BAB 123
Berdoa sewaktu Sangat Tertekan
MATIUS 26:30, 36-46 MARKUS 14:26, 32-42 LUKAS 22:39-46 YOHANES 18:1
YESUS DI TAMAN GETSEMANI
PELUHNYA MENJADI SEPERTI DARAH
Yesus selesai berdoa bersama para rasul. “Selepas mereka menyanyikan lagu pujian, mereka bertolak ke Gunung Zaitun.” (Markus 14:26) Mereka menuju ke arah timur, ke Taman Getsemani, yang selalu dikunjungi Yesus.
Apabila mereka tiba di situ, Yesus memberitahu lapan orang rasulnya, “Duduklah di sini sementara aku pergi ke sana untuk berdoa.” Mereka mungkin menunggu dekat pintu masuk taman itu. Kemudian dia membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes, ke dalam taman itu. Dia sangat gelisah, maka dia berkata, “Aku sedih sekali sehingga hendak mati rasanya. Teruslah berada di sini dan berjaga-jagalah bersamaku.”—Matius 26:36-38.
Dia pergi jauh sedikit daripada mereka lalu “bersujud di tanah dan mula berdoa.” Apakah yang didoakan oleh Yesus pada saat genting ini? Dia berkata, “Bapa, tiada sesuatu pun yang mustahil bagi-Mu. Jauhkanlah cawan ini daripadaku. Namun, janganlah turut kehendakku, tetapi turutlah kehendak-Mu.” (Markus 14:35, 36) Apakah yang dimaksudkannya? Adakah dia takut dan tidak mahu menjadi Penebus manusia? Tidak!
Semasa di syurga, Yesus telah melihat bagaimana orang Roma menyeksa dan membunuh tawanan mereka. Sekarang setelah dia menjadi manusia, dia ada perasaan takut dan dapat merasai kesakitan. Dia juga sangat sedih kerana dia akan mati seperti seorang penjenayah dan hal itu mungkin mengaibkan nama Bapanya. Dalam beberapa jam lagi, dia akan digantungkan pada tiang seperti orang yang mengutuk Tuhan.
Setelah berdoa sekian lama, Yesus kembali dan mendapati bahawa tiga orang rasul itu sedang tidur. Dia berkata kepada Petrus, “Tidak dapatkah kamu semua berjaga-jaga bersama aku selama satu jam? Teruslah berjaga-jaga dan berdoa supaya kamu semua tidak terjerat oleh godaan.” Yesus sedar bahawa mereka juga berasa tertekan dan letih, maka dia berkata, “Sememangnya, hati ingin membuat apa yang benar tetapi tubuh lemah.”—Matius 26:40, 41.
Kemudian dia pergi buat kali kedua dan meminta agar Tuhan menjauhkan “cawan ini” daripadanya. Semasa dia kembali, sekali lagi dia mendapati bahawa mereka bertiga sedang tidur biarpun mereka sepatutnya berdoa supaya mereka tidak terjerat oleh godaan. Jadi apabila Yesus menyoal mereka, mereka “tidak tahu apa yang harus dikatakan.” (Markus 14:40) Yesus pergi buat kali ketiga, lalu bersujud dan mula berdoa.
Yesus sangat risau kerana dia akan mati seperti seorang penjenayah, dan hal ini akan mengaibkan nama Bapanya. Yehuwa mendengar doa Anak-Nya dan mengutus satu malaikat untuk menguatkannya. Biarpun demikian, Yesus “terus berdoa dengan lebih tekun.” Dia memikul tanggungjawab yang berat sekali kerana kehidupan abadinya dan kehidupan abadi semua manusia yang beriman bergantung padanya. Maka dia sangat tertekan sehingga “peluhnya menjadi seperti darah yang menitis ke tanah.”—Lukas 22:44.
Apabila dia kembali kepada rasul-rasulnya buat kali ketiga, sekali lagi dia mendapati bahawa mereka sedang tidur. Dia berkata, “Adakah kamu masih tidur dan berehat pada saat genting ini? Lihatlah! Masanya sudah dekat untuk Anak Manusia dikhianati dan diserahkan ke dalam tangan pendosa. Bangunlah, mari kita pergi. Lihatlah! Pengkhianatku sudah dekat.”—Matius 26:45, 46.