Utamakanlah Kerajaan Tuhan, Bukannya Kebendaan
“Teruslah mengutamakan Kerajaan [Tuhan], dan perkara-perkara itu akan diberikan kepada kamu.”—LUK. 12:31.
1. Apakah perbezaan antara keperluan dan keinginan kita?
APA yang diperlukan oleh manusia sebenarnya tidak banyak, tetapi apa yang diinginkan manusia tiada batasan. Nampaknya, ramai orang tidak dapat membezakan keperluan dan keinginan mereka. Sebenarnya, apakah perbezaannya? “Keperluan” ialah sesuatu yang kita perlukan untuk meneruskan hidup seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal. “Keinginan” pula ialah sesuatu yang kita mahu, tetapi tidak perlukan untuk kehidupan harian.
2. Apakah perkara yang diinginkan oleh orang?
2 Tidak kira di mana orang tinggal, keinginan mereka berbeza-beza. Orang yang tinggal di negara yang membangun mungkin menginginkan wang untuk membeli telefon bimbit, motosikal, atau sebidang tanah yang kecil. Manakala di negara maju, orang mungkin menginginkan pakaian berjenama, rumah yang lebih besar, atau kenderaan yang lebih mewah. Namun, hal ini mungkin berbahaya. Tidak kira berapa banyak duit kita ada, kita mungkin menginginkan lebih banyak harta benda walaupun kita tidak memerlukannya atau tidak mampu membelinya.
BERHATI-HATI DENGAN JERAT MENGEJAR KEBENDAAN
3. Apakah maksud mengejar kebendaan?
3 Apakah maksud mengejar kebendaan? Mengejar kebendaan merupakan sikap mengutamakan kebendaan dan bukannya kerohanian. Sikap ini boleh kelihatan dalam keinginan, keutamaan, dan fokus seseorang. Sikap ini menyebabkan kita untuk menginginkan banyak harta benda. Seseorang yang mengejar kebendaan mungkin tidak kaya atau tidak mampu berbelanja banyak. Bahkan orang miskin pun boleh menjadi mangsa kepada keinginan untuk mengejar kebendaan lalu mengabaikan Kerajaan Tuhan.—Ibr. 13:5.
4. Bagaimanakah Syaitan menggunakan “keinginan mata” untuk menggoda kita?
4 Syaitan menggunakan dunianya untuk membuat kita percaya bahawa memiliki banyak harta benda adalah penting jika kita ingin menikmati kehidupan. Dia pandai menggunakan “keinginan mata” untuk menggoda kita. (1 Yoh. 2:15-17; Kej. 3:6; Ams. 27:20) Dunia menawarkan pelbagai jenis kebendaan yang nampaknya menarik, ada yang canggih dan luar biasa. Pernahkah anda membeli sesuatu bukan kerana anda memerlukannya, tetapi kerana barang itu diiklankan atau dipaparkan dalam cara yang menarik perhatian anda? Adakah anda kemudian sedar bahawa anda tidak memerlukannya? Barang-barang yang tidak diperlukan ini boleh merumitkan dan membebankan hidup. Kita juga mungkin mengabaikan aktiviti rohani seperti pembelajaran Bible, membuat persiapan dan menghadiri perjumpaan, dan menyertai kerja penyebaran. Ingatlah amaran rasul Yohanes: “Dunia dan segala sesuatu di dalamnya yang diingini oleh manusia sedang berlalu.”
5. Apakah yang boleh terjadi kepada mereka yang menggunakan tenaga mereka untuk mengumpulkan kebendaan?
5 Syaitan ingin kita menjadi hamba Kekayaan dan bukannya hamba Yehuwa. (Mat. 6:24) Mereka yang menggunakan tenaga mereka untuk mengumpulkan kebendaan hanya memuaskan keinginan sendiri, tetapi berasa kosong dari segi rohani. Akhirnya mereka sedih dan kecewa. (1 Tim. 6:9, 10; Why. 3:17) Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Yesus dalam perumpamaan tentang seorang petani. Apabila benih kebenaran ‘jatuh di semak berduri, pelbagai keinginan mula meresap ke dalam hati dan membantutkan firman itu sehingga tidak berbuah.’—Mrk. 4:14, 18, 19.
6. Apakah iktibar yang dipelajari daripada contoh Barukh?
6 Fikirkan Barukh, iaitu setiausaha nabi Yeremia. Seperti yang dinubuatkan, pembinasaan Yerusalem sudah mendekat. Tetapi Barukh sibuk memburu kejayaan yang tidak berkekalan. Sebenarnya, dia harus menaruh harapan terhadap janji Yehuwa: “Engkau akan selamat dan tetap hidup.” (Yer. 45:1-5) Tuhan pasti tidak akan memelihara harta benda sesiapa pun di kota yang akan dibinasakan. (Yer. 20:5) Akhir sistem dunia sudah mendekat, kini bukanlah masanya untuk mengumpulkan harta benda. Tidak kira berapa nilainya, semua harta ini tidak akan mengharungi kesengsaraan besar bersama kita.—Ams. 11:4; Mat. 24:21, 22; Luk. 12:15.
7. Apakah yang akan dibincangkan seterusnya, dan mengapa?
7 Yesus memberi kita nasihat mengenai cara memelihara kehidupan kita dan pada masa yang sama tetap berfokus kepada apa yang terpenting, dan bukannya kepada kebendaan. Dia juga mengajar kita supaya tidak risau secara berlebihan. Dia memberikan nasihat ini dalam Ceramah Di Atas Gunung. (Mat. 6:19-21) Mari kita membaca dan mengkaji sebahagiannya yang tercatat di Matius 6:25-34. Dengan demikian, kita akan diyakinkan untuk ‘terus mengutamakan Kerajaan Tuhan,’ dan bukannya kebendaan.—Luk. 12:31.
YEHUWA MENJAGA KEPERLUAN JASMANI KITA
8, 9. (a) Mengapakah kita tidak perlu terlalu khuatir tentang hal yang kita perlukan? (b) Apakah yang diketahui oleh Yesus mengenai manusia dan keperluan mereka?
8 Baca Matius 6:25. Apabila Yesus memberitahu pendengarnya untuk “jangan khuatir lagi tentang hidup” mereka, dia sebenarnya seperti memberitahu mereka, “Jangan bimbang.” Yesus memberitahu mereka hal ini untuk manfaat mereka sendiri. Mereka khuatir terhadap hal-hal yang tidak sepatutnya dikhuatiri. Kekhuatiran sebegini boleh mengganggu pemikiran dan menyebabkan seseorang mengabaikan perkara yang lebih penting. Yesus sangat mengambil berat terhadap murid-muridnya. Oleh itu, dia memberikan amaran tentang kekhuatiran sebegini sebanyak empat kali lagi dalam ceramahnya.—Mat. 6:27, 28, 31, 34.
9 Mengapakah Yesus memberitahu kita untuk tidak khuatir tentang apa yang kita makan, minum, atau pakai? Bukankah hal itu merupakan keperluan asas kehidupan? Sudah tentu! Jika kita tidak mampu memiliki keperluan asas, kita memang akan berasa khuatir. Yesus pun mengetahui hal ini. Dia tahu tentang keperluan harian semua orang. Yesus juga mengetahui bahawa pada “hari-hari terakhir” para pengikutnya akan menghadapi “masa genting yang sukar.” (2 Tim. 3:1) Kehilangan pekerjaan, kejatuhan nilai mata wang, kebuluran, dan kemiskinan dihadapi oleh ramai orang. Walaupun demikian, Yesus sedar bahawa “nyawa lebih berharga daripada makanan dan tubuh lebih berharga daripada pakaian.”
10. Apabila Yesus mengajar pengikutnya cara berdoa, apakah seharusnya menjadi keutamaan mereka?
10 Pada permulaan ceramahnya, Yesus mengajar pendengarnya untuk memohon kepada Bapa di syurga tentang keperluan jasmani. Mereka boleh berdoa sedemikian, “Berilah kami makanan yang kami perlukan untuk hari ini.” (Mat. 6:11) Kemudian, Yesus sekali lagi memberitahu pendengarnya untuk berdoa tentang keperluan harian. (Luk. 11:3) Namun, hal itu tidak bermaksud bahawa kita hanya memikirkan keperluan jasmani. Dalam doa Yesus, dia lebih mengutamakan kedatangan Kerajaan Tuhan daripada keperluan jasmani. (Mat. 6:10; Luk. 11:2) Untuk melegakan hati pendengarnya, Yesus mengatakan bahawa Yehuwa merupakan Pemberi Yang Agung.
11, 12. Apakah yang dapat kita pelajari daripada cara Yehuwa menjaga burung? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
11 Baca Matius 6:26. Yesus berkata, “Perhatikanlah burung di langit.” Walaupun sangat kecil, burung memakan banyak buah-buahan, bijirin, serangga, atau cacing. Jika seekor burung bersaiz seperti manusia, jumlah makanan yang diperlukan burung adalah lebih banyak daripada jumlah yang dimakan oleh manusia. Walaupun demikian, burung tidak menanam benih untuk mendapatkan makanan. Yehuwa menyediakan makanan yang berlimpah bagi burung. (Mzm. 147:9) Sudah tentu, Dia tidak membawa makanan kepada burung! Tetapi burung harus berusaha mencarinya.
12 Bagi Yesus, jika Bapa yang di syurga menyediakan makanan bagi burung, sudah tentu Bapa akan menjaga keperluan asas manusia.[1] (1 Ptr. 5:6, 7) Tuhan tidak akan menyuap kita, tetapi Dia dapat memberkati usaha kita untuk bercucuk tanam atau mendapatkan wang untuk membeli keperluan harian. Dalam sesetengah situasi, Dia mungkin menggerakkan orang lain untuk membantu kita. Walaupun Yesus tidak mengatakan bahawa Yehuwa menyediakan tempat tinggal bagi burung, Yehuwa memberi mereka naluri, kemahiran, dan bahan untuk membuat sarang. Yehuwa juga dapat membantu kita untuk mencari tempat tinggal yang sesuai.
13. Apakah yang membuktikan bahawa kita lebih bernilai daripada burung?
13 Yesus bertanya kepada pendengarnya, “Bukankah kamu jauh lebih berharga daripada burung-burung?” Yesus tahu bahawa tidak lama lagi dia akan menyerahkan nyawanya demi manusia. (Bandingkan Lukas 12:6, 7.) Korban tebusan Kristus disediakan untuk manusia, bukannya benda hidup lain. Yesus tidak mati demi burung, tetapi dia mati supaya manusia dapat menikmati kehidupan kekal.—Mat. 20:28.
14. Orang yang khuatir tidak dapat berbuat apa?
14 Baca Matius 6:27. Mengapakah Yesus berkata bahawa orang yang khuatir tidak dapat memanjangkan hayat walaupun sedikit? Orang yang terlalu khuatir tentang keperluan harian tidak dapat memanjangkan umur. Sebaliknya, kekhuatiran berlebihan akan memendekkan jangka hayat seseorang.
15, 16. (a) Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh bunga-bunga yang tumbuh di padang? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Apakah soalan-soalan yang boleh kita tanya diri, dan mengapa?
15 Baca Matius 6:28-30. Kita semua menginginkan pakaian yang cantik terutamanya sewaktu menjalankan aktiviti rohani seperti menginjil, atau menghadiri perjumpaan dan perhimpunan. Namun, perlukah kita “khuatir tentang pakaian”? Yesus sekali lagi mengalihkan perhatian kita kepada ciptaan Yehuwa, iaitu ‘bunga-bunga yang tumbuh di padang.’ Bunga-bunga itu tidak perlu bekerja atau menenun pakaian. Tetapi, bunga-bunga itu cantik sehingga “Raja Salomo dengan segala kemuliaannya pun tidak berpakaian seindah salah satu daripada bunga-bunga itu.”
16 Fikirkan kata-kata Yesus yang seterusnya, “Mengapakah iman kamu begitu lemah? Jika tumbuh-tumbuhan di padang . . . diberikan pakaian yang indah oleh Tuhan, apatah lagi dengan kamu! Sudah pasti Dia akan memberi kamu pakaian yang diperlukan.” Murid-murid Yesus nampaknya kekurangan iman. (Mat. 8:26; 14:31; 16:8; 17:20) Mereka memerlukan iman yang lebih kuat serta keyakinan pada Yehuwa. Bagaimana pula dengan kita? Seberapa kuatkah iman kita bahawa Yehuwa ingin dan mampu menjaga kita?
17. Apakah yang boleh menjejaskan hubungan kita dengan Yehuwa?
17 Baca Matius 6:31, 32. Kita tidak seharusnya meniru orang daripada “bangsa-bangsa lain” yang tidak memiliki iman terhadap Tuhan. Yehuwa akan menjaga mereka yang mengutamakan Kerajaan-Nya. Jika kita cuba mengumpulkan ‘semua perkara yang asyik dikejar oleh bangsa-bangsa lain,’ hubungan kita dengan Yehuwa akan terjejas. Sebaliknya, jika kita melakukan kehendak Tuhan dan mengutamakan hal-hal rohani, Yehuwa akan menjaga segala keperluan kita. Selain itu, “pengabdian diri kepada Tuhan” akan menggerakkan kita untuk berpuas hati dengan “makanan dan pakaian” atau “tempat tinggal” yang bersesuaian.—1 Tim. 6:6-8, nota kaki.
ADAKAH ANDA MENGUTAMAKAN KERAJAAN TUHAN?
18. Apakah yang Yehuwa tahu mengenai kita, dan apakah yang akan dilakukan-Nya?
18 Baca Matius 6:33. Pengikut Kristus harus selalu mengutamakan Kerajaan Tuhan. Dengan berbuat demikian, Yesus berkata bahawa “semua perkara itu akan diberikan” kepada mereka. Mengapakah Yesus berkata demikian? Dalam ayat yang sebelumnya, Yesus menerangkan, “Bapa kamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua perkara ini.” “Semua perkara ini” merujuk kepada keperluan harian kita. Yehuwa tahu bahawa kita memerlukan makanan, pakaian, dan tempat tinggal. (Flp. 4:19) Yehuwa bahkan tahu bila kita memerlukan baju yang baru. Dia juga tahu jenis makanan yang kita perlukan serta tempat tinggal yang sesuai bagi keluarga kita. Yehuwa akan memastikan bahawa kita memiliki apa yang kita perlukan.
19. Mengapakah kita tidak seharusnya terlalu risau tentang masa hadapan?
19 Baca Matius 6:34. Yesus berkata untuk kali kedua, “Janganlah khuatir.” Yesus ingin kita menangani kerisauan kita sehari demi sehari dan tetap yakin bahawa Yehuwa akan membantu kita. Jika seseorang berasa terlalu risau tentang masa hadapan, dia mungkin bergantung pada diri sendiri dan bukannya Tuhan. Hal ini boleh menjejaskan hubungannya dengan Yehuwa.—Ams. 3:5, 6; Flp. 4:6, 7.
MENGUTAMAKAN KERAJAAN TUHAN DAN YEHUWA AKAN MENJAGA KITA
20. (a) Apakah matlamat yang boleh ditetapkan untuk berkhidmat kepada Yehuwa? (b) Bagaimanakah anda dapat menyederhanakan kehidupan?
20 Adalah sia-sia untuk mengutamakan kebendaan dan bukannya Kerajaan Tuhan. Sebaliknya, kita harus mengejar matlamat rohani. Misalnya, dapatkah anda berpindah ke sidang yang memerlukan penyiar? Dapatkah anda merintis? Jika anda seorang perintis, pernahkah anda berfikir untuk menyertai Sekolah Latihan Penginjil? Dapatkah anda menjadi pekhidmat ulang-alik separuh masa dalam Bethel atau pejabat penterjemahan? Dapatkah anda menjadi pekerja sukarela separuh masa dalam Bahagian Reka Bina Tempatan dan membantu projek pembinaan Dewan Perjumpaan? Fikirkan apa yang anda boleh lakukan untuk menyederhanakan gaya hidup dan meningkatkan aktiviti rohani. Doalah dan fikirkan cadangan di kotak “Cara Menyederhanakan Kehidupan.” Kemudian, berusahalah untuk mencapai matlamat anda.
21. Apakah yang dapat membantu anda untuk menjadi lebih dekat kepada Tuhan Yehuwa?
21 Yesus mengajar kita untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan dan bukannya kebendaan. Dengan berbuat demikian, kita tidak perlu berasa khuatir akan keperluan jasmani. Kita akan menjadi lebih dekat kepada Tuhan Yehuwa jika kita percaya kepada-Nya. Kita juga tidak akan membeli apa sahaja yang diinginkan, walaupun kita mampu berbuat demikian. Menyederhanakan kehidupan kita sekarang akan membantu kita untuk “berpegang teguh pada kehidupan yang sejati.”—1 Tim. 6:19.
^ [1] (perenggan 12) Untuk memahami sebabnya Yehuwa kadangkala membenarkan orang Kristian menghadapi kesukaran untuk mencari makanan, lihat “Pertanyaan Pembaca” dalam majalah Menara Pengawal terbitan 15 September 2014, muka surat 22.