Kematian—Musuh Terakhir yang akan Ditaklukkan
“Musuh yang terakhir yang akan ditaklukkan ialah kematian.”—1 KOR. 15:26.
1, 2. Bagaimanakah kehidupan Adam dan Hawa pada mulanya? Tetapi, apakah soalan-soalan yang timbul?
SEMASA Adam dan Hawa diciptakan, tiada musuh yang mengancam mereka. Mereka hidup sempurna di firdaus dan menikmati hubungan yang erat dengan Yehuwa sebagai anak-anak-Nya. (Kej. 2:7-9; Luk. 3:38) Tuhan memberi mereka tugas yang penting. (Baca Kejadian 1:28.) Tugas yang diberikan untuk “menduduki seluruh muka bumi dan menguasainya” boleh dicapai dalam masa tertentu. Namun, untuk “menguasai semua ikan, burung, dan binatang liar,” Adam dan Hawa perlu hidup kekal. Maksudnya, mereka dapat menikmati semua ini buat selama-lamanya.
2 Tetapi, mengapakah keadaan dunia sekarang sangat berbeza? Mengapakah begitu banyak musuh yang mengancam kebahagiaan kita? Bagaimanakah Yehuwa akan menawan semua musuh ini, terutamanya kematian? Marilah kita melihat jawapannya dalam Bible.
AMARAN YANG DIDORONG OLEH KASIH
3, 4. (a) Apakah perintah yang diberikan Tuhan kepada Adam dan Hawa? (b) Mengapakah penting bagi mereka untuk mentaati perintah itu?
3 Walaupun Adam dan Hawa boleh hidup selama-lamanya, hal itu tidak bermaksud bahawa mereka tidak dapat mati. Untuk tetap hidup, mereka perlu bernafas, makan, minum, dan tidur. Namun, yang lebih penting ialah persahabatan dengan Yehuwa, Sumber Kehidupan mereka. (Ul. 8:3) Mereka dapat terus hidup dan bersukacita hanya jika mereka mentaati bimbingan Tuhan. Sebelum menciptakan Hawa, Yehuwa memberitahu Adam, “Engkau boleh makan buah-buahan daripada semua pokok di taman ini, kecuali buah daripada pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Engkau tidak boleh makan buah pokok itu; jika engkau memakannya, engkau pasti mati pada hari itu juga.”—Kej. 2:16, 17.
4 “Pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat” merupakan lambang bahawa Yehuwalah yang berhak menentukan apa yang baik dan yang jahat. Adam memang dapat membezakan yang baik daripada jahat kerana dia diciptakan mengikut gambaran Tuhan dan mempunyai hati nurani. Tetapi, pokok tersebut mengingatkan Adam dan Hawa bahawa mereka sentiasa memerlukan bimbingan Yehuwa. Jika mereka makan daripada pokok itu, mereka seolah-olah berkata kepada Yehuwa, “Kami tidak perlu mengikut perintah-Mu.” Akibatnya, mereka dan keturunan mereka akan mati seperti yang Yehuwa katakan.
MENGAPA UMAT MANUSIA MATI
5. Mengapakah Adam dan Hawa mengingkari Yehuwa?
5 Adam telah memberitahu Hawa tentang perintah Tuhan. Hawa memang tahu tentang perintah ini kerana dia telah menyebutkannya kepada seekor ular. (Kej. 3:1-3) Sebenarnya, Syaitanlah yang bercakap melalui ular itu. Syaitan telah memupuk keinginan yang jahat. Dia menginginkan kuasa dan tidak mahu berada di bawah perintah Tuhan. (Bandingkan Yakobus 1:14, 15.) Untuk mencapai keinginannya, Syaitan berkata kepada Hawa bahawa Tuhan telah berdusta, dan jika Hawa mengingkari Tuhan, dia tidak akan mati, tetapi akan menjadi seperti Tuhan. (Kej. 3:4, 5) Hawa mempercayai kata-kata Syaitan. Dia memakan buah itu dan memberitahu Adam untuk berbuat demikian juga. (Kej. 3:6, 17) Sebenarnya, Syaitanlah yang berdusta. (Baca 1 Timotius 2:14.) Walaupun begitu, Adam masih ‘mendengarkan kata-kata Hawa.’ Syaitan nampaknya seperti seorang kawan, tetapi dia sebenarnya musuh yang tidak berhati perut. Dia tahu bahawa dustanya akan membawa akibat yang sangat dahsyat.
6, 7. Bagaimanakah Yehuwa mengadili Adam dan Hawa?
6 Adam dan Hawa memberontak terhadap Yehuwa yang telah memberikan hidup dan segala sesuatu yang baik kepada mereka. Yehuwa memang dapat melihat apa yang berlaku, tetapi Dia memberikan peluang kepada Adam, Hawa, dan Syaitan untuk menunjukkan apa yang tersirat dalam hati mereka. (1 Taw. 28:9; baca Amsal 15:3.) Sebagai Bapa mereka, hati Yehuwa benar-benar terluka. (Bandingkan Kejadian 6:6.) Tetapi, Dia juga perlu bertindak sebagai Hakim untuk mengadili mereka.
7 Adam tahu perintah Tuhan, ‘Jika engkau memakan buah pokok itu, engkau pasti mati pada hari itu juga.’ Oleh itu, Adam mungkin berfikir bahawa dia akan mati pada hari dia memakan buah itu. Tetapi, “pada petang itu” Yehuwa bercakap kepada Adam dan Hawa. (Kej. 3:8) Sebagai Hakim yang adil, Yehuwa mendengarkan penjelasan mereka dahulu. (Kej. 3:9-13) Kemudian, barulah Dia menjatuhkan hukuman. (Kej. 3:14-19) Jika Yehuwa terus menghapuskan mereka, tujuan-Nya untuk manusia tidak akan terlaksana. (Yes. 55:11) Namun, Yehuwa yang pengasih membenarkan Adam dan Hawa mempunyai keturunan yang berpeluang untuk hidup kekal. Pada hari mereka berdosa, Adam dan Hawa seolah-olah sudah mati di mata Tuhan. Oleh sebab seribu tahun bagaikan satu hari di mata Tuhan, Adam dan Hawa memang mati “pada hari itu juga.”—2 Ptr. 3:8.
8, 9. Bagaimanakah dosa Adam mempengaruhi keturunannya? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
8 Adakah umat manusia dipengaruhi oleh dosa Adam? Sudah tentu. Roma 5:12 menjelaskan, “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa orang itu membawa kematian. Akibatnya maut menjangkiti segenap umat manusia, kerana semua orang berdosa.” Paulus juga berkata, “Semua orang menjadi orang berdosa kerana satu orang tidak taat.” (Rm. 5:19) Manusia pertama yang mati ialah Habel yang setia. (Kej. 4:8) Seterusnya, semua anak cucu Adam juga menjadi tua dan mati. Umat manusia tidak dapat melepaskan diri daripada dua musuh, iaitu dosa dan maut. Kita tidak memahami dengan sepenuhnya bagaimana umat manusia mewarisi dosa dan maut, tetapi kita memang merasai akibatnya.
9 Oleh itu, Bible menyatakan bahawa dosa dan maut menyebabkan “suasana sedih yang telah menyelubungi semua bangsa.” (Yes. 25:7) Tiada sesiapa yang dapat melarikan diri daripada dosa dan kematian. Menurut Bible, “semua orang mati kerana tergolong satu dengan Adam.” (1 Kor. 15:22) Oleh sebab itu, Paulus menyeru, “Siapakah yang dapat menyelamatkan aku daripada tubuh ini yang membawa aku kepada kematian?” (Rm. 7:24) Dapatkah sesiapa menyelamatkannya?a
DOSA DAN KEMATIAN AKAN DITAKLUKKAN
10. (a) Apakah ayat-ayat Bible yang menunjukkan bahawa Yehuwa akan melenyapkan kematian? (b) Apakah yang kita pelajari mengenai Yehuwa dan Yesus daripada ayat-ayat Bible ini?
10 Hanya Yehuwa dapat menyelamatkan Paulus. Bible menyatakan, ‘Raja Yehuwa akan memusnahkan maut selama-lamanya! Dia akan menghapuskan air mata daripada setiap wajah.’ (Yes. 25:8) Seperti seorang bapa yang mengasihi anak-anaknya, Yehuwa ingin menghentikan penderitaan dan melenyapkan kematian. Yesus juga bekerjasama dengan-Nya. Menurut 1 Korintus 15:22, “Semua orang akan dihidupkan semula kerana tergolong satu dengan Kristus.” Selepas bertanya, ‘Siapakah yang dapat menyelamatkan aku?’ Paulus sendiri menjawab, ‘Aku bersyukur kepada Tuhan; Dia menyelamatkan aku melalui Yesus Kristus!’ (Rm. 7:24, 25) Walaupun Adam dan Hawa berdosa, Yehuwa dan Yesus masih mengasihi umat manusia. (Ams. 8:30, 31) Namun, bagaimanakah manusia boleh diselamatkan daripada dosa dan kematian?
11. Apakah yang dilakukan Yehuwa untuk membantu umat manusia?
11 Apabila Adam berdosa, Yehuwa menjatuhkan hukuman mati kepadanya. Hasilnya, semua manusia mewarisi ketidaksempurnaan dan kematian. (Rm. 5:12, 16) Roma 5:18 menjelaskan, “Umat manusia dihukum kerana dosa satu orang.” Bagaimanakah Tuhan dapat membantu umat manusia sambil bertindak selaras dengan piawaian-Nya? Yesus menjawab soalan ini dengan berkata bahawa dia ‘datang untuk menyerahkan nyawanya untuk membebaskan banyak orang.’ (Mat. 20:28) Yesus merupakan manusia yang sempurna. Oleh itu, korban tebusannya dapat “menyelamatkan manusia daripada dosa.” Mengapakah korban tebusan merupakan aturan yang adil?—1 Tim. 2:5, 6.
12. Mengapakah korban tebusan merupakan aturan yang adil?
12 Yesus merupakan manusia yang sempurna dan dapat hidup selama-lamanya. Itulah yang Yehuwa inginkan untuk Adam. Oleh sebab Yesus sangat mengasihi Bapanya serta keturunan Adam, dia rela menyerahkan nyawanya sebagai manusia. Nyawa Yesus yang sempurna sepadan dengan nyawa sempurna yang telah Adam gadaikan. Aturan korban tebusan ini adil di mata Yehuwa kerana nyawa sempurna digantikan dengan nyawa sempurna. Melalui Yesus, keturunan Adam berpeluang untuk meraih kehidupan kekal. Itulah sebabnya Yesus digelar sebagai “Adam yang terakhir.” Kemudian, Yehuwa membangkitkan Yesus sebagai makhluk ‘roh yang memberikan hidup.’—1 Kor. 15:45; 1 Ptr. 3:18.
13. Apakah yang akan dilakukan oleh “Adam yang terakhir” bagi manusia yang sudah mati?
13 Tidak lama lagi, “Adam yang terakhir” akan memberikan hidup kekal kepada keturunan Adam yang merangkumi kebanyakan orang yang telah mati pada masa lampau. Mereka akan dibangkitkan, atau dihidupkan semula di bumi.—Yoh. 5:28, 29.
14. Bagaimanakah manusia akan dibebaskan daripada ketidaksempurnaan?
14 Bagaimanakah manusia akan dibebaskan daripada ketidaksempurnaan? Yehuwa telah mendirikan sebuah kerajaan untuk melaksanakan hal ini. Para pemerintah kerajaan itu ialah Yesus serta 144,000 orang yang dipilih daripada umat manusia. (Baca Wahyu 3:21.) Oleh sebab 144,000 pemerintah ini pernah hidup sebagai manusia yang tidak sempurna, mereka dapat memahami rakyat di bumi yang tidak sempurna. Selama 1,000 tahun, Yesus dan 144,000 pemerintah ini akan membantu manusia mencapai kesempurnaan.—Why. 20:6.
15, 16. (a) Apakah “musuh terakhir yang akan dilenyapkan”? Bilakah musuh ini akan dilenyapkan? (b) Menurut 1 Korintus 15:28, apakah yang akan dilakukan oleh Yesus?
15 Pada akhir 1,000 tahun itu, manusia yang sempurna akan bebas daripada dosa dan kematian. Paulus menjelaskan, ‘Sebagaimana semua orang mati kerana Adam, begitu juga semua orang akan dihidupkan kerana Kristus. Namun, setiap orang dihidupkan menurut giliran masing-masing: Kristus ialah orang yang pertama, kemudian mereka yang menjadi milik Kristus [mereka yang memerintah bersamanya] akan dibangkitkan semasa kehadirannya. Pada akhirnya, dia akan menyerahkan Kerajaannya kepada Tuhan dan Bapanya setelah dia meniadakan semua kerajaan dan kuasa. Kristus akan terus memerintah sebagai raja sehingga Tuhan meletakkan semua musuh di bawah kakinya. Musuh terakhir yang akan dilenyapkan ialah kematian.’ (1 Kor. 15:22-26, NW) Ya, kematian yang kita warisi daripada Adam akan tiada lagi. “Suasana sedih yang telah menyelubungi semua bangsa” akan lenyap buat selama-lamanya.—Yes. 25:7, 8.
16 Paulus berkata lagi, ‘Setelah segala sesuatu ditaklukkan di bawah pemerintahan Kristus, maka dia sendiri sebagai Anak Tuhan akan meletakkan dirinya di bawah kekuasaan Tuhan, yang menyerahkan segala-galanya kepadanya. Demikianlah pada akhirnya Tuhan sendiri akan memerintah semuanya.’ (1 Kor. 15:28) Pada masa itu, tujuan pemerintahan Yesus sudah terlaksana. Maka, dia akan menyerahkan kembali kekuasaannya kepada Yehuwa. Akhirnya, umat manusia yang sempurna akan diperintah oleh Yehuwa.
17. Apakah yang akan berlaku kepada Syaitan?
17 Syaitan telah menyebabkan semua penderitaan yang dihadapi oleh umat manusia. Apakah yang akan berlaku kepadanya? Jawapannya terdapat di Wahyu 20:7-15. Selepas 1,000 tahun, Syaitan akan dibenarkan untuk menyesatkan umat manusia yang sempurna buat kali terakhir. Kemudian, Syaitan dan sesiapa yang memilih untuk mengikutnya akan dibinasakan buat selama-lamanya. Mereka akan mengalami ‘kematian kedua.’ (Why. 21:8) ‘Kematian kedua’ tidak akan “ditaklukkan” kerana semua orang yang mengalaminya tidak akan hidup semula. Tetapi, jika kita menyembah Yehuwa dengan setia, kita tidak perlu bimbang tentang ‘kematian kedua.’
18. Bagaimanakah tugas yang Yehuwa berikan kepada Adam akan terlaksana pada akhirnya?
18 Semua manusia akan menjadi sempurna dan mendapat perkenan Yehuwa sepenuhnya untuk menikmati kehidupan abadi. Semua musuh yang mengancam kebahagiaan umat manusia akan tiada lagi. Tugas yang Yehuwa berikan kepada Adam akan terlaksana akhirnya. Keturunan Adam akan bergembira sambil menjaga bumi dan haiwan-haiwan. Betapa gembiranya kita kerana Yehuwa akan melenyapkan musuh terakhir manusia, iaitu kematian!
a Buku Insight on the Scriptures menerangkan bahawa saintis tidak memahami apa yang menyebabkan manusia menjadi tua dan mati. Hal ini adalah kerana mereka mengetepikan kenyataan bahawa Tuhan Yehuwa, sebagai Pencipta, telah menjatuhkan hukuman mati ke atas pasangan manusia pertama. Oleh itu, saintis tidak dapat memahami proses itu sepenuhnya.—Jilid 2, muka surat 247.