Siapakah yang Sedang Memimpin Umat Tuhan?
“Ingatlah akan mereka yang mengambil pimpinan dalam kalangan kamu.”—IBR. 13:7.
1, 2. Selepas Yesus naik ke syurga, apakah soalan yang mungkin difikirkan oleh para rasulnya?
DI ATAS Gunung Zaitun, rasul-rasul Yesus termenung memandang ke langit. Tuan dan sahabat mereka, Yesus, baru sahaja diangkat ke syurga. (Kis. 1:9, 10) Selama kira-kira dua tahun, Yesus telah mengajar, menggalakkan, dan memimpin mereka. Sekarang, dia sudah tiada. Apakah yang harus dilakukan mereka?
2 Yesus telah memberi para pengikutnya satu tugas: “Kamu akan menjadi saksi-saksiku di Yerusalem, di seluruh Yudea, di Samaria, dan sampai ke hujung bumi.” (Kis. 1:8) Bagaimanakah mereka dapat melaksanakan tugas itu? Yesus pernah kata bahawa mereka akan menerima daya aktif Tuhan. (Kis. 1:5) Namun, pengaturan dan arahan yang baik juga diperlukan untuk menginjil di serata dunia. Dahulu, Yehuwa pernah melantik wakil di bumi untuk mengaturkan dan memimpin umat-Nya. Oleh itu, para rasul mungkin tertanya-tanya, “Adakah Tuhan akan melantik pemimpin yang baharu sekarang?”
3. (a) Selepas Yesus naik ke syurga, apakah keputusan penting yang dibuat oleh para rasul? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?
3 Hampir dua minggu kemudian, murid-murid Yesus mengkaji Alkitab, memohon bimbingan Tuhan, dan memilih Matias untuk menggantikan Yudas Iskariot sebagai rasul yang ke-12. (Kis. 1:15-26) Mengapakah pelantikan Matias begitu penting bagi mereka dan Yehuwa? Matias dipilih untuk memenuhi keperluan yang penting.a Yesus telah memilih dan melatih 12 orang rasulnya untuk memainkan peranan yang penting dalam kalangan umat Tuhan. Apakah peranan itu? Bagaimanakah Yehuwa menggunakan Yesus untuk melengkapi mereka bagi memenuhi peranan itu? Apakah aturan pada masa itu yang juga wujud pada hari ini? Bagaimanakah kita dapat ‘ingat akan mereka yang mengambil pimpinan,’ terutamanya “hamba yang setia dan bijaksana”?—Ibr. 13:7; Mat. 24:45.
YESUS MEMIMPIN BADAN PIMPINAN
4. Apakah peranan para rasul dan penatua di Yerusalem pada abad pertama?
4 Pada Pentakosta 33 M, para rasul mula memimpin sidang Kristian. Ketika itu, “Petrus berdiri bersama 11 orang rasul yang lain” dan berucap kepada sekumpulan besar orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi. (Kis. 2:14, 15) Setelah mendengar kebenaran tentang penyelamatan, ramai antara mereka menjadi orang Kristian. Selepas itu, mereka “terus menumpukan sepenuh perhatian kepada ajaran para rasul.” (Kis. 2:42) Para rasul bertanggungjawab mengurus hal kewangan sidang. (Kis. 4:34, 35) Mereka juga ‘menggunakan masa dan tenaga untuk berdoa dan mengajarkan firman Tuhan,’ supaya keperluan rohani umat Tuhan dipenuhi. (Kis. 6:4) Selain itu, mereka mengutus orang Kristian yang berpengalaman untuk menginjil di kawasan baharu. (Kis. 8:14, 15) Penatua-penatua lain yang terurap kemudiannya menyertai para rasul untuk mengambil pimpinan dalam sidang. Merekalah yang membentuk badan pimpinan pada masa itu.—Kis. 15:2.
5, 6. Bagaimanakah badan pimpinan (a) dibimbing oleh daya aktif Tuhan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) dibantu oleh malaikat? (c) dibimbing oleh Firman Tuhan?
5 Apakah yang meyakinkan orang Kristian pada abad pertama bahawa Yehuwa menggunakan Yesus untuk membimbing badan pimpinan? Pertama, badan pimpinan dibimbing oleh daya aktif Tuhan. (Yoh. 16:13) Daya aktif dicurahkan ke atas semua orang Kristian terurap, tetapi daya aktif telah memberi para rasul dan penatua di Yerusalem kebolehan untuk menjadi penyelia. Misalnya, pada tahun 49 M, daya aktif Tuhan telah membimbing badan pimpinan semasa membuat keputusan tentang isu sunat. Setelah mengikut arahan badan pimpinan, ‘iman orang di sidang-sidang semakin teguh, dan setiap hari, bilangan mereka semakin bertambah.’ (Kis. 16:4, 5) Surat yang mengandungi arahan itu juga menunjukkan bahawa badan pimpinan memiliki kasih dan iman, yang merupakan sebahagian daripada buah daya aktif Tuhan.—Kis. 15:11, 25-29; Gal. 5:22, 23.
6 Kedua, badan pimpinan dibantu oleh malaikat. Kornelius ialah orang bukan Yahudi yang pertama untuk menjadi orang Kristian tanpa disunat. Sebelum Kornelius dibaptis, satu malaikat telah menyuruhnya mencari Rasul Petrus. Setelah Petrus menginjil kepada Kornelius dan saudara-maranya, daya aktif Tuhan dicurahkan ke atas mereka, walaupun mereka semua tidak bersunat. Hal ini membuktikan kepada para rasul dan saudara-saudara lain bahawa Tuhan menghendaki orang bukan Yahudi yang tidak bersunat untuk menyertai sidang Kristian. (Kis. 11:13-18) Selain itu, malaikat juga membantu dan menyokong kerja penyebaran yang diamanahkan kepada badan pimpinan. (Kis. 5:19, 20) Ketiga, badan pimpinan dibimbing oleh Firman Tuhan. Setiap kali mereka menyampaikan arahan dan membuat keputusan tentang ajaran Kristian, mereka pasti merujuk kepada Ayat-Ayat Suci.—Kis. 1:20-22; 15:15-20.
7. Mengapakah kita mengatakan bahawa Yesus ialah pemimpin sidang Kristian pada abad pertama?
7 Walaupun badan pimpinan memberikan arahan kepada sidang, mereka sedar bahawa Yesus ialah Pemimpin mereka. Rasul Paulus menulis, “Dia [Kristus] mengurniakan sesetengah orang sebagai rasul. Kita harus . . . menjadi matang dalam segala hal dan menjadi seperti Kristus, iaitu kepala kita.” (Ef. 4:11, 15) Ahli-ahli sidang tidak dipanggil pengikut rasul, tetapi “disebut orang Kristian seperti yang dikehendaki oleh Tuhan.” (Kis. 11:26) Meskipun Paulus menasihati orang Kristian untuk “berpegang teguh pada ajaran” yang disampaikan oleh para rasul dan saudara yang mengambil pimpinan, dia juga berkata, “Tetapi aku mahu kamu tahu bahawa Kristus ialah kepala setiap lelaki [termasuk semua ahli badan pimpinan]; . . . dan Tuhan ialah kepala Kristus.” (1 Kor. 11:2, 3) Ya, Yehuwa ialah Kepala Yesus Kristus, dan Dia telah melantik Yesus untuk memimpin sidang.
“INI KERJA TUHAN, BUKAN KERJA MANUSIA”
8, 9. Sejak akhir abad ke-19, apakah peranan penting Saudara Russell?
8 Pada akhir abad ke-19, Charles Taze Russell dan rakan-rakannya berusaha untuk memulihkan penyembahan sejati. Untuk menyebarkan kebenaran dalam pelbagai bahasa, mereka telah mendaftarkan Zion’s Watch Tower Tract Society pada tahun 1884 dan melantik Saudara Russell sebagai presiden.b Dia mengkaji Bible dengan mendalam dan dengan berani mendedahkan ajaran palsu seperti Tritunggal dan roh orang mati. Dia juga belajar bahawa kehadiran Yesus tidak kelihatan, dan bahawa “waktu yang ditetapkan bagi bangsa-bangsa” akan berakhir pada tahun 1914. (Luk. 21:24) Saudara Russell telah menggunakan masa, tenaga, dan wang untuk menyebarkan semua kebenaran itu. Jelaslah bahawa pada detik yang penting itu, Yehuwa dan Yesus menggunakan Saudara Russell untuk mengambil pimpinan.
9 Saudara Russell tidak ingin dimuliakan oleh manusia. Pada tahun 1896, dia menulis bahawa dia dan rakan-rakannya tidak mahu disanjung, dipuja, atau diberi gelaran istimewa. Mereka juga tidak mahu orang lain dikenali sebagai pengikut mereka. Dia berkata, “Ini kerja Tuhan, bukan kerja manusia.”
10. (a) Bilakah “hamba yang setia dan bijaksana” dilantik? (b) Bagaimanakah Badan Pimpinan kemudiannya dibezakan daripada Watch Tower Society?
10 Pada tahun 1919, iaitu tiga tahun selepas kematian Saudara Russell, Yesus telah melantik “hamba yang setia dan bijaksana” untuk “memberi [hamba-hamba lain] makanan pada masa yang sesuai.” (Mat. 24:45) Pada masa itu, sekumpulan kecil saudara terurap di ibu pejabat di Brooklyn, New York, menyediakan makanan rohani untuk para pengikut Yesus. Istilah “badan pimpinan” mula digunakan dalam bahan bacaan kita sekitar tahun 1940-an. Ketika itu, ahli-ahli badan pimpinan biasanya merupakan pengarah Watch Tower Bible and Tract Society. Tetapi pada tahun 1971, Badan Pimpinan dibezakan daripada Watch Tower Society, yang bertanggungjawab menguruskan hal-hal perundangan sahaja. Selepas itu, saudara-saudara terurap yang bukan pengarah pertubuhan itu dapat menjadi ahli Badan Pimpinan. Belakangan ini, saudara-saudara daripada “biri-biri lain” menjadi pengarah bagi Pertubuhan dan perbadanan lain yang digunakan oleh umat Tuhan. Perubahan itu membolehkan Badan Pimpinan bertumpu kepada kerja menyampaikan arahan dan ajaran rohani. (Yoh. 10:16; Kis. 6:4) Majalah Menara Pengawal, terbitan 15 Julai 2013, menjelaskan bahawa “hamba yang setia dan bijaksana” merujuk kepada Badan Pimpinan, yang terdiri daripada sekumpulan kecil saudara terurap.
11. Bagaimanakah Badan Pimpinan berfungsi?
11 Badan Pimpinan membuat keputusan yang penting sebagai satu kumpulan semasa ahli-ahlinya bermesyuarat setiap minggu. Perbincangan sedemikian membantu komunikasi dan memupuk perpaduan. (Ams. 20:18) Oleh sebab semua ahli Badan Pimpinan dipandang sama rata, semua ahlinya akan bergilir-gilir menjadi pengerusi mesyuarat setiap tahun. (1 Ptr. 5:1) Mereka juga bergilir-gilir menjadi pengerusi bagi enam jawatankuasa yang dijaga oleh Badan Pimpinan. Setiap ahli tidak menganggap dirinya sebagai ketua atas saudara-saudaranya, tetapi sebagai “hamba-hamba lain” yang menerima makanan rohani dan bimbingan daripada “hamba yang setia.”
“SIAPAKAH SEBENARNYA HAMBA YANG SETIA DAN BIJAKSANA?”
12. Oleh sebab Badan Pimpinan tidak sempurna atau diilhami oleh Tuhan, apakah soalan yang timbul?
12 Oleh sebab Badan Pimpinan tidak sempurna atau diilhami oleh Tuhan, Badan Pimpinan mungkin berbuat silap semasa menjelaskan ajaran Bible atau memberikan arahan. Di bawah tajuk “Ajaran yang Dikemaskinikan” dalam Panduan Penyelidikan, anda akan melihat bagaimana pemahaman kita telah dikemaskinikan. Yesus pun tidak mengatakan bahawa “hamba yang setia” akan menyediakan makanan rohani yang sempurna. Jadi, apakah yang membuktikan bahawa Badan Pimpinan merupakan “hamba yang setia dan bijaksana”? (Mat. 24:45) Mari kita kaji tiga bukti.
13. Bagaimanakah Badan Pimpinan dibimbing oleh daya aktif Tuhan?
13 Dibimbing oleh daya aktif Tuhan. Daya aktif Tuhan telah membantu Badan Pimpinan untuk memahami kebenaran yang tidak difahami sebelumnya. Fikirkan sesetengah kepercayaan kita yang telah dikemaskinikan. Semua itu merupakan “kebijaksanaan Tuhan yang sangat dalam,” dan pasti tiada manusia yang dapat memahami dan menjelaskan semua itu dengan kebolehan sendiri! (Baca 1 Korintus 2:10.) Seperti Rasul Paulus, Badan Pimpinan percaya bahawa apa yang disampaikan oleh mereka tidak “berasal daripada kebijaksanaan manusia,” tetapi “diajar oleh daya aktif Tuhan.” (1 Kor. 2:13) Setelah manusia diselubungi kegelapan rohani dan ajaran murtad selama berkurun-kurun, pemahaman tentang Bible telah meningkat secara mendadak sejak tahun 1919. Bukankah hal itu membuktikan bahawa daya aktif Tuhan sedang membimbing Badan Pimpinan?
14. Menurut Wahyu 14:6, 7, bagaimanakah malaikat membantu umat Tuhan hari ini?
14 Dibantu oleh malaikat. Hari ini, Badan Pimpinan perlu menjaga kerja penyebaran sedunia yang dilakukan oleh kira-kira lapan juta orang penyiar. Walaupun tanggungjawab itu sangat besar, mengapakah kerja itu dapat dilakukan dengan jayanya? Salah satu sebab adalah kerana bantuan daripada malaikat. (Baca Wahyu 14:6, 7.) Sudah banyak kali, penyiar kita telah mengunjungi orang yang baru sahaja berdoa meminta bantuan!c Tanpa bantuan malaikat, kerja penyebaran tidak mungkin dapat berkembang di serata dunia, terutamanya di tempat kerja kita ditentang dengan kuat.
15. Apakah perbezaan antara Badan Pimpinan dengan para pemimpin Kristian yang lain? Berikan contoh.
15 Dibimbing oleh Firman Tuhan. (Baca Yohanes 17:17.) Fikirkan apa yang berlaku pada tahun 1973. Majalah The Watchtower 1 Jun menyatakan, “Adakah orang yang masih merokok layak dibaptis? Menurut Bible, mereka tidak layak.” Setelah menyebut beberapa ayat Bible, majalah itu menjelaskan sebabnya perokok yang enggan bertaubat harus disingkirkan. (1 Kor. 5:7; 2 Kor. 7:1) Majalah itu juga menyatakan, “Syarat yang tegas ini tidak datang daripada manusia, tetapi daripada Tuhan yang menyatakan piawaian-Nya melalui Firman-Nya.” Adakah mana-mana agama lain yang berpegang teguh pada Firman Tuhan, biarpun hal itu mendatangkan cabaran kepada para penganutnya? Baru-baru ini, sebuah buku di Amerika Syarikat yang menyentuh hal agama menyatakan, “Ramai pemimpin Kristian mengubah ajaran mereka supaya lebih selaras dengan pandangan dan kepercayaan yang disukai ahli gereja dan masyarakat.” Memandangkan Badan Pimpinan membuat keputusan berdasarkan Firman Tuhan dan bukannya pendapat kebanyakan orang, tidakkah hal ini membuktikan bahawa Yehuwa sedang memimpin umat-Nya hari ini?
“INGATLAH AKAN MEREKA YANG MENGAMBIL PIMPINAN”
16. Apakah satu cara kita dapat ingat akan Badan Pimpinan?
16 Baca Ibrani 13:7. Perkataan “ingatlah” juga bermaksud “sebutlah.” Maka, kita dapat menyebut tentang Badan Pimpinan semasa berdoa. (Ef. 6:18) Fikirkan tugas mereka untuk menyediakan makanan rohani, menjaga kerja penyebaran sedunia, dan mengurus wang sumbangan. Sudah pasti kita patut sentiasa berdoa bagi mereka!
17, 18. (a) Apakah satu lagi cara untuk ingat akan Badan Pimpinan? (b) Mengapakah kita harus rajin menginjil?
17 Kita juga ingat akan Badan Pimpinan dengan mematuhi arahan mereka yang diberikan dalam bahan bacaan kita atau semasa perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen. Selain itu, Badan Pimpinan melantik penyelia litar, yang melantik penatua. Penyelia litar dan penatua ingat akan Badan Pimpinan dengan mengikut semua panduan yang diberikan. Apabila kita patuh dan tunduk kepada orang yang dilantik untuk mengambil pimpinan, kita sedang menghormati Pemimpin kita, Yesus.—Ibr. 13:17.
18 Apabila kita rajin menginjil, kita juga sedang ingat akan Badan Pimpinan. Paulus menggalakkan orang Kristian untuk meniru iman mereka yang mengambil pimpinan. Hamba yang setia telah menunjukkan iman yang kukuh dengan menyebarkan berita baik dengan bersemangat. Adakah anda “biri-biri lain” yang membantu mereka dalam kerja ini? Anda pasti berbesar hati semasa Pemimpin anda, Yesus, berkata, “Apa sahaja yang kamu lakukan untuk salah seorang daripada saudaraku yang paling kecil, kamu lakukannya untukku.”—Mat. 25:34-40.
19. Mengapakah anda bertekad untuk mengikut pemimpin kita, Yesus?
19 Setelah Yesus kembali ke syurga, dia masih membantu para pengikutnya. (Mat. 28:20) Semasa dia di bumi, daya aktif, malaikat, dan Firman Tuhan, telah membantunya untuk mengambil pimpinan. Bantuan yang sama juga diberikan kepada hamba yang setia hari ini. Badan Pimpinan “terus mengikuti Anak Bebiri tidak kira ke mana sahaja dia pergi.” (Why. 14:4) Oleh itu, apabila kita mengikut arahan mereka, kita sedang mengikut Pemimpin kita, Yesus. Tidak lama lagi, dia akan memimpin kita ke “mata air kehidupan.” (Why. 7:14-17) Itulah janji yang tidak dapat diberikan oleh mana-mana pemimpin manusia!
a Yehuwa menghendaki agar 12 orang rasul menjadi “12 batu asas” Yerusalem Baharu. (Why. 21:14) Oleh itu, jika seorang rasul tetap setia sampai mati, dia tidak perlu digantikan.
b Sejak tahun 1955, pertubuhan itu dikenali sebagai Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania.
c Lihat buku “Memberikan Kesaksian” dalam bahasa Indonesia, muka surat 58-59.