Latih Saudara untuk Memikul Tanggungjawab
“Apabila murid itu selesai belajar, dia menjadi sama seperti gurunya.”—LUK. 6:40.
1. Bagaimanakah Yesus membina asas sidang Kristian di bumi?
“MASIH banyak lagi perkara lain yang dilakukan oleh Yesus. Jika semuanya ditulis satu per satu, pada hematku seluruh dunia ini pun tidak cukup untuk memuat semua kitab yang akan ditulis itu.” Itulah kata-kata penutup buku Yohanes. (Yoh. 21:25, ABB) Semasa di bumi, Yesus telah membanting tulang untuk melaksanakan banyak perkara. Dalam masa yang singkat, dia telah mencari dan melatih lelaki yang akan mengambil pimpinan selepas dia naik ke syurga. Apabila Yesus kembali ke syurga pada tahun 33 Masihi, dia telah membina asas sidang Kristian di bumi yang bakal bertumbuh dengan pesat.—Kis. 2:41, 42; 4:4; 6:7.
2, 3. (a) Mengapakah saudara-saudara diperlukan untuk memikul tanggungjawab di sidang? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?
2 Hari ini, kita mempunyai lebih daripada tujuh juta penyebar Kerajaan Tuhan dalam lebih daripada 100,000 buah sidang di seluruh dunia. Jadi lebih ramai saudara, terutamanya penatua, amat diperlukan untuk mengambil pimpinan dalam sidang. Mereka yang rela berkhidmat dan memikul tanggungjawab dipuji kerana “menginginkan pekerjaan yang sangat baik.”—1 Tim. 3:1.
3 Walau bagaimanapun, kaum lelaki tidak layak secara automatik untuk memikul tanggungjawab di sidang. Pendidikan sekular, kemahiran, atau pengalaman hidup tidak melayakkan seorang saudara untuk kerja ini. Dia mesti memenuhi syarat-syarat yang termaktub dalam Bible. Jadi bagaimanakah kita dapat membantu saudara-saudara di sidang untuk membuat kemajuan rohani agar mereka layak memikul tanggungjawab? Yesus berkata, “Apabila murid itu selesai belajar, dia menjadi sama seperti gurunya.” (Luk. 6:40) Dalam rencana ini, kita akan membincangkan sesetengah kaedah yang digunakan oleh Yesus Kristus, Guru Agung kita, untuk membantu pengikutnya memikul tanggungjawab yang berat. Kita juga dapat mengambil iktibar daripada teladannya.
‘Aku Memanggil Kamu Sahabat-sahabatku’
4. Bagaimanakah Yesus menjadi sahabat baik murid-muridnya?
4 Yesus melayan murid-muridnya sebagai sahabat dan tidak menganggap dirinya lebih tinggi daripada mereka. Dia meluangkan masa bersama mereka dan mempercayai mereka. Dia berkata kepada mereka, ‘Aku sudah memberitahu kamu segala yang telah aku dengar daripada Bapaku.’ (Baca Yohanes 15:15.) Bayangkan kegembiraan mereka semasa Yesus menjawab soalan mereka: “Apakah tanda bagi kehadiranmu dan penghujung sistem ini?” (Mat. 24:3, 4, NW) Dia juga meluahkan pendapat dan isi hatinya kepada mereka. Sebagai contoh, pada malam Yesus ditahan, dia membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes ke Taman Getsemani. Di sana dia berdoa secara bersungguh-sungguh. Walaupun mereka bertiga mungkin tidak dapat mendengar kata-kata Yesus, mereka tentu dapat merasai keperitannya. (Mrk. 14:33-38) Fikirkan juga galakan yang diterima oleh mereka bertiga semasa mereka menyaksikan “rupa Yesus berubah.” (Mrk. 9:2-8; 2 Ptr. 1:16-18) Persahabatan intim yang terjalin antara Yesus dan murid-muridnya memberi mereka kekuatan untuk memikul tanggungjawab berat pada kemudian hari.
5. Bagaimanakah para penatua membantu orang lain?
5 Seperti Yesus, para penatua mahu membantu saudara saudari di sidang. Mereka menjalin persahabatan yang erat dan memperlihatkan minat peribadi terhadap rakan seiman. Walaupun sesetengah perkara adalah sulit dan tidak dapat dikongsi dengan orang lain, para penatua bukannya suka berahsia. Mereka mempercayai saudara saudari dan rela berkongsi kebenaran Bible. Mereka tidak berfikir bahawa mereka lebih penting daripada pembantu sidang yang muda. Sebaliknya mereka akan memandang pembantu sidang sebagai lelaki yang boleh terus membuat kemajuan rohani, dan yang sedang membantu menjaga keperluan sidang.
“Aku Sudah Memberikan Teladan kepada Kamu”
6, 7. Apakah teladan baik yang ditetapkan oleh Yesus dan bagaimanakah teladannya membantu murid-muridnya?
6 Meskipun pengikut Yesus menghayati perkara-perkara rohani, pemikiran mereka kadangkala dipengaruhi oleh latar belakang dan adat resam. (Mat. 19:9, 10; Luk. 9:46-48; Yoh. 4:27) Tetapi Yesus tidak mencemuh atau memarahi mereka. Dia tidak meminta mereka untuk melakukan hal-hal di luar kemampuan mereka atau yang tidak sanggup dilakukannya sendiri. Dia sentiasa mengajar mereka menerusi teladan.—Baca Yohanes 13:15.
7 Bagaimanakah Yesus menetapkan teladan yang baik bagi murid-muridnya? (1 Ptr. 2:21) Dia hidup sederhana agar dapat menggunakan masanya untuk membantu orang. (Luk. 9:58) Dia sentiasa mendasarkan ajarannya pada Bible, dan bukannya fikiran sendiri. (Yoh. 5:19; 17:14, 17) Dia baik hati, senang dihampiri, dan perbuatannya didorong oleh kasih. (Mat. 19:13-15; Yoh. 15:12) Teladannya banyak membantu para rasul. Misalnya, Yakobus berkhidmat kepada Tuhan dengan berani dan setia sehingga dia dibunuh. (Kis. 12:1, 2) Dan Yohanes mengikut jejak Yesus dengan setia selama lebih daripada 60 tahun.—Why. 1:1, 2, 9.
8. Bagaimanakah para penatua dapat menjadi suri teladan bagi lelaki muda dan orang lain?
8 Para penatua dapat menjadi teladan yang baik bagi lelaki muda dengan memperlihatkan kasih, sikap rendah diri, dan semangat rela berkorban. (1 Ptr. 5:2, 3) Tambahan juga, para penatua berasa gembira kerana mengetahui bahawa orang lain dapat meneladani iman dan cara hidup mereka, serta meniru cara mereka mengajar dan menjalankan aktiviti penyebaran.—Ibr. 13:7.
Yesus Memberikan Arahan Sebelum Mengutus Mereka
9. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yesus melatih murid-muridnya untuk menginjil?
9 Selepas menginjil selama kira-kira dua tahun, Yesus mengutus 12 orang rasulnya untuk menginjil. Tetapi sebelum itu, Yesus memberi mereka arahan yang jelas. (Mat. 10:5-14) Pada kesempatan lain, Yesus memberikan arahan kepada muridnya tentang cara untuk mengedarkan makanan kepada ribuan orang dengan teratur. (Luk. 9:12-17) Ya, Yesus melatih murid-muridnya dengan memberikan arahan yang jelas dan spesifik. Latihan yang diterima oleh para rasul berserta dengan bantuan daya aktif Tuhan melengkapi mereka untuk mengaturkan kerja penyebaran yang bermula sejak tahun 33 Masihi.
10, 11. Bagaimanakah seorang lelaki boleh dilatih untuk berkhidmat dalam sidang?
10 Dewasa ini, seorang lelaki mula dilatih semasa dia mempelajari Bible. Kita mungkin perlu membantu dia untuk membaca dengan baik. Seraya kita meneruskan pembelajaran Bible dengannya, kita membantunya dalam cara-cara yang lain. Apabila dia mula menghadiri perjumpaan secara tetap, dia mungkin sedar bahawa dia perlu menyertai Sekolah Penyebaran Teokratik dan menjadi penyiar yang belum dibaptis. Selepas pembaptisan, dia mungkin dilatih untuk menyelenggarakan Dewan Perjumpaan. Selain itu, para penatua boleh membantunya untuk melayakkan diri sebagai pembantu sidang.
11 Semasa para penatua memberikan tugasan kepada seorang saudara terbaptis, mereka akan memastikan bahawa dia memahami apa yang perlu dilakukannya mengikut tatacara organisasi. Jadi mereka memberikan arahan dan tunjuk ajar yang diperlukan. Jika dia tidak dapat menjalankan tugasnya dengan baik, para penatua tidak menyimpulkan dengan serta-merta bahawa dia tidak layak. Sebaliknya, mereka memberitahunya sekali lagi apa yang harus dilakukan dan cara untuk melakukannya. Para penatua berasa sukacita untuk membantu seorang saudara memikul tanggungjawabnya. Mereka sedar bahawa saudara itu akan turut berasa gembira semasa dia membantu orang lain di dalam sidang.—Kis. 20:35.
“Orang Bijak Mendengarkan Nasihat”
12. Mengapakah nasihat yang diberikan oleh Yesus berkesan?
12 Yesus juga melatih murid-muridnya dengan memberikan nasihat yang diperlukan tepat pada waktunya. Misalnya, dia menegur Yakobus dan Yohanes kerana mereka meminta api turun dari syurga untuk membinasakan beberapa orang Samaria. (Luk. 9:52-55) Apabila ibu Yakobus dan Yohanes meminta Yesus untuk memberi anak-anaknya kedudukan yang istimewa di Kerajaan Tuhan, Yesus berkata kepada adik-beradik itu, ‘Aku tidak berhak menentukan orang yang akan duduk di sebelah kanan atau kiriku. Bapaku yang menentukan siapa orang yang akan duduk di tempat itu.’ (Mat. 20:20-23) Yesus sentiasa menawarkan nasihat yang jelas, senang diguna pakai, dan berdasarkan Firman Tuhan. Dia mengajar anak muridnya untuk berfikir dan bertindak selaras dengan Firman Tuhan. (Mat. 17:24-27) Yesus juga sedar bahawa pengikutnya tidak sempurna dan mempunyai keterbatasan tertentu. Nasihatnya kepada mereka didorong oleh kasih yang tulus.—Yoh. 13:1.
13, 14. (a) Siapakah yang memerlukan nasihat? (b) Bagaimanakah para penatua boleh memberikan nasihat kepada seorang saudara yang tidak membuat kemajuan rohani? Berikan contoh.
13 Setiap saudara yang berusaha untuk memikul tanggungjawab dalam sidang memerlukan nasihat Bible dari semasa ke semasa. Amsal 12:15 menyatakan, “Orang bijak mendengarkan nasihat.” Seorang saudara muda berkata, “Ketidaksempurnaan saya merupakan cabaran terbesar bagi saya. Nasihat seorang penatua membantu saya untuk mempunyai pandangan yang betul.”
14 Jika para penatua mendapati bahawa kelakuan seorang saudara sedang membantutkan kemajuan rohaninya, mereka akan mengambil inisiatif untuk membantu dia “dengan lemah lembut.” (Gal. 6:1) Kadangkala, teguran diperlukan kerana sikapnya perlu diubah. Contohnya, dia mungkin suka berdalih atau tidak melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh. Dia boleh diingatkan bahawa Yesus bekerja dengan rajin dan bersemangat, dan Yesus menyuruh pengikutnya untuk meniru teladannya. (Mat. 28:19, 20; Luk. 8:1) Atau, seorang saudara mungkin bercita-cita tinggi. Penatua boleh menjelaskan bahawa Yesus menegur pengikutnya supaya tidak berbuat demikian. (Luk. 22:24-27) Bagaimana pula jika seorang saudara tidak rela memaafkan orang lain? Para penatua boleh menggunakan perumpamaan Yesus tentang hamba yang enggan memaafkan orang lain walaupun dia sendiri telah dimaafkan. (Mat. 18:21-35) Apabila seseorang memerlukan teguran, adalah baik jika para penatua bertindak dengan secepat mungkin.—Baca Amsal 15:23.
“Latihlah Dirimu”
15. Bagaimanakah ahli keluarga seorang saudara dapat membantu dia untuk berkhidmat di sidang?
15 Walaupun para penatua mencurahkan usaha untuk melatih saudara, orang lain juga dapat membantu. Sebagai contoh, ahli keluarga seorang saudara dapat membantu dia untuk memikul tanggungjawab di sidang. Dan jika dia seorang penatua, kasih dan sokongan isteri dan anak-anaknya dapat membantu dia. Mereka faham bahawa dia perlu menghabiskan sebahagian masa dan tenaganya untuk orang lain di sidang. Semangat rela berkorban yang ditunjukkan mereka menggembirakan hatinya dan dihargai oleh orang di sidang.—Ams. 15:20; 31:10, 23.
16. (a) Untuk memikul tanggungjawab di sidang, siapakah yang memainkan peranan utama? (b) Bagaimanakah seorang saudara dapat menunjukkan bahawa dia mahu memikul tanggungjawab di sidang?
16 Walaupun orang lain dapat membantu seorang saudara untuk memikul tanggungjawab di sidang, saudara itu sendiri memainkan peranan yang utama. (Baca Galatia 6:5.) Memang, seorang saudara boleh membantu orang dan menjalankan aktiviti penyebaran walaupun dia bukan penatua atau pembantu sidang. Tetapi dia mesti berusaha untuk memenuhi syarat-syarat kelayakan dalam Bible jika dia mahu dilantik sebagai pembantu sidang atau penatua. (1 Tim. 3:1-13; Tit. 1:5-9; 1 Ptr. 5:1-3) Jadi jika seseorang saudara masih belum dilantik, dia perlu memberikan perhatian pada aspek-aspek tertentu dalam kehidupannya. Dia perlu melakukan pembacaan Bible yang tetap, pembelajaran peribadi, perenungan, berdoa secara tulus, dan menjalankan kerja penyebaran dengan bersemangat. Jika dia melakukan hal-hal ini, dia sedang mengikut nasihat Paulus kepada Timotius, “Latihlah dirimu untuk kehidupan yang beribadat.”—1 Tim. 4:7.
17, 18. Apakah yang boleh dilakukan oleh seorang saudara jika dia berasa kurang layak atau tidak mempunyai keinginan untuk memikul tanggungjawab di sidang?
17 Apakah yang boleh dilakukan oleh seorang saudara yang berasa kurang layak untuk memikul tanggungjawab di sidang? Dia harus ingat betapa banyaknya bantuan yang diberikan oleh Yehuwa dan Yesus. Bible memberitahu kita, “Setiap hari Dia [Yehuwa] menanggung beban kita.” (Mzm. 68:20) Jadi, Yehuwa boleh membantu seorang saudara untuk memikul tanggungjawab di sidang. Selain itu, jangan lupa bahawa organisasi Yehuwa amat memerlukan saudara yang matang untuk menjaga keperluan sidang. Jadi adalah baik jika dia memohon daya aktif Yehuwa untuk memupuk kedamaian dan kawalan diri. Dengan demikian, dia mungkin mendapat dorongan dan kekuatan untuk mengatasi perasaan negatifnya. (Luk. 11:13; Gal. 5:22, 23) Ya, kita boleh berasa yakin bahawa Yehuwa akan memberkati saudara yang berniat baik dan mahu memikul tanggungjawab di sidang.
18 Bagaimana pula jika seorang saudara tidak mempunyai keinginan untuk memikul tanggungjawab di sidang? Rasul Paulus menulis, “[Tuhan] sentiasa bekerja di kalangan kamu untuk membuat kamu mahu dan sanggup melakukan apa yang dikehendaki-Nya.” (Flp. 2:13, ABB) Tuhanlah yang memberi seseorang keinginan dan kekuatan untuk memikul tanggungjawab di sidang dan melakukan kehendak-Nya. (Flp. 4:13) Ya, seorang saudara Kristian boleh memohon bantuan Tuhan untuk melakukan apa yang baik.—Mzm. 25:4, 5.
19. Apakah yang dimaksudkan bahawa Yehuwa akan mengutus “pemimpin-pemimpin yang paling kuat”?
19 Yehuwa memberkati usaha para penatua yang melatih orang lain. Dia juga memberkati saudara yang mahu memikul tanggungjawab di sidang. Kita diberikan jaminan bahawa Yehuwa akan mengutus “pemimpin-pemimpin yang paling kuat.” Maksudnya organisasi Tuhan akan mempunyai saudara matang yang diperlukan untuk memimpin sidang-sidang-Nya. (Mi. 5:4) Hari ini, ramai saudara yang rendah hati sedang dilatih untuk memikul tanggungjawab di sidang. Hal ini tentu memuliakan Yehuwa dan membawa berkat yang melimpah kepada kita!
Apakah Jawapan Anda?
• Bagaimanakah Yesus membantu murid-muridnya untuk melayakkan diri bagi memikul tanggungjawab?
• Bagaimanakah para penatua dapat meniru Yesus seraya mereka membantu saudara untuk memimpin sidang?
• Bagaimanakah ahli keluarga seorang saudara dapat membantunya untuk memikul tanggungjawab di sidang?
• Apakah yang dapat dilakukan oleh seorang saudara untuk memikul tanggungjawab di sidang?
[Gambar pada muka surat 31]
Bagaimanakah anda dapat melatih pelajar Bible yang mahu membuat kemajuan?
[Gambar pada muka surat 32]
Bagaimanakah kaum lelaki menunjukkan bahawa mereka mahu memikul tanggungjawab?