat yang kita ketahui mungkin tidak lengkap, dan bahawa pandangan kita yang tidak sempurna mungkin menyebabkan kita salah faham terhadap situasi yang berlaku. Tirulah Yusuf dan jauhilah percakapan yang negatif kerana perbuatan itu hanya akan memburukkan keadaan. Akhirnya, janganlah mencuba membaiki situasi itu dengan cara kita sendiri. Sebaliknya, bertekadlah untuk setia kepada Yehuwa dan menantikan-Nya dengan sabar. Tindakan sebegini pasti membawa perkenan dan berkat Yehuwa, seperti yang terjadi kepada Yusuf. Ya, percayalah bahawa selaku “Hakim bagi seluruh bumi,” Yehuwa selalu berbuat benar dan “adil dalam segala perkara.”—Kej. 18:25; Ul. 32:4.
18. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?
18 Dalam rencana seterusnya, kita akan membincangkan dua lagi peristiwa yang tidak adil, yang berlaku pada zaman Bible. Kita akan melihat bagaimana sifat rendah diri dan kesudian untuk mengampuni akan membantu kita meniru keadilan Yehuwa.
a Lihat kisah hidup Willi Diehl dalam rencana bertajuk ‘Yehuwa Tuhanku yang Kupercayai,’ Menara Pengawal 1 November 1991 dalam bahasa Indonesia.