22-28 JUN 2026
LAGU 90 Galakkan Satu Sama Lain
Belajar daripada “Tuhan yang Melegakan Hati Kita”
“Dengan kelegaan hati yang kita terima daripada Tuhan, kita juga dapat melegakan hati orang lain.”—2 KOR. 1:4.
FOKUS
Belajar cara Yehuwa melegakan hati orang, cara penyembah-Nya meniru teladan-Nya, dan cara kita dapat melegakan hati satu sama lain.
1. Mengapakah kita patut melegakan hati orang lain?
KITA semua perlu “menanggung berbagai-bagai cubaan.” Maka dari masa ke masa, kita memerlukan kelegaan dan galakan. (1 Ptr. 1:6) Sepertimana kita menghargai saudara saudari yang melegakan hati kita, kita patut cepat memberi kelegaan kepada rakan seiman kita yang menderita. (Mat. 7:12) Yehuwa, “Tuhan yang melegakan hati kita dalam apa jua situasi,” mengajar kita cara untuk “melegakan hati orang lain yang mengalami segala macam cubaan.” Kita dapat meniru teladan-Nya dengan “melegakan hati satu sama lain.” (2 Kor. 1:3, 4; 1 Tes. 4:18) Kita berbuat demikian bukan kerana terpaksa, tetapi kerana kita mengasihi saudara saudari kita. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan (1) maksud perkataan “kelegaan,” (2) cara kita dapat melegakan hati orang lain, dan (3) apa yang dapat kita lakukan semasa kita memerlukan kelegaan.
MAKSUD PERKATAAN “KELEGAAN”
2. Apakah maksud perkataan “kelegaan”?
2 Dalam Bible, perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “kelegaan” boleh membawa banyak maksud, contohnya “galakan,” “nasihat,” atau “teguran.” (Rm. 12:8) Secara harfiah, perkataan ini bermaksud “memanggil seseorang ke sisi kita.” Hal ini boleh digambarkan seperti seseorang yang pergi untuk membantu kawannya yang sedang menderita dengan serta-merta. Tidak kira apa yang dia lakukan untuk melegakan hati kawannya, yang penting ialah kawannya berasa digalakkan dan dikuatkan.
3. Bagaimanakah Barnabas melegakan hati orang lain? (Lihat juga gambar.)
3 Perhatikan contoh Yusuf. Para rasul memanggilnya Barnabas, yang bermaksud “Orang yang Membawa Kelegaan Hati.” Hal ini kerana dia selalu menggalakkan dan melegakan hati orang lain. (Kis. 4:36) Nama itu sangat sesuai baginya dan sejak masa itu, Bible hanya merujuk kepadanya sebagai Barnabas. Apabila rakan seimannya memerlukan bantuan, dia rela menolong mereka. Contohnya, selepas Saulus menjadi orang Kristian dan tiba di Yerusalem, dia mahu berjumpa dengan murid-murid Yesus yang lain. Namun, mereka semua takut kepadanya kerana dia dahulunya menganiaya orang Kristian dengan teruk. Tetapi Barnabas mempercayai Saulus dan memperkenalkannya kepada para rasul.—Kis. 9:26-28.
Dengan baik hati, Barnabas membantu Saulus dan memperkenalkannya kepada para rasul (Lihat perenggan 3)
CARA UNTUK MELEGAKAN HATI ORANG
4. Apakah salah satu cara terbaik untuk melegakan hati orang lain? (Roma 1:11, 12)
4 Lawat mereka jika dapat. Yehuwa menggunakan penyembah-Nya untuk melegakan hati orang lain. Contohnya, semasa Elia berasa murung dan tawar hati, Yehuwa menggunakan malaikat-Nya untuk menggalakkan Elia. (1 Raj. 19:4-7) Paulus juga sedar pentingnya untuk melawat saudara saudari agar dapat menggalakkan mereka. (Baca Roma 1:11, 12.) Semasa anda melawat seseorang, luangkanlah masa yang cukup untuk menggalakkannya. (1 Kor. 16:7) Namun, jika anda tidak dapat melawat seseorang yang tawar hati, anda boleh menelefonnya, menulis surat atau kad, ataupun menghantar mesej untuk melegakan hatinya. Adakah anda sudi digunakan oleh Yehuwa untuk membantu orang lain?
5. Apakah cabaran yang mungkin kita hadapi?
5 Apabila akhir semakin dekat, semakin susah bagi kita untuk melawat saudara saudari kita dan menggalakkan mereka. Semasa Paulus dipenjarakan di Roma, Onesiforus, yang berada di Efesus, mencari Paulus walaupun dia sendiri mungkin dipenjarakan atau bahkan dibunuh. (2 Tim. 1:16-18) Saudara saudari di Rusia menunjukkan semangat yang sama apabila rakan seiman mereka dianiaya kerana iman mereka. Apabila kes salah seorang Saksi dibicarakan, saudara saudari lain akan hadir ke mahkamah untuk menunjukkan sokongan mereka, biarpun mereka mungkin ditangkap. Untuk mempersiapkan diri bagi melegakan hati rakan seiman, kajilah contoh umat Yehuwa pada zaman lampau dan pada zaman moden yang menyokong satu sama lain dan meraih sukacita meskipun dianiaya.
6. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yehuwa semasa kita melegakan hati orang lain? (Lihat juga gambar.)
6 Dengarlah luahan mereka. Semasa Elia berasa bahawa nyawanya terancam, dia mencurahkan isi hatinya kepada Yehuwa. Tuhan kita yang penyayang mendengar luahan Elia biarpun Dia sudah tahu apa yang membuat Elia berasa susah hati. Yehuwa bahkan mendengar dengan sabar semasa Elia mengulangi hal yang sama. (1 Raj. 19:9, 10, 14) Begitu juga, Yehuwa mengizinkan Habakuk untuk meluahkan kerisauan dan keraguannya walaupun kata-katanya kedengaran seperti dia sedang mencabar kekuasaan Yehuwa. (Hab. 1:2, 3) Hari ini, Yehuwa mendengar doa kita dengan teliti meskipun Dia sudah tahu apa yang kita perlukan. Kita dapat meniru teladan Yehuwa dengan mendengar luahan saudara saudari kita secara teliti dan penuh hormat. Kita harus “cepat mendengar” dan tidak mencelah semasa mereka bercakap. Selain itu, kita tidak mahu cepat tersinggung semasa mereka mengucapkan kata-kata yang melulu atau asyik mengulangi hal yang sama.—Yak. 1:19; Pkh. 7:9.
Tirulah teladan Yehuwa dengan mendengar luahan saudara saudari secara teliti (Lihat perenggan 6)
7. Bagaimanakah kita dapat mengenal pasti keperluan seseorang yang menderita?
7 Kenal pasti keperluan seseorang. Kita tidak dapat membaca hati orang. Maka, kita hanya dapat mengenal pasti cara untuk melegakan hati seseorang jika kita mendengar luahannya dengan teliti. Memandangkan kita semua berbeza, janganlah buat andaian bahawa apa yang dia perlukan adalah sama dengan apa yang anda perlukan, jika anda dalam situasi yang sama. Luangkanlah cukup masa untuk mendengar luahannya dan tanyalah soalan untuk membantunya meluahkan isi hatinya.—Ams. 20:5.
8. Bagaimanakah Yesus melegakan hati Marta dan Maria selepas Lazarus meninggal? (Lihat juga gambar.)
8 Perhatikan bagaimana Yesus melegakan hati Marta dan Maria selepas adik mereka Lazarus meninggal. Selepas Marta bercakap kepada Yesus, Yesus mengongsi kebenaran tentang pembangkitan untuk menguatkan imannya. Tetapi apabila Maria datang kepada Yesus dan menangis, nampaknya Yesus tidak menyebut tentang pembangkitan. Sebaliknya, dia menangis bersama Maria dan bertanya di mana mereka meletakkan mayat Lazarus. (Yoh. 11:20-35) Apakah pengajarannya? Yesus melegakan hati kedua-dua orang wanita itu dalam cara yang berbeza. Begitu juga, semasa kita melegakan hati orang yang menderita, kita mesti mengenal pasti keperluan mereka dan membuat penyesuaian dalam cara kita membantu mereka.
Semasa kita melegakan hati orang lain, cubalah untuk mengenal pasti keperluan mereka (Lihat perenggan 8)a
9. Bagaimanakah kita dapat menggunakan Bible untuk melegakan hati orang lain? (Roma 15:4, 5)
9 Gunakan Bible. Apabila anda menggunakan ‘Ayat-Ayat Suci untuk melegakan hati’ seseorang, anda membantunya untuk menguatkan harapannya terhadap janji-janji Yehuwa. (Baca Roma 15:4, 5.) Harapan itu akan melegakan hatinya dan menggalakkannya. (Yes. 40:31) Bagaimanakah anda dapat mencari ayat-ayat Bible untuk menggalakkan orang lain? Sesetengah orang menyimpan senarai ayat-ayat yang dapat mereka rujuk apabila perlu. Contoh ayat-ayat itu terdapat di bawah topik “Kelegaan” dalam buku Ayat Bible untuk Kehidupan Kristian. Mintalah Yehuwa membantu anda untuk menggunakan Firman-Nya dengan baik agar anda dapat memberikan galakan. Kuasa suci Yehuwa dapat membantu anda mengingat ayat-ayat Bible yang sesuai semasa anda memerlukannya.—Yoh. 14:26.
10. Mengapakah kita mesti bercakap dalam cara yang baik semasa kita mahu menggalakkan seseorang?
10 Cakap dalam cara yang baik. Kadangkala, untuk menggalakkan seseorang, anda mungkin perlu menegur atau menasihatinya supaya anda dapat membantunya mengubah pandangannya yang salah. Jika anda perlu berbuat demikian, berfikirlah dengan teliti sebelum bercakap agar anda dapat mengucapkan kata-kata yang menyembuhkan dan bukannya yang menyakitkan hatinya. (Ams. 12:18) Yehuwa menetapkan teladan yang terbaik semasa Dia bercakap dengan Elia. Elia berasa tawar hati kerana berfikir bahawa usahanya sebagai nabi sia-sia sahaja. Dia fikir tiada penyembah Yehuwa yang lain di Israel kecuali dia. Namun, Yehuwa membantu Elia untuk mengubah pandangannya yang salah dengan bercakap dalam cara yang baik dan tidak menonjolkan kesilapannya. (1 Raj. 19:15-18) Jadi, tirulah teladan Yehuwa dan ucapkanlah kata-kata yang lemah lembut dan positif. Semasa anda menyampaikan ceramah atau memberikan komen di perjumpaan, ucapkanlah kata-kata yang membina untuk menguatkan rakan seiman anda.
11. Apakah yang diperlukan oleh orang yang menderita? (1 Yohanes 3:18)
11 Hulurkan bantuan praktikal. Semasa saudara saudari kita menderita, kadangkala sekadar mengucapkan kata-kata galakan tidak cukup untuk melegakan hati mereka. (Baca 1 Yohanes 3:18.) Barnabas menetapkan teladan yang baik dalam soal ini. Dia menjual sebidang tanah yang dimilikinya lalu mendermakan wangnya kepada saudara saudari yang miskin untuk membantu mereka. (Kis. 4:36, 37) Hari ini, ramai rakan seiman kita meniru teladan Barnabas. Perhatikan contoh Gabriela dari Poland. Dia sangat sedih kerana rumahnya mengalami kerosakan yang teruk semasa banjir melanda. Dia berkata, “Ibu bapa saya tinggal bersama saya. Kami sangat takut dan risau. Kami betul-betul rasa buntu. Tapi saudara saudari dari sidang berdekatan datang untuk membantu kami dan mereka melakukan banyak kerja dalam masa satu hari saja. Pengalaman ini menguatkan iman saya bahawa Yehuwa sedang membimbing umat-Nya untuk melegakan hati orang yang menderita.”
12. Bagaimanakah anda dapat membantu rakan seiman apabila anda tabah menghadapi cabaran?
12 Tabah menghadapi cabaran. Paulus memberitahu orang Kristian di Tesalonika bahawa dia dilegakan dan dikuatkan semasa mengetahui tentang ketabahan mereka. Dia tahu bahawa usahanya untuk membantu mereka tidak sia-sia. (1 Tes. 3:5-8) Paulus juga berharap ketabahannya akan melegakan hati saudara saudarinya, termasuk mereka yang tidak mengenalinya. (Kol. 2:1, 2) Begitu juga, apabila rakan seiman kita melihat bagaimana Yehuwa membantu kita untuk tabah menghadapi cabaran, mereka sangat digalakkan.
13. Apakah sifat yang perlu kita tunjukkan jika kita mahu menggalakkan orang lain?
13 Bersabar. Walaupun kita telah berusaha untuk menggalakkan saudara saudari kita, mereka mungkin masih berasa tawar hati. Bible menggesa kita untuk ‘terus menggalakkan’ satu sama lain. (1 Tes. 5:11) Maka, anda perlu menunjukkan kesabaran semasa melegakan hati orang. (1 Tes. 5:14) Namun dari masa ke masa, kita semua memerlukan kelegaan. Apakah yang dapat kita lakukan pada masa sedemikian?
SEMASA ANDA MEMERLUKAN KELEGAAN
14-15. Apakah yang patut kita lakukan semasa menghadapi kekhuatiran atau kesusahan?
14 Berdoa kepada Yehuwa. Mintalah bantuan Yehuwa untuk melegakan hati anda semasa anda menghadapi kekhuatiran atau kesusahan. (Mzm. 94:19) Berdoalah dengan spesifik dan curahkanlah isi hati anda kepada Yehuwa. (Mzm. 62:8) Yehuwa memang tahu perasaan anda bahkan sebelum anda berdoa kepada-Nya. Namun, apabila anda meluahkan perasaan anda kepada Yehuwa, anda menunjukkan bahawa anda beriman kepada-Nya. Yakinlah bahawa Yehuwa akan menjawab doa anda dalam cara yang terbaik. (Mrk. 11:24) Filipi 4:6, 7 menasihati kita, “Nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan . . . Dengan demikian kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu.”
15 Minta bantuan orang lain. Kongsilah perasaan anda dengan seorang kawan yang matang atau penatua yang dipercayai. Saudara saudari anda dapat melegakan hati anda, tetapi mereka mungkin tidak tahu perasaan anda atau keperluan anda, kecuali anda memberitahu mereka. (Ams. 14:10) Anda dapat meminta mereka untuk mendengar luahan anda, atau untuk mengongsi ayat Bible atau rencana yang menggalakkan.
16. Apakah yang mungkin berlaku semasa saudara saudari cuba melegakan hati anda, tetapi apakah yang patut anda ingat?
16 Bersabar dan rela mengampuni. Semasa saudara saudari cuba melegakan hati anda, mereka mungkin membuat kesilapan. Contohnya, mereka mungkin mengatakan atau melakukan sesuatu yang membuat anda berasa lebih teruk. Jika hal itu berlaku, bersabarlah dengan mereka. (1 Kor. 13:4, 7) Ingatlah kata-kata di Yakobus 3:2 yang menyatakan, “Jika seseorang tidak pernah berbuat silap dalam pertuturannya, dia ialah orang sempurna.” Jadi, berfokuslah kepada niat baik saudara saudari anda. Janganlah lupa bahawa “hati ingin membuat apa yang benar tetapi tubuh lemah.”—Mat. 26:41.
17. Apakah seharusnya tekad kita?
17 Memandangkan kita hidup pada hari-hari terakhir dan musuh Tuhan sedang melipatgandakan usaha mereka untuk menentang kita, kita semua memerlukan kelegaan dan galakan. Semoga kita bertekad untuk terus melegakan hati satu sama lain dengan bersungguh-sungguh!
LAGU 130 Bermaaf-maafan
a KETERANGAN GAMBAR: Seorang penatua menunjukkan empati semasa mendengar luahan seorang saudara yang baru kehilangan isterinya dalam kematian. Kemudian, penatua itu melawat seorang lagi saudara yang sudah lama kehilangan isterinya dalam kematian. Mereka mengingat kembali kenangan manis bersamanya.