PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Watchtower
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w26 Disember ms. 8-13
  • Bertumpu kepada “Hal-Hal yang Tidak Kelihatan”

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Bertumpu kepada “Hal-Hal yang Tidak Kelihatan”
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2026
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • IMAN ABRAHAM MEMBANTUNYA MENTAATI YEHUWA
  • IMAN MUSA MEMBANTUNYA MEMBUAT KEPUTUSAN BIJAK
  • IMAN KITA MEMBANTU KITA TABAH MENGHADAPI CABARAN
  • IMAN KITA MEMBANTU KITA MEMBUAT KEPUTUSAN BIJAK
  • Cabarannya yang Terbesar
    Sembahlah Tuhan dengan Berani
  • Bergantung pada Yehuwa semasa Membuat Keputusan
    Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita—Lembaran Kerja—2023
  • Belajar daripada Kata-Kata Terakhir Lelaki yang Setia
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • Ingatlah bahawa Yehuwa Ialah “Tuhan yang Hidup”
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2026
w26 Disember ms. 8-13

8-14 FEBRUARI 2027

LAGU 144 Tataplah Pahala!

Bertumpu kepada “Hal-Hal yang Tidak Kelihatan”

“Kita menumpukan perhatian kepada hal-hal yang tidak kelihatan dan bukannya kepada hal-hal yang kelihatan.”—2 KOR. 4:18.

FOKUS

Belajar bagaimana iman yang kuat terhadap janji-janji Yehuwa untuk masa depan dapat membantu kita sekarang.

1-2. Mengapakah orang Kristian abad pertama perlu bertumpu kepada “hal-hal yang tidak kelihatan”? (2 Korintus 4:18)

PAULUS menggalakkan orang Kristian abad pertama untuk bertumpu kepada “hal-hal yang tidak kelihatan.” Namun, bagaimanakah seseorang dapat melihat hal yang tidak kelihatan? (Baca 2 Korintus 4:18.) Mari kita lihat maksudnya.

2 Orang Kristian pada masa itu menghadapi banyak kesusahan. Paulus berkata bahawa mereka “diasak,” “kebingungan,” dan bahkan “dianiaya.” (2 Kor. 4:​8, 9) Namun, Paulus menasihati mereka untuk bertumpu kepada “hal-hal yang tidak kelihatan,” iaitu harapan mereka, dan bukannya kepada “hal-hal yang kelihatan,” iaitu cabaran mereka. Orang Kristian yang mengikut nasihat Paulus dapat meraih dua manfaat. Pertama, mereka dapat tabah menghadapi kesusahan. Kedua, mereka dapat membuat keputusan bijak yang mencerminkan keyakinan mereka terhadap janji-janji Yehuwa.—Ibr. 11:1.

3. Mengapakah kita perlu bertumpu kepada janji Tuhan tentang dunia baharu?

3 Setiap hari, kita menghadapi masalah dan hal ini boleh membuat kita menjadi lemah dan tawar hati. Itulah sebabnya kita perlu bertumpu kepada janji Tuhan tentang dunia baharu. (Mzm. 37:​10, 11) Dengan berbuat demikian, tidak kira betapa teruknya cabaran kita, kita diingatkan bahawa cabaran kita hanyalah sementara.—2 Kor. 4:17.

4. Bagaimanakah iman terhadap janji Yehuwa mempengaruhi keputusan kita? Berikan contoh.

4 Iman terhadap janji ‘kehidupan yang kekal’ juga mempengaruhi hidup kita sekarang. (Yud. 21) Contohnya, seorang wanita yang mengandung berharap agar anak yang dilahirkannya sihat. Setiap hari, dia gembira semasa membayangkan dirinya menjadi seorang ibu. Namun, sekadar membayangkan hal itu tidak cukup. Dia perlu membuat keputusan bijak sekarang untuk menjaga kesihatannya dan anak dalam kandungannya. Begitu juga, sekadar membayangkan kehidupan di dunia baharu Tuhan tidak cukup. Jika kita mempunyai iman yang kuat terhadap janji Yehuwa untuk masa depan, hal ini akan mempengaruhi cara kita membuat keputusan yang penting dalam hidup kita sekarang. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan beberapa watak Bible yang bertumpu kepada janji Tuhan dan membuat keputusan yang bijak dalam hidup mereka. Kemudian, kita akan membincangkan bagaimana iman kita dapat membantu kita tabah menghadapi cabaran dan membuat keputusan yang bijak.

IMAN ABRAHAM MEMBANTUNYA MENTAATI YEHUWA

5-6. (a) Apakah janji Yehuwa kepada Abraham? (b) Bagaimanakah iman Abraham dan Sara mempengaruhi keputusan mereka? (Kejadian 17:​1, 2, 6) (Lihat juga gambar.)

5 Yehuwa berjanji kepada Abraham, “Aku akan membuat keturunanmu menjadi bangsa yang besar.” (Kej. 12:2) Walaupun Abraham dan isterinya, Sara, sudah tua dan tidak mempunyai anak, mereka percaya bahawa Yehuwa akan menunaikan janji-Nya. Mereka menunjukkan bahawa mereka beriman kepada Yehuwa dengan mentaati perintah ini: ‘Tinggalkanlah negerimu dan sanak saudaramu. Pergilah ke negeri yang akan Aku tunjukkan kepadamu.’—Kej. 12:1.

6 Bagaimanakah iman Abraham dan Sara mempengaruhi keputusan mereka? Abraham dan Sara telah meninggalkan hidup mereka yang selesa di Ur. Mereka juga sudi tinggal di khemah dan berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. (Ibr. 11:​8, 9) Apakah yang membantu mereka untuk membuat pengorbanan itu? Mata mereka bertumpu kepada hal yang tidak kelihatan, iaitu kelahiran seorang anak lelaki yang keturunannya akan menjadi bangsa yang besar. (Baca Kejadian 17:​1, 2, 6; Ibr. 11:11) Ya, mereka benar-benar percaya bahawa janji Yehuwa akan menjadi kenyataan. Bertahun-tahun kemudian, janji Yehuwa mula ditunaikan dengan kelahiran anak mereka, Ishak.

Abraham dan Sara melihat jauh ke depan semasa mereka duduk di luar khemah mereka dan menikmati kehangatan dari unggun api.

Abraham dan Sara sudi membuat pengorbanan kerana mereka bertumpu kepada hal yang tidak kelihatan (Lihat perenggan 5-6)


7-8. Mengapakah Abraham rela mematuhi perintah Yehuwa untuk mengorbankan Ishak?

7 Semasa Ishak berumur kira-kira 25 tahun, Yehuwa menyuruh Abraham untuk mempersembahkan Ishak sebagai korban. Mengapakah Abraham rela mematuhi perintah Yehuwa? Kerana Abraham tetap bertumpu kepada hal yang tidak kelihatan, iaitu janji Yehuwa bahawa keturunan Abraham “akan datang daripada Ishak.” (Kej. 21:12) Pada masa itu, Ishak masih belum mempunyai anak. Namun, Abraham “percaya bahawa walaupun Ishak mati, Tuhan dapat membangkitkannya daripada kematian.” (Ibr. 11:19) Mengapakah iman Abraham sangat menakjubkan? Kerana pada masa itu, belum ada sesiapa pun yang pernah dibangkitkan daripada kematian. Abraham begitu yakin akan janji Yehuwa sehingga dia seolah-olah dapat melihat anak-anak Ishak yang akan dilahirkan pada masa depan.

8 Yehuwa menghalang Abraham daripada membunuh Ishak. (Kej. 22:​11, 12) Dalam pandangan Yehuwa, Abraham “seolah-olah sudah mempersembahkan Ishak sebagai korban.” (Ibr. 11:​17, 18) Abraham membuktikan melalui perbuatannya bahawa dia beriman terhadap janji Yehuwa.

IMAN MUSA MEMBANTUNYA MEMBUAT KEPUTUSAN BIJAK

9. (a) Apakah situasi yang dihadapi oleh orang Israel? (b) Apakah situasi Musa semasa dia membesar?

9 Ibu bapa Musa mungkin telah mengajarnya tentang janji-janji Yehuwa kepada Abraham. Salah satu janji itu ialah umat Tuhan akan mewarisi tanah Kanaan dan tanah itu akan “sentiasa menjadi milik” mereka. (Kej. 13:15) Namun, bagaimanakah hal itu dapat berlaku? Pada masa itu, orang Israel ialah hamba di Mesir. Musa pula ialah anak angkat kepada anak perempuan Firaun dan mempunyai hidup yang selesa. Semasa Musa membesar, “segala ilmu bangsa Mesir diajarkan” kepadanya. (Kis. 7:22) Biarpun Musa tidak dipengaruhi oleh kesusahan orang sebangsanya, dia beriman kepada Yehuwa. Dia tetap bertumpu kepada hal yang tidak kelihatan, iaitu janji Yehuwa kepada bangsanya.

10. Semasa Musa berumur 40 tahun, apakah keputusan yang dibuat olehnya? Mengapa? (Ibrani 11:​24-26) (Lihat juga gambar.)

10 Baca Ibrani 11:​24-26. Semasa Musa berumur 40 tahun, dia membuat satu keputusan yang penting. Dia “memilih untuk dianiaya bersama umat Tuhan.” Mengapa? Bible kata bahawa Musa “menumpukan perhatian kepada ganjaran yang bakal diterima” oleh umat Tuhan. Matanya bertumpu kepada hal yang tidak kelihatan, iaitu janji Yehuwa bahawa orang Israel akan mewarisi tanah Kanaan. Bagi Musa, janji yang diberikan oleh Yehuwa kepada umat-Nya adalah lebih penting daripada semua kekayaan dan kemasyhuran yang dimilikinya di Mesir. Pada kemudian hari, Yehuwa memberitahu Musa, “Engkau akan memimpin umat-Ku, orang Israel, keluar dari Mesir.”—Kel. 3:10.

Musa berasa sangat sedih semasa melihat hamba Ibrani yang dipaksa untuk bekerja keras dan dipukul oleh orang Mesir.

Semasa Musa berumur 40 tahun, dia membuat satu keputusan yang penting, iaitu dia “memilih untuk dianiaya bersama umat Tuhan” (Lihat perenggan 10)


11. Bagaimanakah penyembah Yehuwa pada masa dahulu menunjukkan bahawa janji Tuhan sangat nyata bagi mereka? (Ibrani 11:​39, 40)

11 Bible mengandungi banyak contoh penyembah Yehuwa yang menunjukkan iman yang kuat terhadap janji-Nya melalui perbuatan mereka. (Ibr. 11:​31, 32) Bagi mereka, janji Yehuwa sangat nyata meskipun mereka hanya akan melihatnya menjadi kenyataan dengan sepenuhnya semasa mereka dibangkitkan. (Baca Ibrani 11:​39, 40.) Hari ini, kita dapat meraih manfaat apabila kita merenungkan bagaimana mereka menunjukkan iman mereka dengan menyokong tujuan Yehuwa. Bagaimanakah iman kita dapat membantu kita tabah menghadapi cabaran dan membuat keputusan yang bijak?

IMAN KITA MEMBANTU KITA TABAH MENGHADAPI CABARAN

12. Bagaimanakah iman terhadap janji Yehuwa membantu kita menghadapi cabaran dengan tabah?

12 Yehuwa berjanji bahawa kita akan hidup kekal di dunia baharu. (2 Ptr. 3:13) Hal ini ialah salah satu hal yang tidak kelihatan sekarang yang dijanjikan oleh Yehuwa bagi kita. Namun, iman terhadap janji Yehuwa dapat membantu kita menghadapi cabaran dengan tabah. Contohnya, apabila kita tahu bahawa kita menghidap penyakit yang serius, kita akan berasa sangat sedih. Tetapi, pandangan kita boleh beransur-ansur menjadi positif. Mengapa? Kerana kita beriman kepada janji Yehuwa bahawa di dunia baharu, ‘tiada sesiapa pun yang akan berkata, “Aku sakit.”’ (Yes. 33:24) Seperti Abraham, Sara, Musa, dan penyembah Tuhan yang lain, kita seolah-olah dapat melihat janji Yehuwa menjadi kenyataan.

13. (a) Mengapakah penting bagi kita untuk membayangkan diri kita di Firdaus? (b) Bagaimanakah kita dapat memastikan bahawa iman kita mempunyai asas yang kukuh?

13 Satu cara kita dapat membina iman kita terhadap janji Yehuwa adalah dengan membayangkan diri kita di Firdaus. Bayangkan perasaan anda apabila anda ada kesihatan yang sempurna, menikmati kedamaian, dan menyambut orang kesayangan anda yang dibangkitkan. Gambar dalam bahan bacaan dan video kita dapat membantu anda untuk membayangkan hal-hal itu. Namun, iman anda tidak boleh berdasarkan imaginasi anda semata-mata. Untuk memastikan iman anda mempunyai asas yang kukuh, fikirkan nubuat atau kisah Bible yang dapat meneguhkan harapan anda. Selain itu, kaji dan renungkan ayat-ayat Bible yang meyakinkan anda bahawa tujuan Yehuwa pasti menjadi kenyataan. Dengan itu, iman anda terhadap janji Tuhan akan dibina pada asas yang kukuh.—Ibr. 6:​17, 18.

IMAN KITA MEMBANTU KITA MEMBUAT KEPUTUSAN BIJAK

14. Bagaimanakah iman terhadap janji Yehuwa membantu kita membuat keputusan yang bijak dalam soal hiburan?

14 Iman terhadap janji Yehuwa dapat membantu kita membuat keputusan yang bijak dalam kehidupan. Fikirkan pilihan anda dalam soal hiburan. Yehuwa membenci keganasan, perbuatan seks yang tidak bermoral, dan spiritisme. (Mzm. 11:5; Why. 21:8) Maka, rancangan TV, wayang, dan muzik yang penuh dengan unsur buruk tidak akan wujud di dunia baharu Tuhan. Jika begitu, patutkah kita menikmati hiburan seperti ini sekarang? Selain itu, jika kita menikmati hiburan seperti ini, dapatkah kita berkata bahawa kita bertumpu kepada janji Yehuwa?

15. Bagaimanakah iman terhadap janji Yehuwa membantu kita membuat keputusan yang bijak semasa menggunakan masa lapang kita? (Lihat juga gambar.)

15 Setiap orang Kristian harus membuat keputusan peribadi tentang cara untuk menggunakan masa lapang mereka. Semasa musim cuti, sesetengah ibu bapa telah mengaturkan aktiviti yang dapat membina penghargaan anak-anak mereka terhadap Yehuwa dan organisasi-Nya. Dengan itu, janji Yehuwa akan menjadi lebih nyata bagi anak mereka. Contohnya, satu pasangan Kristian yang membesarkan tiga anak perempuan, berkata, “Semasa bercuti, kami sering lawat Dewan Perjumpaan atau pejabat cawangan untuk menguatkan penghargaan keluarga kami terhadap persaudaraan sedunia kita.” Satu lagi pasangan yang membesarkan anak dalam kebenaran, berkata, “Kami suka luangkan masa bersama-sama untuk belajar tentang ciptaan. Kami juga akan jemput keluarga lain untuk lawat muzium dan akuarium hidupan laut.” Keluarga-keluarga ini menggunakan masa lapang mereka untuk belajar tentang ciptaan Yehuwa dan lebih menghargai persaudaraan Kristian kita. Hal ini membantu mereka untuk tetap bertumpu kepada hal-hal yang tidak kelihatan.

Ibu bapa dan anak lelaki mereka gembira semasa melawat muzium di Bethel.

Adakah aktiviti saya menunjukkan bahawa saya bertumpu kepada janji-janji Yehuwa? (Lihat perenggan 15)


16. Bagaimanakah iman terhadap janji Yehuwa mempengaruhi keutamaan hidup kita? (1 Korintus 7:​29-31) (Lihat juga gambar.)

16 Baca 1 Korintus 7:​29-31. Iman terhadap janji Yehuwa dapat membantu kita membuat keputusan yang bijak dalam soal wang dan harta benda. Memang, kita perlu menyara hidup sendiri. Namun, keutamaan hidup kita bukanlah untuk menjadi kaya. Mengapa? Kerana Bible kata, “Dunia dan segala sesuatu di dalamnya yang diingini oleh manusia sedang berlalu, tetapi orang yang melakukan kehendak Tuhan akan hidup selama-lamanya.” (1 Yoh. 2:17) Kita menunjukkan bahawa kita percaya ayat ini semasa kita membuat keputusan yang bijak dalam cara kita menggunakan wang. Jika kita bertumpu kepada janji Yehuwa tentang masa depan, kita “tidak [akan] menggunakan dunia ini dengan sepenuhnya.” Sebaliknya, kita akan mengutamakan Kerajaan Tuhan.—Mat. 6:33.

Satu pasangan Saksi berdiri di sebelah rak mudah alih di tepi jalan yang sibuk.

Adakah keutamaan hidup saya menunjukkan bahawa saya bertumpu kepada janji-janji Yehuwa? (Lihat perenggan 16)


17. Apakah keputusan yang dibuat oleh sesetengah orang kerana mereka beriman terhadap janji Tuhan? (Lihat juga gambar.)

17 Iman kita terhadap janji Yehuwa juga mempengaruhi keputusan kita dalam soal masa depan kita. Contohnya, orang muda mungkin berfikir tentang kerjaya yang ingin diceburi atau sama ada mereka akan berkahwin dan mempunyai anak. Semua ini ialah keputusan peribadi, dan setiap keputusan ini ada berkat dan cabaran tersendiri. (1 Kor. 7:​28, 37, 38) Namun, orang muda digalakkan untuk menanya diri soalan ini: “Adakah keputusan saya menunjukkan bahawa saya yakin kehidupan sekarang hanyalah sementara dan kehidupan di Firdaus ialah kehidupan yang sejati?” (1 Tim. 6:19) Banyak orang muda telah menunjukkan bahawa mereka yakin terhadap janji Yehuwa dengan menceburi khidmat sepenuh masa. Mereka tidak menyesali keputusan mereka. Sebaliknya, mereka sedar bahawa “pengabdian diri kepada Tuhan yang disertai kepuasan hati akan membawa keuntungan yang besar.”—1 Tim. 6:6.

Seorang saudara muda mengendalikan mesin gergaji semasa projek pembinaan teokratik.

Adakah keputusan saya menunjukkan bahawa saya bertumpu kepada janji-janji Yehuwa? (Lihat perenggan 17)


18. Bagaimanakah iman terhadap janji Yehuwa membawa berkat kepada kita bahkan pada masa sekarang?

18 Iman terhadap janji Yehuwa untuk masa depan dapat membawa berkat kepada kita bahkan pada masa sekarang. Iman dapat bantu kita untuk tabah menghadapi cabaran. Iman juga dapat bantu kita untuk membuat keputusan bijak tentang cara kita menggunakan masa dan hidup kita sekarang. Kita menantikan masanya apabila semua janji Yehuwa menjadi kenyataan. Sementara itu, marilah kita bertekad untuk bertumpu kepada “hal-hal yang tidak kelihatan.”

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Bagaimanakah penyembah Yehuwa pada masa dahulu bertumpu kepada “hal-hal yang tidak kelihatan,” iaitu janji-janji Yehuwa?

  • Bagaimanakah iman terhadap janji-janji Yehuwa membantu kita menghadapi cabaran dengan tabah?

  • Bagaimanakah iman terhadap janji-janji Yehuwa membantu kita membuat keputusan yang bijak dalam hidup?

LAGU 156 Dengan Iman

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2026 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Tetapan Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi