Tepatilah Janji Anda
‘Cukuplah kamu berkata “Ya” atau “Tidak.”’—MAT. 5:37.
1. Apakah kata-kata Yesus mengenai sumpah, dan mengapa?
BIASANYA orang Kristian sejati tidak perlu bersumpah. Hal ini kerana mereka mematuhi perintah Yesus, ‘Cukuplah kamu berkata “Ya” atau “Tidak.”’ Maksudnya, seseorang perlu menepati janjinya. Sebelum itu, Yesus telah berkata, “Jangan bersumpah sama sekali.” Dia berkata demikian kerana ramai orang suka bersumpah dalam percakapan seharian, tetapi mereka tidak menepati janji. Jika mereka menggunakan “kata-kata yang lebih daripada” Ya atau Tidak, mereka mungkin tidak boleh dipercayai dan dipengaruhi Iblis.—Baca Matius 5:33-37.
2. Jelaskan mengapa mengangkat sumpah tidak selalunya salah.
2 Adakah kata-kata Yesus bermaksud bahawa kita langsung tidak boleh bersumpah? Seperti yang kita belajar dalam rencana sebelumnya, Tuhan Yehuwa dan Abraham telah bersumpah mengenai hal-hal yang penting. Selain itu, Hukum Tuhan menunjukkan bahawa seseorang mesti bersumpah supaya dapat menyelesaikan masalah tertentu. (Kel. 22:10, 11; Bil. 5:21, 22) Oleh itu, seorang Kristian mungkin perlu mengangkat sumpah semasa memberi keterangan di mahkamah. Untuk menyelesaikan masalah, ada kalanya seorang Kristian mesti bersumpah bahawa dia bercakap benar atau pasti akan menunaikan janjinya. Semasa imam agung menyuruh Yesus bersumpah, dia tidak membantah. Sebaliknya, dia memberikan jawapan yang benar kepada Majlis Agama Yahudi. (Mat. 26:63, 64) Namun, Yesus sendiri tidak perlu bersumpah kepada sesiapa kerana dia selalu bercakap benar. Tetapi untuk menekankan hal ini, Yesus sering menggunakan frasa seperti “Percayalah, . . . ” dan ‘Sungguh benar kata-kataku ini.’ (Yoh. 1:51; 13:16, 20, 21, 38) Mari kita lihat apa yang boleh kita pelajari daripada teladan Yesus, Paulus, dan orang lain yang menepati janji mereka.
YESUS—TELADAN TERBAIK
3. Apakah yang dijanjikan oleh Yesus melalui doanya? Apakah reaksi Bapanya di syurga?
3 ‘Ya Tuhan, aku datang untuk melakukan kehendak-Mu.’ (Ibr. 10:7) Dalam doa ini, Yesus telah mempersembahkan dirinya kepada Tuhan untuk menggenapi segala nubuat tentang Benih yang dijanjikan, termasuk nubuat bahawa Syaitan akan “mematuk tumitnya.” (Kej. 3:15, NW) Tiada manusia lain yang pernah menawarkan diri untuk memikul tanggungjawab seberat ini. Walaupun Yesus tidak perlu bersumpah kepada Yehuwa, Tuhan mengumumkan dari syurga bahawa Dia yakin sepenuhnya pada Yesus.—Luk. 3:21, 22.
4. Apakah yang dilakukan oleh Yesus supaya dia dapat menepati janjinya?
4 Yesus telah menepati janjinya. Dia tidak membenarkan apa-apa untuk mengalihkan perhatiannya daripada kerja menyebarkan berita baik dan menjadikan orang muridnya. (Yoh. 6:44) Kata-kata berikut membuktikan bahawa Yesus telah menepati janjinya: ‘Melalui [Yesus], Tuhan sudah mengatakan “Ya” kepada semua janji-Nya.’ (2 Kor. 1:20) Yesus menetapkan teladan yang terbaik kerana dia telah menepati janjinya kepada Yehuwa. Sekarang, mari kita lihat contoh seorang lelaki yang berusaha meniru teladan Yesus.
PAULUS MENGOTAKAN JANJINYA
5. Apakah teladan baik Paulus?
5 “Apakah yang harus saya lakukan, tuan?” (Kis. 22:10) Itulah kata-kata ikhlas Paulus, yang pada masa itu dikenali sebagai Saulus, kepada Tuan Yesus yang muncul kepadanya dalam suatu penglihatan. Yesus mahu Saulus berhenti menganiayai orang Kristian. Hasilnya, Saulus bertaubat, dibaptis, dan menerima tugas istimewa untuk mengisytiharkan berita baik kepada orang daripada pelbagai bangsa. Sejak masa itu, Paulus sering kali memanggil Yesus “Tuan.” (Kis. 22:6-16; 2 Kor. 4:5; 2 Tim. 4:8) Tidak seperti sesetengah orang yang memanggil Yesus ‘Tuan, Tuan’ tetapi tidak menurut kata-katanya, Paulus mematuhi Yesus sehingga akhir hayatnya. (Luk. 6:46) Seperti Paulus, semua orang yang memanggil Yesus “Tuan” patut menepati janji mereka.
6, 7. (a) Mengapakah Paulus mengubah rancangannya untuk ke Korintus? Mengapakah orang lain tidak patut mengkritiknya? (b) Apakah seharusnya pandangan kita terhadap mereka yang mengambil pimpinan?
6 Paulus telah menginjil dengan bersemangat di Asia Kecil dan Eropah serta menubuhkan dan melawat banyak sidang. Ada masanya, dia perlu bersumpah untuk membuktikan bahawa dia bercakap benar. (Gal. 1:20) Semasa sesetengah orang di sidang Korintus mendakwa bahawa Paulus tidak boleh dipercayai, Paulus menulis, ‘Demi Tuhan yang dapat dipercayai, janjiku kepada kamu bukanlah “Ya” dan “Tidak.”’ (2 Kor. 1:18, ABB) Pada mulanya dia ingin melawat Korintus sebelum pergi ke Makedonia. Tetapi dia telah mengubah rancangannya dan melawat Makedonia dahulu. (2 Kor. 1:15, 16) Hari ini, ada kalanya jadual perjalanan penyelia lawatan terpaksa diubah, bukan atas sebab yang remeh atau demi kepentingan diri, tetapi kerana kecemasan berlaku. Dalam situasi Paulus, dia menangguhkan lawatannya ke Korintus demi kebaikan sidang di situ. Mengapa?
7 Semasa Paulus berada di Efesus, dia mendapat berita bahawa pertengkaran dan perbuatan tidak bermoral berlaku dalam sidang Korintus. (1 Kor. 1:11; 5:1) Oleh itu dia telah menulis surat pertama kepada sidang Korintus untuk menasihati mereka. Kemudian, dia tidak terus berlayar ke Korintus dari Efesus. Sebaliknya, dia memberi saudara-saudaranya masa untuk menerapkan nasihatnya. Jadi apabila Paulus melawat mereka nanti, dia dapat menggalakkan mereka. Dia telah menjelaskan hal ini dalam suratnya yang kedua, ‘Tuhan saksiku; Dia tahu akan isi hatiku! Sebenarnya aku membatalkan lawatan ke Korintus, kerana aku tidak mahu menyedihkan hati kamu.’ (2 Kor. 1:23, ABB) Kita tidak harus menjadi seperti orang yang mengkritik Paulus. Sebaliknya kita mahu menghormati mereka yang mengambil pimpinan. Tirulah teladan Paulus sebagaimana dia meneladani Kristus!—1 Kor. 11:1; Ibr. 13:7.
TELADAN BAIK LAIN
8. Apakah teladan baik Ribka?
8 “Ya, saya mahu.” (Kej. 24:58) Itulah kata-kata Ribka kepada ibu dan abangnya semasa ditanya sama ada dia sudi menjadi isteri anak Abraham, Ishak. Dia bertolak pada hari itu juga dan mengadakan perjalanan sejauh lebih daripada 800 km bersama seorang yang tidak dikenalinya. (Kej. 24:50-58) Ribka menepati janjinya, dan menjadi isteri yang baik dan setia. Sejak itu, dia tinggal sebagai orang asing di Tanah yang Dijanjikan. Kesetiaannya menghasilkan berkat: Dia berpeluang menjadi salah seorang nenek moyang Yesus Kristus, Benih yang dijanjikan.—Ibr. 11:9, 13.
9. Bagaimanakah Rut menunjukkan bahawa dia berpegang kepada kata-katanya?
9 “Tidak! Kami akan ikut mak balik ke bangsa mak.” (Rut 1:10) Rut dan Orpa berkata demikian apabila ibu mentua mereka, Naomi, meninggalkan Moab dan balik ke Betlehem. Naomi menyuruh dua janda itu kembali ke tanah air mereka. Orpa akhirnya pulang, tetapi Rut tetap berpegang kepada kata-katanya. (Baca Rut 1:16, 17.) Rut mengikut Naomi walaupun perlu meninggalkan keluarganya serta agama palsu. Rut menyembah Yehuwa dengan setia sepanjang hidup, dan dia menjadi salah seorang daripada lima wanita yang disenaraikan dalam salasilah keturunan Yesus.—Mat. 1:1-16.
10. Mengapakah kita boleh mengatakan bahawa Yesaya menyediakan teladan yang baik?
10 “Inilah aku. Utuslah aku!” (Yes. 6:8) Sebelum mengucapkan kata-kata ini, Yesaya diberikan sebuah penglihatan. Dalam penglihatan itu, dia nampak Yehuwa duduk di takhta-Nya. Yehuwa telah berfirman, “Siapakah yang akan Kuutus? Siapa yang akan menjadi utusan kita?” Yehuwa sedang mencari seorang utusan yang sudi menyampaikan firman-Nya kepada umat-Nya yang ingkar. Yesaya menepati janjinya dengan berkhidmat sebagai nabi Tuhan selama lebih daripada 46 tahun. Dengan setia, dia menyampaikan penghakiman Yehuwa dan janji-janji tentang pemulihan ibadat sejati.
11. (a) Mengapakah penting untuk menepati janji kita? (b) Apakah contoh buruk yang harus kita hindari?
11 Mengapakah Yehuwa mencatatkan contoh-contoh baik ini dalam Firman-Nya? Adakah penting bagi kita untuk menepati janji kita? Bible menjelaskan bahawa orang yang sengaja “memungkiri janji” adalah antara mereka yang “harus dihukum mati.” (Rm. 1:31, 32) Firaun dari Mesir, Raja Zedekia dari Yehuda, dan Ananias dan Safira adalah beberapa contoh buruk dalam Bible yang tidak menepati janji mereka. Oleh itu, mereka telah menderita dan menjadi amaran kepada kita hari ini.—Kel. 9:27, 28, 34, 35; Yeh. 17:13-15, 19, 20; Kis. 5:1-10.
12. Apakah yang boleh membantu kita menepati janji?
12 Kita sekarang hidup pada “hari-hari terakhir.” Kita dikelilingi orang yang tidak setia, serta orang yang ‘pada lahirnya menjalankan kewajipan agama, tetapi tidak menurut ajarannya.’ (2 Tim. 3:1-5) Kita harus berusaha untuk menghindari pergaulan buruk seperti itu. Sebaliknya kita mahu berkumpul bersama mereka yang berusaha menepati janji mereka.—Ibr. 10:24, 25.
JANJI YANG TERPENTING
13. Apakah janji terpenting bagi seorang pengikut Yesus Kristus?
13 Janji terpenting bagi seorang pengikut Yesus Kristus ialah pembaktiannya kepada Tuhan. Sebanyak tiga kali, kita berpeluang menunjukkan bahawa kita ingin melupakan kepentingan sendiri dan menjadi pengikut Yesus. (Mat. 16:24) Pertama, semasa seseorang ingin menjadi penyiar yang belum dibaptis, dua orang penatua bertanya kepadanya, “Adakah anda benar-benar ingin menjadi Saksi-Saksi Yehuwa?” Kemudian, selepas individu itu membuat kemajuan rohani dan ingin dibaptis, para penatua akan bertanya kepadanya, “Sudahkah anda membaktikan diri kepada Yehuwa dalam doa?” Dan akhirnya, pada hari pembaptisan, semua calon akan ditanya, “Atas dasar korban Yesus Kristus, sudahkah anda bertaubat daripada dosa-dosa anda dan membaktikan diri kepada Yehuwa untuk melakukan kehendak-Nya?” Maka, di hadapan umum, mereka akan berkata “Ya” kepada janji untuk menyembah Yehuwa selama-lamanya.
14. Apakah soalan-soalan yang harus kita tanya diri dari masa ke masa?
14 Tidak kira sama ada anda baru dibaptis atau sudah lama menyembah Yehuwa, dari masa ke masa anda harus tanya diri soalan-soalan seperti, “Adakah saya meniru teladan Yesus dan menepati janji terpenting saya? Adakah saya mematuhi Yesus dengan mengutamakan kerja penyebaran dan kerja menjadikan orang murid Yesus?”—Baca 2 Korintus 13:5.
15. Bagaimanakah kita boleh menunjukkan bahawa kita menepati janji kita?
15 Sebagai orang yang telah membaktikan diri kepada Tuhan, kita juga mesti berlaku setia dalam aspek penting yang lain. Contohnya, sudahkah anda berkahwin? Jika ya, anda perlu menghormati ikrar perkahwinan dengan terus mencintai pasangan anda dan setia kepadanya. Pernahkah anda menandatangani kontrak perniagaan, atau mengisi borang permohonan untuk berkhidmat dalam organisasi Yehuwa? Laksanakan janji anda itu dengan sungguh-sungguh. Adakah anda menerima jemputan untuk makan bersama seseorang yang tidak berada? Janganlah batalkan janji itu hanya kerana ada jemputan lain yang lebih baik. Pernahkah anda berjanji kepada penghuni rumah bahawa anda akan kembali? Kalau begitu, tepatilah janji anda, dan Yehuwa tentu akan memberkati kerja penyebaran anda.—Baca Lukas 16:10.
MANFAAT DARIPADA IMAM AGUNG DAN RAJA KITA
16. Apakah yang harus kita lakukan jika kita gagal menunaikan janji?
16 Bible menyatakan bahawa “kita semua sering membuat kesalahan,” terutamanya dengan kata-kata kita. (Yak. 3:2) Jika kita gagal menunaikan janji, apakah yang harus kita lakukan? Di Israel kuno, seseorang yang “bersumpah dengan sembarangan” boleh diampuni. (Im. 5:4-7, 11) Orang Kristian yang gagal menunaikan janji juga boleh diampuni. Namun, kita perlu mengakui kesalahan di hadapan Yehuwa agar dosa kita diampuni melalui Yesus Kristus, Imam Agung kita. (1 Yoh. 2:1, 2) Untuk mendapat perkenan Tuhan, kita perlu membuktikan bahawa kita benar-benar bertaubat. Kita tidak akan sengaja mengulangi kesalahan tersebut, dan akan berusaha untuk membaik pulih situasi buruk yang berlaku akibat janji yang dimungkiri. (Ams. 6:2, 3) Sebenarnya, adalah jauh lebih baik jika kita berfikir masak-masak sebelum membuat apa-apa janji.—Baca Pengkhutbah 5:1.
17, 18. Apakah masa depan unggul yang menantikan orang yang menepati janji?
17 Semua penyembah Yehuwa yang menepati janji mempunyai masa depan yang unggul! Kaum terurap yang berjumlah 144,000 orang akan menerima hidup yang tidak boleh mati di syurga dan ‘memerintah bersama-sama Yesus selama seribu tahun.’ (Why. 20:6) Berjuta-juta orang lain pula mempunyai harapan untuk hidup di bumi firdaus di bawah pemerintahan Yesus Kristus. Pada masa itu, mereka akan dibantu untuk menjadi sempurna dari segi fizikal dan mental.—Why. 21:3-5.
18 Pada penghujung Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, orang yang tetap setia semasa ujian terakhir tidak perlu meragui kata-kata orang lain lagi. (Why. 20:7-10) Semua orang akan menepati janji mereka. Hal ini kerana mereka meniru teladan Bapa mereka di syurga yang merupakan Tuhan kebenaran.—Ul. 32:4.