BAB 22
Empat Orang Murid Menjadi Penjala Manusia
MATIUS 4:13-22 MARKUS 1:16-20 LUKAS 5:1-11
YESUS MENJEMPUT MURIDNYA UNTUK MENGINJIL SECARA SEPENUH MASA
PENJALA IKAN MENJADI PENJALA MANUSIA
Selepas orang Nasaret cuba membunuh Yesus, dia pergi ke Kapernaum, dekat Tasik Galilea, yang juga dipanggil “Tasik Genesaret.” (Lukas 5:1) Maka nubuat yang menyatakan bahawa penduduk Galilea akan disinari cahaya yang gemilang telah menjadi kenyataan.—Yesaya 9:1, 2.
Di Galilea, Yesus terus mengumumkan bahawa “Kerajaan di syurga sudah dekat.” (Matius 4:17) Dia mencari empat orang muridnya. Dahulu mereka mengikutnya, tetapi selepas mereka pulang dari Yudea, mereka kembali bekerja sebagai nelayan. (Yohanes 1:35-42) Sekarang Yesus mahu mereka mengikutnya dan menginjil secara sepenuh masa. Dia mahu melatih mereka agar mereka dapat terus menginjil selepas dia naik ke syurga.
Semasa Yesus berjalan di tepi tasik, dia nampak Petrus, Andreas, dan beberapa orang rakan mereka sedang mencuci jala. Dia menaiki perahu Petrus dan menyuruh Petrus untuk mendayung perahu itu jauh sedikit dari darat. Kemudian dia duduk di dalam perahu lalu mula mengajar orang ramai tentang Kerajaan Tuhan.
Yesus berkata, “Dayunglah perahu ke tempat yang dalam, dan labuhkanlah jala kamu untuk menangkap ikan.” Petrus menjawab, “Guru, kami bekerja keras sepanjang malam tetapi tidak dapat menangkap apa-apa pun. Namun, aku akan melabuhkan jala seperti yang Guru suruh.”—Lukas 5:4, 5.
Mereka menangkap begitu banyak ikan sehingga jala itu mula koyak. Jadi mereka meminta rakan-rakan di dalam perahu yang lain untuk membantu mereka. Kedua-dua perahu mereka penuh dengan ikan sehingga perahu mereka mula tenggelam. Apabila Petrus melihat apa yang berlaku, dia berlutut di hadapan Yesus lalu berkata, “Tinggalkanlah aku, Tuan, kerana aku orang yang berdosa.” Yesus berkata, “Janganlah takut. Mulai sekarang kamu akan menjala orang yang hidup.”—Lukas 5:8, 10.
Yesus memberitahu Petrus dan Andreas, “Ikutlah aku, dan aku akan menjadikan kamu penjala manusia.” (Matius 4:19) Yesus juga menjemput Yakobus dan Yohanes, iaitu anak-anak Zebedeus, untuk mengikutnya. Dengan serta-merta, mereka semua meninggalkan jala lalu mengikut Yesus dan menjalankan kerja penyebaran secara sepenuh masa.