BAB SEMBILAN BELAS
Terus Hidup di Bawah Naungan Kasih Tuhan
Apakah erti mengasihi Tuhan?
Bagaimanakah kita dapat terus hidup di bawah naungan kasih Tuhan?
Bagaimanakah Yehuwa akan memberkati mereka yang hidup di bawah naungan kasih-Nya?
1, 2. Hari ini, kita boleh mendapat tempat naungan di mana?
BAYANGKAN anda sedang berjalan. Tiba-tiba cuaca menjadi buruk. Awan hitam menyelubungi langit, kilat sabung-menyabung, guruh berbunyi bertalu-talu. Tidak lama kemudian, hujan turun mencurah dari langit. Anda mencepatkan langkah dengan harapan untuk mencari teduh. Tiba-tiba, anda nampak sebuah pondok di tepi jalan. Pondok itu teguh, kering, dan nampaknya selesa sekali. Anda tentu sangat bersyukur kerana dapat berteduh di tempat yang selamat itu!
2 Kita sedang hidup pada zaman yang penuh dengan pergolakan. Keadaan di dunia semakin buruk. Tetapi, kita mempunyai tempat naungan yang boleh melindungi kita daripada bahaya berkekalan. Apakah tempat naungan yang dimaksudkan? Perhatikan apa yang diajarkan dalam Bible, ‘Orang yang tinggal di bawah naungan Yang Maha Kuasa, dapat berkata kepada-Nya, “Engkaulah pembelaku dan pelindungku. Engkaulah Tuhanku; aku percaya kepada-Mu.”’—Mazmur 91:1, 2, ABB.
3. Bagaimanakah kita boleh menjadikan Yehuwa tempat naungan kita?
3 Bayangkan hal ini! Yehuwa, Pencipta dan Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat boleh menjadi tempat naungan kita. Dia boleh memastikan bahawa kita selamat kerana Dia jauh lebih berkuasa daripada sesiapa atau apa-apa yang mungkin memudaratkan kita. Bahkan, Yehuwa boleh menghilangkan semua kesan buruk jika kita dicederakan. Bagaimanakah kita boleh menjadikan Yehuwa tempat naungan kita? Kita perlu mempercayai-Nya. Tambahan lagi, Firman Tuhan menggalakkan kita untuk terus ‘hidup di bawah naungan kasih Tuhan.’ (Yudas 21) Bagaimana? Dengan memelihara hubungan erat dengan Bapa kita di syurga. Jika kita berbuat demikian, kita boleh yakin bahawa Dia akan menjadi penaung kita. Persoalannya, bagaimanakah kita dapat menjalin hubungan sedemikian?
HARGAI DAN SAMBUTLAH KASIH TUHAN
4, 5. Apakah cara-cara yang digunakan oleh Yehuwa untuk memperlihatkan kasih-Nya kepada kita?
4 Untuk terus hidup di bawah naungan kasih Tuhan, kita perlu menghargai cara Yehuwa telah memperlihatkan kasih kepada kita. Fikirkanlah tentang sesetengah ajaran Bible yang telah anda pelajari dengan bantuan buku ini. Sebagai Pencipta kita, Yehuwa telah mengurniai kita dengan bumi sebagai tempat kediaman yang indah. Dia telah memenuhi bumi dengan makanan dan air yang melimpah, sumber alam semula jadi, binatang yang mempesonakan, dan pemandangan yang indah nian. Sebagai Pengarang Bible, Tuhan telah menyingkapkan nama dan sifat-sifat-Nya. Tambahan lagi, Firman-Nya menunjukkan bahawa Dia telah mengutus Anak kesayangan-Nya ke bumi. Dia mengizinkan Yesus menderita dan mati demi kita. (Yohanes 3:16) Apakah erti pemberian ini bagi kita? Kita memiliki harapan masa depan yang menakjubkan!
5 Harapan masa depan kita juga bergantung pada satu lagi perkara yang telah dilakukan oleh Tuhan. Yehuwa telah menubuhkan sebuah Kerajaan di syurga, iaitu Kerajaan Mesias. Tidak lama lagi, Kerajaan ini akan membanteras segala penderitaan di bumi dan menjadikan bumi sebuah firdaus. Bayangkanlah, kita berpeluang untuk hidup aman dan bahagia untuk selama-lamanya! (Mazmur 37:29) Sementara itu, Tuhan telah memberi kita bimbingan mengenai cara yang terbaik untuk menjalani kehidupan sekarang. Dia juga telah mengurniai kita peluang untuk berdoa kepada-Nya. Hal ini bermaksud kita mempunyai sarana untuk berkomunikasi dengan-Nya secara bebas dan tanpa batas. Semua ini hanyalah beberapa cara yang digunakan oleh Yehuwa untuk memperlihatkan kasih-Nya kepada umat manusia dan kepada anda sebagai seorang individu.
6. Bagaimanakah anda boleh menyambut kasih yang telah diperlihatkan oleh Yehuwa kepada anda?
6 Soalan penting yang harus anda fikirkan ialah: Bagaimanakah saya akan menyambut kasih Yehuwa? Kebanyakan orang akan menjawab, “Saya perlu membalas kasih Yehuwa.” Bagaimana pula dengan anda? Yesus mengatakan bahawa perintah berikut merupakan perintah yang teragung: ‘Kasihilah Yehuwa Tuhanmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu.’ (Matius 22:37, ABB) Sudah tentu anda mempunyai banyak sebab untuk mengasihi Tuhan Yehuwa. Namun, adakah sekadar memiliki perasaan sebegini bermaksud bahawa anda mengasihi Yehuwa dengan sepenuh hati, segenap jiwa, dan seluruh akal?
7. Adakah cukup untuk memiliki perasaan kasih terhadap Tuhan? Jelaskan.
7 Seperti yang telah digambarkan di dalam Bible, kasih untuk Tuhan bukanlah sekadar perasaan di hati. Walaupun penting, perasaan kasih kepada Yehuwa cuma satu permulaan dalam usaha anda untuk memupuk kasih yang sejati untuk-Nya. Sebagai contoh, untuk menghasilkan sebuah pokok epal, biji buah epal diperlukan. Adakah anda akan berasa puas hati jika anda ingin makan buah epal tetapi hanya diberi biji benihnya? Sudah tentu tidak! Dalam cara yang sama, perasaan kasih untuk Tuhan Yehuwa hanyalah satu permulaan. Bible mengajar kita, ‘Apabila kita mentaati perintah Tuhan, maka kita mengasihi Tuhan. Perintah-Nya pun tidak terlalu susah bagi kita.’ (1 Yohanes 5:3, ABB) Ya, kasih yang ikhlas terhadap Tuhan mesti membuahkan hasil yang baik dan mesti diperlihatkan melalui perbuatan.—Matius 7:16-20.
8, 9. Bagaimanakah kita dapat memperlihatkan kasih dan kesyukuran kepada Tuhan?
8 Kita memperlihatkan kasih kepada Tuhan semasa kita mengikut perintah-Nya dan mengamalkan prinsip-Nya dalam kehidupan. Hal ini tidaklah terlalu sukar untuk dilakukan. Hukum-hukum Yehuwa tidak membebankan tetapi merupakan pedoman untuk membantu kita menjalani kehidupan yang baik, bahagia, dan memuaskan. (Yesaya 48:17, 18) Jika kita hidup berpandukan bimbingan Yehuwa, kita menunjukkan bahawa kita benar-benar menghargai segala sesuatu yang telah dilakukan oleh Bapa kita di syurga. Malangnya, hanya segelintir orang di dunia hari ini yang memperlihatkan kesyukuran mereka kepada Tuhan. Semasa Yesus berada di bumi, terdapat beberapa orang yang tidak berterima kasih. Yesus telah menyembuhkan sepuluh orang yang dijangkiti penyakit kusta tetapi hanya seorang yang kembali untuk mengucapkan terima kasih kepada Yesus. (Lukas 17:12-17) Tentu kita mahu menjadi seperti lelaki yang bersyukur itu, dan bukan seperti sembilan lelaki yang lain yang tidak menunjukkan rasa terima kasih.
9 Maka, apakah perintah Yehuwa yang perlu kita patuhi? Kita telah membincangkan sebilangan daripada perintah Tuhan di dalam buku ini. Tetapi, mari kita mengkaji semula beberapa perintah ini. Jika kita mengikut perintah-perintah Tuhan, kita dapat terus hidup di bawah naungan kasih-Nya.
HAMPIRI YEHUWA
10. Jelaskan mengapa penting bagi kita untuk terus menimba ilmu pengetahuan tentang Tuhan Yehuwa.
10 Jika kita ingin merapatkan hubungan kita dengan Yehuwa, kita mesti belajar tentang-Nya. Pembelajaran tentang Tuhan merupakan proses yang tidak ada akhirnya. Bayangkan anda berada di luar rumah pada malam yang sangat sejuk. Anda mungkin mendirikan unggun api untuk memanaskan badan. Tetapi adakah anda akan membiarkan nyalaan api untuk menjadi kecil lalu padam? Tidak. Sebaliknya anda akan terus menyemarakkan api yang sedang menyala dengan menambahkan kayu api. Jika tidak, nyawa anda mungkin terancam! Sepertimana kayu api menyemarakkan nyalaan api, ‘pengetahuan tentang Tuhan’ akan membantu kita untuk terus mengukuhkan kasih untuk Yehuwa.—Amsal 2:1-5.
11. Apakah kesan ajaran Yesus ke atas para pengikutnya?
11 Yesus mahu kasih pengikut-pengikutnya terhadap Yehuwa dan Firman-Nya yang benar untuk terus membara dan tidak menjadi dingin. Selepas pembangkitannya, Yesus mengajar dua orang muridnya tentang sesetengah nubuat di dalam Kitab Ibrani berkenaan dirinya yang telah menjadi kenyataan. Apakah kesannya? Mereka kemudian berkata, ‘Tidakkah hati kita berasa seperti meluap, ketika dia berkata-kata kepada kita di tengah jalan dan menerangkan isi Alkitab kepada kita?’—Lukas 24:32, ABB.
12, 13. (a) Dalam kalangan kebanyakan umat manusia hari ini, apakah yang berlaku kepada kasih untuk Tuhan dan Bible? (b) Bagaimanakah kita dapat memastikan bahawa kasih kita tidak menjadi dingin?
12 Semasa anda mula-mula belajar tentang ajaran Bible yang sebenar, hati anda tentu telah membara dengan sukacita, semangat berkobar-kobar, dan kasih untuk Tuhan. Ramai orang mengalami pengalaman yang sama. Tetapi, kini, cabarannya adalah untuk memastikan bahawa kasih anda terus membara dan berkembang. Kita tidak mahu mengikut kebiasaan dunia hari ini. Yesus telah menubuatkan bahawa kasih kebanyakan orang akan menjadi dingin. (Matius 24:12) Maka, bagaimanakah anda dapat memastikan bahawa kasih anda untuk Yehuwa dan kebenaran Bible tidak menjadi dingin?
13 Jangan berhenti menimba pengetahuan tentang Tuhan Yehuwa dan Yesus Kristus. (Yohanes 17:3) Renungkan, atau fikirkan secara mendalam tentang apa yang anda pelajari daripada Firman Tuhan. Tanyalah diri anda, “Apakah yang boleh saya pelajari tentang Tuhan Yehuwa daripada ayat Bible ini? Apakah yang terdapat dalam ayat ini yang boleh mendorong saya untuk mengasihi-Nya dengan sepenuh hati, minda, dan jiwa?” (Mazmur 77:13) Perenungan sedemikian akan membantu anda menyemarakkan kasih untuk Yehuwa.
14. Bagaimanakah doa dapat membantu kita untuk memastikan kasih kita untuk Yehuwa tetap panas membara?
14 Satu lagi cara kita dapat memastikan bahawa kasih kita untuk Yehuwa tetap panas membara adalah dengan mengucapkan doa secara tetap. (1 Tesalonika 5:17) Di Bab 17, kita telah mempelajari bahawa doa ialah kurniaan yang berharga daripada Tuhan. Sepertimana hubungan dua insan bertambah erat semasa mereka berkomunikasi secara tetap dan bebas, hubungan kita dengan Yehuwa akan bertambah erat dan intim jika kita berdoa kepada-Nya secara tetap. Maka, adalah penting bagi kita untuk memastikan bahawa kita tidak mengucapkan doa dengan mengulangi kata-kata yang sama secara rutin. Kita tidak patut berdoa tanpa perasaan, bagaikan sebuah mesin. Kita perlu bercakap kepada Yehuwa sepertimana seorang anak bercakap kepada bapanya yang dikasihi. Kita mahu meluahkan isi hati dengan hormat, jujur, dan bebas. (Mazmur 62:9) Ya, pembelajaran Bible peribadi dan doa yang diucapkan dari lubuk hati adalah sebahagian penting daripada penyembahan kita yang dapat membantu kita untuk terus hidup di bawah naungan kasih Tuhan.
PEROLEH SUKACITA DALAM PENYEMBAHAN ANDA
15, 16. Mengapakah kerja penyebaran Kerajaan Tuhan wajar dianggap sebagai suatu penghormatan dan harta yang sangat berharga?
15 Pembelajaran Bible peribadi dan doa merupakan sebahagian daripada penyembahan kita yang boleh dijalankan secara peribadi. Namun demikian, marilah kita bincangkan satu aspek penyembahan kita yang perlu dijalankan secara umum: memberitahu orang lain tentang kepercayaan kita. Sudahkah anda berkongsi sesetengah kebenaran daripada Bible dengan orang lain? Jika anda sudah berbuat demikian, anda telah menikmati penghormatan yang istimewa. Semasa kita berkongsi kebenaran yang dipelajari tentang Tuhan Yehuwa, kita menjalankan satu tugas yang sangat penting yang telah diberikan kepada semua orang Kristian sejati. Tugas yang dimaksudkan ialah tugas menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan.—Matius 24:14; 28:19, 20.
16 Hawari Paulus memandang aktiviti penyebarannya sebagai harta yang sangat berharga. (2 Korintus 4:7) Kerja memberitahu orang lain tentang Tuhan Yehuwa dan tujuan-Nya adalah kerja terbaik yang dapat anda lakukan. Anda dapat berkhidmat kepada Tuan yang terbaik dan kerja ini membawa manfaat yang terbesar. Dengan menjalankan aktiviti ini, anda sedang membantu orang yang berhati jujur untuk menghampiri Bapa kita di syurga dan memulakan perjalanan menuju ke kehidupan yang kekal! Dapatkah anda fikir tentang kerja lain yang boleh membawa kepuasan hati yang lebih besar daripada kerja ini? Tambahan lagi, memberi kesaksian tentang Yehuwa dan Firman-Nya dapat mempertingkat kepercayaan anda serta menguatkan kasih anda untuk Dia. Yehuwa sangat menghargai usaha anda. (Ibrani 6:10) Dengan melakukan kerja ini secara berterusan dan bersungguh-sungguh, anda akan dibantu untuk terus hidup di bawah naungan kasih Tuhan.—1 Korintus 15:58.
17. Hari ini, mengapakah aktiviti penyebaran perlu dijalankan dengan perasaan mendesak?
17 Adalah penting untuk kita ingat bahawa kerja penyebaran Kerajaan Tuhan adalah kerja yang perlu dilakukan dengan perasaan mendesak. (2 Timotius 4:2) Mengapa? Firman Tuhan memberitahu kita, ‘Hari penghakiman Yehuwa sudah dekat, sesungguhnya, hari itu sudah sangat hampir dan akan tiba dengan segera.’ (Zefanya 1:14) Ya, masa untuk Yehuwa membinasakan seluruh sistem dunia ini semakin mendekat. Umat manusia harus diberi amaran! Mereka perlu tahu bahawa sekarang ialah masanya untuk memilih Yehuwa sebagai Pemerintah mereka. Akhir sistem dunia ini “tidak akan ditangguhkan.”—Habakuk 2:3.
18. Mengapakah kita patut menyembah Yehuwa dengan orang Kristian sejati yang lain?
18 Yehuwa mahu kita menyembah-Nya bersama-sama orang Kristian yang sejati. Itulah sebabnya Firman-Nya menyatakan, “Hendaklah kita perhatikan satu sama lain, supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk mengasihi satu sama lain dan untuk melakukan hal yang baik. Janganlah kita hentikan kebiasaan berkumpul bersama-sama, seperti yang dilakukan oleh beberapa orang saudara. Sebaliknya lebih-lebih lagi kita harus menggalakkan satu sama lain.” (Ibrani 10:24, 25, ABB) Apabila kita berkumpul dengan orang Kristian yang lain di perjumpaan, kita mempunyai peluang yang baik untuk memuji dan menyembah Tuhan kita yang dikasihi. Kita juga dapat membina dan menggalakkan satu sama lain.
19. Bagaimanakah kita boleh berusaha untuk menguatkan ikatan kasih di dalam sidang Kristian?
19 Semasa kita bergaul dengan penyembah Yehuwa yang lain, kita menguatkan ikatan kasih dan persahabatan di dalam sidang. Adalah penting untuk mencari sifat-sifat baik satu sama lain sepertimana Yehuwa mencari sifat-sifat baik kita. Jangan harapkan kesempurnaan daripada penyembah Yehuwa yang lain. Kita harus ingat bahawa kemajuan rohani setiap orang adalah berbeza dan semua orang melakukan kesilapan. (Kolose 3:13) Berusahalah untuk menjalinkan persahabatan dengan mereka yang mempunyai kasih yang mendalam untuk Yehuwa. Jika anda berbuat demikian, anda akan mendapati bahawa anda akan maju secara rohani. Ya, semasa kita menyembah Yehuwa bersama-sama saudara saudari rohani kita, kita dibantu untuk tetap berada di bawah naungan kasih Tuhan. Bagaimanakah Yehuwa memberkati mereka yang menyembah-Nya dengan setia dan yang hidup di bawah naungan kasih-Nya?
BERUSAHA UNTUK MENDAPAT “HIDUP SEJATI”
20, 21. Apakah itu “hidup sejati,” dan mengapakah harapan ini merupakan harapan yang menakjubkan?
20 Yehuwa memberkati hamba-Nya yang setia dengan kehidupan, tetapi dengan kehidupan yang macam mana? Adakah anda benar-benar hidup sekarang? Kebanyakan daripada kita akan menjawab “ya” kerana kita boleh bernafas, makan, dan minum. Sudah tentu kita sedang hidup, dan semasa kita berasa gembira, kita mungkin berkata dengan girang, “Inilah kehidupan yang sebenar!” Walau bagaimanapun Bible menunjukkan bahawa hari ini, tidak ada seorang manusia pun yang benar-benar hidup.
21 Firman Tuhan menggalakkan kita untuk mendapat “hidup sejati.” (1 Timotius 6:19) Kata-kata ini menunjukkan bahawa “hidup sejati” ialah kehidupan yang boleh kita nikmati pada masa hadapan. Ya, semasa kita semua sempurna, kita akan hidup dengan sepenuhnya kerana kita akan menikmati kehidupan sepertimana yang diinginkan oleh Tuhan pada asalnya. Apabila kita hidup di bumi firdaus dengan kesihatan, keamanan, dan kebahagiaan yang sempurna, kita akhirnya boleh menikmati ‘kehidupan sejati,’ iaitu kehidupan kekal. (1 Timotius 6:12) Hal ini sesuatu yang menakjubkan, bukan?
22. Bagaimanakah anda boleh mendapat “hidup sejati”?
22 Bagaimanakah kita boleh mendapat “hidup sejati”? Dalam konteks yang sama, Paulus menggalakkan orang Kristian untuk “berbuat baik” dan “rajin berbuat kebajikan.” (1 Timotius 6:18) Maka, sama ada kita mendapat kehidupan yang sejati atau tidak banyak bergantung pada cara kita mengamalkan ajaran Bible dalam kehidupan kita. Tetapi, adakah Paulus bermaksud kita dapat memperoleh “hidup sejati” sebagai balasan untuk kerja baik yang dilakukan? Tidak, kerana harapan yang menakjubkan ini bergantung pada rahmat Tuhan yang tidak layak kita terima. (Roma 5:15) Walau bagaimanapun, Yehuwa berasa senang hati untuk memberkati mereka yang berkhidmat kepada-Nya dengan setia. Dia mahu melihat anda menikmati “hidup sejati.” Kehidupan kekal yang diiringi kebahagiaan dan keamanan dapat diraih oleh mereka yang terus hidup di bawah naungan kasih Tuhan.
23. Mengapakah penting bagi kita untuk terus hidup di bawah naungan kasih Tuhan?
23 Kita masing-masing harus bertanya, “Adakah saya menyembah Tuhan mengikut garis panduan yang terkandung dalam Bible?” Jika kita menguji diri tiap-tiap hari dan mendapati bahawa jawapan kita adalah “ya,” maka kita sedang mengikut haluan yang betul. Kita boleh berasa pasti bahawa Yehuwa ialah tempat naungan kita. Dia akan memastikan bahawa umat-Nya yang setia akan selamat mengharungi hari-hari terakhir sistem dunia ini yang kucar-kacir. Yehuwa juga akan membimbing kita ke dalam sistem dunia baru yang berada di ambang pintu. Kita berasa sangat gembira kerana berpeluang untuk melihat apa yang akan berlaku pada masa itu! Dan kita akan berasa sangat gembira kerana kita telah membuat pilihan yang bijak pada hari-hari terakhir ini! Jika anda membuat keputusan sebegini sekarang, anda akan menikmati “hidup sejati,” iaitu anda dapat hidup selama-lamanya seperti yang dikehendaki oleh Tuhan Yehuwa!