TEMU RAMAH | RACQUEL HALL
Seorang Wanita Yahudi Menjelaskan Mengapa Dia Mengkaji Semula Kepercayaannya
Ibu Racquel Hall ialah orang Yahudi dari Israel dan bapanya ialah orang Austria yang memeluk agama Yahudi. Datuk dan nenek sebelah ibunya ialah Zionis yang berpindah ke Israel pada tahun 1948. Sejak tahun itu, Israel menjadi negara yang merdeka. Majalah Sedarlah! telah menemu ramah Racquel untuk mengetahui apa yang mendorongnya untuk mengkaji semula kepercayaannya.
Boleh ceritakan latar belakang kamu?
Saya lahir di Amerika Syarikat pada tahun 1979. Semasa saya berumur tiga tahun, ibu bapa saya bercerai. Ibu membesarkan saya mengikut adat dan tradisi orang Yahudi. Dia juga hantar saya ke yeshiva, atau sekolah Yahudi. Semasa saya berumur tujuh tahun, kami berpindah ke Israel untuk setahun. Di sana, saya bersekolah di sebuah komuniti yang dipanggil kibbutz. Selepas itu, kami berpindah ke Mexico.
Biarpun dekat tempat tinggal kami tiada rumah ibadat Yahudi, saya masih mengikut ajaran agama Yahudi. Setiap Sabat, saya akan menyalakan lilin, membaca Taurat, dan berdoa menggunakan siddur, atau buku doa. Semasa di sekolah, saya selalu beritahu kawan-kawan bahawa agama sayalah yang paling awal wujud. Saya tidak pernah baca kitab Perjanjian Baharu yang menceritakan kehidupan dan kerja menginjil Yesus Kristus. Lagipun, ibu saya melarang saya untuk membacanya kerana dia takut saya akan disesatkan.
Mengapakah kamu mula membaca Perjanjian Baharu?
Semasa saya berumur 17 tahun, saya pindah balik ke Amerika Syarikat untuk menghabiskan pendidikan sekular saya. Seorang kawan saya yang beragama Kristian kata bahawa kehidupan saya tidak lengkap tanpa Yesus.
“Tapi orang yang percaya Yesus sesat,” saya kata.
“Pernahkah kamu baca Perjanjian Baharu?” dia tanya.
“Tidak,” jawab saya.
“Kalau begitu,” katanya, “bukankah kamu sedang membuat kesimpulan tanpa bukti? Macam mana kamu dapat beri pendapat tentang sesuatu yang kamu tidak tahu sama sekali?”
Kata-katanya itu menikam hati saya. Dari dulu, saya fikir orang yang beri pendapat tanpa asas ialah orang yang bodoh. Jadi, saya buat keputusan untuk pinjam Biblenya dan mula baca Perjanjian Baharu.
Apakah kesannya terhadap kamu?
Saya tidak sangka penulis Perjanjian Baharu semuanya orang Yahudi. Saya mendapati Yesus ialah lelaki Yahudi yang sangat baik, rendah hati, dan mahu membantu orang. Dia juga tidak mengambil kesempatan terhadap orang lain. Selepas itu, saya pergi ke perpustakaan dan pinjam buku tentang Yesus. Tapi, saya masih tidak yakin bahawa dia ialah Mesias. Ada yang panggil dia Tuhan, tapi itu tidak masuk akal bagi saya. Jika Yesus ialah Tuhan, dia berdoa kepada siapa? Dirinya sendiri? Lagipun, Yesus telah mati. Mana mungkin dia ialah Tuhan? Bible kata, “[Tuhan] tidak dapat mati.”a
Apakah yang kamu lakukan selepas itu?
Saya tahu kebenaran tidak mengelirukan. Maka saya bertekad untuk mencari kebenaran. Buat kali pertama dalam hidup saya, saya berdoa tanpa menggunakan buku doa. Saya meluahkan isi hati saya kepada Tuhan sambil menangis. Sebaik sahaja saya selesai berdoa, ada orang ketuk pintu saya. Rupa-rupanya ada dua orang Saksi-Saksi Yehuwa yang datang jumpa saya. Mereka beri saya buku tentang Bible. Selepas itu, saya mula membincangkan Bible dengan mereka dan saya yakin kepercayaan mereka adalah berdasarkan Bible. Sebagai contoh, Saksi-Saksi Yehuwa percaya bahawa Yesus ialah “Anak Tuhan”b dan “ciptaan Tuhan yang pertama.”c Mereka tidak percaya dia adalah sebahagian daripada Tritunggal.
Tidak lama selepas itu, saya kembali ke Mexico. Di sana, saya terus belajar Bible dan mengkaji nubuat-nubuat tentang Mesias. Saya terkejut apabila mengetahui ada begitu banyak nubuat tentang Mesias! Namun, saya masih ragu-ragu. Saya fikir, “Mungkinkah hanya Yesus yang memenuhi semua nubuat itu? Atau adakah dia hanya pelakon yang pandai menipu orang?”
Apakah titik perubahan dalam hidup kamu?
Para Saksi menunjukkan nubuat-nubuat yang menjawab persoalan saya itu. Contohnya, lebih daripada 700 tahun sebelum Mesias lahir, Nabi Mikha telah menulis bahawa Mesias akan lahir di Betlehem, Yudea.d Dapatkah Yesus memilih tempat dia mahu dilahirkan? Pasti tidak! Selain itu, Nabi Yesaya menulis bahawa Mesias akan dibunuh sebagai penjenayah dan dikebumikan bersama orang kaya.e Jelaslah, nubuat-nubuat ini di luar kawalan Yesus. Namun, semuanya menjadi kenyataan dalam kehidupannya.
Satu lagi bukti yang meyakinkan saya ialah garis keturunan Yesus. Bible kata bahawa Mesias akan datang daripada keturunan Raja Daud.f Orang Yahudi menyimpan catatan salasilah keluarga dengan sangat teliti. Jika Yesus tidak berasal daripada keturunan Raja Daud, musuhnya pasti mengheboh-hebohkan hal itu untuk buat orang meraguinya. Namun mereka tidak berbuat demikian kerana bukti keturunannya tidak dapat dipertikaikan. Orang ramai bahkan memanggil Yesus sebagai “Anak Daud.”g
Untuk mengenal pasti identiti Mesias, kita memerlukan catatan salasilah keturunan Yahudi dari zaman Daud. Tetapi, semua catatan itu telah hilang atau musnah semasa askar Roma memusnahkan Yerusalem pada tahun 70 Masihi. Maksudnya, Mesias haruslah muncul sebelum tahun itu agar identitinya dapat disahkan.
Bagaimanakah hal ini mempengaruhi kamu?
Nubuat di Ulangan 18:18, 19 kata bahawa Tuhan akan melantik seorang nabi seperi Musa. Tuhan kata Dia akan ‘menghukum sesiapa yang tidak mematuhi perintah-Nya, yang disampaikan-Nya melalui nabi itu.’ Setelah mengkaji seluruh Bible, saya yakin bahawa Yesus dari Nasaret ialah nabi itu.
f Yesaya 9:6, 7; Lukas 1:30-32. Matius bab 1 mencatatkan salasilah Yesus dari sebelah bapanya, manakala Lukas bab 3 mencatatkan salasilah Yesus dari sebelah ibunya.