BAB 117
Perjamuan Malam Tuan
MATIUS 26:21-29 MARKUS 14:18-25 LUKAS 22:19-23 YOHANES 13:18-30
YUDAS DIKENAL PASTI SEBAGAI PENGKHIANAT
YESUS MENGASASKAN PERJAMUAN MALAM TUAN
Nampaknya jamuan Paska sudah tamat. Sekarang Yesus memetik kata-kata Daud yang berbunyi, “Sahabat karibku yang aku percayai, yang makan bersama-samaku, telah mengangkat tumitnya untuk menentang aku.” Kemudian dia menjelaskan, “Salah seorang daripada kamu akan mengkhianati aku.”—Mazmur 41:9; Yohanes 13:18, 21.
Para rasul, termasuk Yudas Iskariot, bertanya, “Tuan, adakah aku orangnya?” Petrus menyuruh Yohanes, yang duduk di sisi Yesus, untuk mencari tahu siapa yang dimaksudkannya. Maka Yohanes bersandar pada Yesus lalu bertanya, “Tuan, siapakah orang itu?”—Matius 26:22; Yohanes 13:25.
Yesus menjawab, “Orang yang aku beri roti yang aku celup ke dalam mangkuk, dialah orang itu.” Yesus pun mencelup roti ke dalam mangkuk lalu menghulurkannya kepada Yudas dan berkata, “Seperti yang tertulis, Anak Manusia memang akan mati. Tetapi malanglah orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik jika orang itu tidak dilahirkan.” (Yohanes 13:26; Matius 26:24) Kemudian Syaitan memasuki Yudas. Kini lelaki yang jahat ini akan melakukan kehendak Si Iblis dan menjadi “[orang] yang akan dimusnahkan itu.”—Yohanes 6:64, 70; 12:4; 17:12.
Yesus memberitahu Yudas, “Cepatlah lakukan apa yang hendak kamu lakukan.” Oleh sebab Yudas yang menjaga peti wang, rasul-rasul lain menyangka bahawa Yesus menyuruhnya untuk “membeli barang yang diperlukan bagi perayaan itu, atau memberikan sedekah kepada orang miskin.” (Yohanes 13:27-30) Tetapi Yudas sebenarnya pergi untuk mengkhianati Yesus.
Setelah Yudas beredar, Yesus mengasaskan jamuan yang baharu. Dia mengambil roti dan mengucapkan syukur lalu membahagikan roti itu sambil berkata, “Roti ini melambangkan tubuhku yang akan diserahkan untuk kamu. Teruslah melakukan hal ini untuk mengenang aku.” (Lukas 22:19) Roti itu diedarkan kepada setiap rasul dan mereka pun memakannya.
Selepas itu, Yesus mengambil secawan wain dan mengucapkan syukur lalu memberikan cawan itu kepada mereka sambil berkata, “Cawan ini melambangkan perjanjian baharu yang termeterai dengan darahku, yang akan dicurahkan untuk kamu.” (Lukas 22:20) Setiap rasul pun minum daripada cawan itu.
Dengan itu, Yesus mengasaskan sambutan untuk memperingati kematiannya. Para pengikutnya harus merayakan sambutan ini pada 14 Nisan setiap tahun. Sambutan ini mengingatkan mereka tentang pengorbanan yang dibuat oleh Yesus dan Bapanya untuk membebaskan manusia daripada dosa dan kematian. Sambutan ini lebih penting daripada Perayaan Paska kerana sambutan ini menonjolkan bahawa kematian Yesus akan membawa pembebasan kekal kepada umat manusia.
Yesus berkata bahawa darahnya “akan dicurahkan supaya dosa banyak orang diampunkan.” Hal ini bererti bahawa dosa para rasul dan pengikut Yesus yang setia akan diampunkan, dan mereka akan mewarisi Kerajaan Tuhan bersamanya.—Matius 26:28, 29.