BAB 93
Anak Manusia Akan Disingkapkan
KERAJAAN TUHAN ADA DALAM KALANGAN MEREKA
KEADAANNYA APABILA ANAK MANUSIA DISINGKAPKAN
Yesus masih berada di Samaria atau Galilea, dan orang Farisi bertanya kepadanya tentang kedatangan Kerajaan Tuhan. Mereka menyangka bahawa kedatangan kerajaan itu akan disambut dengan meriah, tetapi Yesus berkata, “Kedatangan Kerajaan Tuhan tidak ketara bagi semua orang. Orang juga tidak akan berkata, ‘Lihatlah di sini!’ atau, ‘Lihatlah di situ!’ kerana Kerajaan Tuhan ada dalam kalangan kamu.”—Lukas 17:20, 21.
Hal ini tidak bererti bahawa Kerajaan Tuhan ada dalam hati hamba Tuhan. Sebaliknya Yesus berkata bahawa kerajaan itu ada dalam kalangan mereka kerana raja kerajaan itu, iaitu Yesus sendiri, sedang berdiri di antara mereka.—Matius 21:5.
Setelah orang Farisi beredar, Yesus memberi murid-muridnya lebih banyak maklumat tentang kedatangan Kerajaan Tuhan. Dia berkata, “Harinya akan tiba apabila kamu berharap dapat melihat masanya Anak Manusia ada bersama kamu, tetapi kamu tidak akan melihat masa itu.” (Lukas 17:22) Yesus sedang menyatakan bahawa Anak Manusia akan menjadi Raja Kerajaan Tuhan pada masa depan. Para pengikutnya tidak akan melihat kedatangan Anak Manusia sehingga masa yang ditetapkan oleh Tuhan tiba.
Yesus berkata lagi, “Orang akan berkata, ‘Lihatlah di situ!’ atau, ‘Lihatlah di sini!’ Janganlah kamu keluar atau mengikut mereka. Sepertimana kilat memancar dari satu hujung langit ke hujung langit yang satu lagi, begitulah keadaannya pada hari Anak Manusia menampakkan diri.” (Lukas 17:23, 24) Para pengikut Yesus tidak akan disesatkan oleh Mesias yang palsu kerana Yesus berkata bahawa kedatangan Mesias yang sejati adalah seperti kilat yang memancar di langit. Maka semua orang yang peka pasti dapat melihat buktinya dengan jelas.
Kemudian Yesus membuat perbandingan antara keadaan semasa kedatangan Anak Manusia dengan keadaan pada zaman kuno. Dia berkata, ‘Sepertimana keadaannya pada zaman Nuh, begitulah keadaannya pada zaman Anak Manusia. Demikian juga keadaannya pada zaman Lot: Orang makan minum, berjual beli, bercucuk tanam, dan membina rumah. Tetapi pada hari Lot keluar dari Sodom, api dan belerang turun dari langit dan membinasakan mereka semua. Demikianlah keadaannya pada hari Anak Manusia menampakkan diri.’—Lukas 17:26-30.
Yesus bukannya mengutuk orang yang melakukan aktiviti harian seperti makan minum, berjual beli, bercucuk tanam, dan membina rumah. Nuh, Lot, dan keluarga mereka juga melakukan hal-hal ini. Sebenarnya orang pada zaman Nuh dan Lot dibinasakan kerana mereka tidak mengutamakan kehendak Tuhan dan tidak menghiraukan bahawa mereka sedang hidup pada masa yang genting. Maka Yesus sedang mengingatkan para pengikutnya bahawa mereka perlu mementingkan kehendak Tuhan dan berusaha melakukannya. Dengan demikian, barulah mereka dapat selamat apabila Tuhan membawa pembinasaan pada masa depan.
Murid-murid Yesus tidak patut bertumpu kepada “barang yang telah ditinggalkan,” iaitu hal-hal duniawi. Dia berkata, “Pada hari itu, hendaklah orang yang berada di bumbung rumah tidak turun untuk mengambil barang di dalam rumah. Begitu juga, hendaklah orang yang berada di ladang tidak balik untuk mengambil barang yang telah ditinggalkan. Ingatlah akan isteri Lot.” (Lukas 17:31, 32) Isteri Lot telah menjadi tiang garam.
Seterusnya Yesus menggambarkan keadaannya apabila Anak Manusia mula memerintah. Dia berkata kepada pengikutnya, “Pada malam itu, dua orang akan berada di atas sebuah katil. Seorang akan dibawa pergi dan seorang lagi akan ditinggalkan.” (Lukas 17:34) Hal ini bererti bahawa ada orang yang akan diselamatkan, dan ada pula yang akan kehilangan nyawa mereka.
Murid-muridnya bertanya, “Tuan, di manakah hal ini akan berlaku?” Dia menjawab, “Di mana ada bangkai, di situlah burung helang akan berkumpul.” (Lukas 17:37) Ya, seperti burung helang yang mempunyai penglihatan yang tajam, pengikut Yesus akan mengenal Kristus yang sejati dan pergi kepadanya. Pada masa itu, mereka yang beriman kepadanya akan mendapat kebenaran yang membawa hidup abadi.