Mencapai Hati Saudara-Mara yang Tidak Seiman
“PULANGLAH kepada keluargamu dan beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan dan betapa baiknya Dia kepadamu,” kata Yesus Kristus kepada seorang lelaki yang ingin menjadi pengikutnya. Pada masa itu dia mungkin berada di Gadara, bahagian tenggara Tasik Galilea. Yesus sedar bahawa manusia suka mengongsi perkara menarik dan penting kepada saudara- mara.—Mrk. 5:19.
Hari ini, kita sering memperhatikan sifat ini di kalangan orang ramai. Kadangkala, sifat ini lebih ketara dalam sesetengah budaya. Sewaktu seseorang menjadi penyembah Yehuwa, biasanya dia akan mengongsi kepercayaannya dengan saudara-mara. Tetapi apakah caranya? Bagaimanakah dia dapat mencapai hati saudara-mara yang tidak seiman? Bible memberikan nasihat yang bijak dan positif.
“KAMI SUDAH BERJUMPA DENGAN MESIAS!”
Pada abad pertama, Andreas adalah antara orang pertama yang mengenal pasti Yesus sebagai Mesias. Siapakah yang dia beritahu dahulu? “Dengan segera Andreas mencari Simon, saudaranya dan berkata kepadanya, ‘Kami sudah berjumpa dengan Mesias!’ Andreas telah memperkenalkan Simon Petrus kepada Yesus, lalu membuka peluang kepadanya untuk menjadi pengikut Yesus.—Yoh. 1:35-42.
Sekitar enam tahun kemudian, semasa Petrus tinggal di Yope, dia dijemput untuk melawat Kornelius, seorang pegawai tentera di Kaisarea. Siapakah yang Petrus jumpa di rumah Kornelius? “Kornelius bersama-sama sanak saudara dan sahabat-sahabat karib yang telah dijemputnya, sedang menunggu” Petrus dan rakan-rakannya. Maka, Kornelius memberi peluang kepada saudara-maranya untuk mendengar kata-kata Petrus dan memilih sama ada untuk menerima kebenaran atau tidak.—Kis. 10:22-33.
Apakah yang kita pelajari daripada cara Andreas dan Kornelius membantu saudara-mara mereka?
Andreas dan Kornelius tidak berdiam diri sahaja. Andreas telah memperkenalkan Petrus kepada Yesus, dan Kornelius telah mengaturkan agar saudara-maranya dapat mendengar kata-kata Petrus. Andreas dan Kornelius tidak memaksa ataupun memperdaya saudara-mara mereka untuk menjadi pengikut Kristus. Apakah pengajarannya? Kita dapat berbual dan mencari peluang untuk mengongsi kebenaran Bible kepada saudara-mara kita dan memperkenalkan mereka kepada rakan seiman. Namun, kita masih perlu menghormati pilihan mereka dan tidak memaksa. Mari kita lihat contoh Jürgen dan Petra, sepasang suami isteri dari Jerman.
Petra belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa dan kemudiannya dibaptis. Suaminya, Jürgen ialah seorang pegawai tentera. Pada mulanya, Jürgen tidak menyukai keputusan isterinya. Lambat laun dia menyedari bahawa Saksi-Saksi Yehuwa mengajarkan kebenaran daripada Bible. Dia juga membaktikan diri kepada Yehuwa. Kini dia ialah seorang penatua di sebuah sidang tempatan. Apakah nasihat yang dia berikan mengenai cara membantu saudara-mara yang tidak seiman?
Jürgen berkata, “Kita tidak patut memaksa serta membanjiri saudara-mara dengan hal-hal rohani. Hal ini mungkin menyebabkan mereka menolak kita. Lebih baik untuk mengongsi sedikit demi sedikit. Adalah baik juga jika saudara-mara dapat berkawan dengan rakan seiman yang sebaya dan mempunyai minat yang sama. Hal ini dapat membantu mereka menerima kebenaran.”
Rasul Petrus dan saudara-mara Kornelius cepat menerima mesej Bible. Orang lain pada abad pertama pula mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk menerima kebenaran.
SAUDARA-MARA YESUS
Semasa Yesus di bumi, beberapa orang daripada ahli keluarga Yesus beriman kepadanya. Misalnya, rasul Yakobus dan Yohanes. Kemungkinan mereka ialah sepupu Yesus. Ibu mereka, Salome ialah mak cik Yesus. Dia mungkin salah seorang di antara banyak wanita yang ‘menggunakan harta mereka untuk membantu Yesus dan pengikut-pengikutnya.’—Luk. 8:1-3.
Ahli keluarga Yesus yang lain tidak percaya kepadanya dengan serta-merta. Setahun selepas Yesus dibaptis, orang ramai berkumpul di dalam sebuah rumah untuk mendengar ajarannya. Tetapi, apabila saudara-mara Yesus mendengar apa yang berlaku, mereka datang untuk membawanya pergi kerana mereka berkata, “Dia sudah gila!” Tidak lama kemudian, semasa saudara Yesus bertanya tentang rancangan perjalanannya, Yesus tidak menjawab mereka dengan terus terang. Mengapa? Sebab ‘saudara-saudaranya sendiri pun tidak percaya kepadanya.’—Mrk. 3:21; Yoh. 7:5, ABB.
Apakah pengajaran daripada cara Yesus memperlakukan saudara-maranya? Dia tidak tersinggung apabila mereka berkata bahawa dia sudah gila. Malah selepas dia dibangkitkan, Yesus menggalakkan saudara-maranya dengan menampakkan diri kepada adiknya, Yakobus. Hal ini meyakinkan Yakobus, serta adik-adiknya yang lain bahawa dia benar-benar ialah Mesias yang dijanjikan. Maka, ketika berada di tingkat atas sebuah rumah di Yerusalem, beberapa adik-beradik Yesus bersama-sama dengan para rasul dan orang lain diberkati dengan daya aktif Tuhan. Kemudiannya, adik-adik Yesus, iaitu Yakobus dan Yudas menikmati penghormatan yang besar.—Kis. 1:12-14; 2:1-4; 1 Kor. 15:7.
MASA DIPERLUKAN
Seperti pada abad pertama, sesetengah saudara-mara kita mungkin lambat menerima kebenaran. Contohnya, Roswitha ialah penganut Roman Katolik yang aktif. Suaminya dibaptis sebagai salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 1978. Roswitha berpegang teguh pada kepercayaannya dan menentang suaminya. Bertahun-tahun kemudian, dia sedar bahawa para Saksi mengajar kebenaran. Maka, pada tahun 2003, Roswitha dibaptis. Apakah yang menyebabkan dia berubah? Suaminya tidak tersinggung apabila ditentang dan dia memberi peluang kepada Roswitha untuk berubah pandangan. Apakah nasihat Roswitha? “Hasil baik dapat dicapai dengan sabar, sabar, dan terus sabar.”
Monika dibaptis pada tahun 1974. Sekitar 10 tahun kemudian, dua orang anaknya pun menjadi Saksi. Walaupun suaminya, Hans, tidak menentang, dia mengambil masa yang lama untuk dibaptis, iaitu pada tahun 2006. Apakah nasihat mereka? “Tetap setia kepada Yehuwa, dan jangan melakukan perkara yang bertentangan dengan prinsip Bible.” Selain itu, Monika terus menunjukkan kasih kepada Hans. Mereka selalu berharap bahawa Hans akan menerima kebenaran.
DISEGARKAN OLEH AIR KEBENARAN
Yesus pernah menggambarkan kebenaran seperti air yang dapat memberikan kehidupan kekal. (Yoh. 4:13, 14) Kita ingin saudara-mara kita disegarkan oleh air kebenaran. Sudah tentu, kita tidak mahu melemaskan mereka dengan air yang banyak. Cara kita menjelaskan kepercayaan kita akan mempengaruhi mereka. Bible berkata, “Orang baik berfikir dahulu sebelum menjawab” dan “orang yang bijak berfikir dahulu sebelum bercakap; oleh itu kata-katanya meyakinkan.” Bagaimanakah kita boleh menerapkan nasihat ini?—Ams. 15:28; 16:23, ABB.
Seorang isteri yang ingin menjelaskan kepercayaannya kepada suami harus “berfikir dahulu sebelum menjawab.” Dia tidak bertindak terburu-buru, tetapi memilih kata-katanya dengan bijak. Dia tidak akan bersikap terlalu alim atau menganggap diri lebih baik daripada orang lain. Kata-kata isteri yang bijak adalah menyegarkan dan membawa kedamaian. Bilakah suami berasa tenang dan mudah didekati? Adakah dia berminat dalam topik sains, politik, atau sukan? Bagaimanakah isteri dapat membangkitkan sifat ingin tahu suami terhadap Bible dan pada waktu yang sama menghormati perasaan dan pendapatnya? Soalan-soalan ini akan membantu isteri untuk memilih kata-kata yang bijak.
Mencapai hati saudara-mara yang tidak seiman bukan sahaja merangkumi kata-kata. Percakapan kita harus disokong oleh perbuatan baik.
BERKELAKUAN BAIK
Jürgen berkata, “Terapkanlah prinsip Bible dalam kehidupan seharian. Inilah cara yang paling berkesan untuk menarik perhatian saudara-mara.” Hans yang dibaptis 30 tahun selepas pembaptisan isterinya berkata, “Contoh baik seorang Kristian amat penting supaya saudara-mara dapat melihat pengaruh baik daripada kebenaran dalam kehidupan kita.” Saudara-mara seharusnya melihat kesan baik kebenaran dalam hidup kita yang membezakan kita daripada orang lain.
Rasul Petrus memberikan nasihat yang baik kepada isteri yang mempunyai suami yang tidak seiman. Dia berkata, ‘Taatlah kepada suami, supaya jika ada antara suami kamu yang tidak percaya kepada firman Tuhan, kelakuan kamu akan menyebabkan mereka menjadi percaya. Kamu tidak perlu mengatakan apa-apa kepada mereka, kerana mereka boleh melihat kelakuan kamu yang murni dan penuh hormat. Janganlah kecantikan kamu bergantung kepada hiasan rambut, barang kemas, ataupun pakaian yang mahal-mahal. Sebaliknya, hendaklah kecantikan kamu terdiri daripada batin yang murni, budi pekerti yang lembut, dan tenang. Itulah kecantikan abadi yang sangat berharga di sisi Tuhan.’—1 Ptr. 3:1-4, ABB.
Petrus menulis bahawa suami boleh dipengaruhi oleh kelakuan baik isteri. Christa berusaha untuk menerapkan prinsip ini sejak dia dibaptis pada tahun 1972. Dia ingin mencapai hati suaminya melalui kelakuan baiknya. Walaupun suaminya pernah belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa, dia masih belum menerima kebenaran. Dia pernah menghadiri beberapa perjumpaan Kristian dan menikmati pergaulan di sidang. Saudara saudari pula menghormati haknya untuk memilih. Bagaimanakah Christa dapat mencapai hati suaminya?
“Saya bertekad untuk mematuhi Yehuwa. Pada masa yang sama, saya cuba mencapai hati suami melalui kelakuan saya tanpa ‘perlu mengatakan apa-apa.’ Apabila tidak bercanggah dengan prinsip Bible, saya mematuhi suami. Sudah tentu saya menghormati kebebasannya untuk memilih dan menyerahkan hal ini di tangan Yehuwa.”
Contoh Christa menunjukkan pentingnya untuk bertolak ansur. Dia tetap melakukan perkara rohani termasuk menghadiri perjumpaan dan menyertai aktiviti penyebaran. Namun, dia memahami bahawa suaminya juga berhak menerima kasih, masa, dan perhatiannya. Apabila membantu saudara-mara yang tidak seiman, adalah bijak untuk menunjukkan pengertian dan bertolak ansur. “Ada waktu yang ditetapkan untuk segala sesuatu,” kata Bible. Hal ini merangkumi masa yang diluangkan bersama ahli keluarga, terutamanya pasangan yang tidak seiman. Dengan meluangkan masa bersama-sama, kita akan lebih berkomunikasi. Komunikasi yang baik dapat mengurangkan perasaan sunyi, perasaan diabaikan, atau iri hati.—Pkh. 3:1, NW.
JANGAN PUTUS ASA
Seorang saudara yang bernama Holger berkata, “Adalah penting untuk memperlihatkan kasih kepada bapa saya dan berdoa baginya.” Bapanya dibaptis 20 tahun selepas ahli keluarga yang lain dibaptis. Christa berkata bahawa dia ‘terus berharap suaminya akan menerima kebenaran pada suatu hari nanti.’ Kita harus sentiasa bersikap positif dan berharap bahawa saudara-mara akan menerima kebenaran.
Matlamat kita adalah untuk mengekalkan hubungan yang baik dengan saudara-mara dan memberi mereka peluang untuk mengenal kebenaran serta mencapai hati mereka dengan ajaran Bible. Selain itu, kita patut memperlakukan mereka dengan “lemah lembut dan hormat.”—1 Ptr. 3:16.