BAB 74
Pengajaran tentang Keramahan Dan Doa
YESUS MELAWAT MARTA DAN MARIA
TERUSLAH BERDOA
Betania terletak kira-kira tiga kilometer dari Yerusalem. (Yohanes 11:18) Yesus pergi ke situ dan memasuki rumah Marta, Maria, dan Lazarus. Mereka bertiga ialah adik-beradik. Mereka ialah kawan Yesus, dan mereka menyambutnya dengan ramah.
Mereka berbesar hati kerana Mesias sudi menjadi tetamu mereka. Maka Marta beria-ia ingin menyediakan pelbagai makanan untuk Yesus. Sementara Marta bekerja keras, Maria duduk dekat kaki Yesus dan mendengar apa yang dikatakan olehnya. Jadi Marta berkata kepada Yesus, “Tuan, tidakkah Tuan peduli bahawa Maria membiarkan aku menguruskan kerja seorang diri? Suruhlah dia membantu aku.”—Lukas 10:40.
Yesus tidak menegur Maria, sebaliknya dia menasihati Marta dengan berkata, “Marta, Marta, kamu khuatir dan sibuk dengan banyak hal. Sebenarnya yang diperlukan tidak banyak; satu pun sudah cukup. Maria sudah memilih perkara yang terbaik, yang tidak akan diambil daripadanya.” (Lukas 10:41, 42) Ya, Yesus berkata bahawa Marta tidak perlu menyediakan banyak makanan; satu hidangan yang ringkas sudah mencukupi.
Marta berniat baik. Tetapi dia terlepas peluang untuk mendengar ajaran Yesus kerana terlalu khusyuk memasak. Yesus memuji Maria kerana dia membuat pilihan yang bijak, dan dia akan meraih berkat yang berkekalan. Betapa bernilainya pengajaran ini!
Pada waktu lain, seorang murid berkata kepada Yesus, “Tuan, ajarlah kami cara untuk berdoa, sebagaimana Yohanes mengajar murid-muridnya berdoa.” (Lukas 11:1) Kira-kira satu tahun setengah yang lalu, Yesus sudah mengajar mereka tentang hal ini. (Matius 6:9-13) Tetapi murid ini mungkin tidak ada pada masa itu. Maka Yesus mengulanginya sekali lagi. Kemudian dia menceritakan sebuah perumpamaan untuk menunjukkan pentingnya untuk terus berdoa.
“Katakanlah salah seorang daripada kamu pergi kepada sahabatnya pada tengah malam dan berkata, ‘Kawan, pinjamkanlah tiga ketul roti kepadaku. Ada seorang kawanku yang baru sahaja singgah di rumahku dalam perjalanannya, tetapi aku tidak ada apa-apa untuk dihidangkan kepadanya.’ Tetapi sahabat itu menjawab dari dalam, ‘Janganlah susahkan aku. Pintu sudah dikunci, dan aku dengan anak-anak kecilku sudah tidur. Aku tidak dapat bangun dan memberi kamu apa-apa.’ Aku berkata kepada kamu: Meskipun kamu kawannya, dia tidak akan bangun dan memberikan apa-apa kepada kamu. Tetapi memandangkan kamu terus-menerus meminta daripadanya tanpa rasa segan, dia akan bangun lalu memberikan apa sahaja yang kamu perlukan.”—Lukas 11:5-8.
Yesus ingin mengajar kita bahawa jika kita terus meminta tanpa rasa segan, Bapa kita yang di syurga pasti akan menunaikan permintaan kita. Kemudian Yesus menyambung, “Teruslah meminta, dan kamu akan menerimanya; teruslah mencari, dan kamu akan menemukannya; teruslah mengetuk, dan pintu akan dibukakan bagimu. Hal ini demikian kerana setiap orang yang terus meminta akan menerima, setiap orang yang terus mencari akan menemukan, dan pintu pasti akan dibuka bagi setiap orang yang terus mengetuk.”—Lukas 11:9, 10.
Yesus menegaskan hal ini dengan membuat perbandingan berikut: “Siapakah antara kamu selaku bapa yang akan memberikan ular kepada anaknya jika anaknya meminta ikan? Atau adakah kamu akan memberinya kala jengking jika dia meminta telur? Oleh itu, jika kamu yang jahat pun tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anakmu, apatah lagi Bapa yang di syurga! Sudah pasti Dia akan memberikan kuasa suci-Nya kepada mereka yang meminta daripada-Nya.” (Lukas 11:11-13) Ya, kita boleh yakin bahawa Bapa kita yang di syurga sudi mendengar permintaan kita dan memenuhi keperluan kita!