LAMPIRAN
Menudung Kepala—Bila dan Mengapa?
Menurut Bible, bilakah dan mengapakah seorang wanita Kristian patut menudung kepala? Mari kita bincangkan kata-kata hawari Paulus mengenai perkara ini. Dia memberi kita bimbingan yang diperlukan supaya kita dapat membuat keputusan yang memuliakan Tuhan. Di 1 Korintus 11:3-16 (ABB), Paulus menyingkapkan tiga faktor yang perlu diambil kira: (1) aktiviti yang mewajibkan seorang wanita menudung kepala, (2) situasi yang mewajibkan dia berbuat demikian, dan (3) sebab dia menudung kepala.
Aktiviti. Paulus menyebut dua aktiviti, iaitu berdoa dan menyampaikan perkhabaran. (Ayat 4, 5) Doa merupakan komunikasi dengan Yehuwa dan adalah sebahagian daripada penyembahan kita. Hari ini, menyampaikan perkhabaran merujuk kepada apa sahaja pengajaran berasaskan Bible yang dilakukan oleh orang Kristian. Tetapi, adakah Paulus bermaksud bahawa seorang wanita patut menudung kepalanya setiap kali dia berdoa atau mengajarkan kebenaran Bible? Tidak, kerana situasi akan menentukan sama ada dia perlu menudung kepala atau tidak.
Situasi. Kata-kata Paulus sesuai diamalkan dalam keluarga dan dalam sidang. Dia berkata, “Suami ialah kepala isteri . . . Jika seorang wanita tidak menudung kepala ketika berdoa atau menyampaikan perkhabaran daripada [Tuhan] di hadapan orang ramai, dia mempermalukan suaminya.” (Ayat 3, 5) Dalam aturan keluarga, suami telah ditugaskan oleh Yehuwa untuk menjadi kepala isteri. Jika isteri tidak menghormati kekuasaannya dan mengambil alih tanggungjawab yang telah diberikan oleh Yehuwa kepada suaminya, dia akan memalukan suaminya. Contohnya, jika dia perlu mengadakan pembelajaran Bible semasa suaminya ada di situ, dia akan menghormati kekuasaan suaminya dengan menudung kepala. Memandangkan suami ialah kepala keluarga, isteri akan memakai tudung kepala tidak kira sama ada suaminya telah dibaptis atau tidak.a Jika dia berdoa atau mengajar apabila anak lelakinya yang sudah dibaptis dan yang masih muda ada di situ, dia akan memakai tudung kepala. Dia berbuat demikian bukan kerana menganggap anaknya sebagai kepala keluarga, tetapi kerana menghormati anaknya sebagai saudara terbaptis dalam sidang.
Paulus membincangkan situasi dalam sidang dengan berkata, ‘Jika sesiapa mahu bertengkar tentang masalah itu, inilah satu-satunya jawapan yang dapat aku berikan: Baik kita mahupun jemaah Tuhan lainnya, tidak mempunyai peraturan lain.’ (Ayat 16) Dalam sidang Kristian, tanggungjawab sebagai kepala diberikan kepada saudara yang sudah dibaptis. (1 Timotius 2:11-14; Ibrani 13:17) Hanya golongan lelaki dilantik sebagai penatua dan pembantu sidang, dan diberikan tanggungjawab oleh Tuhan untuk menjaga kawanan-Nya. (Kisah 20:28) Tetapi, situasi mungkin timbul yang mana seorang wanita Kristian perlu menjalankan tugas yang biasanya diberikan kepada saudara terbaptis yang layak. Contohnya, dia perlu mengendalikan perjumpaan sebelum kerja penyebaran kerana saudara terbaptis yang layak tidak ada di situ. Atau dia perlu mengendalikan pembelajaran Bible yang dirancang terlebih dahulu yang turut dihadiri oleh seorang saudara terbaptis. Oleh sebab aktiviti sebegini merupakan sebahagian daripada aktiviti sidang, dia akan menudung kepalanya kerana dia sedang menjalankan tugas yang biasanya dikendalikan oleh seorang saudara.
Tetapi, terdapat banyak aktiviti penyembahan yang mana seorang saudari tidak wajib menudung kepala. Contohnya, dia tidak perlu menudung kepala semasa memberi komen di perjumpaan atau menyertai aktiviti penyebaran dari rumah ke rumah dengan suaminya atau saudara terbaptis yang lain. Dia juga tidak perlu berbuat demikian semasa mengajar atau berdoa dengan anak-anaknya yang belum dibaptis apabila suaminya tidak ada di situ. Sudah tentu, soalan-soalan lain mungkin timbul, dan jika seorang saudari mempunyai keraguan, dia boleh melakukan penyelidikan tambahan.b Jika dia masih tidak pasti dan hati nuraninya mendorongnya untuk menudung kepala, tidaklah salah jika dia berbuat demikian, seperti yang ditunjukkan di dalam gambar pada muka surat sebelah.
Sebab. Ayat 10 menyatakan, “Kerana malaikat-malaikat, seorang wanita harus menudung kepala sebagai tanda bahawa dia dibenarkan berdoa.” Ayat ini membentangkan dua sebab mengapa seorang wanita Kristian patut menudung kepala. Pertama, perhatikan ungkapan “sebagai tanda.” Dengan menudung kepala, seorang wanita memberikan tanda bahawa dia mengakui kekuasaan yang diberikan oleh Yehuwa kepada saudara terbaptis dalam sidang. Maka, dia menunjukkan kasih dan kesetiaan kepada Tuhan Yehuwa. Kedua, perhatikan ungkapan, “kerana malaikat-malaikat.” Apakah kesannya ke atas makhluk-makhluk roh yang berkuasa ini apabila seorang wanita menudung kepala?
Pada masa lampau, banyak malaikat gagal untuk tunduk kepada aturan Yehuwa. (Yudas 6) Tetapi malaikat yang setia ingin kekuasaan Yehuwa diakui di dalam organisasi-Nya di syurga dan di bumi. Memandangkan malaikat juga perlu tunduk kepada aturan Yehuwa, mereka boleh mendapat manfaat daripada teladan manusia yang tidak sempurna. Malaikat mungkin nampak seorang saudari memperlihatkan ketundukan dengan rela hati walaupun dia lebih berpengalaman, lebih berpengetahuan, dan lebih bijak daripada saudara terbaptis yang mengambil pimpinan di sidang. Dalam sesetengah situasi, wanita itu merupakan seorang Kristian terurap yang bakal menjadi waris bersama Kristus. Dia akan mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada malaikat dan memerintah bersama Kristus di syurga. Tidakkah anda setuju bahawa kaum wanita yang patuh kepada Yehuwa dengan rendah hati, dan yang tunduk kepada aturan kekepalaan dengan setia menyediakan contoh yang baik bagi jutaan malaikat? Betapa besarnya penghormatan bagi kaum wanita hari ini!
a Isteri Kristian biasanya tidak melafazkan doa di hadapan suaminya yang sekepercayaan, kecuali dalam keadaan yang tidak dapat dielakkan seperti apabila suaminya tidak dapat bercakap akibat penyakit.
b Untuk maklumat lanjut, sila lihat The Watchtower, 15 November 2009, muka surat 12-13, dan 15 Februari 1977, muka surat 125-128.