Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
7-13 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MARKUS 7-8
“Pikullah Tiang Seksaanmu dan Terus Mengikut Aku”
(Markus 8:34) Yesus memanggil orang ramai dan murid-muridnya lalu berkata, “Jika sesiapa ingin mengikutku, hendaklah dia menolak kepentingan sendiri, memikul tiang seksaannya, dan terus mengikut aku.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mr 8:34
hendaklah dia menolak kepentingan sendiri: Atau “hendaklah dia menyerahkan semua haknya atas diri sendiri.” Hal ini menunjukkan bahawa seseorang rela menyangkal diri atau menyerahkan dirinya kepada Tuhan untuk menjadi milik-Nya. Frasa Yunani boleh diterjemahkan sebagai “dia mesti berkata tidak kepada dirinya.” Hal ini sesuai kerana seseorang mungkin perlu berkata tidak kepada keinginan, cita-cita, atau kesenangan diri. (2Ko 5:14, 15) Markus menggunakan kata kerja Yunani yang sama semasa dia mencatatkan bahawa Petrus menyangkal Yesus.—Mr 14:30, 31, 72.
w92-IN 1/8 17 per. 14
Bagaimanakah Anda Berlari dalam Perlumbaan Rohani?
14 Yesus Kristus memberitahu murid-muridnya dan orang lain, “Jika sesiapa ingin mengikutku, hendaklah dia menolak kepentingan sendiri (atau, “dia harus berkata, ‘Tidak’ kepada dirinya,” Charles B. Williams), memikul tiang seksaannya, dan terus mengikut aku.” (Markus 8:34) Semasa kita menerima undangan ini, kita harus bersedia untuk “terus” melakukannya. Kita berbuat demikian bukan kerana ingin mendapatkan kurniaan tertentu, tetapi kerana kita sedar bahawa satu keputusan yang kurang bijak boleh menyebabkan kita hilang segala yang telah diusahakan selama ini, dan bahkan menjejaskan masa depan kita. Banyak masa diperlukan untuk membina kerohanian kita, tetapi semuanya boleh lesap dalam sekelip mata jika kita tidak terus berjaga-jaga!
(Markus 8:35-37) Sesiapa yang ingin menyelamatkan nyawanya akan kehilangan nyawanya, tetapi sesiapa yang kehilangan nyawanya demi aku dan demi berita baik akan menyelamatkan nyawanya. 36 Sesungguhnya, apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia tetapi kehilangan nyawanya? 37 Biarpun seseorang menggadaikan segala yang dimilikinya, dapatkah dia menyelamatkan nyawa sendiri?
w08-IN 15/10 25-26 per. 3-4
Apakah yang Akan Anda Korbankan supaya Dapat Terus Hidup?
3 Pada masa itu juga, Yesus mengajukan dua soalan yang menggugah fikiran, “Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia tetapi kehilangan nyawanya?” dan “Biarpun seseorang menggadaikan segala yang dimilikinya, dapatkah dia menyelamatkan nyawa sendiri?” (Mrk. 8:36, 37) Dari sudut pandangan manusia, jawapan kepada soalan pertama adalah jelas. Tiada manfaatnya jika seseorang memiliki seluruh dunia tetapi kehilangan nyawanya. Harta benda hanya dapat dinikmati oleh orang yang masih hidup. Soalan Yesus yang kedua: “Biarpun seseorang menggadaikan segala yang dimilikinya, dapatkah dia menyelamatkan nyawa sendiri?” mungkin mengingatkan pendengarnya tentang tuduhan Syaitan pada zaman Ayub: “Seseorang . . . pasti akan mengorbankan segala-galanya supaya dapat terus hidup.” (Ayb. 2:4) Orang yang tidak menyembah Yehuwa mungkin akan berbuat demikian. Mereka sanggup melakukan apa saja dan mengabaikan prinsip apa pun supaya dapat terus hidup. Namun, orang Kristian memiliki pandangan yang berbeza.
4 Kita tahu bahawa Yesus tidak datang ke bumi untuk memberi kita kesihatan, kekayaan, dan umur panjang di dunia ini. Dia datang untuk membuka peluang supaya kita dapat menikmati kehidupan kekal di dunia baharu, dan kita sangat menghargai harapan itu. (Yoh. 3:16) Bagi seorang Kristian, soalan pertama Yesus boleh membawa maksud, “Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia tetapi kehilangan harapan kehidupan kekal?” Jawapannya: Tidak ada manfaat sama sekali. (1 Yoh. 2:15-17) Untuk membantu kita menjawab soalan Yesus yang kedua, kita boleh menanya diri, “Apakah yang sanggup saya gadaikan sekarang supaya dapat hidup di dunia baharu?” Jawapan kita kepada soalan itu menyingkapkan seberapa kuat harapan itu dalam hati kita, dan hal ini dapat dilihat melalui cara hidup kita.—Bandingkan Yohanes 12:25.
Mencari Permata Rohani
(Markus 7:32-35) orang di situ membawa seorang lelaki yang pekak dan mempunyai masalah pertuturan kepadanya. Mereka merayu agar dia meletakkan tangannya ke atas lelaki tersebut. 33 Yesus membawa lelaki itu jauh daripada orang ramai. Apabila tiada orang lain di situ, Yesus meletakkan jarinya ke dalam telinga lelaki itu. Selepas itu dia meludah dan menyentuh lidah lelaki tersebut. 34 Kemudian Yesus menengadah ke langit dan menarik nafas panjang lalu berkata kepadanya, “Effata,” yang bererti, “Terbukalah.” 35 Pada masa itu juga, daya pendengaran lelaki itu dipulihkan dan masalah pertuturannya pun tiada lagi. Dia dapat bercakap seperti biasa.
w00-IN 15/2 17-18 per. 9-11
Adakah Anda Memiliki “Fikiran Kristus”?
9 Lelaki itu pekak dan mempunyai masalah pertuturan. Mungkin Yesus tahu bahawa lelaki itu gementar atau malu. Maka, Yesus melakukan sesuatu yang berbeza. Dia membawa lelaki itu ke tempat lain, jauh daripada orang ramai. Kemudian, Yesus menggunakan beberapa isyarat untuk memberitahu lelaki itu apa yang hendak dilakukannya. Dia “meletakkan jarinya ke dalam telinga lelaki itu. Selepas itu dia meludah dan menyentuh lidah lelaki tersebut.” (Markus 7:33) Seterusnya, Yesus menengadah ke langit dan menarik nafas panjang. Tindakan Yesus membantu lelaki itu faham bahawa apa yang akan dilakukannya datang daripada kuasa Tuhan. Akhirnya Yesus berkata, “Terbukalah.” (Markus 7:34) Pada saat itu juga, pendengaran lelaki tersebut pulih, dan dia mampu bercakap seperti orang lain.
10 Yesus sungguh bertimbang rasa terhadap orang lain! Dia peka terhadap perasaan mereka, dan perasaan simpati menggerakkan dia untuk menjaga perasaan mereka semasa dia bertindak. Sebagai orang Kristian, kita harus memupuk dan memperlihatkan fikiran Kristus dalam hal ini. Bible menasihati kita, “Hendaklah kamu semua seia sekata, menunjukkan simpati, memiliki kasih sayang terhadap satu sama lain, berbelas kasihan, dan bersikap rendah hati.” (1 Petrus 3:8) Hal ini bererti kita harus mengambil kira perasaan orang lain semasa kita bercakap dan bertindak.
11 Di sidang, kita dapat bertimbang rasa terhadap orang lain dengan menghormati dan memperlakukan mereka sebagaimana kita ingin diperlakukan. (Matius 7:12) Kita harus berhati-hati dengan apa yang kita katakan dan cara kita mengatakannya. (Kolose 4:6) Ingatlah bahawa “kata-kata yang melulu ibarat tikaman pedang.” (Amsal 12:18) Bagaimana pula dalam keluarga? Suami isteri yang benar-benar mengasihi satu sama lain akan peka terhadap perasaan pasangan mereka. (Efesus 5:33) Mereka tidak menggunakan kata-kata kasar atau kata-kata sindiran yang tajam, dan mengelakkan sikap suka mengkritik kerana semua perkara ini akan melukai perasaan pasangan dan sukar untuk disembuhkan. Anak-anak pun mempunyai perasaan, dan ibu bapa yang pengasih mempertimbangkan perasaan anak mereka. Apabila ibu bapa mendisiplinkan anak, mereka akan menjaga maruah anak-anak dan tidak memalukan mereka. (Kolose 3:21) Jika kita bertimbang rasa terhadap orang lain, kita memperlihatkan bahawa kita memiliki fikiran Kristus.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
Pilihlah Cara yang Betul untuk Menyembah Tuhan
PATUTKAH KITA MENYAMBUT KRISMAS?
6 Krismas ialah satu perayaan yang sangat popular, dan ramai orang fikir bahawa Krismas adalah untuk manyambut kelahiran Yesus. Tetapi Krismas sebenarnya berkaitan dengan agama palsu. Menurut sebuah buku rujukan, orang Roma yang beragama kafir menyambut hari jadi matahari pada 25 Disember. Untuk menarik orang kafir menjadi orang Kristian, para pemimpin gereja memutuskan untuk menyambut hari jadi Yesus pada 25 Disember, walaupun itu bukanlah tarikh kelahiran Yesus. (Lukas 2:8-12) Murid-murid Yesus tidak sambut Krismas. Sebuah buku menjelaskan bahawa dalam masa 200 tahun selepas kelahiran Yesus, “tiada orang tahu atau peduli tentang tarikh lahirnya.” (Sacred Origins of Profound Things) Krismas mula disambut beratus-ratus tahun selepas Yesus hidup di bumi.
6. Mengapakah 25 Disember dipilih sebagai hari jadi Yesus?
7 Ramai orang tahu bahawa Krismas dan kegiatan yang berkaitan dengan Krismas, seperti mengadakan jamuan dan memberikan hadiah, berasal daripada agama kafir. Contohnya, di England dan di beberapa kawasan di Amerika Utara, sambutan Krismas pernah diharamkan kerana berkaitan dengan agama kafir. Sesiapa yang menyambut Krismas akan dihukum. Tetapi Krismas mula disambut lagi pada kemudian hari. Mengapakah orang Kristian sejati tidak menyambut Krismas? Kerana mereka ingin sentiasa menggembirakan Tuhan.
7. Mengapakah orang Kristian sejati tidak menyambut Krismas?
14-20 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MARKUS 9-10
“Penglihatan yang Menguatkan Iman”
(Markus 9:1) Dia berkata lagi kepada mereka, “Ketahuilah: Beberapa orang yang berdiri di sini tidak akan mati selagi mereka tidak melihat Kerajaan Tuhan memerintah dengan penuh kuasa.”
w05-IN 15/1 12 per. 9-10
Kristus—Fokus Nubuat Alkitab
9 Lebih daripada setahun telah berlalu sejak Yesus memberikan bukti-bukti bahawa dia ialah Mesias. Paska tahun 32 M telah berlalu. Banyak orang yang dahulunya percaya tidak lagi mengikut dia, mungkin disebabkan penganiayaan, cinta akan kebendaan, atau kekhuatiran hidup. Yang lain mungkin keliru atau kecewa kerana Yesus menolak usaha orang untuk menjadikannya raja. Ketika ditentang oleh para pemimpin agama Yahudi, dia enggan memberikan tanda dari syurga untuk memuliakan dirinya. (Matius 12:38, 39) Keengganannya mungkin membuat beberapa orang berasa hairan. Tambahan lagi, Yesus mula menyingkapkan kepada murid-muridnya sesuatu yang sangat susah difahami: “Dia mesti pergi ke Yerusalem dan dianiaya dengan teruk oleh para pemimpin orang Yahudi, ketua imam, dan jurutulis hukum” dan “dia akan dibunuh.”—Matius 16:21-23.
10 Dalam masa 9 hingga 10 bulan, Yesus akan “meninggalkan dunia ini dan pergi kepada Bapa.” (Yohanes 13:1) Oleh sebab Yesus sangat prihatin terhadap murid-muridnya yang setia, dia menjanjikan beberapa orang muridnya sesuatu yang enggan diberikannya kepada orang Yahudi yang tidak beriman, iaitu suatu tanda dari syurga. Yesus berkata, “Sesungguhnya aku memberitahu kamu bahawa beberapa orang yang berdiri di sini tidak akan mati selagi mereka tidak melihat Anak Manusia datang dalam Kerajaannya.” (Matius 16:28) Sudah tentu, Yesus tidak bermaksud bahawa beberapa orang muridnya akan hidup sehingga tahun 1914 apabila Kerajaan Mesias didirikan. Sebaliknya, dia bermaksud bahawa tiga orang muridnya yang tersayang akan diberi penglihatan tentang kemuliaannya dalam Kerajaan itu. Dalam penglihatan itu, murid-murid melihat rupa Yesus berubah.
(Markus 9:2-6) Enam hari kemudian, Yesus membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes, ke atas sebuah gunung yang tinggi. Hanya mereka berempat berada di situ. Rupa Yesus berubah di depan mereka; 3 dan jubah luarnya menjadi putih bersinar-sinar. Tiada sesiapa pun di bumi yang dapat membasuh kain sehingga menjadi lebih putih daripada itu. 4 Elia dan Musa juga muncul di depan mereka dan berbual-bual dengan Yesus. 5 Maka Petrus berkata kepada Yesus, “Rabbi, kami berasa sangat gembira kerana dapat berada di sini. Biarlah kami mendirikan tiga buah khemah: Satu untukmu, satu untuk Musa, dan satu untuk Elia.” 6 Sebenarnya Petrus tidak mengetahui apa yang harus dikatakan, kerana mereka berasa agak takut.
w05-IN 15/1 12-13 per. 11
Kristus—Fokus Nubuat Alkitab
11 Enam hari kemudian, Yesus membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes ke sebuah gunung yang tinggi (mungkin salah satu puncak Gunung Hermon). Di situ, “rupa Yesus berubah di depan mereka; wajahnya bersinar seperti matahari dan jubah luarnya menjadi terang seperti cahaya.” Nabi Musa dan Nabi Elia juga muncul dan mereka mengadakan perbualan dengan Yesus. Kejadian yang menakjubkan ini mungkin terjadi pada waktu malam. Penglihatan ini begitu nyata sehingga Petrus ingin mendirikan tiga buah khemah untuk Yesus, Musa, dan Elia. Semasa Petrus masih bercakap, sekepul awan yang bersinar meliputi mereka dan kedengaran suara dari awan itu berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya. Dengarkanlah dia.”—Matius 17:1-6.
(Markus 9:7) Kemudian, sekepul awan terbentuk dan meliputi mereka. Kedengaran suara dari awan itu yang berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dengarkanlah dia.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mr 9:7
suara: Dalam buku Matius hingga Yohanes, terdapat tiga peristiwa di mana Yehuwa bercakap kepada manusia tanpa perantara. Inilah peristiwa kedua daripada tiga peristiwa itu.—Lihat nota pembelajaran untuk Mr 1:11.
Mencari Permata Rohani
(Markus 10:6-9) Tetapi sejak awal penciptaan, ‘Tuhan menciptakan lelaki dan perempuan. 7 Itulah sebabnya seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya, 8 lalu mereka berdua akan menjadi satu.’ Dengan demikian, mereka bukan lagi dua tetapi satu. 9 Oleh itu, mereka yang telah disatukan oleh Tuhan tidak boleh dipisahkan oleh manusia.”
w08-IN 15/2 30 per. 8
Sorotan daripada Buku Markus
10:6-9. Tuhan ingin pasangan suami isteri kekal bersama. Maka, suami isteri tidak patut terburu-buru meminta perceraian, sebaliknya mereka harus berusaha menerapkan prinsip-prinsip Bible untuk mengatasi apa saja masalah perkahwinan yang mungkin timbul.—Mat. 19:4-6.
(Markus 10:17, 18) Semasa Yesus meneruskan perjalanannya, seorang lelaki berlari ke arahnya dan berlutut di depannya sambil bertanya, “Guru yang Baik, apakah yang mesti aku lakukan agar aku dapat meraih kehidupan yang kekal?” 18 Yesus berkata, “Mengapakah kamu mengatakan bahawa aku baik? Tiada seorang pun yang baik kecuali Tuhan.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mr 10:17, 18
Guru yang Baik: Lelaki itu memanggil Yesus “Guru yang Baik” sebagai tanda hormat. Hal ini kerana para pemimpin agama biasanya meminta orang ramai memanggil mereka dengan gelaran sebegitu. Meskipun Yesus tidak menghalang orang daripada memanggilnya “Guru” dan “Tuan” (Yoh 13:13), dia menghalakan semua penghormatan kepada Bapanya.
Tiada seorang pun yang baik kecuali Tuhan: Yesus mengakui bahawa hanya Yehuwa selaku Pemerintah Yang Berdaulat, berhak menentukan piawaian tentang apa yang baik dan apa yang buruk. Adam dan Hawa mencuba merampas hak itu dengan memberontak dan memakan buah daripada pokok pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat. Sebaliknya, Yesus bersikap rendah hati dan membiarkan Bapanya menentukan piawaian itu. Tuhan telah menyatakan dan menjelaskan apa yang baik menerusi perintah dalam Firman-Nya.—Mr 10:19.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
(Markus 10:25) Adalah lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada orang yang kaya memasuki Kerajaan Tuhan.”
w04-IN 15/5 30-31
Pertanyaan Pembaca
Yesus Kristus mengatakan bahawa adalah lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum berbanding orang kaya memasuki Kerajaan Tuhan. Adakah kata-kata Yesus ini merujuk kepada unta dan jarum yang harfiah?
Pernyataan yang serupa ini muncul sebanyak tiga kali di dalam Bible. Yesus berkata, “Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada orang yang kaya memasuki Kerajaan Tuhan.”—Matius 19:24; Markus 10:25; Lukas 18:25.
Sesetengah sumber mengatakan bahawa “lubang jarum” itu merujuk kepada sebuah pintu kecil di salah satu gerbang Yerusalem. Jika gerbang itu ditutup pada waktu malam, pintu kecil itu dapat dibuka. Ada yang mempercayai bahawa seekor unta dapat masuk melalui pintu itu. Adakah ini yang dimaksudkan Yesus?
Tidak. Sebenarnya Yesus sedang menyebut tentang jarum yang digunakan untuk menjahit. Memandangkan jarum pada zaman kuno yang diperbuat daripada tulang dan logam ditemui di kawasan itu, hal tersebut menunjukkan bahawa jarum sering digunakan pada masa itu. Kata-kata Yesus di Lukas 18:25 membantu kita memahami hal ini dengan lebih jelas. Ayat itu berbunyi, “Sebenarnya lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum [dalam bahasa asal, “lubang jarum jahit”] daripada orang yang kaya memasuki Kerajaan Tuhan.”
Banyak ahli perkamusan bersetuju dengan perkataan “jarum jahit” yang digunakan dalam Terjemahan Dunia Baharu. Kata Yunani untuk “jarum” di Matius 19:24 dan Markus 10:25 (rha·phisʹ) diambil daripada kata kerja yang bererti “menjahit,” manakala kata Yunani bagi “jarum” di Lukas 18:25 (be·loʹne) merujuk kepada jarum yang digunakan semasa pembedahan. Vine’s Expository Dictionary of Old and New Testament Words mengatakan, “Idea bahawa ‘lubang jarum’ merujuk kepada sebuah pintu kecil merupakan suatu pemahaman yang disebarkan pada zaman moden. Tiada bukti kuno yang menyokong hal tersebut. Sebenarnya, tujuan Tuan mengucapkan kata-kata ini adalah untuk menegaskan sesuatu perkara yang mustahil dilakukan oleh manusia. Maka, kita tidak perlu meremehkan amarannya dengan menyatakan bahawa jarum itu membawa erti yang kiasan.”—1981, Jilid 3, muka surat 106.
Ada yang mencadangkan bahawa perkataan “unta” dalam ayat-ayat ini sepatutnya diterjemahkan sebagai “tali.” Kata Yunani untuk tali (kaʹmi·los) dan unta (kaʹme·los) hampir sama. Tetapi, kata Yunani untuk “unta” dan bukannya “tali” terdapat di Matius 19:24 dalam manuskrip-manuskrip Yunani yang tertua bagi buku Matius (Sinaitikus, Vatikanus No. 1209, dan Aleksandrinus). Menurut laporan, Matius pada asalnya menulis bukunya dalam bahasa Ibrani lalu menterjemahkannya ke dalam bahasa Yunani. Dia tahu perkataan yang digunakan oleh Yesus, jadi dia pasti menggunakan perkataan yang sesuai dalam catatannya.
Ya, kata-kata Yesus memang merujuk kepada jarum jahit dan unta yang harfiah. Dia menggunakan perbandingan ini untuk menegaskan sesuatu perkara yang mustahil dilakukan oleh manusia. Tetapi, adakah kata-kata Yesus bermaksud bahawa orang kaya mustahil masuk ke dalam Kerajaan Tuhan? Tidak. Pernyataan Yesus sebenarnya ialah suatu hiperbola. Sebagaimana unta harfiah tidak dapat memasuki lubang jarum, demikian juga, mustahil bagi orang kaya untuk masuk ke dalam Kerajaan Tuhan jika dia terus berpaut pada kekayaannya dan tidak mengutamakan Yehuwa dalam kehidupannya.—Lukas 13:24; 1 Timotius 6:17-19.
Yesus mengucapkan kata-kata ini sejurus selepas seorang pemimpin muda yang kaya menolak jemputan Yesus untuk menjadi pengikutnya. (Lukas 18:18-24) Jika orang yang kaya lebih mengasihi hartanya daripada hal-hal rohani, dia tidak akan memperoleh kehidupan abadi dalam Kerajaan Tuhan. Namun, beberapa orang kaya telah menjadi murid Yesus. (Matius 27:57; Lukas 19:2, 9) Jadi, orang kaya yang sedar akan keperluan rohaninya dan yang bergantung pada Tuhan boleh mendapat penyelamatan.—Matius 5:3; 19:16-26.
KEHIDUPAN KRISTIAN KITA
“Mereka yang Telah Disatukan Tuhan . . . ”
(Markus 10:4) Mereka berkata, “Musa membenarkan orang yang mahu menceraikan isterinya untuk menulis surat cerai.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mr 10:4
surat cerai: Lihat nota pembelajaran untuk Mt 19:7.
(Markus 10:11) Jadi dia berkata kepada mereka, “Sesiapa yang menceraikan isterinya lalu berkahwin dengan wanita lain, dia berzina dan berlaku curang terhadap isterinya,
nwtsty nota pembelajaran untuk Mr 10:11
menceraikan isterinya: Atau “mengusir isterinya.” Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas tentang kata-kata Yesus di ayat ini, kita boleh merujuk Mt 19:9 yang mengandungi ungkapan “padahal isterinya tidak melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral.” Hal ini bermakna kata-kata Yesus yang dicatatkan Markus merujuk kepada mereka yang menceraikan pasangan atas sebab-sebab lain, dan bukannya kerana pasangannya melakukan “perbuatan seks yang tidak bermoral” (Yunani, por·neiʹa).
berlaku curang terhadap isterinya: Yesus menolak ajaran guru-guru agama yang mengizinkan lelaki untuk menceraikan isteri mereka “atas sebarang alasan.” (Mt 19:3, 9) Bagi orang Yahudi, seorang lelaki tidak mungkin akan berlaku curang terhadap isterinya. Para guru agama mengajar bahawa wanita sahaja yang akan berlaku curang. Kata-kata Yesus menunjukkan bahawa prinsip moral yang sama bukan hanya patut diterapkan oleh isteri, tetapi juga harus diterapkan oleh suami. Hal ini menunjukkan bahawa Yesus memartabatkan para wanita dan menghormati kedudukan mereka.
21-27 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MARKUS 11-12
“Dia Memasukkan Lebih Banyak daripada Semua Orang”
(Markus 12:41, 42) Kemudian, Yesus duduk menghadap peti-peti sumbangan dan mula memerhatikan orang memasukkan wang ke dalam peti-peti itu. Banyak orang kaya memasukkan banyak wang. 42 Lalu seorang balu yang miskin datang dan memasukkan dua keping mata wang yang kecil, yang sangat rendah nilainya.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mr 12:41, 42
peti-peti sumbangan: Menurut sumber Yahudi kuno, peti-peti sumbangan ini berbentuk seperti trompet, atau tanduk, dan mempunyai lubang kecil di bahagian atas. Sumbangan yang diberikan digunakan untuk pelbagai tujuan. Perkataan Yunani dalam ayat ini juga digunakan di Yoh 8:20, dan boleh diterjemahkan sebagai “tempat penyimpanan wang.” Nampaknya, tempat penyimpanan wang di Yoh 8:20 merujuk kepada peti-peti di kawasan yang terletak di Halaman Kaum Wanita. (Lihat Lampiran B11.) Menurut sumber Yahudi, terdapat 13 buah peti sumbangan dalam halaman itu. Orang percaya bahawa Rumah Tuhan juga mengandungi tempat simpanan wang yang utama, dan wang daripada peti-peti sumbangan akan dibawa ke situ.
dua keping mata wang yang kecil: Harfiah, “dua lepton.” Perkataan Yunani “lepton” bermaksud sesuatu yang kecil dan nipis. Nampaknya lepton ialah duit syiling terkecil di Israel yang diperbuat daripada tembaga atau gangsa; 128 lepton bersamaan 1 denari.—Lihat Kamus bagi Istilah Bible, “Lepton,” dan Lampiran B14.
yang sangat rendah nilainya: Harfiah, “iaitu 1 kuadrans.” Kata Yunani ko·dranʹtes (daripada kata Latin quadrans) merujuk kepada duit syiling Roma yang diperbuat daripada tembaga atau gangsa; 64 kuadrans bersamaan 1 denari. Markus menggunakan duit Roma di ayat ini untuk menjelaskan nilai duit syiling yang biasa digunakan oleh orang Yahudi.—Lihat Lampiran B14.
(Markus 12:43) Yesus memanggil murid-muridnya lalu berkata kepada mereka, “Ketahuilah: Apa yang dimasukkan oleh balu yang miskin ini lebih banyak daripada wang yang dimasukkan oleh semua orang ke dalam peti sumbangan.
w97-IN 15/10 16-17 per. 16-17
Yehuwa Menghargai Khidmat Sepenuh Jiwa Anda
16 Beberapa hari kemudian, iaitu pada 11 Nisan, Yesus menghabiskan waktu yang lama di Rumah Tuhan. Di situ, kekuasaannya dipersoalkan dan dia berjaya menangani soalan tentang cukai, pembangkitan, dan hal lain. Dia mengutuk para jurutulis hukum dan orang Farisi kerana mereka “merampas harta milik balu.” (Markus 12:40) Kemudian Yesus duduk di Halaman Kaum Wanita sambil memerhatikan orang memasukkan sumbangan mereka. Menurut tradisi Yahudi, terdapat 13 buah peti sumbangan di situ. Banyak orang kaya datang, dan ada yang mungkin menunjuk-nunjuk dan berlagak alim. (Bandingkan Matius 6:2.) Pandangan Yesus tertumpu kepada seorang wanita. Orang lain mungkin tidak nampak apa-apa yang istimewa tentang wanita itu atau pemberiannya. Namun Yesus, yang dapat membaca hati orang, tahu bahawa wanita itu “seorang balu yang miskin.” Dia juga tahu jumlah pemberian wanita itu, iaitu “dua keping mata wang yang kecil, yang sangat rendah nilainya.”—Markus 12:41, 42.
17 Yesus memanggil murid-muridnya kerana dia ingin mereka melihat sendiri pengajaran yang hendak disampaikannya. “Apa yang dimasukkan oleh balu yang miskin ini lebih banyak daripada wang yang dimasukkan oleh semua orang ke dalam peti sumbangan,” kata Yesus. Dalam pandangan Yesus, wanita itu telah memasukkan lebih banyak daripada jumlah pemberian orang lain. Wanita itu memberikan “segala nafkah hidup yang ada padanya.” Dengan melakukan hal itu, dia sebenarnya menyerahkan dirinya di bawah jagaan Yehuwa. Dia dijadikan teladan meskipun pemberiannya tidak bernilai di mata orang. Namun, di mata Tuhan pemberiannya sangat berharga!—Markus 12:43, 44; Yakobus 1:27.
(Markus 12:44) Hal ini demikian kerana semua orang lain memberikan persembahan daripada lebihan kekayaan mereka, tetapi wanita ini, walaupun dia sangat miskin, dia memberikan segala nafkah hidup yang ada padanya.”
w97-IN 15/10 17 per. 17
Yehuwa Menghargai Khidmat Sepenuh Jiwa Anda
17 Yesus memanggil murid-muridnya, kerana dia ingin mereka melihat sendiri pengajaran yang hendak disampaikannya. “Apa yang dimasukkan oleh balu yang miskin ini lebih banyak daripada wang yang dimasukkan oleh semua orang ke dalam peti sumbangan,” kata Yesus. Dalam pandangan Yesus, wanita itu telah memasukkan lebih banyak daripada jumlah pemberian orang lain. Wanita itu memberikan “segala nafkah hidup yang ada padanya.” Dengan melakukan hal itu, dia sebenarnya menyerahkan dirinya di bawah jagaan Yehuwa. Dia dijadikan teladan meskipun pemberiannya tidak bernilai di mata orang. Namun, di mata Tuhan pemberiannya sangat berharga!—Markus 12:43, 44; Yakobus 1:27.
w87-E 1/12 30 per. 1
Adakah Pemberian Anda Suatu Pengorbanan?
Terdapat banyak iktibar yang boleh dipelajari daripada kisah ini. Salah satunya ialah tentang pemberian kita. Kita semua diberi penghormatan untuk menyumbangkan harta benda kita demi ibadat sejati. Apabila kita mengorbankan sesuatu yang berharga bagi kita dan bukannya apa yang kita tidak perlukan, itulah pemberian yang benar-benar bernilai di mata Yehuwa. Pendek kata, adakah kita memberikan sesuatu yang kita sebenarnya tidak perlukan? Atau adakah pemberian kita benar-benar suatu pengorbanan?
cl-IN 185 per. 15
Kebijaksanaan dalam “Perkhabaran daripada Tuhan”
15 Antara semua orang yang datang ke Rumah Tuhan pada hari itu, balu inilah yang diberi perhatian dan disebutkan di dalam Bible! Kisah ini mengajar kita bahawa Tuhan Yehuwa amat menghargai umat-Nya. Apabila kita memberi kepada Yehuwa dengan sepenuh hati, Dia pasti menerimanya dengan penuh sukacita dan tidak membandingkannya dengan apa yang diberikan oleh orang lain. Yehuwa mengajarkan kebenaran yang menyentuh hati ini dengan cara yang sangat baik!
Mencari Permata Rohani
(Markus 11:17) Dia juga mengajar orang dengan berkata, “Bukankah ada tertulis, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa bagi semua bangsa’? Tetapi kamu telah menjadikannya sarang perompak.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mr 11:17
rumah tempat berdoa bagi semua bangsa: Antara tiga orang penulis yang memetik ayat di Yes 56:7, hanya Markus yang menggunakan frasa “bagi semua bangsa.” (Mt 21:13; Lu 19:46) Rumah Tuhan di Yerusalem sepatutnya menjadi tempat bagi orang Israel dan orang asing untuk beribadat dan berdoa kepada Yehuwa. (1Ra 8:41-43) Memang wajar Yesus mengutuk orang Yahudi yang menggunakan Rumah Tuhan sebagai tempat berniaga dan yang menjadikannya sarang perompak. Perbuatan mereka menyebabkan orang daripada segala bangsa berasa susah untuk datang ke Rumah Yehuwa untuk mengenali-Nya dan menghampiri-Nya.
28 MEI–3 JUN
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MARKUS 13-14
“Janganlah Dijerat oleh Rasa Takut akan Manusia”
(Markus 14:47) Tetapi, salah seorang yang berdiri di situ menghunus pedangnya dan menyerang hamba imam agung lalu mengerat telinganya.
(Markus 14:54) Petrus mengikut Yesus dari jauh sampai ke halaman dalam rumah imam agung. Dia duduk bersama hamba-hamba di situ dan memanaskan badan di depan api yang bernyala terang.
(Markus 14:66-72) Semasa Petrus berada di halaman dalam, seorang hamba perempuan imam agung datang kepadanya. 67 Apabila dia nampak Petrus berdiri dekat unggun api, dia memandang Petrus lalu berkata, “Kamu juga bersama dengan Yesus, orang Nasaret itu!” 68 Tetapi Petrus menafikan hal itu dan berkata, “Aku tidak kenal dia dan tidak faham apa maksud kamu.” Selepas itu, dia keluar lalu pergi ke kawasan berhampiran pagar. 69 Di sana, hamba perempuan itu melihat dia lagi dan mula berkata kepada orang yang berdiri di sana, “Dia salah seorang murid Yesus.” 70 Sekali lagi, Petrus menafikannya. Tidak lama kemudian, orang yang berdiri di situ berkata sekali lagi kepada Petrus, “Tentu kamu salah seorang daripada mereka kerana kamu pun orang Galilea.” 71 Lalu Petrus bersumpah, “Terkutuklah aku jika aku berdusta! Aku tidak kenal lelaki yang kamu semua sebutkan itu!” 72 Pada saat itu juga seekor ayam jantan berkokok untuk kali kedua. Petrus teringat bahawa Yesus sudah berkata kepadanya, “Sebelum ayam jantan berkokok dua kali, kamu akan berkata sebanyak tiga kali bahawa kamu tidak mengenal aku.” Petrus tidak dapat menahan rasa sedih lalu dia mula menangis.
Dia Belajar Pengampunan daripada Tuannya
14 Akhirnya Petrus mengekori orang ramai ke pintu masuk halaman rumah Kayafas, seorang imam agung yang kaya dan berpengaruh, tetapi para pengawal tidak membenarkannya masuk. Yohanes, yang dikenali oleh imam agung, sudah berada di dalam rumah, maka dia keluar untuk bercakap dengan hamba perempuan yang menjaga pintu agar membenarkan Petrus masuk. Tetapi nampaknya Petrus tidak mengikut Yohanes masuk ke dalam rumah untuk mendengar perbicaraan Yesus, sebaliknya dia menunggu di halaman rumah. Dia memanaskan badan di depan unggun api bersama beberapa orang hamba dan para pekerja sambil memerhatikan saksi-saksi palsu yang dibawa masuk untuk menuduh Yesus.—Mrk. 14:54-57; Yoh. 18:15, 16, 18.
it-2-IN 549 per. 6
Petrus
Salah seorang murid Yesus yang lain telah mengikut atau menemaninya ke dalam rumah imam agung. Dengan bantuan murid itu, Petrus pun memasuki halaman rumah itu. (Yoh 18:15, 16) Petrus tidak bersembunyi tetapi dia pergi berdekatan unggun api untuk memanaskan badan. Kemudian, orang lain yang melihatnya mengenalnya dan mengatakan bahawa dia ialah kawan Yesus. Oleh sebab dia mempunyai loghat orang Galilea, mereka menjadi lebih curiga. Apabila Petrus dituduh mengenal Yesus, dia menafikannya sebanyak tiga kali, dan bahkan bersumpah bahawa dia tidak mengenali Yesus. Pada saat itu, seekor ayam jantan berkokok untuk kali kedua, lalu Yesus berpaling dan memandang Petrus. Petrus pun keluar dan menangis tersedu-sedu. (Mt 26:69-75; Mr 14:66-72; Lu 22:54-62; Yoh 18:17, 18; lihat SAAT AYAM JANTAN BERKOKOK; SUMPAH.) Namun, sebelum itu, Yesus telah berdoa agar Petrus tidak kehilangan iman. Nampaknya, doa Yesus itu telah dijawab kerana Petrus masih berpegang pada imannya.—Lu 22:31, 32.
Mencari Permata Rohani
(Markus 14:51, 52) Namun begitu, ada seorang lelaki muda yang mengikut Yesus dari dekat. Dia memakai sehelai kain linen yang bermutu tinggi untuk menutupi tubuhnya, tetapi apabila orang mencuba menangkapnya, 52 dia membuang kain linennya dan melarikan diri dengan memakai jubah dalamnya sahaja.
w08-IN 15/2 30 per. 6
Sorotan daripada Buku Markus
14:51, 52—Siapakah lelaki muda yang “melarikan diri dengan memakai jubah dalamnya sahaja”? Hanya Markus yang menyebut tentang kejadian ini, maka kita dapat menyimpulkan bahawa dia sedang bercakap tentang dirinya sendiri.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
Doa—Penghormatan yang Istimewa
CARA TUHAN MENJAWAB DOA KITA
17 Yehuwa menggunakan malaikat dan hamba-hamba-Nya di bumi untuk menjawab doa kita. (Ibrani 1:13, 14) Ramai orang pernah berdoa agar dibantu memahami Bible, dan tidak lama selepas itu, mereka dikunjungi Saksi-Saksi Yehuwa. Bible menyatakan bahawa malaikat sedang membantu menyebarkan “berita baik” ke seluruh bumi. (Baca Wahyu 14:6) Selain itu, ramai antara kita pernah berdoa kepada Yehuwa kerana masalah atau keperluan tertentu, lalu diberi bantuan daripada saudara saudari Kristian.—Amsal 12:25; Yakobus 2:16.
17. Bagaimanakah Yehuwa menggunakan malaikat dan hamba-hamba-Nya di bumi untuk menjawab doa kita?
18 Yehuwa menggunakan kuasa suci-Nya untuk menjawab doa kita. Semasa kita memohon bantuan Tuhan, Dia memberi kita kuasa suci untuk membimbing dan menguatkan kita. (2 Korintus 4:7) Yehuwa juga menggunakan Bible untuk menjawab doa kita dan membantu kita membuat keputusan yang bijak. Semasa membaca Bible, kita akan jumpa ayat-ayat yang berguna. Di perjumpaan, Yehuwa juga dapat menggerakkan seseorang untuk memberikan komen tentang nasihat yang kita perlukan, atau menggerakkan seorang penatua untuk mengongsi isi penting daripada Bible dengan kita.—Galatia 6:1.
18. Bagaimanakah Yehuwa menggunakan kuasa suci dan Bible untuk menjawab doa?