Elisa Nampak Kereta Kuda Berapi—Anda Pula?
Raja Siria sedang memburu nabi Tuhan, iaitu Elisa. Dia menjejakinya sehingga ke Dotan, sebuah kota bertembok yang terletak di kawasan pergunungan. Pada malam hari, raja Siria mengirim pasukan kuda, kereta kuda, dan tentera ke kota Dotan. Pada waktu subuh, kota Dotan dikepung.—2 Raj. 6:13, 14.
Apabila hamba Elisa bangun lalu keluar dari rumah, dia melihat musuh-musuh yang akan menangkap tuannya. Dia berseru, “Malanglah kita, tuan! Apakah yang harus kita lakukan?” “Janganlah takut,” kata Elisa, “Yang di pihak kita lebih banyak daripada yang di pihak mereka.” Kemudian Elisa berdoa, ‘Ya Yehuwa, celikkanlah mata hambaku ini supaya dia dapat melihat!’ Selepas itu, ‘Yehuwa mengabulkan doanya. Hamba Elisa menengadah dan nampak bukit itu penuh dengan kuda dan kereta kuda berapi di sekeliling Elisa.’ (2 Raj. 6:15-17) Apakah yang dapat kita pelajari daripada peristiwa ini?
Meskipun dikepung oleh tentera Siria, Elisa tetap tenang. Dia yakin pada Yehuwa dan dapat melihat bahawa Yehuwa sedang melindunginya. Pada hari ini, kita tidak mengharapkan mukjizat, tetapi kita tahu bahawa Yehuwa sedang melindungi umat-Nya. Kita dapat “melihat” kuda dan kereta kuda yang berapi melindungi kita. Jika kita menaruh iman dan bergantung pada Yehuwa, kita akan ‘dipelihara dengan aman’ dan diberkati. (Mzm. 4:9) Marilah kita fikirkan bagaimana kita dapat meraih manfaat daripada peristiwa lain dalam hidup Elisa.
ELISA MENJADI PEMBANTU ELIA
Pada suatu hari, Elia bertemu dengan Elisa yang sedang membajak tanah lalu menghamparkan jubahnya pada Elisa. Tindakan Elia menunjukkan bahawa dia sedang menjemput Elisa untuk menjadi pembantunya. Jadi, Elisa mengadakan jamuan besar, mengucapkan selamat tinggal kepada ibu bapanya lalu meninggalkan rumah untuk menjadi pembantu Elia. (1 Raj. 19:16, 19-21) Elisa sudi melakukan apa-apa sahaja tugasan yang diberi oleh Tuhan. Oleh itu, dia digunakan oleh Yehuwa dan kemudiannya dilantik untuk menggantikan Elia.
Elisa mungkin menjadi “pembantu Elia” selama enam tahun. (2 Raj. 3:11) Pada zaman itu, orang biasanya menggunakan tangan untuk makan, bukannya sudu, garpu, atau perkakas yang lain. Selepas makan, seorang pembantu akan menuangkan air supaya tuannya dapat membasuh tangan. Maka, kadangkala Elisa juga perlu melakukan tugas yang remeh. Walau bagaimanapun, dia memandang tugasnya sebagai satu penghormatan yang besar.
Hari ini, ramai orang Kristian menceburi khidmat sepenuh masa kerana mereka beriman kepada Yehuwa dan ingin menyembah-Nya dengan sepenuh hati. Ada yang meninggalkan rumah untuk bekerja di Bethel, di projek pembinaan, dan sebagainya. Kerja-kerja ini mungkin dipandang remeh oleh ramai orang. Tetapi orang Kristian tidak seharusnya berpendapat sedemikian kerana Yehuwa amat menghargai usaha umat-Nya.—Ibr. 6:10.
ELISA TIDAK MENINGGALKAN TUGASNYA
Sebelum Tuhan “mengangkat Elia ke syurga dengan angin puting beliung,” Dia menyuruhnya untuk berangkat dari Gilgal ke Bethel. Elia memberitahu Elisa supaya jangan mengikutinya. Namun Elisa berkata, “Saya tidak akan meninggalkan tuan.” Sepanjang perjalanan, Elia menyuruh Elisa untuk meninggalkannya sebanyak dua kali lagi, tetapi Elisa enggan. (2 Raj. 2:1-6) Seperti Rut yang tidak meninggalkan Naomi, Elisa juga tetap di sisi Elia. (Rut 1:8, 16, 17) Mengapa? Kerana Elisa menghargai tugas yang diberikan oleh Yehuwa untuk menjadi pembantu Elia.
Elisa memberikan contoh yang baik bagi kita. Jika kita selalu ingat bahawa kita sedang berkhidmat kepada Yehuwa, kita akan menghargai apa sahaja tugas yang diberikan oleh organisasi Tuhan. Penghormatan ini memang tak terbanding.—Mzm. 65:5; 84:11.
“APA YANG ENGKAU MAHU AKU LAKUKAN UNTUKMU”
Semasa perjalanan, Elia berkata kepada Elisa, “Katakanlah apa yang engkau mahu aku lakukan untukmu sebelum aku dibawa pergi.” Sama seperti permintaan Salomo, Elisa meminta supaya dia dapat menyembah Yehuwa dengan lebih baik. Dia memohon, “Benarkanlah saya mewarisi kuasa tuan supaya saya boleh menjadi pengganti tuan.” (1 Raj. 3:5, 9; 2 Raj. 2:9) Di Israel, anak sulung mendapat warisan sebanyak dua kali ganda. (Ul. 21:15-17) Elisa meminta supaya dia boleh mewarisi tugas Elia sebagai nabi Tuhan. Dia juga ingin bersikap berani seperti Elia, yang ‘sentiasa mengabdi kepada Yehuwa sahaja.’—1 Raj. 19:13, 14.
Apakah pandangan Elia terhadap permintaan pembantunya? Nabi itu menjawab, “Permintaan itu susah dikabulkan. Tetapi jika engkau nampak aku ketika aku dibawa pergi, engkau akan menerima permintaanmu. Jika tidak, engkau tidak akan menerimanya.” (2 Raj. 2:10) Jawapannya mempunyai dua maksud. Pertama, hanya Yehuwalah yang dapat memutuskan sama ada Elisa akan menerima apa yang dimintanya. Kedua, jika Elisa ingin permintaannya dikabulkan, dia harus bertekad untuk sentiasa berada di sisi Elia tidak kira apa yang bakal berlaku.
APA YANG DILIHAT OLEH ELISA
Adakah Tuhan mengabulkan permintaan Elisa? Menurut Bible, “mereka terus bercakap-cakap sambil meneruskan perjalanan. Tiba-tiba sebuah kereta kuda berapi yang ditarik oleh beberapa kuda berapi memisahkan mereka, lalu Elia diangkat ke syurga oleh angin puting beliung. Elisa nampak hal itu.”a Begitulah caranya Yehuwa menjawab permintaan Elisa. Elisa melihat Elia diangkat ke syurga lalu menerima kuasa tuannya, dan mewarisi tugas sebagai nabi.—2 Raj. 2:11-14.
Elisa mengambil jubah Elia yang jatuh lalu memakainya. Jubah itu membuktikan bahawa Elisa ialah nabi Tuhan. Kemudian, Elisa membuktikan sekali lagi bahawa dia ialah nabi Tuhan dengan memisahkan air Sungai Yordan.
Elisa pasti tidak dapat melupakan apa yang dilihatnya semasa Elia diangkat ke syurga. Lagipun bukannya setiap hari orang dapat melihat kereta kuda dan kuda berapi! Semua ini membuktikan bahawa Yehuwa bersetuju dengan permintaan Elisa. Sememangnya, kita tidak akan melihat kereta kuda dan kuda berapi semasa Yehuwa menjawab doa kita. Tetapi, kita dapat melihat bukti bahawa Yehuwa menggunakan kuasa-Nya untuk memastikan kehendak-Nya tercapai. Dan apabila kita melihat Yehuwa memberkati organisasi-Nya di bumi, kita seolah-olah nampak kenderaan-Nya di syurga bergerak maju.—Yeh. 10:9-13.
Elisa mengalami banyak peristiwa yang meyakinkannya bahawa Yehuwa sangat berkuasa. Daya aktif Tuhan membolehkannya melakukan 16 mukjizat, iaitu dua kali ganda lebih daripada mukjizat yang dilakukan Elia.b Peristiwa yang digambarkan pada permulaan rencana ini ialah kali kedua Elisa melihat kereta kuda dan kuda berapi.
ELISA YAKIN KEPADA YEHUWA
Elisa tetap tenang walaupun dikepung oleh musuh di kota Dotan. Mengapa? Kerana dia mempunyai iman yang kuat terhadap Yehuwa. Kita juga perlu memupuk iman yang kuat. Oleh itu, berdoalah untuk meminta daya aktif Tuhan supaya kita dapat memupuk iman dan aspek-aspek lain buah daya aktif.—Luk. 11:13; Gal. 5:22, 23.
Peristiwa di Dotan menguatkan lagi iman Elisa terhadap Yehuwa dan tentera-Nya yang tidak kelihatan. Dia tahu bahawa Yehuwalah yang mengutus para malaikat untuk mengepung kota Dotan dan tentera Siria. Yehuwa membutakan mata musuh lalu menyelamatkan Elisa dan hambanya. (2 Raj. 6:17-23) Pada saat genting itu, dan pada masa-masa lain, Elisa yakin dan beriman kepada Yehuwa dengan sepenuhnya.
Seperti Elisa, kita juga perlu yakin kepada Yehuwa. (Ams. 3:5, 6) Dengan demikian, kita akan mendapat perkenan dan berkat Yehuwa. (Mzm. 67:2) Sememangnya, kita tidak dilindungi oleh kereta kuda dan kuda berapi. Namun, semasa kesengsaraan besar, Yehuwa akan menjaga umat-Nya. (Mat. 24:21; Why. 7:9, 14) Sehingga hari itu, janganlah lupa bahawa Tuhan ialah “penaung kita.”—Mzm. 62:9.
a Elia tidak diangkat ke syurga di mana Yehuwa dan para malaikat-Nya tinggal. Lihat The Watchtower, 15 September 1997, muka 15.
b Lihat The Watchtower, 1 Ogos 2005, muka 10.