Pengajaran daripada Doa Orang Lewi
“Pujilah nama-Nya yang penuh kemuliaan.”—NEH. 9:5.
1. Apakah peristiwa yang akan dibincangkan? Apakah soalan yang patut kita tanya?
‘MARILAH berdiri dan memuji Yehuwa, Tuhan kita; pujilah Dia selama-lamanya!’ Dengan kata-kata yang bersemangat ini, umat Tuhan pada zaman kuno berkumpul untuk memanjatkan doa yang terpanjang di dalam Bible. (Neh. 9:4, 5) Perhimpunan ini berlaku di Yerusalem pada hari ke-24, bulan ketujuh kalender Yahudi, tahun 455 S.M. Seraya kita membincangkan peristiwa yang berlaku menjelang hari istimewa itu, tanyalah diri, “Apakah tabiat baik orang Lewi yang menjayakan perhimpunan ini? Apakah yang boleh saya pelajari daripada doa mereka yang disediakan dengan baik?”—Mzm. 141:2.
BULAN YANG ISTIMEWA
2. Apakah teladan baik yang diberikan oleh orang Israel semasa perhimpunan mereka?
2 Sebulan sebelum perhimpunan ini, orang Yahudi telah selesai membina semula tembok kota Yerusalem. (Neh. 6:15) Umat Tuhan menyelesaikan kerja pembinaan dalam masa 52 hari sahaja, dan kini mereka bertumpu pada keperluan rohani. Jadi pada hari pertama bulan ketujuh, mereka berkumpul untuk mendengar Ezra serta beberapa orang Lewi membacakan dan menjelaskan Taurat Tuhan. “Lelaki, perempuan, dan kanak-kanak yang dapat memahami kandungan kitab” berdiri dan mendengar “dari pagi hingga tengah hari.” Mereka memberikan teladan yang baik kepada kita! Hari ini, kita dapat berkumpul di Dewan Perjumpaan yang selesa. Tetapi adakah fikiran anda kadangkala melayang jauh memikirkan perkara yang kurang penting? Jika ya, fikirkan contoh baik orang Israel zaman kuno. Mereka mendengar dengan penuh perhatian, merenungkan apa yang didengar, dan mula menangis kerana sedar bahawa mereka gagal mematuhi Taurat Tuhan.—Neh. 8:1-9.
3. Apakah arahan yang dipatuhi orang Israel?
3 Tetapi, hari ini bukanlah hari untuk mengakui dosa mereka di khalayak ramai. Inilah hari perayaan, Yehuwa ingin umat-Nya bersukacita. (Bil. 29:1) Jadi Nehamia menyuruh mereka, ‘Adakanlah jamuan makan. Bahagikanlah makanan dan wain kamu kepada mereka yang kekurangan. Hari ini hari yang khas bagi Tuhan kita. Oleh itu janganlah berdukacita. Kesukaan yang diberikan oleh Yehuwa kepada kamu akan menguatkan kamu.’ Mereka mematuhi orang Lewi dan bersukacita.—Neh. 8:10-12.
4. Apakah yang dilakukan oleh ketua keluarga? Apakah ciri penting Perayaan Pondok Daun?
4 Pada esok hari, ketua keluarga berkumpul mengkaji Taurat Tuhan bagi memastikan bahawa bangsa Israel mematuhi semua hukum Tuhan. Semasa mengkaji Taurat Tuhan, mereka mendapati bahawa bangsa Israel patut merayakan Perayaan Pondok Daun pada bulan ketujuh dari hari ke-15 hingga hari ke-21 serta “upacara penutup” pada hari yang ke-22. Maka, mereka mula membuat persediaan. Perayaan ini ialah Perayaan Pondok Daun yang paling berjaya sejak zaman Yosua. Hasilnya, “mereka semua gembira dan bahagia.” Salah satu ciri penting perayaan ini ialah pembacaan Taurat Tuhan yang dijalankan “tiap-tiap hari, dari hari pertama perayaan itu sehingga hari terakhir.”—Neh. 8:13-18.
HARI UNTUK MENGAKUI DOSA
5. Apakah yang dilakukan oleh umat Tuhan sebelum orang Lewi berdoa bagi pihak mereka?
5 Dua hari kemudian, tibalah masanya bagi orang Israel untuk mengakui dosa mereka kerana gagal mematuhi Taurat Tuhan. Hari ini bukanlah hari perayaan. Sebaliknya, umat Tuhan berpuasa dan memakai kain guni sebagai tanda berkabung. Sekali lagi, Taurat Tuhan dibacakan kepada mereka selama kira-kira tiga jam pada waktu pagi. Pada waktu tengah hari, ‘mereka mengakui dosa dan menyembah Yehuwa.’ Kemudian, orang Lewi berdoa bagi pihak mereka. Doa yang disampaikan telah disediakan dengan baik. —Neh. 9:1-4.
6. Apakah yang membantu orang Lewi menyampaikan doa yang bermakna? Apakah pengajaran yang kita peroleh?
6 Tidak dapat dinafikan bahawa orang Lewi dapat menyampaikan doa yang bermakna kerana mereka selalu membaca Taurat Tuhan. Ayat-ayat permulaan doa mereka menonjolkan sifat dan perbuatan Yehuwa. Ayat-ayat yang berikutnya pula menyatakan dosa-dosa orang Israel dan menjelaskan mengapa mereka tidak layak menerima rahmat atau belas kasihan Tuhan. (Neh. 9:19, 27, 28, 31) Kita juga dapat menyampaikan doa yang bermakna seperti orang Lewi. Kita perlu merenungkan Firman Tuhan setiap hari, dan membenarkan Yehuwa bercakap dengan kita sebelum berdoa kepada-Nya.—Mzm. 1:1, 2.
7. Apakah permintaan orang Lewi kepada Tuhan? Apakah pengajaran yang kita peroleh?
7 Doa orang Lewi hanya mengandungi satu permintaan yang ringkas. Permintaan ini tercatat di bahagian akhir ayat 32 (ABB) yang berbunyi, ‘Ya Tuhan, Tuhan kami yang besar! Tuhan yang berkuasa dan hebat! Dengan setia Engkau menepati segala perjanjian. Sejak raja-raja Asyur menindas kami, sampai sekarang penderitaan yang kami alami sangat berat. Para raja, pemimpin, imam, dan nabi kami, nenek moyang, dan segenap umat sudah menderita. Ingatlah, ya Tuhan, betapa sengsaranya kami.’ Maka, orang Lewi memberikan teladan yang baik. Semasa berdoa, kita patut memuji dan mengucap syukur kepada Yehuwa terlebih dahulu sebelum membuat permintaan.
PUJILAH NAMA TUHAN YANG MULIA
8, 9. (a) Bagaimanakah orang Lewi yang rendah hati memulakan doa mereka? (b) Dalam doa orang Lewi, apakah ciptaan yang memuji Yehuwa?
8 Orang Lewi telah membuat persediaan sebelum berdoa. Meskipun demikian, mereka dengan rendah hati mengakui bahawa kata-kata mereka tidak dapat mengungkapkan pujian kepada Yehuwa dengan sepenuhnya. Jadi, mereka memulakan doa dengan berkata, “Pujilah nama-Nya yang penuh kemuliaan, nama yang lebih agung daripada segala pujian!”—Neh. 9:5.
9 Mereka terus berdoa, ‘Engkaulah satu-satunya Yehuwa; Engkau menciptakan bintang dan seluruh angkasa, Engkau menjadikan darat dan laut serta segala isinya; Engkau memberikan hidup kepada semuanya. Segala kuasa di langit bersembah sujud kepada-Mu; mereka berlutut dan tunduk kepada-Mu.’ (Neh. 9:6) Di sini, orang Lewi menyebut beberapa ciptaan Yehuwa yang menakjubkan. Yehuwa telah menciptakan seluruh alam semesta yang terdiri daripada cakerawala yang tak terhitung banyaknya. Dia juga menciptakan segala sesuatu di bumi kita yang indah dan mampu menampung pelbagai hidupan. Doa itu juga menyebut tentang ciptaan lain, iaitu para malaikat yang dirujuk sebagai “kuasa di langit.” (1 Raj. 22:19; Ayb. 38:4, 7) Para malaikat yang rendah hati juga melaksanakan kehendak Tuhan dengan menolong manusia yang tidak sempurna “yang akan menerima penyelamatan.” (Ibr. 1:14) Kita patut mencontohi teladan baik mereka seraya kita berkhidmat kepada Yehuwa dengan cara yang baik dan teratur.—1 Kor. 14:33, 40.
10. Apakah yang kita pelajari daripada cara Yehuwa memperlakukan Abraham?
10 Seterusnya, orang Lewi bertumpu pada cara Yehuwa memperlakukan Abram, yang berusia 99 tahun tetapi belum dapat melahirkan anak bersama isterinya yang mandul, Sarai. Yehuwa telah mengubah nama Abram menjadi Abraham, yang bererti “nenek moyang banyak bangsa.” (Kej. 17:1-6, 15, 16) Tuhan juga berjanji kepada Abraham bahawa keturunannya akan mewarisi negeri Kanaan. Manusia sering kali melupakan janji mereka, tetapi Yehuwa tidak. Orang Lewi berkata, ‘Ya Tuhan Yehuwa, Engkaulah yang memilih Abram, dan memimpinnya keluar dari Ur di negeri Babilonia; Engkau mengubah namanya menjadi Abraham. Engkau mendapati dia setia kepada-Mu, lalu Engkau membuat perjanjian dengannya. Engkau berjanji untuk memberi dia negeri orang Kanaan untuk menjadi tempat tinggal keturunannya. Engkau menepati janji-Mu kerana Engkau adil dan setia.’ (Neh. 9:7, 8, ABB) Semoga kita mencontohi Tuhan yang adil benar dengan selalu mengotakan janji-janji kita.—Mat. 5:37.
MENGINGATI PERBUATAN YEHUWA
11, 12. Apakah erti nama Yehuwa? Mengapakah Dia layak menyandang nama ini?
11 Nama Yehuwa bererti “Dia Yang Menyebabkan Menjadi.” Nama ini menunjukkan bahawa Yehuwa beransur-ansur menjadikan janji-janji-Nya kenyataan. Kita dapat melihat hal ini menerusi cara Tuhan memperlakukan keturunan Abraham. Apabila bangsa Israel menjadi hamba orang Mesir, Tuhan berjanji akan membebaskan mereka dan memberikan Tanah yang Dijanjikan kepada mereka. Hal ini nampaknya mustahil pada masa itu. Tetapi Tuhan beransur-ansur mengotakan janji-Nya. Dengan ini, Dia membuktikan bahawa Dia layak menyandang nama yang agung, Yehuwa.
12 Berkenaan Yehuwa, doa yang dicatat oleh Nehemia berkata, “Engkau nampak nenek moyang kami menderita di Mesir; Engkau mendengar seruan mereka minta tolong di Laut Gelagah. Engkau melakukan mukjizat yang luar biasa, untuk melawan raja, pegawai, dan rakyat raja, kerana Engkau tahu bagaimana umat-Mu ditindas oleh mereka. Oleh itu Engkau termasyhur sehingga hari ini. Engkau membelah laut untuk membuat jalan bagi umat-Mu ke seberang, Engkau menghantar mereka ke seberang melalui dasar laut yang kering. Orang yang mengejar mereka lemas di laut yang dalam, mereka seperti batu yang tenggelam di laut yang seram.” Kemudian, doa ini terus menggambarkan bagaimana Yehuwa bertindak bagi umat-Nya, “Engkau mengalahkan penduduk negeri itu. Engkau memberi umat-Mu kuasa untuk memperlakukan penduduk dan raja-raja Kanaan dengan sesuka hati. Umat-Mu merampas kota-kota yang berkubu, tanah yang subur, dan rumah-rumah yang penuh dengan harta, perigi yang telah digali, pokok zaitun, pokok buah-buahan serta ladang anggur. Mereka makan sepuas hati sehingga menjadi gemuk; mereka menikmati segala pemberian-Mu yang baik.”—Neh. 9:9-11, 24, 25, ABB.
13. Bagaimanakah Yehuwa memenuhi keperluan rohani orang Israel? Tetapi apakah reaksi mereka?
13 Tuhan menggunakan pelbagai cara untuk melaksanakan kehendak-Nya. Contohnya, tidak lama selepas bangsa Israel meninggalkan Mesir, Yehuwa memenuhi keperluan rohani mereka. Orang Lewi mengingat kembali hal ini dengan berdoa, “Dari langit Engkau turun ke Gunung Sinai; Engkau berfirman kepada umat-Mu sendiri. Engkau memberi mereka hukum, peraturan, dan perintah yang adil, benar, dan berfaedah.” (Neh. 9:13, ABB) Yehuwa mencuba mengajar umat-Nya agar mereka layak menyandang nama-Nya dan mendiami Tanah yang Dijanjikan. Tetapi mereka tidak mentaati perintah-Nya.—Baca Nehemia 9:16-18.
DISIPLIN TUHAN DIPERLUKAN
14, 15. (a) Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan belas kasihan kepada umat-Nya yang berdosa? (b) Apakah yang boleh kita pelajari daripada cara Tuhan memperlakukan umat-Nya?
14 Doa orang Lewi merujuk kepada dua dosa berat yang dilakukan oleh orang Israel tidak lama selepas mereka berjanji untuk mentaati Taurat Tuhan di Gunung Sinai. Oleh itu, Tuhan patut membiarkan mereka mati di padang gurun. Tetapi Yehuwa tidak berbuat demikian. Orang Lewi memuji-Nya dengan berkata, “Engkau tidak meninggalkan mereka di padang pasir, kerana rahmat-Mu sungguh besar! . . . Selama empat puluh tahun, . . . Engkau memberi mereka segala yang diperlukan. Pakaian mereka tidak pernah rosak, dan kaki mereka tidak sakit atau bengkak.” (Neh. 9:19, 21) Hari ini, Yehuwa juga memenuhi keperluan kita agar kita dapat terus menyembah-Nya. Semoga kita tidak menjadi seperti ribuan orang Israel yang mati di padang gurun kerana kehilangan iman dan mengingkari Tuhan. Kisah ini “menjadi amaran bagi kita, kerana kita sekarang hidup pada akhir zaman.”—1 Kor. 10:1-11.
15 Sedihnya, selepas memasuki Tanah yang Dijanjikan, orang Israel mula menyembah dewa-dewi orang Kanaan yang tidak bermoral dan mempersembahkan anak mereka sebagai korban. Jadi Yehuwa membenarkan umat-Nya ditindas oleh negara-negara jiran. Apabila mereka bertaubat, Yehuwa berbelas kasihan lalu mengampuni dan menyelamatkan mereka daripada musuh. Hal ini berlaku “berulang kali.” (Baca Nehemia 9:26-28, 31.) Orang Lewi mengaku, “Tahun demi tahun, dengan sabar Engkau memperingatkan mereka. [Daya aktif-Mu] berkata-kata kepada mereka melalui para nabi-Mu, tetapi umat-Mu menutup telinga. Oleh itu Engkau membiarkan mereka dikalahkan oleh bangsa-bangsa.”—Neh. 9:30, ABB.
16, 17. (a) Apakah akibatnya apabila orang Israel yang kembali daripada pembuangan mula mengingkari Yehuwa? (b) Orang Israel mengakui apa? Mereka berikrar akan melakukan apa?
16 Tidak lama selepas mereka kembali daripada pembuangan di Babilon, orang Israel sekali lagi mengingkari Tuhan. Apakah hasilnya? Orang Lewi berdoa, “Sekarang kami menjadi hamba di negeri yang Engkau berikan, tanah yang subur ini, yang memberikan kami makanan. Sekarang hasil bumi kami dirampas oleh raja-raja yang menguasai kami; Engkau menyerahkan kami kepada raja-raja itu; sekarang hasil bumi kami dirampas oleh raja-raja . . . kami sangat sengsara dan berdukacita!”—Neh. 9:36, 37, ABB.
17 Adakah orang Lewi sedang menyiratkan bahawa Tuhan tidak adil kerana membenarkan mereka menderita? Sama sekali tidak! Mereka mengaku, “Tindakan-Mu adil untuk menghukum kami yang bercela; Engkau setia, walaupun kami berbuat dosa.” (Neh. 9:33, ABB) Kemudian, mereka menamatkan doa dengan berikrar bahawa mulai sekarang segenap bangsa Israel akan mentaati Taurat Tuhan. (Baca Nehemia 9:38; 10:29) Mereka menulis janji ini pada sebuah dokumen yang ditandatangani oleh 84 orang pemimpin Yahudi.—Neh. 10:1-27.
18, 19. (a) Apakah yang perlu kita lakukan untuk hidup di dunia baru Tuhan? (b) Kita patut terus mendoakan apa? Mengapa?
18 Kita memerlukan disiplin daripada Yehuwa agar dapat memasuki dunia baru-Nya yang adil benar. “Pernahkah seorang anak tidak dihukum oleh bapanya?” tanya rasul Paulus. (Ibr. 12:7) Kita sedang membenarkan daya aktif Tuhan membimbing kita apabila kita menerima disiplin Yehuwa dan terus menyembah-Nya. Jika kita benar-benar bertaubat dan menerima disiplin dengan rendah hati selepas melakukan dosa serius, Yehuwa pasti mengampuni kita.
19 Kita pasti kagum dengan cara Yehuwa membebaskan orang Israel dari Mesir. Tetapi tidak lama lagi, Dia akan melakukan perkara yang jauh lebih menakjubkan. (Yeh. 38:23) Sebagaimana umat Israel pada zaman kuno mewarisi Tanah yang Dijanjikan, semua orang Kristian yang setia menyembah Yehuwa juga akan mewarisi dunia baru Tuhan yang adil benar. (2 Ptr. 3:13) Dengan adanya harapan yang begitu cerah, marilah kita terus mendoakan agar nama agung Tuhan akan disucikan. Rencana seterusnya akan membincangkan satu lagi doa yang dapat membantu kita meraih berkat Tuhan sekarang dan pada masa depan.