Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
2-8 JULAI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | LUKAS 6-7
“Berilah dengan Murah Hati”
(Lukas 6:37) “Jangan lagi menghakimi orang lain supaya kamu tidak dihakimi, dan jangan lagi mengecam orang lain supaya kamu tidak dikecam. Teruslah mengampuni orang lain supaya kamu diampuni.
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 6:37
Teruslah mengampuni orang lain supaya kamu diampuni: Atau “Teruslah membebaskan, dan kamu akan dibebaskan.” Istilah Yunani yang diterjemahkan “mengampuni” secara harfiah bererti “melepaskan; menyuruh pergi; membebaskan (contohnya, seorang banduan).” Seperti dalam konteks ini, apabila istilah ini dibandingkan dengan perbuatan menghakimi dan mengecam, istilah ini membawa erti membebaskan dan mengampuni, biarpun akibat buruk patut ditanggung atau hukuman wajar dikenakan.
w08 15/5 9-10 per. 13-14
Teruslah Berbuat Baik
13 Buku Matius mencatatkan bahawa Yesus berkata, “Jangan lagi menghakimi orang lain supaya kamu tidak dihakimi.” (Mat. 7:1) Menurut Lukas, Yesus berkata, “Jangan lagi menghakimi orang lain supaya kamu tidak dihakimi, dan jangan lagi mengecam orang lain supaya kamu tidak dikecam. Teruslah mengampuni orang lain supaya kamu diampuni.” (Luk. 6:37) Orang Farisi pada abad pertama menghakimi orang lain tanpa belas kasihan kerana mereka berpegang pada tradisi-tradisi yang tidak berasaskan hukum Tuhan. Mereka yang bersikap sebegini harus berhenti menghakimi. Sebaliknya, mereka hendaklah ‘terus mengampunkan’ kesilapan orang lain. Rasul Paulus memberikan nasihat yang serupa mengenai pengampunan, seperti yang disebutkan di atas.
14 Dengan mengampuni orang, murid-murid Yesus akan mendorong orang lain untuk menunjukkan sikap yang sama. Yesus berkata, “Kamu akan dihakimi sebagaimana kamu menghakimi orang. Sukatan yang kamu gunakan untuk orang, juga akan digunakan untuk kamu.” (Mat. 7:2) Orang lain akan memperlakukan kita sebagaimana kita memperlakukan mereka. Ya, kita akan menuai apa yang kita tanam.—Gal. 6:7.
(Lukas 6:38) Amalkanlah tabiat memberi dan orang lain juga akan memberi kepada kamu. Dengan murah hati, mereka akan mencurahkan pemberian yang dipadatkan dan digoncang-goncang sehingga berlimpah-limpah di dalam lipatan jubahmu. Sukatan yang kamu gunakan untuk orang, juga akan digunakan untuk kamu.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 6:38
Amalkanlah tabiat memberi: Atau “Teruslah memberi.” Kata kerja Yunani yang digunakan boleh diterjemahkan “memberi” dan bermaksud perbuatan yang berterusan.
lipatan jubahmu: Secara harfiah, kata Yunani bererti “dada kamu,” tetapi dalam konteks ini, kata itu mungkin merujuk kepada lipatan kain jubah luar yang longgar di bahagian tali pinggang. ‘Mencurahkan ke dalam lipatan jubah’ boleh merujuk kepada amalan sesetengah pedagang yang mengisi lipatan jubah pelanggan dengan barangan yang dibeli.
Mencari Permata Rohani
(Lukas 6:12, 13) Pada suatu hari, dia pergi ke gunung untuk berdoa. Dia berdoa kepada Tuhan sepanjang malam. 13 Sebaik sahaja hari menjadi terang, dia memanggil murid-muridnya dan memilih 12 orang daripada kalangan mereka lalu menggelar mereka rasul-rasul.
w07 1/8 6 per. 1
Cara Memperoleh Kerohanian Sejati
Yesus sering meluangkan masa yang lama untuk berdoa. (Yohanes 17:1-26) Misalnya, sebelum memilih 12 orang rasulnya, Yesus “pergi ke gunung untuk berdoa. Dia berdoa kepada Tuhan sepanjang malam.” (Lukas 6:12) Meskipun kita tidak perlu berdoa sepanjang malam, orang yang berfikiran rohani akan meniru sikap Yesus. Sebelum membuat keputusan penting dalam kehidupan, mereka meluangkan masa yang secukupnya untuk berdoa kepada Tuhan dan mendapatkan bimbingan kuasa suci Tuhan untuk membuat pilihan yang akan menguatkan kerohanian mereka.
(Lukas 7:35) Meskipun demikian, kebijaksanaan dibuktikan benar oleh perbuatan.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 7:35
perbuatan: Melalui perbuatan Yohanes Pembaptis dan Yesus, tuduhan yang dilontarkan terhadap mereka terbukti tidak benar. Maka, Yesus seolah-olah berkata, “Lihatlah perbuatan dan kelakuan baik orang yang telah difitnah. Dengan itu, kamu akan tahu bahawa tuduhan itu palsu.”
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
Teruslah Menghampiri Yehuwa
HARGAILAH KASIH TUHAN
4 Untuk tetap menghampiri Yehuwa, kita perlu ingat bahawa Dia sangat mengasihi kita. Fikirkan: Yehuwa memberi kita bumi yang indah, yang penuh dengan tumbuhan dan binatang. Dia juga memberi kita makanan yang sedap dan air yang bersih. Melalui Bible, Yehuwa mengajar kita nama-Nya dan sifat-sifat-Nya. Yang terpenting, Dia mengutus Yesus, Anak kesayangan-Nya, untuk mati demi kita. (Yohanes 3:16) Dengan adanya korban Yesus, kita ada masa depan yang cerah.
5 Yehuwa telah mendirikan Kerajaan Mesias di syurga. Kerajaan itu akan mengakhiri penderitaan tidak lama lagi dan menjadikan bumi ini firdaus. Dengan itu, semua orang dapat hidup damai dan bahagia untuk selama-lamanya. (Mazmur 37:29) Yehuwa juga menunjukkan kasih-Nya dengan mengajar kita cara hidup yang terbaik sekarang. Dia menjemput kita untuk berdoa kepada-Nya, dan Dia sentiasa bersedia mendengar doa kita. Jelaslah, Yehuwa mengasihi setiap orang.
4, 5. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kasih-Nya kepada kita?
9-15 JULAI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | LUKAS 8-9
“Apakah yang Diperlukan untuk Menjadi Pengikut Yesus?”
(Lukas 9:57, 58) Dalam perjalanan mereka, ada seseorang yang berkata kepada Yesus, “Aku akan mengikut Guru ke mana sahaja Guru pergi.” 58 Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Rubah mempunyai lubang dan burung di langit mempunyai sarang, tetapi Anak Manusia tidak mempunyai tempat tidur sendiri.”
it-2
Sarang
Sewaktu seorang jurutulis hukum memberitahu Yesus, “Guru, aku akan mengikut Guru ke mana sahaja Guru pergi,” Yesus menjawab, “Rubah mempunyai lubang dan burung di langit mempunyai sarang, tetapi Anak Manusia tidak mempunyai tempat tidur sendiri.” (Mt 8:19, 20; Lu 9:57, 58) Di sini Yesus menunjukkan bahawa pengikutnya harus yakin sepenuhnya kepada Yehuwa dan mengetepikan keselesaan hidup yang biasa dinikmati orang. Prinsip ini dicerminkan dalam doa contoh yang diajarkan Yesus kepada murid-muridnya: “Berilah kami makanan yang kami perlukan untuk hari ini,” dan juga dalam pernyataannya, “Ingatlah bahawa kamu tidak boleh menjadi muridku selagi kamu tidak meninggalkan semua harta kamu.”—Mt 6:11; Lu 14:33.
(Lukas 9:59, 60) Kemudian dia berkata kepada seorang lagi, “Jadilah pengikutku.” Orang itu berkata, “Tuan, izinkanlah aku pergi mengebumikan bapaku terlebih dahulu.” 60 Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Biarlah orang mati mengebumikan orang mati. Tetapi hendaklah kamu pergi dan mengisytiharkan berita tentang Kerajaan Tuhan di merata tempat.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 9:59, 60
mengebumikan bapaku: Besar kemungkinan, kata-kata ini tidak bermaksud bahawa bapa lelaki itu baru sahaja meninggal, dan lelaki itu sedang meminta izin untuk membuat aturan pengebumian. Jika bapanya baru meninggal, dia tidak mungkin berada di sana untuk berbual dengan Yesus. Di Timur Tengah kuno, jika seorang ahli keluarga meninggal, pengebumian akan diadakan secepat mungkin, biasanya pada hari itu juga. Maka bapa lelaki itu bukannya sudah mati, tetapi dia mungkin uzur atau tua. Lagipun, lelaki itu pasti mempunyai ahli keluarga lain yang dapat memberikan jagaan kepada bapanya. Hal ini kerana Yesus tidak akan menyuruh lelaki itu meninggalkan bapanya yang sakit sekiranya dialah satu-satunya ahli keluarga yang dapat menjaga bapanya. (Mr 7:9-13) Sebenarnya, lelaki itu seolah-olah berkata, “Aku akan mengikut Tuan, tetapi bukan sewaktu bapaku masih hidup. Tunggulah sehingga bapaku mati dan aku sudah mengebumikannya.” Dalam pandangan Yesus, lelaki itu melepaskan peluang untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan dalam kehidupannya.—Lu 9:60, 62.
Biarlah orang mati mengebumikan orang mati: Seperti yang dinyatakan dalam nota pembelajaran untuk Lu 9:59, bapa kepada lelaki yang berbual dengan Yesus mungkin uzur atau tua, dan bukannya sudah mati. Maka, apa yang ingin dimaksudkan oleh Yesus ialah ini: “Biarlah mereka yang mati secara rohani mengebumikan orang mati.” Lelaki itu boleh membiarkan ahli keluarganya yang lain menjaga bapanya sehingga bapanya mati dan dikebumikan. Jika lelaki itu menjadi pengikut Yesus, dia berpeluang meraih kehidupan kekal dan tidak tergolong sebagai orang yang mati secara rohani di mata Tuhan. Jawapan Yesus menunjukkan bahawa seseorang yang ingin mengekalkan kerohaniannya harus mengutamakan Kerajaan Tuhan dalam hidup dan memberitakannya ke merata tempat.
(Lukas 9:61, 62) Ada seorang lagi yang berkata, “Aku akan mengikut Tuan, tetapi izinkanlah aku mengucapkan selamat tinggal kepada anggota rumah tanggaku terlebih dahulu.” 62 Yesus berkata kepadanya, “Orang yang memegang bajak tetapi memandang ke belakang tidak sesuai untuk memasuki Kerajaan Tuhan.”
nwtsty media
Membajak
Membajak sering dilakukan pada musim luruh apabila hujan melembutkan tanah yang sudah keras akibat pancaran matahari sepanjang musim panas. (Lihat Lampiran B15.) Sesetengah bajak terdiri daripada sebatang kayu dengan hujung yang tajam (mungkin diperbuat daripada besi) yang dipasang pada satu lagi kayu yang ditarik oleh binatang. Selepas tanah dibajak, benih ditabur. Dalam Kitab Ibrani, kerja membajak biasa digunakan dalam perumpamaan kerana pekerjaan ini diketahui ramai. (Hak 14:18; Yes 2:4; Yer 4:3; Mi 4:3) Yesus sering menggunakan kegiatan pertanian untuk menjelaskan ajaran penting. Misalnya, dia menyebut tentang kerja yang terlibat dalam membajak untuk menekankan pentingnya menyembah Tuhan dengan sepenuh hati. (Lu 9:62) Jika seorang pembajak hilang tumpuan daripada kerjanya, jalur semaian yang terhasil akan menjadi bengkang-bengkok. Begitu juga, seorang murid Kristus yang hilang tumpuan atau yang tidak menjalankan tanggungjawabnya tidak layak memasuki Kerajaan Tuhan.
Mencari Permata Rohani
(Lukas 8:3) Yohana, iaitu isteri kepada pengurus rumah tangga Herodes yang bernama Khuza; Susana; dan banyak lagi wanita lain. Mereka semua menggunakan harta milik mereka untuk menolong Yesus dan rasul-rasulnya.
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 8:3
menolong Yesus dan rasul-rasulnya: Atau “menyokong (menyediakan keperluan) mereka.” Kata Yunani di·a·ko·neʹo boleh merujuk kepada perbuatan menjaga keperluan fizikal orang lain dengan memperoleh makanan, memasak, menghidangkannya, dan sebagainya. Kata ini juga digunakan di Lu 10:40 (“menguruskan kerja”), Lu 12:37 (“melayani”), Lu 17:8 (“layanilah”), dan Kis 6:2 (“mengedarkan makanan”), tetapi juga boleh merujuk kepada perbuatan lain yang serupa. Wanita-wanita yang disebut di ayat 2 dan 3 menyokong Yesus dan murid-muridnya dengan membantu mereka menyempurnakan tugas rohani mereka. Dengan berbuat demikian, wanita-wanita itu memuliakan Yehuwa. Tuhan menunjukkan penghargaan-Nya dan memastikan kemurahan hati mereka dicatatkan dalam Bible supaya generasi yang akan datang dapat membacanya. (Ams 19:17; Ibr 6:10) Istilah Yunani yang sama digunakan tentang perbuatan yang dilakukan oleh para wanita di Mt 27:55; Mr 15:41.
(Lukas 9:49, 50) Yohanes pun berkata, “Guru, kami nampak seseorang menggunakan nama Guru untuk mengusir roh jahat. Kami mencuba menghalangnya kerana dia bukan salah seorang daripada kita.” 50 Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Janganlah menghalangnya, kerana sesiapa yang tidak melawan kamu sedang berpihak kepada kamu.”
w08 15/3 31 per. 2
Sorotan daripada Buku Lukas
9:49, 50—Mengapakah Yesus tidak menghalang seorang lelaki mengusir roh-roh jahat, meskipun lelaki itu tidak menyertai Yesus? Yesus tidak menghalang lelaki itu kerana sidang Kristian belum ditubuhkan. Maka, lelaki itu tidak wajib berada bersama dengan Yesus. Sebaliknya, dia masih dapat beriman kepada nama Yesus dan mengusir roh-roh jahat.—Mrk. 9:38-40.
16-22 JULAI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | LUKAS 10-11
“Lelaki Samaria yang Baik Hati”
(Lukas 10:29-32) Tetapi lelaki itu mahu membuktikan bahawa pandangannya betul. Jadi dia berkata kepada Yesus, “Siapakah yang harus aku kasihi?” 30 Yesus berkata, “Seorang lelaki sedang turun ke Yerikho dari Yerusalem. Di tengah perjalanan, dia diserang oleh penyamun yang mengambil pakaian dan hartanya. Mereka memukulnya sampai setengah mati lalu meninggalkannya di situ. 31 Kebetulan pada masa itu, seorang imam lalu di jalan yang sama. Apabila dia nampak lelaki itu, dia menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanan. 32 Selepas itu, seorang Lewi yang lalu di situ nampak lelaki tersebut. Dia juga menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanan.
nwtsty media
Jalan dari Yerusalem ke Yerikho
Jalan (1) dalam video singkat ini besar kemungkinan merupakan haluan yang sama dengan jalan kuno yang menghubungkan Yerusalem ke Yerikho. Jalan ini melalui kawasan padang belantara Yudea dan panjangnya adalah lebih daripada 20 km. Jalannya berliku-liku dan curam kerana Yerusalem terletak 1 km (atas paras laut) lebih tinggi daripada Yerikho. Orang sering dirompak di kawasan yang tidak berpenghuni ini. Maka, sebuah pasukan tentera perlu berkawal di situ untuk melindungi orang yang mengikut jalan itu. Yerikho Roma (2) terletak di pinggir padang belantara Yudea. Sebuah kota Yerikho yang lebih lama (3) terletak hampir 2 km dari kota Roma itu.
w02 1/9 16-17 per. 14-15
“Dia Tidak Akan Bercakap kepada Mereka Tanpa Menggunakan Perumpamaan”
14 Kedua, ingatlah cerita ibarat tentang lelaki Samaria yang baik hati. Yesus berkata, “Seorang lelaki sedang turun ke Yerikho dari Yerusalem. Di tengah perjalanan, dia diserang oleh penyamun yang mengambil pakaian dan hartanya. Mereka memukulnya sampai setengah mati lalu meninggalkannya di situ.” (Lukas 10:30) Perhatikan bahawa Yesus menyebut tentang jalan dari Yerusalem ke Yerikho. Semasa menceritakan kisah ini, dia berada di Yudea, yang terletak berhampiran dengan Yerusalem. Maka, para pendengarnya kemungkinan besar tahu jalan tersebut. Jalan itu sangat bahaya, khususnya bagi mereka yang membuat perjalanan seorang diri. Jalan itu berliku-liku dan merentasi daerah yang sunyi sepi. Maka ada banyak tempat persembunyian bagi perompak.
15 Selain itu, perhatikan bahawa Yesus berkata seorang lelaki sedang “turun ke Yerikho dari Yerusalem.” Menurut kisah itu, seorang imam dan kemudian seorang Lewi melalui jalan itu, tetapi kedua-duanya tidak berhenti untuk menolong mangsa yang dirompak. (Lukas 10:31, 32) Para imam berkhidmat di Rumah Tuhan di Yerusalem, dan mereka dibantu oleh orang Lewi. Banyak imam dan orang Lewi tinggal di Yerikho semasa mereka tidak bertugas di Rumah Tuhan, kerana jarak Yerikho dari Yerusalem hanya 23 km. Sudah pasti, mereka akan melalui jalan itu dari masa ke masa. Perhatikan juga bahawa imam dan orang Lewi itu sedang dalam perjalanan “dari Yerusalem.” Hal ini bermaksud mereka tidak menuju ke arah Rumah Tuhan. Jadi, tiada seorang pun dapat membela mereka dan berkata, “Mereka tidak mendekati lelaki yang cedera itu kerana dia nampaknya sudah mati. Jika mereka menyentuh mayat, mereka tidak dapat berkhidmat di Rumah Tuhan untuk sementara waktu.” (Imamat 21:1; Bilangan 19:11, 16) Jelaslah bahawa perumpamaan Yesus mencerminkan hal-hal yang diketahui oleh para pendengarnya.
(Lukas 10:33-35) Kemudian, seorang lelaki Samaria yang sedang dalam perjalanannya lalu di situ. Apabila dia nampak lelaki tersebut, dia berasa kasihan. 34 Jadi dia mendekati lelaki itu dan menuangkan minyak dan wain pada luka-lukanya. Selepas itu, dia membalut luka-lukanya dan menaikkan lelaki itu ke atas keldainya. Dia membawa lelaki itu ke sebuah tempat penginapan dan menjaganya. 35 Pada keesokan harinya, lelaki Samaria itu memberikan dua denari kepada pemilik tempat penginapan itu dan berkata, ‘Jagalah dia, dan jika ada perbelanjaan lain, aku akan membayarnya apabila aku kembali ke sini.’
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 10:33, 34
seorang lelaki Samaria: Orang Yahudi biasanya memandang rendah terhadap orang Samaria dan enggan berurusan dengan mereka. (Yoh 4:9) Sesetengah orang Yahudi bahkan menggunakan istilah “orang Samaria” untuk menghina atau menunjukkan rasa benci. (Yoh 8:48) Menurut catatan Mishna, seorang rabbi berkata, “Orang yang makan roti orang Samaria sama seperti orang yang makan daging babi.” (Shebith 8:10) Ramai orang Yahudi tidak mempercayai keterangan orang Samaria atau menerima khidmat mereka. Yesus sedar akan sikap buruk orang Yahudi secara umum, jadi dia menyerlahkan isi penting dalam perumpamaannya tentang lelaki Samaria yang baik hati.
menuangkan minyak dan wain pada luka-lukanya . . . membalut luka-lukanya: Lukas yang merupakan seorang doktor mencatatkan perumpamaan Yesus dengan teliti, dan menggambarkan kaedah rawatan yang digunakan pada zaman itu. Minyak dan wain biasa digunakan di rumah untuk merawat luka. Kadangkala minyak digunakan untuk mengubati luka (bandingkan Yes 1:6), dan wain boleh digunakan sebagai antiseptik dan untuk mencegah jangkitan. Lukas juga menerangkan bahawa luka lelaki itu dibalut supaya keadaannya tidak bertambah parah.
sebuah tempat penginapan: Kata Yunani secara harfiah bererti “sebuah tempat di mana semua orang diterima atau disambut masuk.” Orang yang membuat perjalanan, termasuk haiwan mereka, boleh menginap di tempat sebegini. Pemilik tempat penginapan menawarkan keperluan asas kepada pelanggannya. Jika diberikan bayaran tambahan, pemilik itu juga boleh memberikan jagaan kepada orang yang menginap di tempatnya.
(Lukas 10:36, 37) Pada pendapat kamu, siapakah antara tiga orang lelaki ini yang mengasihi lelaki yang dirompak itu?” 37 Dia menjawab, “Lelaki yang menunjukkan belas kasihan terhadapnya.” Yesus berkata kepadanya, “Pergilah dan berbuatlah demikian.”
w98 1/7 31 per. 2
Seorang Samaria Terbukti Baik Hati
Cerita ibarat Yesus menunjukkan bahawa orang yang benar-benar baik hati tidak hanya mematuhi hukum Tuhan tetapi juga meniru sifat-sifat-Nya. (Efesus 5:1) Misalnya, Bible memberitahu kita bahawa “Tuhan tidak berat sebelah.” (Kisah 10:34) Adakah kita meniru Tuhan dalam hal ini? Cerita ibarat Yesus yang menyentuh hati menegaskan bahawa kita harus bersikap baik hati terhadap semua orang tanpa mengira bangsa, budaya, dan agama. Sesungguhnya, orang Kristian dikehendaki “berbuat baik kepada semua orang” dan bukan hanya kepada orang daripada kedudukan sosial, kaum, atau bangsa yang sama, atau hanya kepada rakan-rakan seiman.—Galatia 6:10.
Mencari Permata Rohani
(Lukas 10:18) Maka, Yesus berkata kepada mereka, “Aku nampak Syaitan sudah jatuh dari langit seperti kilat.
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 10:18
Aku nampak Syaitan sudah jatuh dari langit seperti kilat: Nampaknya Yesus bernubuat tentang pengusiran Syaitan dari syurga seolah-olah hal itu sudah pun berlaku. Why 12:7-9 menggambarkan perang yang terjadi di syurga. Pada masa itu, Syaitan dijatuhkan, dan peristiwa itu dikaitkan dengan kelahiran Kerajaan Mesias. Maka, Yesus ingin menegaskan bahawa Syaitan dan roh-roh jahatnya pasti kalah semasa perang itu nanti, kerana Tuhan baru sahaja memberikan kuasa kepada 70 orang murid Yesus untuk mengusir roh jahat, sedangkan mereka hanyalah manusia biasa.—Lu 10:17.
w08 15/3 31 per. 11
Sorotan daripada Buku Lukas
10:18—Apakah yang dimaksudkan oleh Yesus sewaktu dia memberitahu 70 orang muridnya, “Aku nampak Syaitan sudah jatuh dari langit seperti kilat”? Yesus tidak memaksudkan bahawa Syaitan sudah dicampakkan dari syurga. Hal itu hanya akan terjadi setelah Kristus ditabalkan sebagai Raja di syurga pada tahun 1914. (Why. 12:1-10) Meskipun kita tidak bersikap dogmatik, kita boleh menyimpulkan bahawa Yesus sedang menekankan hal itu pasti menjadi kenyataan kerana dia menyebut tentang peristiwa yang belum terjadi seolah-olah sudah berlaku.
(Lukas 11:5-9) Kemudian dia berkata kepada mereka, “Katakanlah salah seorang daripada kamu pergi kepada sahabatnya pada tengah malam dan berkata, ‘Kawan, pinjamkanlah tiga ketul roti kepadaku. 6 Ada seorang kawanku yang baru sahaja singgah di rumahku dalam perjalanannya, tetapi aku tidak ada apa-apa untuk dihidangkan kepadanya.’ 7 Tetapi sahabat itu menjawab dari dalam, ‘Janganlah susahkan aku. Pintu sudah dikunci, dan aku dengan anak-anak kecilku sudah tidur. Aku tidak dapat bangun dan memberi kamu apa-apa.’ 8 Aku berkata kepada kamu: Meskipun kamu kawannya, dia tidak akan bangun dan memberikan apa-apa kepada kamu. Tetapi memandangkan kamu terus-menerus meminta daripadanya tanpa rasa segan, dia akan bangun lalu memberikan apa sahaja yang kamu perlukan. 9 Maka, aku berkata kepada kamu: Teruslah meminta, dan kamu akan menerimanya; teruslah mencari, dan kamu akan menemukannya; teruslah mengetuk, dan pintu akan dibukakan bagimu.
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 11:5-9
Kawan, pinjamkanlah tiga ketul roti kepadaku: Mengikut budaya Timur Tengah, sikap suka menyambut tetamu merupakan kewajipan dan banyak orang suka memperlihatkan sifat ini. Hal ini jelas dilihat dalam perumpamaan ini. Biarpun tetamu datang secara tiba-tiba pada tengah malam (butiran ini mungkin menunjukkan bahawa pada zaman itu, perjalanan seseorang mungkin mengambil masa yang lebih lama disebabkan faktor-faktor tertentu), tuan rumah itu benar-benar ingin menghidangkan makanan kepadanya. Dia bahkan sanggup mengganggu jirannya untuk meminjam makanan walaupun sudah lewat malam.
Janganlah susahkan aku: Jiran dalam contoh ini berasa keberatan untuk membantu kerana dia sudah tidur, dan bukannya kerana dia tidak ramah. Pada zaman itu, rumah orang miskin biasanya mempunyai sebuah bilik besar sahaja. Jika ketua keluarga bangun, dia akan mengganggu seisi keluarganya, termasuk anak-anak yang sudah tidur.
terus-menerus meminta . . . tanpa rasa segan: Kata Yunani yang digunakan boleh diterjemahkan secara harfiah sebagai “tidak rendah diri” atau “tidak tahu malu.” Namun, dalam konteks ini, kata ini menggambarkan bahawa lelaki itu mempunyai hasrat yang kuat. Dia tidak segan atau menahan diri daripada terus-menerus meminta apa yang diperlukannya, dan Yesus memberitahu murid-muridnya bahawa mereka juga harus berdoa dalam cara yang sama.—Lu 11:9, 10.
23-29 JULAI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | LUKAS 12-13
“Kamu Lebih Berharga daripada Banyak Burung Pipit”
(Lukas 12:6) Bukankah lima ekor burung pipit dijual dengan harga dua mata wang yang kecil nilainya? Meskipun demikian, tidak seekor pun dilupakan oleh Tuhan.
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 12:6
burung pipit: Kata Yunani strou·thiʹon membawa maksud mana-mana burung yang kecil, tetapi sering kali merujuk kepada burung pipit, iaitu burung paling murah yang dijual sebagai makanan.
(Lukas 12:7) Sebenarnya, bahkan semua rambut yang ada di kepala kamu sudah dihitung. Jadi janganlah takut. Kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit.
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 12:7
bahkan semua rambut yang ada di kepala kamu sudah dihitung: Secara purata, terdapat lebih daripada 100,000 helai rambut di kepala manusia. Pengetahuan Yehuwa yang mendalam tentang perincian sebegini membuktikan bahawa Dia sangat prihatin terhadap setiap pengikut Kristus.
cl 241 per. 4-5
Tiada Apa-Apa yang Dapat “Memisahkan Kita daripada Kasih Tuhan”
4 Pertama, Bible menekankan bahawa setiap hamba Tuhan berharga di mata-Nya. Sebagai contoh, Yesus berkata, “Bukankah dua ekor burung pipit dijual dengan mata wang yang kecil nilainya? Meskipun demikian, tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa diketahui oleh Bapa kamu. Sebenarnya, bahkan rambut di kepala kamu sudah dihitung. Oleh itu, janganlah takut. Kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit.” (Matius 10:29-31) Perhatikan makna kata-kata tersebut bagi para pendengar Yesus pada abad pertama.
5 Kita mungkin tertanya mengapa orang mahu membeli burung pipit. Pada zaman Yesus, burung pipit ialah burung paling murah yang dijual sebagai makanan. Perhatikan bahawa seseorang dapat membeli dua burung pipit dengan sekeping duit syiling yang rendah nilainya. Tetapi, Yesus kemudian mengatakan bahawa jika seseorang membelanjakan dua keping duit syiling, dia tidak hanya mendapat empat, tetapi lima ekor burung. Burung kelima ditambahkan seolah-olah tidak bernilai sama sekali. Mungkin, burung tersebut tidak berharga di mata manusia, tetapi apakah pandangan Pencipta kita? Yesus berkata, “tidak seekor pun [bahkan burung yang ditambahkan] dilupakan oleh Tuhan.” (Lukas 12:6, 7) Sekarang, kita mula memahami apa yang dimaksudkan Yesus. Jika seekor burung pipit pun begitu berharga di mata Yehuwa, apatah lagi seorang manusia! Seperti yang dijelaskan oleh Yesus, Yehuwa mengetahui setiap butiran tentang kita. Ya, bahkan rambut di kepala kita dihitung oleh-Nya!
Mencari Permata Rohani
(Lukas 13:24) “Berusahalah sedaya upaya untuk masuk melalui pintu yang sempit. Aku berkata kepada kamu: Ramai orang akan berusaha memasukinya tetapi tidak akan berjaya.
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 13:24
Berusahalah sedaya upaya: Atau “Teruslah berjuang.” Nasihat Yesus menekankan pentingnya bertindak dengan bersungguh-sungguh untuk memasuki pintu yang sempit. Dalam konteks ini, beberapa bahan rujukan mencadangkan terjemahan seperti “Berusaha bersungguh-sungguh; Berusaha sekuat tenaga.” Kata kerja Yunani a·go·niʹzo·mai berkait dengan kata nama Yunani a·gonʹ, yang sering digunakan untuk merujuk kepada pertandingan sukan. Di Ibr 12:1, kata nama ini digunakan secara kiasan untuk “perlumbaan” rohani orang Kristian. Kata ini juga digunakan secara am untuk merujuk kepada “pergelutan” atau “perjuangan” (Flp 1:30; Kol 2:1; 1Ti 6:12; 2Ti 4:7). Kata kerja Yunani yang digunakan di Lu 13:24 diterjemahkan sebagai “bertanding dalam suatu pertandingan” (1Ko 9:25), “berusaha sedaya upaya” (Kol 1:29), bersungguh-sungguh (Kol 4:12), “berusaha dengan bersungguh-sungguh” (1Ti 4:10), dan “berjuanglah” (1Ti 6:12). Oleh sebab latar belakang ungkapan ini berkait dengan persaingan sukan, ada yang mengatakan bahawa Yesus mungkin membandingkan usaha yang dicurahkan seseorang dengan kesungguhan seorang atlet yang berusaha sedaya upaya untuk memenangi hadiahnya.
(Lukas 13:33) Namun, aku mesti meneruskan perjalananku pada hari ini, esok, dan lusa, kerana seorang nabi tidak boleh dibunuh di luar Yerusalem.
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 13:33
tidak boleh: Atau “tidak mungkin (mustahil).” Meskipun tiada nubuat Bible yang menyatakan secara terang-terang bahawa Mesias akan mati di Yerusalem, hal ini mungkin tersirat di Da 9:24-26. Selain itu, jika orang Yahudi mahu membunuh seorang nabi, terutamanya Mesias, mereka tentu akan melakukannya di kota itu. Ahli Majlis Orang Yahudi (mahkamah tinggi) yang terdiri daripada 71 orang, bertemu di Yerusalem, dan di situlah orang yang dituduh sebagai nabi palsu akan dibicarakan. Mungkin hal ini juga terlintas dalam fikiran Yesus: Orang sering mempersembahkan korban kepada Tuhan di Yerusalem, dan di situlah bebiri Paska disembelih. Tepat seperti yang dikatakan Yesus, dia dibawa menghadap Majlis Orang Yahudi di Yerusalem dan dijatuhkan hukuman. Dan di Yerusalem, iaitu di luar tembok kota itu, Yesus mati sebagai “bebiri Paska.”—1Ko 5:7.
30 JULAI–5 OGOS
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | LUKAS 14-16
“Cerita Ibarat tentang Anak yang Sesat”
(Lukas 15:11-16) Kemudian dia berkata, “Seorang lelaki mempunyai dua orang anak lelaki. 12 Yang bongsu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, berikanlah harta bahagian saya.’ Lalu bapanya membahagikan hartanya antara kedua-dua orang anaknya. 13 Beberapa hari kemudian, anak bongsu itu mengumpulkan semua barangnya dan mengembara ke sebuah negeri yang jauh. Di sana, dia memboroskan harta miliknya dan hidup berfoya-foya. 14 Setelah dia memboroskan semua hartanya, kebuluran yang teruk melanda seluruh negeri itu dan dia terpaksa hidup dalam keadaan yang serba kekurangan. 15 Dia bahkan pergi bekerja dengan seorang penduduk negeri itu yang menyuruh dia menjaga kawanan babi di ladangnya. 16 Dia teringin mengisi perutnya dengan makanan babi, tetapi tiada seorang pun yang memberinya apa-apa untuk dimakan.
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 15:11-16
Seorang lelaki mempunyai dua orang anak lelaki: Sesetengah aspek perumpamaan anak yang sesat agak unik. Kisah ini lebih panjang berbanding dengan cerita ibarat yang lain. Satu hal yang ditonjolkan dalam cerita ibarat ini ialah hubungan keluarga. Dalam perumpamaan lain, Yesus sering merujuk kepada hubungan formal antara majikan dengan hamba-hamba, atau kepada benda tidak bernyawa, seperti benih atau tanah. (Mt 13:18-30; 25:14-30; Lu 19:12-27) Namun, dalam perumpamaan ini, Yesus menonjolkan hubungan erat antara seorang bapa dengan anak-anak lelakinya. Ramai yang mendengar kisah ini mungkin tidak pernah merasai kasih sebegini daripada bapa mereka. Perumpamaan ini menggambarkan belas kasihan dan kasih yang mendalam yang dimiliki Bapa kita di syurga terhadap anak-anak-Nya di bumi yang tetap setia dan yang kembali kepada-Nya setelah menyimpang.
Yang bongsu: Menurut Hukum Musa, anak sulung menerima dua kali ganda harta warisan. (Ul 21:17) Hal ini bermakna bahawa bahagian harta anak bongsu ialah separuh daripada harta abangnya.
memboroskan: Kata Yunani membawa maksud harfiah “menyelerakkan (ke arah yang berlainan)” atau “tercerai-berai.” (Lu 1:51; Kis 5:37) Dalam perumpamaan ini, kata itu membawa maksud membazir dan menggunakan wang tanpa berfikir.
hidup berfoya-foya: Atau “kehidupan sia-sia (liar).” Oleh sebab kata Yunani ini mungkin merangkumi maksud gaya hidup yang boros atau sia-sia, sesetengah terjemahan Bible menggunakan ungkapan “hidup boros.” Kata Yunani dengan maksud yang serupa digunakan di Ef 5:18; Tit 1:6; 1Pt 4:4.
menjaga kawanan babi: Binatang ini najis menurut Hukum Musa, jadi kerja ini dipandang hina oleh orang Yahudi.—Im 11:7, 8.
makanan babi: Harfiah, “buah karob.” Buah tumbuhan ini mempunyai kulit keras yang licin dan berwarna ungu keperang-perangan. Buah ini berbentuk tanduk yang melengkung, sama seperti maksud harfiah nama Yunaninya (ke·raʹti·on, “tanduk kecil”). Sehingga kini, buah ini digunakan secara meluas sebagai makanan kuda, lembu, dan babi. Pemuda itu terjerumus ke lembah kehinaan sehingga dia sanggup makan makanan babi.—Lihat nota pembelajaran untuk Lu 15:15.
(Lukas 15:17-24) “Akhirnya dia insaf lalu berkata, ‘Bapaku mengupah banyak orang dan mereka berlimpah-limpah dengan roti sedangkan aku hampir mati kelaparan di sini! 18 Aku akan berangkat dan pergi kepada bapaku lalu berkata kepadanya, “Ayah, saya sudah berdosa terhadap Tuhan di syurga dan terhadap ayah. 19 Saya tidak layak lagi dipanggil anak ayah. Jadikanlah saya orang gaji ayah.”’ 20 Maka dia bangun dan pulang kepada bapanya. Apabila bapanya nampak dia dari jauh, bapanya berasa kasihan terhadapnya lalu berlari ke arahnya, memeluknya, dan menciumnya. 21 Kemudian, anak itu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, saya telah berdosa terhadap Tuhan di syurga dan terhadap ayah. Saya tidak lagi layak disebut anak ayah.’ 22 Tetapi bapanya berkata kepada hamba-hambanya, ‘Cepat! Bawalah jubah yang terbaik dan kenakanlah jubah itu padanya. Pakaikan cincin pada jarinya dan kasut pada kakinya. 23 Bawa dan sembelihlah anak lembu yang gemuk dan marilah kita makan dan berpesta, 24 kerana anakku ini mati tetapi dia telah hidup semula, dan dia hilang tetapi sudah ditemui.’ Maka mereka mula bersukacita.
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 15:17-24
terhadap ayah: Atau “dalam pandangan ayah.” Kata Yunani e·noʹpi·on, yang membawa maksud harfiah “di hadapan; dalam pandangan,” digunakan dalam cara yang sama di 1Sa 20:1 dalam Septuagint. Di ayat itu, Daud menanya Yonatan, “Apakah dosaku terhadap bapamu?”
orang gaji: Apabila anak bongsu itu pulang ke rumah, dia bercadang meminta bapanya untuk menerimanya sebagai orang gaji. Tidak seperti seorang hamba, orang gaji bukan sebahagian daripada rumah tangga, tetapi dianggap sebagai orang asing yang diupah, biasanya untuk sehari sahaja.—Mt 20:1, 2, 8.
menciumnya: Istilah Yunani bagi perkataan ini berasal daripada kata kerja phi·leʹo, yang kadangkala diterjemahkan sebagai “mencium” (Mt 26:48; Mr 14:44; Lu 22:47). Sering kali, perkataan ini juga membawa maksud “menyayangi” atau “mengasihi” (Yoh 5:20; 11:3; 16:27). Namun, istilah Yunani dalam ayat ini menggunakan bentuk kata kerja yang memberikan penekanan khusus. Oleh itu, sesetengah Bible menterjemahkan istilah ini sebagai “menciumnya dengan penuh kasih sayang.” Dengan menyambut anaknya dengan ramah mesra, bapa dalam perumpamaan ini menunjukkan kerelaannya untuk menerima kembali anaknya yang sudah bertaubat.
disebut anak ayah: Ada manuskrip yang menambah, “Jadikanlah saya orang gaji ayah,” tetapi terjemahan yang sedia ada dalam teks utama disokong oleh pelbagai manuskrip awal yang sahih. Sesetengah cendekiawan beranggapan bahawa ungkapan itu ditambah untuk menyelaraskan ayat itu dengan Lu 15:19.
jubah . . . cincin . . . kasut: Jubah ini bukan sekadar sehelai pakaian yang sederhana tetapi merupakan pakaian yang terbaik—mungkin pakaian yang bersulam dan yang biasa dihadiahkan kepada tetamu terhormat. Perbuatan menyarungkan cincin pada jari anak lelakinya menunjukkan bahawa bapa itu memperkenankan dan mengasihi anaknya, serta memberinya martabat dan penghormatan. Hamba-hamba biasanya tidak memakai cincin atau kasut. Maka, jelaslah bahawa bapa itu menyambut kembali anaknya sebagai anggota keluarganya.
Mencari Permata Rohani
(Lukas 14:26) “Sesiapa yang datang kepadaku mesti mengasihi aku lebih daripada bapa, ibu, isteri, anak, adik-beradik, dan bahkan diri sendiri. Jika tidak, dia tidak boleh menjadi muridku.
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 14:26
mengasihi aku lebih daripada: Harfiah, “mesti membenci.” Dalam Bible, istilah “membenci” mempunyai beberapa maksud. Istilah itu mungkin bermaksud permusuhan yang didorong oleh niat yang jahat, dan menyebabkan seseorang menyakiti orang lain. Atau istilah itu boleh merujuk kepada perasaan tidak suka akan seseorang atau sesuatu, lalu menyebabkan seseorang mengelakkan orang atau benda itu sama sekali. Atau istilah itu mungkin bermaksud kurang mengasihi. Misalnya, apabila Bible berkata bahawa Lea “dibenci” Yakub tetapi Rahel dikasihinya, hal ini bererti Yakub kurang mengasihi Lea berbanding dengan Rahel (Kej 29:31, nota kaki; Ul 21:15). Terdapat karya sastera Yahudi kuno yang juga menggunakan istilah ini untuk memberikan maksud “kurang mengasihi.” Maka, Yesus tidak memaksudkan bahawa pengikutnya harus membenci atau bermusuhan dengan keluarga mereka dan diri sendiri, kerana hal ini bercanggahan dengan ayat Bible yang lain. (Bandingkan Mr 12:29-31; Ef 5:28, 29, 33.) Dalam konteks ini, istilah “membenci” juga boleh diterjemahkan sebagai “kurang mengasihi.”