BAB 28
Mengapakah Murid-Murid Yesus Tidak Berpuasa?
MATIUS 9:14-17 MARKUS 2:18-22 LUKAS 5:33-39
MURID-MURID YOHANES BERTANYA TENTANG AMALAN BERPUASA
Yohanes Pembaptis dipenjarakan tidak lama selepas Perayaan Paska tahun 30 M. Dia mahu murid-muridnya mengikut Yesus, tetapi bukan semua muridnya mahu berbuat demikian selepas dia dipenjarakan.
Sekarang ialah musim Paska tahun 31 M. Beberapa orang murid Yohanes datang kepada Yesus dan bertanya, “Mengapakah kami dan orang Farisi sering berpuasa, tetapi murid-muridmu tidak berpuasa?” (Matius 9:14) Berpuasa merupakan sebahagian daripada ibadat orang Farisi. Pada kemudian hari, Yesus bahkan memberikan perumpamaan tentang seorang Farisi yang sombong. Orang Farisi itu berdoa, ‘Ya Tuhan, aku bersyukur kepada-Mu kerana aku tidak seperti orang lain. Aku berpuasa dua kali seminggu.’ (Lukas 18:11, 12) Murid-murid Yohanes juga sering berpuasa. Mereka mungkin berpuasa untuk menunjukkan bahawa mereka sangat sedih kerana Yohanes dipenjarakan. Jadi mereka hairan kerana murid-murid Yesus tidak turut berpuasa.
Yesus menjawab mereka dengan berkata, “Semasa pengantin lelaki masih bersama sahabat-sahabatnya, adakah mereka berdukacita? Tentu tidak! Tetapi masanya akan tiba apabila pengantin lelaki diambil daripada mereka. Pada waktu itulah mereka akan berpuasa.”—Matius 9:15.
Sebelum ini, Yohanes memanggil Yesus seorang pengantin lelaki dalam perumpamaannya. (Yohanes 3:28, 29) Jadi pengantin lelaki yang dimaksudkan oleh Yesus ialah dirinya sendiri. Semasa dia masih hidup, murid-muridnya tidak akan berpuasa, tetapi selepas dia mati, murid-muridnya akan berpuasa kerana berasa sedih. Kemudian, selepas dia dibangkitkan, mereka tidak lagi bersedih dan mereka tidak perlu berpuasa.
Yesus juga memberikan dua perumpamaan berikut: “Tiada orang yang mengambil kain baharu untuk menampal pakaian yang lama, kerana kain baharu itu akan mengecut dan mengakibatkan koyakan yang lebih besar. Demikian juga, orang tidak akan menyimpan wain baharu dalam kirbat lama. Jika tidak, kirbat akan pecah, wain akan tumpah, dan kirbat itu pun rosak. Sebaliknya orang selalu menyimpan wain baharu dalam kirbat baharu.” (Matius 9:16, 17) Apakah maksud perumpamaan ini?
Yesus mahu membantu murid-murid Yohanes untuk memahami bahawa adat-adat agama Yahudi, seperti adat berpuasa, tidak lagi mendapat perkenan Tuhan dan akan dimansuhkan. Ibadat mereka itu sarat dengan adat istiadat manusia dan bagaikan pakaian lama yang sudah koyak. Sememangnya, Yesus tidak akan “mengambil kain baharu untuk menampal pakaian yang lama” atau “menyimpan wain baharu dalam kirbat lama” yang sudah keras.