Buatlah Pengorbanan dengan Sepenuh Hati
“Lakukanlah semua tugas dengan sepenuh hati, seolah-olah kamu melakukannya untuk Tuhan dan bukan untuk manusia.”—KOL. 3:23, ABB.
1-3. (a) Memandangkan Yesus telah mengorbankan nyawanya, adakah ini bermaksud kita tidak perlu mempersembahkan korban kepada Yehuwa? Jelaskan. (b) Apakah soalan yang timbul mengenai korban kita?
PADA abad pertama Masihi, Yehuwa memberitahu umat-Nya bahawa korban tebusan Yesus telah memansuhkan Hukum Musa. (Rm. 10:4; Kol. 2:13, 14) Korban yang dipersembahkan oleh orang Yahudi selama berkurun-kurun kini tidak diperlukan dan tidak bernilai. Tujuan Hukum Musa sebagai ‘pengawas sehingga Kristus datang’ sudah tercapai.—Gal. 3:24.
2 Hal ini tidak bermaksud korban tidak ada kaitan dengan orang Kristian. Sebaliknya, rasul Petrus berkata bahawa kita perlu memberikan ‘korban rohani yang berkenan kepada Tuhan, melalui Yesus Kristus.’ (1 Ptr. 2:5) Lagipun, rasul Paulus menegaskan bahawa setiap aspek kehidupan orang Kristian merupakan “suatu korban.”—Rm. 12:1.
3 Jadi, orang Kristian boleh memberi Yehuwa sesuatu atau membuat pengorbanan demi-Nya. Kedua-duanya merupakan korban bagi Tuhan. Berdasarkan pengetahuan kita tentang korban yang dipersembahkan oleh orang Israel, bagaimanakah kita boleh memastikan agar semua korban kita mendapat perkenan Yehuwa?
KEHIDUPAN SEHARIAN
4. Apakah yang harus kita ingat tentang kegiatan harian sendiri?
4 Kehidupan seharian kita mungkin sukar dikaitkan dengan korban kepada Yehuwa. Sekilas pandang, kerja sekular, kerja di rumah, kerja sekolah, membeli-belah, dan kegiatan lain nampaknya tidak ada kaitan dengan hal-hal rohani. Namun, jika anda sudah membaktikan diri kepada Yehuwa atau bakal berbuat demikian, ingatlah bahawa aktiviti harian juga mempengaruhi hubungan kita dengan Tuhan. Kita ialah orang Kristian 24 jam sehari. Setiap aspek kehidupan kita harus berpandukan prinsip-prinsip Bible. Maka, Paulus menggalakkan kita, “Lakukanlah semua tugas dengan sepenuh hati, seolah-olah kamu melakukannya untuk Tuhan dan bukan untuk manusia.”—Baca Kolose 3:18-24, ABB.
5, 6. Seperti yang dikatakan Paulus, apakah yang patut mempengaruhi kelakuan dan pakaian kita setiap hari?
5 Kegiatan harian orang Kristian bukanlah sebahagian daripada khidmat suci. Namun, Paulus menggesa kita untuk ‘melakukan semua tugas dengan sepenuh hati, seolah-olah untuk Tuhan.’ Maksudnya, kelakuan kita pada setiap masa sangatlah penting. Apakah pengajarannya bagi kita? Adakah kelakuan, pakaian, dan dandanan kita sentiasa sopan? Atau semasa menjalankan kegiatan harian, adakah perangai atau pakaian kita membuat kita berasa malu untuk mengaku bahawa kita ialah Saksi-Saksi Yehuwa? Janganlah berbuat begitu! Umat Yehuwa akan menjauhi segala perkara yang boleh mencemari nama Tuhan.—Yes. 43:10; 2 Kor. 6:3, 4, 9.
6 Mari kita mengkaji bagaimana hasrat untuk melakukan tugas dengan sepenuh hati untuk Tuhan mempengaruhi beberapa aspek kehidupan kita. Sepanjang perbincangan ini, ingatlah juga bahawa orang Israel perlu memberikan korban yang terbaik kepada Yehuwa.—Kel. 23:19.
BAGAIMANA HIDUP ANDA DIPENGARUHI
7. Apakah yang terangkum dalam pembaktian orang Kristian?
7 Semasa membaktikan diri kepada Yehuwa, anda telah membuat keputusan yang baik. Anda berjanji untuk berkhidmat kepada Yehuwa seumur hidup serta mengutamakan-Nya dalam segala aspek kehidupan. (Baca Ibrani 10:7.) Pastinya anda pernah meraih manfaat yang besar kerana mengambil kira dan bertindak selaras dengan pandangan Yehuwa dalam kehidupan seharian. (Yes. 48:17, 18) Umat Tuhan adalah suci dan mereka bersukacita kerana mencerminkan sifat-sifat Pengajar mereka.—Im. 11:44; Mzm 104:31.
8. Mengapakah penting untuk ingat bahawa korban orang Israel kepada Yehuwa dianggap suci?
8 Korban yang dipersembahkan oleh orang Israel kepada Yehuwa dianggap suci. (Im. 6:25; 7:1) Istilah Ibrani yang diterjemahkan sebagai “suci” membawa erti diasingkan, dikhususkan, dikuduskan untuk Tuhan. Korban yang diperkenankan Yehuwa mesti diasingkan daripada pengaruh duniawi. Kita tidak boleh mencintai apa sahaja yang dibenci Yehuwa. (Baca 1 Yohanes 2:15-17.) Jelaslah, kita harus menjauhi pergaulan atau perkara yang akan menyebabkan kita menjadi najis di mata Tuhan. (Yes. 2:4; Why. 18:4) Kita juga tidak boleh terus memandang hal-hal yang najis atau tidak bermoral, mahupun membiarkan perkara sebegini berlegar di minda.—Kol. 3:5, 6.
9. Mengapakah penting bagi orang Kristian untuk berbuat baik?
9 Paulus menggesa rakan seimannya, ‘Jangan lupa berbuat baik dan saling menolong, kerana perkara itu seperti korban yang menyenangkan hati Tuhan.’ (Ibr. 13:16, ABB) Usaha untuk selalu berbuat baik dan saling menolong bagaikan korban yang menyenangkan hati Yehuwa. Keprihatinan terhadap orang lain menunjukkan bahawa kita ialah orang Kristian sejati.—Yoh. 13:34, 35; Kol. 1:10.
KORBAN DALAM IBADAT
10, 11. Apakah pandangan Yehuwa terhadap aktiviti penyebaran dan ibadat kita? Apakah kesannya bagi kita?
10 Sebagai orang Kristian, satu cara utama kita berbuat baik adalah dengan memberitakan “harapan yang kita akui.” Adakah anda menggunakan setiap kesempatan untuk memberikan kesaksian? Paulus berkata bahawa menerusi kegiatan ini, orang Kristian ‘mempersembahkan puji-pujian sebagai korban kepada Tuhan.’ (Ibr. 10:23; 13:15; Hos. 14:3) Kita patut memikirkan mutu dan masa yang diluangkan untuk kerja penyebaran. Perjumpaan Aktiviti Penyebaran dapat membantu kita berbuat demikian. Ingatlah bahawa kerja penyebaran dan kesaksian tidak formal merupakan sebahagian ibadat kita serta pujian yang dipersembahkan kepada Tuhan. Maka, kita harus memberikan yang terbaik. Walaupun keadaan kita berbeza-beza, tetapi masa yang kita peruntukkan untuk mengkhabarkan berita baik sering kali menunjukkan betapa dalamnya penghargaan kita untuk hal-hal rohani.
11 Yehuwa menghendaki orang Kristian meluangkan masa dengan tetap untuk menyembah-Nya di rumah atau di sidang. Walaupun kita tidak perlu mematuhi aturan Sabat atau menyertai perayaan di Yerusalem, peristiwa-peristiwa kuno itu ada maknanya dalam kehidupan orang Kristian. Tuhan masih menghendaki kita meluangkan masa daripada kegiatan yang “sia-sia” bagi mempelajari Firman-Nya, berdoa, dan menghadiri perjumpaan. Ketua keluarga Kristian patut mengambil inisiatif untuk mengadakan penyembahan keluarga. (1 Tes. 5:17; Ibr. 10:24, 25) Maka, kita masing-masing perlu bertanya, “Dapatkah saya meningkatkan mutu ibadat saya?”
12. (a) Kemenyan yang dipersembahkan kepada Yehuwa pada masa kuno bagaikan apa pada hari ini? (b) Setelah mengetahui hal ini, bagaimanakah kita harus berdoa?
12 Raja Daud bernyanyi kepada Yehuwa, “Terimalah doaku sebagai kemenyan.” (Mzm. 141:2) Renungkan sejenak seberapa kerap anda berdoa dan mutu doa anda. Dalam buku Wahyu, ‘doa-doa umat Tuhan’ digambarkan sebagai kemenyan wangi yang menyenangkan hati Yehuwa. (Why. 5:8) Pada zaman Israel kuno, kemenyan yang dibakar atas mazbah Yehuwa harus dibuat dengan rapi mengikut arahan-Nya. Jika tidak, Yehuwa tidak menerima kemenyan itu. (Kel. 30:34-37; Im. 10:1, 2) Jika kita membuat persiapan yang rapi sebelum berdoa, Yehuwa pasti akan senang hati.
MEMBERI DAN MENERIMA
13, 14. (a) Apakah bantuan yang diberikan oleh Epafroditus dan sidang di Filipi kepada rasul Paulus? Apakah reaksinya? (b) Bagaimanakah kita boleh meniru teladan Epafroditus dan sidang di Filipi?
13 Sumbangan kewangan untuk kerja sedunia juga seperti korban, tidak kira besar atau kecil jumlahnya. (Mrk. 12:41-44) Pada abad pertama Masihi, sidang di Filipi mengutus Epafroditus ke Roma untuk membantu Paulus. Nampaknya, mereka memintanya membawakan wang kepada Paulus. Sebelum ini, sidang Filipi telah bermurah hati kepada Paulus. Mereka ingin membantunya agar dia tidak perlu risau tentang wang dan dapat bertumpu pada aktiviti penyebaran. Apakah reaksi Paulus? Dia berkata bahawa hadiah itu ‘persembahan yang harum dan Tuhan berkenan menerima korban itu.’ (Baca Filipi 4:15-19.) Paulus sangat menghargai kebaikan hati orang Filipi. Begitu juga dengan Yehuwa.
14 Hari ini, Yehuwa juga sangat menghargai sumbangan kewangan kita untuk kerja sedunia. Tambahan lagi, Tuhan berjanji akan menjaga semua keperluan rohani dan fizikal kita jika kita mengutamakan Kerajaan-Nya.—Mat. 6:33; Luk. 6:38.
TUNJUKKANLAH KESYUKURAN ANDA
15. Nyatakan beberapa sebab anda bersyukur kepada Yehuwa.
15 Ada banyak sebab kita harus bersyukur kepada Yehuwa setiap hari. Nyawa kita ialah anugerah Tuhan. Semua keperluan hidup kita—makanan, pakaian, tempat tinggal, dan udara yang kita nafas—dijaga oleh-Nya. Dia juga memberi kita pengetahuan Bible yang tepat supaya kita beriman dan memiliki harapan. Kita wajar menyembah Yehuwa dan mempersembahkan pujian sebagai korban kepada-Nya, kerana Dialah Tuhan kita dan kita terhutang budi pada-Nya.—Baca Wahyu 4:11.
16. Bagaimanakah kita menunjukkan kesyukuran atas korban tebusan Kristus?
16 Rencana sebelumnya menyatakan bahawa korban tebusan Kristus merupakan kurniaan Tuhan yang tidak ternilai. Kurniaan ini mengungkapkan kasih agung Tuhan terhadap kita. (1 Yoh. 4:10) Jadi, bagaimanakah kita boleh membalas kasih-Nya? Paulus berkata, ‘Kami dikuasai oleh kasih Kristus; kami sedar bahawa satu orang, iaitu Yesus Kristus sudah mati untuk semua supaya orang yang hidup tidak lagi hidup untuk diri sendiri, melainkan untuk dia yang sudah mati dan dibangkitkan untuk kebaikan mereka.’ (2 Kor. 5:14, 15, ABB) Paulus sedang memberitahu kita bahawa jika kita menghargai kebaikan hati Tuhan, kita akan menggunakan kehidupan sendiri untuk memuliakan-Nya dan Anak-Nya. Kasih dan kesyukuran kita terhadap Tuhan dan Kristus ditunjukkan menerusi ketaatan kita dan keinginan kita untuk menginjil dan menjadikan orang murid Yesus.—1 Tim. 2:3, 4; 1 Yoh. 5:3.
17, 18. Apakah cara-cara untuk meningkatkan mutu pujian yang dipersembahkan kepada Yehuwa? Berikan satu contoh.
17 Bolehkah anda meningkatkan mutu pujian yang dipersembahkan kepada Tuhan? Setelah merenungkan jasa baik Yehuwa, ramai didorong untuk mengaturkan masa dan hal ehwal sendiri agar dapat menghabiskan lebih banyak masa dan tenaga dalam kerja penyebaran atau kegiatan teokratik yang lain. Ada yang dapat menjadi perintis sokongan sekali atau beberapa kali setahun, manakala ada yang menjadi perintis biasa. Yang lain pula menyertai projek pembinaan. Bukankah semua ini cara yang baik untuk menunjukkan penghargaan? Jika kita melakukannya dengan niat yang betul, iaitu sebagai tanda penghargaan dan syukur, khidmat suci kita akan menyenangkan hati Tuhan.
18 Ramai orang Kristian berasa terhutang budi kepada Yehuwa dan ingin membalas kasih-Nya. Perhatikan pengalaman saudari Morena. Dia pernah mencari jawapan kepada soalan-soalan rohani menerusi agama Katolik, iaitu agama yang dianuti ibu bapanya. Kemudian, dia berpaling kepada falsafah Timur. Namun soalannya tidak terjawab. Setelah mula mempelajari Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa, barulah selera rohaninya dipuaskan. Bible telah memberikan jawapan yang jelas kepada semua soalannya dan membantunya hidup bahagia. Morena sangat bersyukur kepada Yehuwa dan ingin membalas budi-Nya. Dia memutuskan untuk berkhidmat kepada Yehuwa dengan segenap tenaga. Sejurus selepas dibaptis, Morena menjadi perintis sokongan setiap bulan dan menyertai khidmat perintis biasa sebaik sahaja keadaannya mengizinkan. Tiga puluh tahun kemudian, dia masih bergiat dalam khidmat sepenuh masa.
19. Bagaimanakah anda boleh membuat lebih banyak pengorbanan untuk Yehuwa?
19 Sudah tentu, ramai hamba Yehuwa tidak dapat menjadi perintis. Sungguhpun begitu, semua orang boleh memberikan korban rohani yang diperkenankan-Nya. Ingatlah bahawa kita mewakili Yehuwa pada setiap masa. Oleh itu, kelakuan kita perlu sentiasa berteraskan prinsip-prinsip yang adil benar. Kita beriman kepada Yehuwa dan yakin bahawa tujuan-Nya pasti tercapai. Menerusi perbuatan baik, kita membantu menyebarkan berita baik. Semoga rasa syukur kepada Yehuwa melimpah dari hati kita dan menggerakkan kita agar terus membuat pengorbanan untuk Yehuwa dengan sepenuh hati.
[Petikan daripada perenggan pada muka surat 25]
Adakah kebaikan Yehuwa menggerakkan anda untuk meningkatkan usaha anda untuk memuji-Nya?
[Gambar pada muka surat 23]
Adakah anda menggunakan setiap kesempatan untuk memberikan kesaksian?