Ikutlah Teladan Tuhan yang Menjanjikan Kehidupan Kekal
“Ikutlah teladan Tuhan sebagai anak-anak yang dikasihi-Nya.”—EF. 5:1.
1. Apakah kebolehan yang membantu kita meniru sifat Yehuwa?
YEHUWA mencipta kita dengan kebolehan untuk memahami perasaan orang lain, walaupun kita sendiri tidak pernah mengalami situasi mereka. (Baca Efesus 5:1, 2.) Bagaimanakah kebolehan ini membantu kita meniru sifat Yehuwa? Mengapakah kita harus mengawal cara kita menggunakan kebolehan ini?
2. Apakah reaksi Yehuwa apabila kita menderita?
2 Yehuwa telah menjanjikan masa depan yang cerah. Kaum terurap dan “biri-biri lain” menantikan kehidupan yang kekal, sama ada di syurga atau di bumi. (Yoh. 10:16; 17:3; 1 Kor. 15:53) Namun hari ini, perkara buruk masih terjadi terhadap kita. Tetapi Yehuwa memahami penderitaan kita. Semasa umat-Nya menderita di Mesir, Yehuwa berasa sakit hati. Tuhan berkata, “Sesungguhnya, Aku tahu akan segala penderitaan mereka.” (Kel. 3:7) Bertahun-tahun kemudian, umat Yehuwa ditentang musuh apabila mereka sedang membina semula Rumah Tuhan. Yehuwa memahami perasaan umat-Nya dan berkata, “Sesiapa yang menyerang kamu, menyerang buah hati-Ku.” (Za. 2:8) Sepertimana seorang ibu mengasihi bayinya, Yehuwa mengasihi dan membantu umat-Nya. (Yes. 49:15) Kita dapat meniru kasih Yehuwa dengan membayangkan diri kita dalam situasi orang lain.—Mzm. 103:13, 14.
YESUS MENCERMINKAN KASIH TUHAN
3. Apakah perasaan Yesus terhadap orang ramai?
3 Yesus memahami perasaan orang yang menderita walaupun dia tidak pernah menghadapi situasi mereka. Contohnya, para pemimpin agama menyesatkan orang ramai serta mengenakan banyak peraturan yang membebankan. Oleh itu, mereka takut kepada para pemimpin agama. (Mat. 23:4; Mrk. 7:1-5; Yoh. 7:13) Yesus memahami perasaan mereka, walaupun dia sendiri tidak takut atau disesatkan oleh para pemimpin agama. Bible berkata, “Apabila dia melihat orang ramai, dia berasa kasihan terhadap mereka kerana mereka ditindas dan diabaikan seperti biri-biri tanpa gembala.” (Mat. 9:36) Seperti Bapanya, Yesus juga bersifat “pengasih dan penyayang.”—Mzm. 103:8.
4. Apakah yang dilakukan oleh Yesus untuk membantu orang yang menderita?
4 Kasih mendorong Yesus untuk membantu orang yang menderita. Dia mencerminkan sifat Bapanya dengan sempurna. Pernah sekali, Yesus dan para rasul telah berjalan jauh untuk menginjil. Mereka berasa penat dan ingin berehat di tempat yang sunyi. Tetapi Yesus nampak ramai orang yang menunggunya. Walaupun penat, Yesus sedar bahawa mereka memerlukan bantuan dan “mengajarkan banyak perkara kepada mereka.”—Mrk. 6:30, 31, 34.
TIRULAH KASIH YEHUWA
5, 6. Jika kita ingin meniru kasih Yehuwa, apakah yang harus kita lakukan? Berikan contoh. (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
5 Jika kita ingin meniru kasih Yehuwa, apakah yang harus kita lakukan? Fikirkan situasi ini. Seorang saudara muda yang bernama Alan berfikir tentang seorang saudara yang lanjut usia. Saudara ini tidak dapat berjalan dengan baik dan mempunyai masalah penglihatan. Alan berfikir tentang kata-kata Yesus: “Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, mesti kamu lakukan juga untuk mereka.” (Luk. 6:31) Jadi Alan menanya diri, “Apakah yang saya ingin orang lain lakukan untuk saya? Saya ingin mereka bermain bola dengan saya!” Tetapi, saudara yang lanjut usia itu tidak dapat berlari dan bermain bola. Jadi Alan sepatutnya menanya diri, “Jika saya ialah saudara yang lanjut usia itu, apakah yang saya ingin orang lain lakukan untuk saya?”
6 Walaupun Alan masih muda, dia cuba membayangkan perasaan orang yang berusia. Maka, dia meluangkan masa dengan saudara yang lanjut usia itu dan mendengar dengan teliti semasa saudara itu bercakap. Dia mula memahami betapa susahnya bagi saudara itu untuk membaca Bible dan berjalan dari rumah ke rumah untuk menginjil. Alan dapat melihat bahawa saudara itu memerlukan bantuan. Oleh itu, hatinya tergerak untuk membantu saudara tersebut. Apabila kita memahami perasaan orang lain dan menunjukkan kasih kepada mereka, kita sedang meniru sifat Yehuwa.—1 Kor. 12:26.
7. Bagaimanakah kita dapat memahami apa yang dialami oleh saudara saudari kita?
7 Untuk memahami penderitaan orang lain bukanlah senang, terutamanya apabila kita sendiri tidak pernah mengalami situasi mereka. Contohnya, ramai saudara saudari menderita kerana penyakit, kecederaan, atau usia yang semakin meningkat. Sesetengah orang menderita kerana kemurungan, tekanan, atau kerana pernah didera pada masa dahulu. Yang lain pula merupakan ibu atau bapa tunggal, atau mempunyai ahli keluarga yang bukan Saksi. Setiap orang mempunyai masalah yang tersendiri. Jadi bagaimanakah kita boleh meniru kasih Yehuwa? Jika kita mendengar dengan teliti dan cuba menyelami perasaan mereka, kita akan tahu cara terbaik untuk membantu mereka. Kita boleh memberikan galakan rohani atau bantuan praktikal.—Baca Roma 12:15; 1 Petrus 3:8.
TIRULAH KEBAIKAN HATI YEHUWA
8. Apakah yang membantu Yesus untuk menunjukkan kebaikan hati?
8 Yehuwa baik hati kepada semua orang, dan Yesus meneladani-Nya. (Luk. 6:35) Apakah yang membantu Yesus untuk menunjukkan kebaikan hati? Yesus membayangkan kesan kata-kata dan tingkah lakunya terhadap orang lain. Contohnya, seorang wanita yang berdosa telah menghampiri Yesus. Dia menangis sehingga air matanya membasahi kaki Yesus. Yesus tahu bahawa wanita itu berasa sesal dan sudah bertaubat. Jika Yesus tidak melayannya dengan lembut, wanita itu akan berasa sangat sedih. Oleh itu, Yesus memuji wanita itu dan mengampunkan dosanya. Apabila seorang Farisi menyoal cara Yesus memperlakukan wanita itu, Yesus menjawabnya dengan kata-kata yang baik.—Luk. 7:36-48.
9. Bagaimanakah kita boleh menunjukkan kebaikan hati seperti Yehuwa? Berikan contoh.
9 Bagaimanakah kita boleh meniru kebaikan hati Yehuwa? Kita perlu berfikir sebelum bercakap atau bertindak supaya tidak menyinggung perasaan orang lain. Paulus menulis bahawa “hamba Tuan tidak perlu bertengkar. Sebaliknya dia perlu bersikap baik hati terhadap semua orang.” (2 Tim. 2:24, nota kaki) Contohnya, jika majikan tidak melayan anda dengan baik, apakah reaksi anda? Katakan anda di Dewan Perjumpaan dan anda bertemu dengan seorang saudara yang sudah lama tidak menghadiri perjumpaan, bagaimanakah anda akan menyambutnya? Jika penghuni rumah berkata bahawa dia sibuk, adakah anda akan bertimbang rasa? Jika pasangan anda menanya mengapa anda membuat rancangan tanpa memberitahunya, apakah jawapan anda? Kita perlu membayangkan perasaan orang lain dan kesan kata-kata kita terhadap mereka. Barulah kita dapat meniru kebaikan hati Yehuwa.—Baca Amsal 15:28.
TIRULAH KEBIJAKSANAAN TUHAN
10, 11. Bagaimanakah kita dapat meniru kebijaksanaan Yehuwa? Berikan contoh.
10 Yehuwa sangat bijak dan Dia dapat melihat apa yang akan terjadi pada masa depan. Walaupun kita tidak tahu tentang masa depan, kita boleh bertindak dengan bijak. Bagaimana? Sebelum membuat keputusan, kita boleh membayangkan kesan keputusan kita terhadap diri dan orang lain. Kita tidak mahu meniru orang Israel yang tidak berfikir tentang akibat buruk tindakan mereka. Walaupun Yehuwa telah banyak membantu mereka, mereka tidak menghargai-Nya. Musa sedar bahawa mereka akan melakukan sesuatu yang buruk. Maka dia berkata bahawa bangsa Israel “tidak ada pengetahuan; mereka sama sekali tidak ada kebijaksanaan.” Hal ini adalah kerana mereka tidak memikirkan akibat daripada tindakan mereka.—Ul. 31:29, 30; 32:28, 29.
11 Bayangkan anda sedang berdating. Adalah susah untuk mengawal emosi dan keinginan sendiri apabila tertarik kepada seseorang. Jadi, janganlah lakukan apa-apa yang akan menjejaskan hubungan anda dengan Yehuwa! Sebaliknya, bertindaklah dengan bijak dan elakkan perbuatan yang berbahaya. Yehuwa berkata, “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang bodoh membiarkan diri ditimpa malapetaka dan menyesal kemudian.”—Ams. 22:3.
MENGAWAL PEMIKIRAN ANDA
12. Mengapakah pemikiran kita boleh membawa musibah?
12 Orang yang bijak mengawal pemikirannya. Mengapa? Seperti api, pemikiran kita boleh membawa manfaat atau membawa musibah. Api boleh digunakan untuk memasak. Tetapi api yang tidak terkawal boleh menyebabkan kebakaran serta membawa maut. Begitu juga dengan pemikiran kita. Kita akan meraih manfaat jika kita memikirkan cara untuk meneladani Tuhan. Tetapi jika kita selalu memikirkan keinginan yang berdosa, lama-kelamaan kita mungkin melakukan dosa. Hal ini akan membahayakan kerohanian kita.—Baca Yakobus 1:14, 15.
13. Apakah yang mungkin dibayangkan oleh Hawa?
13 Fikirkan contoh Hawa. Yehuwa melarang Adam dan Hawa untuk memakan “buah daripada pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat.” (Kej. 2:16, 17) Tetapi Syaitan memberitahu Hawa, ‘Kamu tidak akan mati. Tuhan berfirman demikian kerana Dia tahu bahawa jika kamu makan buah itu, fikiran kamu akan terbuka; kamu akan menjadi seperti Tuhan dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat.’ Hawa mula membayangkan betapa baiknya jika dia boleh memilih apa yang baik dan apa yang jahat bagi diri sendiri. Dia berfikir bahawa “pokok itu cantik dan buahnya enak dimakan.” Oleh itu, “dia memetik buah pokok itu dan memakannya. Dia juga memberikan buah pokok itu kepada suaminya, dan suaminya pun makan buah itu.” (Kej. 3:1-6) Hasilnya, “dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa membawa kematian.” (Rm. 5:12) Hawa tidak sepatutnya memikirkan perkara yang salah itu!
14. Apakah amaran Bible mengenai perbuatan seks yang tidak bermoral?
14 Walaupun dosa Hawa tidak melibatkan perbuatan seks, Bible memberikan amaran kepada orang yang membayangkan diri melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral. Yesus berkata, “Sesiapa yang terus memandang seorang wanita dengan perasaan berahi sudah berzina dengannya dalam hati.” (Mat. 5:28) Paulus juga berkata, “Janganlah membuat rancangan untuk memuaskan keinginan tubuh yang berdosa.”—Rm. 13:14.
15. Apakah yang sepatutnya menjadi tumpuan kita, dan mengapa?
15 Bible juga menggalakkan kita untuk berfokus kepada Yehuwa dan bukannya wang atau kebendaan. Walaupun seseorang itu kaya, wang tidak dapat melindunginya. (Ams. 18:11) Yesus menceritakan tentang seorang lelaki yang mengumpulkan banyak harta untuk diri sendiri tetapi tidak mengutamakan kehendak Tuhan. Lelaki ini “tidak kaya di mata Tuhan.” (Luk. 12:16-21) Tetapi jika kita mengumpulkan “harta di syurga” dengan melakukan kehendak Tuhan, kita berasa gembira kerana kita menyenangkan hati Yehuwa. (Mat. 6:20; Ams. 27:11) Hubungan yang baik dengan Yehuwa adalah jauh lebih berharga daripada apa-apa pun.
JANGAN SELALU KHUATIR
16. Bagaimanakah kita dapat mengurangkan kekhuatiran?
16 Jika kita ingin menjadi kaya dalam dunia ini, kita akan berasa khuatir. (Mat. 6:19) Yesus mengatakan bahawa orang yang selalu khuatir tentang wang berasa susah untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan. (Mat. 13:18, 19, 22) Sesetengah orang selalu berfikir tentang perkara buruk yang mungkin terjadi. Tetapi jika kita selalu khuatir, kita akan jatuh sakit atau mula kehilangan iman terhadap Yehuwa. Sebaliknya, kita mesti yakin terhadap bantuan Yehuwa. Bible menyatakan: “Kekhuatiran menyebabkan orang berdukacita, tetapi kata-kata yang baik menghiburkan hati.” (Ams. 12:25) Jadi jika anda berasa khuatir, bincanglah dengan ibu bapa, pasangan, atau sahabat karib anda. Mereka boleh mengingatkan anda mengenai sudut pandangan Yehuwa, dan hal ini boleh mengurangkan kekhuatiran anda.
17. Bagaimanakah Yehuwa membantu kita menangani kekhuatiran?
17 Yehuwa memahami segala kekhuatiran kita. Oleh itu, Paulus menulis, “Janganlah khuatir akan apa-apa pun. Dalam segala hal, nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan melalui doa dan rayuan yang disertai ucapan syukur. Dengan demikian kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu melalui Kristus Yesus.” (Flp. 4:6, 7) Jika anda berasa khuatir, ingatlah bahawa saudara saudari, para penatua, hamba yang setia dan bijaksana, malaikat, Yesus, dan Yehuwa ingin membantu anda secara rohani.
18. Bagaimanakah daya imaginasi dapat membantu kita?
18 Kita sudah belajar bahawa daya imaginasi dapat membantu kita menyelami perasaan orang lain dan meniru sifat Yehuwa. (1 Tim. 1:11; 1 Yoh. 4:8) Jika kita menunjukkan kasih dan kebaikan hati, memikirkan akibat tindakan kita, dan tidak selalu khuatir, kita akan menikmati kehidupan yang gembira. Jadi marilah kita bayangkan kehidupan yang akan dinikmati di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan dan berusahalah untuk meniru sifat-sifat Yehuwa.—Rm. 12:12.