Pertanyaan Pembaca
Selepas Yesus lahir, mengapakah Yusuf dan Maria terus tinggal di Betlehem di Yehuda dan tidak pulang ke rumah mereka di Nasaret?
Bible tidak menjelaskan sebabnya. Tetapi Bible mengandungi beberapa butiran menarik yang mungkin menjelaskan sebabnya mereka tidak pulang ke Nasaret.
Semasa Maria diberitahu oleh malaikat bahawa dia akan mengandung dan melahirkan seorang anak, dia dan Yusuf berada di Nasaret, sebuah kota di Galilea. (Luk. 1:26-31; 2:4) Bertahun-tahun kemudian, iaitu selepas mereka meninggalkan Mesir, barulah mereka pulang ke Nasaret. Yesus membesar di situ dan dikenali sebagai orang Nasaret. (Mat. 2:19-23) Itulah sebabnya kita terfikir tentang Nasaret semasa menyebut Yesus, Yusuf, dan Maria.
Maria mempunyai seorang saudara-mara yang bernama Elisabet. Elisabet tinggal di Yehuda dan merupakan isteri kepada Imam Zakharia. Anaknya ialah Yohanes Pembaptis. (Luk. 1:5, 9, 13, 36) Maria telah melawat Elisabet dan tinggal di Yehuda untuk tiga bulan sebelum pulang ke Nasaret. (Luk. 1:39, 40, 56) Maka Maria tahu sedikit sebanyak tentang kawasan Yehuda.
Kemudian, apabila Kaisar memerintahkan rakyat “untuk mendaftarkan diri,” Yusuf membuat perjalanan dari Nasaret ke Betlehem, iaitu “kota Daud.” Menurut nubuat Bible, di situlah Mesias akan lahir. (Luk. 2:3, 4; 1 Sam. 17:15; 20:6; Mi. 5:2) Selepas Maria bersalin di Betlehem, Yusuf tidak membawanya dan Yesus yang baru lahir pulang ke Nasaret kerana perjalanannya terlalu jauh. Jadi mereka terus tinggal di Betlehem yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari Yerusalem. Keputusan itu juga memudahkan mereka untuk membawa Yesus ke Rumah Tuhan dan memberikan persembahan yang dikehendaki dalam Hukum Musa.—Im. 12:2, 6-8; Luk. 2:22-24.
Memandangkan malaikat pernah memberitahu Maria bahawa anaknya akan menerima “takhta Daud” dan “memerintah sebagai Raja,” Yusuf dan Maria mungkin berasa bahawa Yesus perlu lahir di kota Daud, iaitu Betlehem. (Luk. 1:32, 33; 2:11, 17) Selepas Yesus lahir, mereka juga mungkin berfikir bahawa adalah baik jika mereka terus berada di situ sehingga Tuhan memberikan arahan selanjutnya.
Kita tidak tahu berapa lama mereka tinggal di Betlehem. Namun semasa ahli nujum melawat keluarga Yusuf, mereka sudah tinggal dalam sebuah rumah, dan Yesus bukan lagi seorang bayi, tetapi sudah merupakan “anak kecil.” (Mat. 2:11) Nampaknya, keluarga Yusuf tidak kembali ke Nasaret, tetapi memilih untuk menetap di Betlehem.
Kemudian, Herodes mengeluarkan perintah “untuk membunuh semua budak lelaki yang berusia dua tahun ke bawah di Betlehem.” (Mat. 2:16) Setelah diberi amaran oleh malaikat tentang hal itu, Yusuf dan Maria segera membawa Yesus ke Mesir dan tinggal di situ sehingga Herodes mati. Mengapakah mereka tidak pulang ke Betlehem selepas itu? Kerana Arkelaus, iaitu anak Herodes, sedang memerintah Yudea, dan dia seorang yang zalim. Lagipun, Yusuf mendapat amaran daripada Tuhan supaya tidak pergi ke situ. Maka, Yusuf membawa keluarganya pulang ke Nasaret. Di situ, dia dapat membesarkan Yesus sebagai penyembah Yehuwa dalam keadaan yang selamat.—Mat. 2:19-22; 13:55; Luk. 2:39, 52.
Nampaknya, Yusuf telah meninggal sebelum Yesus mengorbankan nyawanya. Jika begitu, Yusuf akan dibangkitkan di bumi. Pada masa itu, kita dapat berjumpa dengan Yusuf dan memintanya untuk menceritakan mengapa dia dan Maria terus berada di Betlehem selepas Yesus dilahirkan.