BAB 38
Yohanes Meminta Kepastian daripada Yesus
YOHANES PEMBAPTIS BERTANYA TENTANG PERANAN YESUS
YESUS MEMUJI YOHANES
Yohanes Pembaptis sudah dipenjarakan selama kira-kira setahun. Biarpun begitu, dia masih mendapat tahu tentang mukjizat Yesus. Bayangkan perasaan Yohanes apabila pengikutnya menceritakan bagaimana Yesus membangkitkan anak seorang balu di Nain. Tetapi dia ingin mendapatkan kepastian daripada Yesus tentang erti semua kejadian ini. Maka dia memanggil dua orang pengikutnya dan mengutus mereka untuk bertanya kepada Yesus, “Adakah Guru merupakan Dia yang Akan Datang, atau adakah kami harus menantikan seorang yang lain?”—Lukas 7:19.
Soalan ini pelik, bukan? Yohanes sangat beriman kepada Tuhan. Hampir dua tahun sebelum ini, dia nampak kuasa suci Tuhan turun ke atas Yesus dan mendengar suara Tuhan dari syurga. Tidak mungkin Yohanes sudah hilang iman kerana Yesus sendiri pun memuji Yohanes. Jadi mengapakah Yohanes menanyakan soalan ini kepada Yesus?
Yohanes mungkin ingin mendengar dari mulut Yesus sendiri bahawa dia ialah Mesias. Jawapan Yesus pasti akan menguatkannya. Selain itu, dia tahu tentang nubuat-nubuat Bible yang menunjukkan bahawa Mesias akan menjadi raja dan penyelamat. Tetapi meskipun Yesus sudah lama dibaptis, dia masih meringkuk dalam penjara. Jadi dia ingin tahu jika ada orang lain yang akan datang selepas Yesus untuk menyempurnakan nubuat-nubuat tentang Mesias.
Yesus tidak terus menjawab, “Ya, akulah Mesias.” Sebaliknya dia membuktikan hal ini dengan menyembuhkan banyak orang yang menghidap pelbagai jenis penyakit. Kemudian dia memberitahu pengikut Yohanes, “Pergilah kepada Yohanes dan laporkanlah apa yang kamu dengar dan lihat: Orang buta dapat melihat, orang tempang dapat berjalan, pesakit kusta disembuhkan, orang tuli dapat mendengar, orang mati dibangkitkan, dan berita baik sedang dikhabarkan kepada orang miskin.”—Matius 11:4, 5.
Yohanes mungkin mahu Yesus membebaskannya dari penjara. Tetapi Yesus menunjukkan bahawa dia tidak patut mengharapkan hal ini terjadi.
Setelah pengikut Yohanes beredar, Yesus memberitahu orang ramai bahawa Yohanes bukanlah seorang nabi biasa. Dia ialah utusan Yehuwa yang dinubuatkan di Maleakhi 3:1. Dia juga ialah Nabi Elia yang dinubuatkan di Maleakhi 4:5, 6. Yesus berkata, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Antara orang yang dilahirkan, tiada yang lebih besar daripada Yohanes Pembaptis. Namun, orang yang berkedudukan rendah dalam Kerajaan di syurga lebih besar daripadanya.”—Matius 11:11.
Perhatikan bahawa Yesus berkata, ‘Orang yang berkedudukan rendah dalam Kerajaan di syurga lebih besar daripada Yohanes.’ Hal ini bererti bahawa Yohanes tidak akan naik ke syurga. Dia telah membuka jalan bagi Yesus, tetapi dia mati sebelum Yesus membuka jalan ke syurga. (Ibrani 10:19, 20) Jadi biarpun Yohanes ialah nabi yang setia, dia akan menjadi rakyat Kerajaan Tuhan di bumi.